Dugaan OKU di Madinah
ASSALAMUALAIKUM. Ketika artikel ini ditulis saya baru kembali dari menunaikan umrah bersama 56 lagi jemaah. Pemergian kali ini sesungguhnya amat menyentuh hati kerana hampir saban hari saya mengalirkan air mata menadah tangan memohon Allah SWT melancarkan perjalanan, kesihatan dan ibadat rombongan kami.Saya sendiri hairan mengapa perasaan hiba bertakhta di sanubari sehingga menjadikan saya mudah sebak. Pelbagai persoalan bermain di fikiran namun saya berserah sepenuhnya kepada Allah setelah segala usaha dilaksanakan sepenuh hati.
Tanggal 5 April 2015 berangkatlah kami ke Tanah Suci menerusi pesawat Penerbangan Malaysia tepat jam 3.15 petang. Perjalanan kali ini begitu istimewa kerana membabitkan enam orang kurang upaya (OKU), iaitu Sheikh Ali Sheikh Hussein, Muhammad Fikri Fauzi, Aliff Hazim Abdul Rahman, Mustafa Kamal Mohd Tahir, Nurul Hidayah Ali dan Ezzah Syahirah Zaini.
Sheikh Ali dan Aliff Hazim adalah OKU berkerjaya, manakala Muhammad Fikri, Mustafa Kamal, Nurul Hidayah dan Ezzah Syahirah adalah OKU dari Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Wilayah Persekutuan.
Sheikh Ali mengalami kecacatan fizikal, manakala Aliff Hazim, Muhammad Fikri, Mustaffa Kamal, Nurul Hidayah adalah OKU bermasalah pembelajaran (LD), manakala Ezzah Syahirah mengalami cerebral palsy.
Selepas menempuh perjalanan udara hampir sembilan jam, kami tiba di terminal haji di Jeddah dan selesai urusan imigresen yang mengambil masa kira-kira dua jam serta urusan mendapatkan bagasi, dua bas menunggu ketibaan kami.
Sejumlah 30 jemaah di dalam bas A, manakala selebihnya di bas B. Lima OKU di bas A bersama-sama waris masing-masing. Saya juga di bas A. Turut bersama-sama kami ketika itu ialah krew media TV9 yang membuat liputan kunjungan OKU ke Tanah Suci.
Pemilik agensi pelancongan di Taman Prima Saujana, Kajang, Ramlah Ismail, bermurah hati menaja OKU dan petugas di PDK serta dua krew media untuk mengikuti pakej umrah berkenaan. Ustaz Johan Anuar bertindak sebagai mutawif di bas A, manakala Ustaz Ismail Hamdun di bas B.
Setelah semua bagasi dimuatkan di dalam perut bas, kami menempuh perjalanan enam jam untuk ke Madinah Munawwarah. Perjalanan panjang memenatkan tetapi hati gembira bukan kepalang dengan sejuta kesyukuran sejurus tiba di Hotel Mubarak Madinah yang hanya terletak kira-kira 60 meter dari perkarangan Masjid Nabawi nan indah dan menempatkan makam junjungan mulia Rasulullah S.A.W serta sahabat.
Kami tiba di depan Hotel Mubarak Madinah pada jam 4 pagi dan waktu Subuh di Madinah ketika itu ialah 4.53 pagi. Kelihatan berbondong-bondong jemaah menuju ke Masjid Nabawi, sekali gus menandakan azan pertama sudahpun berkumandang. Azan pertama dilaungkan kira-kira satu jam sebelum azan Subuh.
Bagi pemilik agensi pelancongan itu lebih baik berehat seketika dan tidak memaksa diri untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Nabawi pada waktu Subuh kerana menyedari mereka terlalu penat setelah menempuh perjalanan jauh. Beliau turut memaklumkan bahawa ziarah dalam akan bermula pada jam 8 pagi dan meminta jemaah berkumpul di lobi sejurus menikmati sarapan.
Namun, tiada sesiapapun yang mampu menghalang perasaan teruja dan cinta apabila melihat kubah hijau dari kejauhan dan keindahan di Masjid Nabawi yang menjanjikan seribu ketenangan. Justeru, ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk solat berjemaah di Masjid Nabawi sejurus tiba di Madinah.
Pada jam 7.30 pagi, sebahagian jemaah sudah mula berkumpul di lobi hotel untuk ziarah dalam dan tepat jam 8 pagi, kami memulakan perjalanan menuju ke perkarangan Masjid Nabawi serta berhampiran tanah perkuburan Baqi’ dengan diketuai Ustaz Johan.
Ketika menuju ke Masjid Nabawi, Penyelia PDK Titiwangsa, Suhana Alam menyampaikan berita seorang daripada OKU dari PDK Titiwangsa, iaitu Mustafa Kamal yang datang bersama-sama ayahnya Mohd Tahir dan ibunya, Aniza Salleh diserang sawan.
“Kak Ana, Mus kena sawan di dalam masjid. Masa tu orang sedang bersolat Subuh,” katanya bersungguh.
“Hah? Macam mana dia sekarang. Berehat ke?” tanya saya dengan nada terkejut.
“Sekarang dah sedar. Dia tak mahu duduk dalam bilik. Dia nak ikut ziarah juga. Ayah dia bimbang dia penat, jadi guna kerusi roda yang dipinjam dari hotel,” jawab Suhana.
Mustafa Kamal (berkerusi roda) dan jemaah di depan pintu masuk King Fahd di Masjidil Haram.
Tidak lama selepas itu ternampak Mohd Tahir menolak anaknya dengan kerusi roda. Saya menghampiri Mustafa Kamal, insan istimewa berusia 22 tahun, berkulit cerah, berbadan tegap dan anak sulung daripada enam adik-beradik. Beliau kelihatan letih tetapi semangatnya begitu kental untuk berziarah dan beribadat.
Melihatkan keadaannya, hati pasti terusik. Mendengar tutur katanya, hati terasa sebak. Senyuman manis sentiasa terukir di bibir walaupun terpaksa mengharungi kepayahan setiap kali diserang sawan. Keinginan ke Makkah sudah lama disuarakan kepada ibu bapa. Alhamdulillah rezeki menyebelahinya apabila diundang sebagai tetamu Allah.
Menurut Ustaz Ismail, Mustafa diserang sawan ketika rakaat kedua solat Subuh. Dengan tiba-tiba dia rebah ketika solat dan menarik perhatian ramai jemaah sekeliling ketika itu sejurus mereka memberi salam.
“Ketika itu, saya, Ustaz Johan, ayah Mustafa dan Along (Fakhrurrozi) ada berhampiran Mustafa. Kami tidak terus mengangkatnya pulang ke hotel. Kami sapukan air zamzam pada wajahnya dan masukkan sedikit air zamzam ke dalam mulut Mustafa.
“Setelah sedar, barulah Mustafa dibawa pulang ke hotel. Jemaah lain di sekeliling menasihatkan kami agar membawa Mustafa ke hospital tetapi saya katakan tidak perlu kerana ubat-ubatan ada di bilik hotel,” kata Ustaz Ismail.
Keadaan Mustafa Kamal kembali pulih setelah berehat dan mengambil ubat di dalam bilik hotel sebelum dibawa berziarah pada pagi itu dengan kerusi roda. Namun, dari seraut wajah dan sepasang matanya, jelas kelihatan beliau keletihan.
Mustafa Kamal bersama Ustaz Ismail (kiri) dan Sheikh Ali di lobi hotel.
Esoknya iaitu pada Selasa, kami ziarah Masjid Quba’, Jabal Uhud, ladang tamar dan kilang cetak al-Quran tetapi Mustafa Kamal dan ayahnya tidak berpeluang bersama-sama rombongan ketika itu.
Sekali lagi saya dimaklumkan bahawa Mustafa Kamal diserang sawan sebelum kaki melangkah menaiki bas A. Tanpa berlengah, saya, Suhana dan Ahmad Din (suamai Suhana) naik semula ke aras empat hotel penginapan serta mengetuk pintu kamar Mustafa Kamal.
Bau minyak serai menusuk ke hidung saya sejurus memasuki bilik berkenaan. Mohd Tahir nampak sugul, manakala Mustafa Kamal pula tidak bermaya dan lesu terbaring di atas katil. Penuh simpati melihat keadaannya namun kita hanya mampu berdoa agar Allah memberi kekuatan kepada ibu bapanya dalam menghadapi ujian berkenaan.
“Dia dah siap tadi nak pergi ziarah tetapi tiba-tiba saja rebah di depan pintu bilik. Balik dari masjid dan sarapan, dia memang suka sangat dan tak sabar-sabar nak pergi ziarah,” ujar Mohd Tahir pilu.
Mustafa Kamal dan Aliff Hazim (kanan) di Muzium Dua Masjid Suci di Makkah.
Dia sekadar memandang saya, Suhana dan Ahmad Din. Kami kemudiannya berlalu pergi dan menasihatkan Mohd Tahir agar bersabar melalui keadaan itu.
Kami meneruskan kembara ke bumi suci dengan ziarah di Quba’, ladang tamar, Jabal Uhud dan kilang cetak Quran dan tiba semula di depan hotel kira-kira satu jam sebelum masuk waktu solat Zuhur.
Setelah solat Asar, kami semua berkumpul di dewan makan untuk mendengar taklimat berangkat ke Makkah yang dijadualkan pada keesokan hari sesudah solat fardu Zuhur. Selesai taklimat, Suhana menghampiri saya dan membisikkan bahawa Mustafa Kamal sekali lagi diserang sawan.
Saya diam seketika. Tidak mampu melafazkan kata-kata. Besar sungguh ujian ke atas anak istimewa itu detik hati kecil saya.
“Bila dia kena lagi cikgu?” tanya saya.
“Selepas makan tengah hari tadi. Masa tu Mus ikut ayah dan emak dia berjalan di bazar membeli haruman tapi tiba-tiba dia rebah dan sawan. Kening Mus terkena rak meja kayu di kedai minyak wangi dan terluka sedikit. Masa itu, saya, Shahrul (anak Suhana) dan suami ada bersama-sama mereka.
“Suami berlari mendapatkan kerusi roda di dalam bilik hotel, dan Mus pula terbaring kira-kira 15 minit di kaki lima kedai berkenaan. Ada yang mahu panggil ambulans tetapi kami tidak benarkan kerana yakin dapat menyelamatkan keadaan. Alhamdulillah, setelah dibawa balik ke hotel, keadaan Mus beransur pulih,” cerita Suhana panjang lebar.
Esoknya, kami semua bersiap sedia untuk menunaikan umrah, termasuk semua insan istimewa yang turut menyertai rombongan kami. Alhamdulillah, berkat doa ramai, segala-galanya berjalan lancar, Mustafa Kamal tidak lagi diserang sawan sepanjang di Makkah, malah kelihatan ceria serta berjaya menyempurnakan umrah.
Beliau tampak ceria bergurau dengan rakan-rakan OKU yang lain dan sering menjadi perhatian jemaah di dalam rombongan kami, terutama setelah mencukur rambutnya setelah menyempurnakan umrah pertama.
Kekurangan dan kesihatan kurang mengizinkan tidak sedikit pun mematahkan semangat kental Mustafa Kamal untuk beribadat serta berziarah di Tanah Suci. Cabaran dilalui di Madinah hanya sekelumit dan menguji kesabaran dan kecekalan hati ibu bapa insan istimewa itu. ~mstar