27 September, 2012

OKU harap peruntukan dalam Bajet 2013

BILA tiba bajet (belanjawan) setiap tahun, saya menantikan apakah khabar baru untuk golongan OKU. Golongan minoriti di Malaysia yangsenantiasa berharap agar ada pembaharuan.

Tambahan pula DS Najib sendiri telah memangku jawatan yangditinggalkan oleh Shahrizat. Sudah tentu keyakinan itu lebih memuncak untuk melihat sinar untuk OKU.

Namun benarkah impian itu menjadi kenyataan atau ia sekadar ....

Apapun dan siapapun memerintah, golongan OKU tetap terus memperjuangkan hak yang dituntut .. jangan jadi isu atlet paralimpik sudah .. hehehehehe

(klik butang papar untuk petikan akhbar ..)

Muhammad Faizal, 27 Sep 2012

KUALA LUMPUR: Gerakan Bersama Kebangkitan Orang Kelainan Upaya (Bangkit OKU) mendesak agar kerajaan melalui bajet yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri esok turut menyediakan elaun kecacatan kepada golongan itu.

Ketua Pengerak Kempen Bangkit OKU Mohd Faizal Che Yusof berkata, isu berkenaan elaun itu bukan baru ditimbulkan malah sejak lama dahulu lagi.

"Isu yang kita timbulkan ini bukannya isu baru tetapi telah lama ditimbulkan sejak dulu lagi serta pernah disuarakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Parlimen.

"Kita menuntut agar Perdana Menteri menyediakan satu peruntukan khusus mengenai elaun kecacatan kepada golongan OKU bagi menampung kehidupan mereka," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Menurut beliau lagi, tuntutan tersebut tidak bermakna golongan OKU adalah malas bekerja sebaliknya kerajaan perlu melihat kemampuan golongan itu dengan sektor pekerjaan yang disediakan untuk mereka.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Pakatan Rakyat turut meletakkan pembelaan kepada golongan OKU dalam manifesto pilihanraya yang akan datang.

"Jika Pakatan Rakyat mengambil tampuk pemerintahan di Putrajaya, kita dari golongan OKU berharap satu portfolio OKU diwujudkan bagi memastikan golongan OKU terus terbela," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud menyatakan Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS terus mendokong usaha-usaha ke arah pembangunan OKU yang lebih menyeluruh di negara ini.

"Kami tersentuh dengan kempen yang digerakkan oleh sekumpulan OKU yang dinamakan Bangkit OKU.

"Kami yakin usaha yang dilakukan ini dapat menjadikan apa yang dituntut oleh golongan ini satu realiti demi menjaga hak dan kebajikan OKU yang pelbagai di negara ini," kata beliau.

Tambah beliau, PAS pada 11 Ogos yang lalu telah berjaya melancarkan Sekretariat Prihatin OKU dan ia telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS.

"Penubuhan sekretariat ini adalah satu langkah awal untuk kami dari Pakatan Rakyat membantu bagi membangunkan OKU dan kami sedar akan pembangunan OKU perlulah berasaskan kepada hak mereka sebagai warganegara dan insan.

"Dalam pada itu, kami juga akan mengikhtiarkan sebuah pusat khidmat atau sehenti OKU Nasional bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih signifikan kepada OKU termasuk kajian berkaitan OKU, advokasi, perancangan dan perlaksanaan pembangunan OKU," kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff yang turut serta dalam sidang media tersebut meminta kerajaan meningkatkan lagi peranan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang terdapat di negara ini.

Jelasnya, peranan PDK akan berkesan apabila kerajaan meneliti dan melihat kecacatan OKU ini adalah berbeza.

"Kerajaan perlu perihatin kerana kecacatan OKU berbeza, jadi sediakanlah program yang sesuai dengan mereka.

"Malah kita juga turut melihat masih ada PDK yang kekurangan tenaga pengajar dan ini secara tidak langsung mengganggu pembelajaran mereka," kata beliau.

  • fb user .. write your comments here
Copyright © dunia rasasayang ®