28 Julai, 2008

Pelangi petang siri06

Jendela tahun 1995 aku singkap semula untukku abadikan sebagai kenangan selamanya. Ketika itu aku berada di tingkatan empat, tahun penuh suka dan duka.

Cita-cita dan keinginanku untuk menyertai pertandingan olehraga tercapai tahun ini.

Aku suarakan pada guru mengenai keinginanku. Aku dibenarkan tanpa rela kerana guru sedar akan kekuranganku. Desakanku pada mereka juga kuat kerana itu guru mengalah untuk memberikan peluang padaku menunjukkan bakatku.






Dulu ketika aku masih di sekolah rendah guru takut untuk memberi peluang itu kepadaku di atas alasan kekurangan mata,

“bolehkah kamu lari, takut nanti masuk lorong orang”, begitulah kata-kata mereka.

“Tak payahlah nak berangan nak masuk acara lari tu, buat malu saja”, begitu juga dengan kata-kata itu yang membunuh semangatku.

Tapi jauh di dalam hati, aku yakin dan keyakinan itu amat tinggi untuk berjaya.

Ku mohon restu ibuku dan ku bertanya padanya, apakah aku boleh menyertai acara olahraga itu.

“Terpulanglah, jika hang rasa hang boleh , mak sokong” begitulah kata-kata ibuku padaku.

“Cuma mak nak tanya, hang yakin ke boleh menang acara olahraga itu” tanya ibuku padaku.

“InsyaAllah mak, saya yakin saya boleh. Percayalah pada saya”jawabku dengan harapan menggunung.

Dengan kebenaran ibuku itu, aku mulakan latihan sendirian dan aku kuatkan semangat. Memang agak sukar untuk berlari di dalam lorong kerana aku tidak nampak dengan jelas garisan setiap lorong itu. Aku hanya mengagak sahaja dan doaku biarlah nanti aku berlari di lorong yang betul.

Kini tibalah masanya aku membuktikan bakatku kepada semua. Aku mengambil acara 200m, 400m, 4x400m, 800m dan 1500m.

Bukan tamak, tapi matlamatku biarlah aku puas walaupun aku akan tewas nanti. Biarlah aku malu kerana di ejek rakan-rakan kerana lari lorong orang. Biarlah.

Aku meniti kejayaan demi kejayaan. Aku menang empat acara sebagai johan dan satu acara sebagai naib johan. Kemuncaknya, aku diumumkan olahragawan katogeri lelaki A dan oleharagawan lelaki keseluruhan untuk tahun itu. Aku benar puas dan bangga dengan diriku..

Aku membawa pulang dua piala pusingan untuk ibuku. Ibuku terkejut dan begitu gembira sekali. Walaupun kejayaan itu bukanlah begitu besar bagi orang lain, tetapi bagiku dengan kecacatan mataku, aku merasakan itulah pencapaian terbesar pernah aku lakukan setakat saat itu. Bersaing dengan orang lebih normal dan sempurna dariku.

Tiada lagi ejekan dan cemuhan dari rakan-rakan, tiada lagi tanggapan negatif ku dengar. Semua itu ku panjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana memberi peluang nikmat kebhagiaan itu.

Dengan kejayaan itu aku berpegang dengan kuat sehingga kini, jika kita yakin akan pada diri kita maka kita akan mampu melaksanakan sesuatu perkara. Jika kita mahu, pasti kita akan gerakkan usaha kita untuk mendapatkannya.

Kegembiraan itu tidak lama kerana aku tidak dibenarkan lagi untuk menyertai apa-apa cara sukan kerana bimbang saraf mataku akan terganggu. Di penghujung tahun 1995, aku berjumpa dengan pakar mata, Dr Ropilah (HUKM) yang seterusnya mengubah banyak tentang masa depanku.

Dulunya aku mengambil aliran sains tulin dengan matapelajaran biologi, fizik dan kimia. Aku tidak pernah memikirkan masa depan apa akan boleh aku buat nanti selepas aku mmenamatkan SPM.

Aku dinasihatkan oleh Dr Ropilah untuk mengubah aliranku kerana dakwa beliau, aku tidak boleh terus dengan aliran sains tulin itu. Aku tidak boleh bekerja sebagai doktor, ahli farmasi atau yang berkaitan dengan sains. Bagaimana aku hendak buat eksperimen kerana penglihatanku yang terhad itu.

Aku tidak setuju kerana aku sudah hendak masuk tingkatan lima dan bagaimana aku hendak belajar matapelajaran baru .

Bagaimana aku akan hadapi semua ini sedangkan aku akan menempuh SPM setahun lagi. Dr Ropilah memberi sekeping surat kepada pengetuaku agar aku ditukarkan ke aliran sastera.

Aku disuruh berunding dengan pengetua bagaimana untuk menghadapi semua ini. Aku buntu dan meminta nasihat bapaku. Ayah menerangkan, pandangan Dr Ropilah itu sangat tepat dan bersesuaian demi masa depanku….

Aku mula cemas, aku tidak tahu aku mampu untuk berjaya dalam SPM jika aku tukar aliran. Aku kena belajar sendirian perkara baru. Apa akan jadi pada nasibku kelak.



Pelbagai persoalan aku fikirkan.. aku terbayang orang buta yang meminta sedekah ditepi jalan, aku mula menggambarkan kesusahan yang akan aku tempuhi…..

2 Ulasan:

ashaf berkata...

wow...terror nya. aku yg sihat normal pun, semput kl nak berlari. mgkn salur darah ku penuh dgn lemak yg ku bina bertahun2 hidup ku. heee...

sungguh "usaha, iltizam, semangat, restu" dan paling penting "DOA dan TAWAKKAL" mmg kunci kejayaan.

aku kagum dgn keyakinan mu, bro.

pentadbir berkata...

aku hanya zarah di lautan luas....

+

Artikel Terkini

Copyright © dunia rasasayang ®