PUNTUNG HANYUT MENJADI ULAR
Tersenyum ucu sidin apabila didesak orang-orang kampung supaya berjamu ancak di batu bertimpuh seperti diamalkan arwah ayah nya pawang lamid. Tahu sangat ucu sidin ayahnya juga tidak akan berjamu ancak kalau takat jelmaan sungai usungan mayat kelihatan di tengah malam.
Lama ayahnya tidak amalkan lagi berjamu ancak disebabkan tidak mahu mematuhi pantang larang yang ditetap kan sejak turun temurun. Lain lah ketika nenek moyangnya menjadi pawang, memang pawang lamid tahu batu bertimpuh itu tempat mereka berjamu ancak. Tetapi dia tidak terpengaruh dengan batu bertimpuh, sekalipun nenek moyangnya beritahu mengenai moyang labang yang hilang sekitar kawasan berkenaan.
“ Mula-mula dulu ayah buat jamu ancak”, ujar ucu sidin perlahan apabila kenang usin pakau berkuat juga mahu berjamu ancak di batu berimpuh berkenaan. “ Tapi selepas itu, tak pernah lagi dia buat macam itu”, tuturnya disebabkan arwah ayahnya sudah membuat keputusan tidak amalkan lagi jamu ancak demikian.
Manalah usin pakau tahu mengenai emaknya ulung siah terpaksa di pakai kan selendang hijau tatkala beratip setelah pawang lamid berjamu ancak. Kadang kala sampai tiga hari berturut-turut ulung siah terus beratip tidak berhenti.
Ketika ini orang-orang kampung bertumpu ke rumahnya minta ubatkan sesiapa sahaja menghidap penyakit.
Memang seisi kampung mengharapkan ulung siah akan beratip bagaikan hilang ingatan asal saja ayahnya pawang lamid berjamu ancak. Mereka tidak peduli mengenai ulung siah dipakaikan selendang hijau dengan pakaiannya serba hijau, biarlah berterusan ulung siah beratip asal sahaja mereka boleh meminta apa sahaja tatkala perempuan itu beratip demikian.
Masakan mereka tidak berasa hairan apabila mail lompong betahun-tahun menghidapi benguk pada leher, tiba-tiba sahaja seruh dalam masa tiga hari setelah meneguk air yang dijampi ulung siah tatkala dia beratip. Apabila ulung siah berhenti beratip sudah tentu ingatanya akan pulih semula. Dia tidak akan menjampi apa-apa lagi disebabkan tidak menyedari pasal beratip sejak berhari-hari itu.
Lama benar mail lompong menghidap benguk pada leher hingga membengkak sebesar mumbang kelapa. Puas berubat dengan pawang lamid benguk berkenaan tidak juga seruh. Sebab itu tidak bertangguh dia meminta ulung siah jampikan tatkala perempuan itu beratip selepas pawang lamid berjamu ancak di batu bertimpuh.
Memang pawang lamid tahu setiap kali dia berjamu ancak, anaknya ulung isah akan merungut-rungut tidak menentu. Ketika ini ulung siah sudah dirasuk moyang labang menyebabkan dia mesti dipakaikan selendang hijau. Kalau tidak dikawalkan oleh pawang lamid nescaya anaknya akan berterusan menjadi tidak siuman. Setelah dipakaikan selendang hijau ulung siah akan beransur-ansur pulih semula.
“ Kamu dah lama sakit kenapa tidak berubat”, rungut ulung siah sambil beratip tatkala mail lompong beritahu mengenai benguk yang membengkak pada lehernya.
“ Dia da berubat, tapi tak sembuh juga, moyang”, sahut pawang lamid menjadi perantaraan apabila bercakap dengan ulung siah dalam masa dia beratip. Ketika ini pawang lamid seolah-olah tidak berhadapan dengan anaknya, tetapi bertutur dengan moyang labang sendiri.
“ moyang pun tak boleh nak ubat, tok pawang”, tersenyum ulung siah menundukkan kepala lantas menutup muka dengan selendang.
“ Kalau moyang tak boleh ubat, siapa lagi nak harapkan?”, sengaja pawang lamid merendah diri.
“ Kamu ni semua nak menyusahkan moyang aje”, gerutu ulung siah seolah-olah mengejek mereka disebabkan sengaja menunggu peluang dia beratip dalam keadaan tidak sedarkan apa-apa.
Lantas pawang lamid hulurkan botol air kehadapan ulung isah dengan memberi isyarat supaya mail lompong mara ke hadapan. Sebaik sahaja mail lompong terconggok di depannya, ulung siah meraba-raba benguk dileher mail lompong, sekalipun dia masih tertunduk menyembunyikan muka disebalik selendang hijaunya.
Lama ulung siah meraba-raba benguk berkenaan, dia menyeru perlahan : Hai si halus hitam hulubalang hitam si raja halus, pergi engkau memotong benguk di leher si anu, jangan kau melanggar perintah aku, jirim namanya aku, api menyala di mulut aku.
Sebaik sahaja ulung siah hembuskan pada botol air, mereka melihat seolah-olah asap kemenyan yang dibakar pawang lamid melabun berkeliling botol air dihadapan mereka. Berpusar-pusar asap kemenyan di keliling botol air hingga tercium bau harum ditengah rumah. Kemudian ulung siah menyuruh mail lompong meneguk air di dalam botol terus disapukan kepada benguk yang membengkak sebesar mumbang kelapa di lehernya.
Tiga hari selepas meneguk air yang ulung siah memang benguk dileher mail lompong seruh tidak bertahan. Semenjak itulah penduduk-penduduk kampung harapkan pawang lamid berjamu ancak biar ulung siah beratip akibat dirasuk moyang labang. Ketika ini memang ulung siah akan menjampi bersama jelmaan moyang labang hingga penyakit yang mereka hidapi boleh sembuh serta-merta.
Tetapi ulung siah tidak tahu apa-apa sekiranya dia tidak beratip hingga dipakai selendang hijau oleh ayahnya pawang lamid. Sebab itu ketika anaknya usin pakau mengelepar hingga menjalar laksana ular dia sekadar mengeleng kepala sahaja. Terkaku dia apabila usin pakau tiba-tiba sahaja kejang akibat sakit kepala berdenyut-denyut.
Sebaik diberitahu pada pawang lamid, segera dicekaknya tangan usin pakau. Ketika ini dia merasakan tangan cucunya lembik seolah-olah tidak bertulang. Bimbang dia juga mahu berkeras kerana bimbang tangan usin pakau akan terkehel. Beberapa kali ditepuknya kepala usin pakau, sekaligus cucunya mengeliat terus menjalar dilantai bagaikan mahu menerkam mangsa.
“ Kalau kamu syaitan pergi dari sini”, bentak pawang lamid terus berdir dengan mengisar tapak tangan. “ Aku takkan bunuh kamu dalam rumah, kalau nak cari geruh aku mari keluar”, tegas nya merenung tajam ke arah usin pakau.
Namun keadaan usin pakau bertambah pasang hingga berkali-kali dia melonjakkan kepala seolah-olah ular tedung selar mahu menerkam. Seminggu usin pakau meniarap dengan menjalar berkeliling di atas tikar menyebabkan pawang lamid hampir putus asa.
Ketika ini seisi kampung gempar apabila terserempak putung kayu hanyut disungai akan bertukar menjelma menjadi ular hitam sekiranya tersangkut di mana-mana. Mereka bimbang turun mandi ke sungai sekiranya terserempak putung kayu hanyut terapung ditengah harus. Manalah tahu putung kayu berkenaan tersangkut pada badan mereka hingga bertukar menjadi ular hitam.
“ Tok pawang, aku hampir dipatuk ular”, beritahu utih deraoh tergamam apabila putung kayu hanyut tersangkut pada joran kailnya. Tidak bertangguh dia campakkan joran kail ketengah air sebaik sahaja ular hitan berbelit-belit di situ.
Tatkala pawang lamid menerpa ke tebing sungai dia sekadar melihat putung kayu terbakar teroleng-oleng ditolak arus. Masakan utih deraoh berbohong apabila dia melihat ular hitam berbelit-belit di joran. Bukan utih deraoh sahaja terserempak, malah hasan debeng juga hampir dipatuk ular hitam semasa mandi ke tengah sungai. Sebaik sahaja nampak putung kayu tersangkut pada ranting aur rebah ke air, sengaja dia kuakkan ke tepi. Tiba-tiba sahaja puntung berkenaan bertukar menjelma menjadi ular hitam.
Tidak bertangguh hasan debeng melompat naik ke tebing apabila kepala ular berkenaan mencodak menentang arus. Mujur juga hasan debeng sempat menguis kuat ular berkenaan dengan hujung ranting sebelum dapat menerkam ke arahnya. Sebab itu seisi kampung harapkan pawang lamid berjamu ancak biar mala petaka tidak mengganggu berterusan.
Tetapi bukan mudah pawang lamid mahu berjamu ancak, disebabkan hanya beberapa bulan sahaja usung panggang ayam mentah, bertih tujuh piring, pulut kuning sepinggan dengan telur rebus tujuh biji dibawa ke batu bertimpuh. Kalau berjamu ancak nescaya anaknya ulung siah akan beratip berturut-turut tiga hari laksana tidak siuman. Masakan dia mahu bebankan anaknya setelah berjamu ancak di batu bertimpuh itu.
“ Tentu ular puaka nak cari geruh, tok pawang”, hasan debeng ingatkan mengenai perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
“ Manalah tahu ular tu akan mematuk budak-budak”, gerutu utih deraoh pula apabila kenangkan dia sendiri hampir menerima geruh.
“ Jangan benarkan budak-budak mandi ke sungai”, ujar pawang lamid melarang budak-budak bercempera mandi disungai. Seisi kampung mesti tegah anak masing-masing supaya tidak ke sungai mandi terjun dari atas tebing.
Tetapi pungtung kayu bukan takat hanyut ditengah arus sungai sahaja. Mereka juga bimbang akan menguis puntung kayu diatas tunku dapur. Manalah tahu puntung kayu berkenaan menjelma menjadi ular hitam. Tentu ular berkenaan akan mematuk sekiranya tidak sempat mahu mengelak.
Malah puntung kayu dicampakkan ke tengah halaman pun mereka mudah terkejut apabila tersepak tidak menentu. Apa lagi kalau tersandung waktu malam tatkala balik dari surau, bagaimana mereka mahu mengelak tatkala kepala ular hitam mencodak?Mereka mesti desak juga pawang lamid berjamu ancak dalam masa kampung halaman mereka diancam jelmaan ular hitan.
“ Berjamu ancak tak boleh selalu sangat buat”, gerutu pawang lamid ingatkan seisi kampung mengenai berjamu ancak hanya dilakukan setidak-tidaknya dalam tempoh setahun.
Disebabkan usin pakau terus juga menjalar ditikar laksana ular, disamping seisi kampung bimbang puntung kayu menjelma menjadi ular, terpaksa juga pawang lamid berjamu ancak. Orang-orang kampung sendiri sediakan ayam selasih disembelih buat panggang mentah. Mereka masak pulut kuning, buta bertih tujuh piring dengan telur rebus tujuh biji. Apa sangat takat sediakan ramuan kelengkapan berjamu ancak, kalau banding kan usaha pawang lamid membantu mereka.
Bagaimana kalau ribut kencang melanda kampung tengah malam bersama hantu tinggi merempuh tidak peduli siapa. Manalah hantu tinggi peduli apabila merempuh kampung dengan kepala mendongak ke atas. Siapa saja dilangkah hantu tinggi nescaya akan muntah lumut sampai terkejang menggelepar.
Satu-satunya yang boleh mereka harapkan memang pawng lamid. Sebaik sahaja pawang lamid membakar lada kering dengan garam di atas tungku dapur, sekali gus ribut akan berhenti. Hantu tinggi yang merempuh kampung akan membelok ke persimpangan lain setelah menyedari kampung mereka dihaga keturunan moyang labang.
Hantu tinggi tidak akan ganggu keturunan moyang labang, selagi amalannya diamalkan berterusan. Memang berjamu ancak bukan menyeru hantu tinggi menjelma laksana lembaga tinggi tercegat dengak kepala cecah ke awan. Tetapi berjamu ancak pawang lamid sekadar ingatkan mengenai nenek moyangnya moyang labang yang hilang dikawasan batu berkenaan.
Siapa pun tidak tahu kemana moyang labang menghilang setelah tidak balik ke rumah sewaktu bersihkan parit musim turun ke sawah. Isterinya onyeh tisah melihat moyang labang bersandar pada batu bertimpuh sebaik sahaja meneguk air. Penat sangat dia akibat bekerja keras bersihkan parit tali air biar mereka boleh turunkan ke sawah.
Apabila matahari tegak dikepala onyeh tisah segera mengajak suaminya balik ke rumah. Tetapi ketika ini moyang labang tidak lagi bersandar pada batu bertimpuh tersertam di seberang sawah. Disebabkan menyangka moyang labang sudah balik ke rumah, onyeh tisah juga balik ke rumah tidak pedulikan apa-apa.
Hingga petang dia menunggu di rumah moyang labang tidak juga nampak kelibat. Bimbang juga onyeh tisah disebabkan tidak pernah suaminya tinggalkan dia dengan tidak memberitahu apa-apa. Tiga hari dia menunggu moyang labang tidak juga balik ke rumah, lantas onyeh tisah beritahu jiran-jiran mengenai kehilangan suaminya.
Tatkala jiran-jiran menjengah kebatu bertimpuh mereka melihat kesan tempat menyan baru sahaja dibakar. Asap kemenyan masih melabuh laksana moyang labang tengah membakar kemenyan di situ. Ketika ini anaknya siak kamat terdengar suara ayahnya moyang labang ingatkan supaya berjamu ancak asal sahaja genap setahun dia hilang disitu.
“ Jangan kau bimbangkan aku kamat”, ujar suara bergema di celah batu bertimpuh itu. “ Biarlah aku disini selama-lamanya”, tuturnya menyuruh siak kamat tidak mencarinya lagi setelah hilang entah kemana.
Sebab itu pawang lamid tidak tergesa-gesa berjamu ancak kalau belum tiba masanya seperti ditetapkan nenek moyangnya siak kamat. Memang siak kamat satu-satunya yang bertutur dengan moyang labang setelah ayahnya hilang di batu bertimpuh berkenaan. Dia sekadar mematuhi amalan oleh nenek moyangnya sejak turun temurun.
Kalau tidak disebabkan seisi kampung mendesak pawang lamid tidak mahu sangat berjamu ancak. Tetapi orang-orang kampung semakin bimbang dengan puntung kayu yang menjelma menjadi ular hitam mencodak kepala. Sekalipun ular berkenaan tidak pernah mematuk sesiapa, namun mereka tetap bimbang disebabkan bahaya sentiasa mengancam keluarga masing-masing.
Selagi usin pakau menjalar di tengah rumah laksana ular, memang seisi kampung diganggu jelmaan puntung kayu menjadi ular itu. Bukan lagi puntung kayu hanyut di tengah arus sungai, malah mana-mana sahaja puntung kayu tergolek tidak boleh dipercayai lagi. Manalah tahu puntung kayu diatas tunku dapur juga boleh menjelma menjadi ular dalam sekelip mata.
Sebaik sahaja pawang lamid membakar kemenyan, terus saja ulung siah beratip sepanjang malam. Lantas dipakaikan selendang hijau oleh pawang lamid. Ketika inilah ulung siah melengok-lengok badan beratip tidak berhenti. Terpaksa pula pawang lamid bercekang mata menunggu sepanjang malam.
Dalam masa ulung siah bertaip dia terpaksa mengawalnya supaya kemenyan terus dibakar. Kalau asap kemenyan tidak melabun nescaya ulung siah tidak dapat dipulihkan lagi. Ketika ulung siah beratip ini tidak bertangguh utih deraoh bersama hasan debeng beritahu mengenai puntung kayu menjelma menjadi ular hitam mencodak kepala itu.
“ Buat apa kamu ganggu ular jelmaan itu?”, tersengih-sengih ulung siah mengejek mereka.
“ Kamu tak ganggu ular tu, moyang”, sahut utih deraoh setelah yakin ulung siah diserap jelmaan moyang labang.
“ Semua makhluk nak idup juga, biarlah jangan ganggu ular hitam itu”, lantas ulung siah ingatkan mereka supaya tidak pedulikan jelmaan ular hitam berkenaan.
“ Macam mna kalau kami kene patuk?”, utih deraoh mendesak disebabkan dia sendiri mengalami terserempak jelmaan ular tersebut.
“ Kalau kamu tak ganggu dia tak akan mematuk”, jelas ulung siah tersengih-sengih menutup muka dengan selendang hijau.
Ketika inilah pawang lamid minta sembuhkan keadaan usin pakau yang menjalar ditengah rumah bagaikan ular mencodak kepala. Tetapi ulung siah mengeleng-ngeleng tidak mahu membantu. Terkejut juga pawang lamid dengan jelmaan yang menyerap dalam diri anaknya apabila enggan ubatkan usin pakau. Kalau jelmaan moyang labang, masakan mengelak ubatkan keturunannya sendiri.
Tetapi pawang lamid tidak pernah membentak marah sekali pun cucunya dan anaknya diganggu geruh. Setelah seminggu ulung siah beratip tidak pulih semula, pawang lamid dapat mengagak anaknya dirasuk jelmaan lain. Dia tahu sekiranya moyang labang yang menjelma hanya sekadar tiga hari berturut-turut sahaja.
Apalagi ulung siah mendesak menyediakan ancak berterusan, lantas pawang lamid memberitahu menantunya malim tekih supaya iktiarkan cara lain. Memang pawang lamid akan serahkan pada malim tekih kalah mahu solat hajat berjemaah seperti kemahuannya semenjak jejak kaki ke kampung berkenaan.
Tatakala tinggalkan kamoung halamannya di maninjau memang malim tekih lama belajar pondok di padang panjang. Ketika berpindah ke pekan baru hatinya terbuka mahu ikut sama menyeberang ke semenanjung. Sebab itu dia ingatkan bapa mertuanya supaya tidak mematuhi sangat berjamu ancak setelah dia berkahwin dengan saedah.
Kadangkala bila pawang lamid berjamu ancak, sengaja malim tekih tinggalkan rumahnya sampai berhari-hari. Biarlah bapa mertuanya berjamu ancak sampai kakak iparnya ulung siah beratip berturut-turut tiga hari. Tetapi pawang lamid tetap tidak peduli sangat sama ada malim tekih bersetuju atau sebaliknya apabila dia berjamu ancak.
Sebaik sahaja bapa mertuanya serahkan kepada malim tekih pasal gangguan yang merasuk kakak iparnya ulung siah, lantas saja dia beritahu tok aji. Terpaksa pula dia jemput tok aji yang sudah mula dalam keadaan uzur. Sebab itu tok aji mengajak saya ikut sama menjengah ke kampung berkenaan.
Ketika tok aji naik ke rumah bersama malim tekih, tidak bertangguh pawang lamid persilakan ke sisi ulung siah yang masih beratip tidak henti-henti. Semakin galak ulung siah beratip apabila melihat tok aji duduk disisinya. Kemudia terus sahaja dia memberi salam, tetapi tidak disahut oleh tok aji.
“ Hai kenapa beri salam pun tak jawap?”, ulung siah menyindir dengan terangguk-angguk perlahan.
Tok aji tersengih-sengih sahaja terus mengusap-ngusap muka. Apabila tok aji beristighfar sampai seratus kali, tiba-tiba ulung siah terbatuk berulang kali. Mengeleng-ngeleng ulung siah lantas membuang selendang hijau yang menutupi mukanya. Sekaligus dia uraikan rambutnya hingga mengerbang tidak menentu, kemudian menghembus kuat ke arah tok aji.
Tetapi tok aji tidak bergerak apa-apa sekali pun hembusan ulung siah menyinggahi kemukanya. Perlahan-lahan pula tok aji membacakan : Iz-yuhi rabbuka ilal-malaikati anni ma'akum pathabbitul lazina a-manu saulqi fi-qulubullazina kafarur ru'ba fadh-ribu fauqol a'nazi wadhribu minhum kulla bananin.
Tersentak ulung siah lantas merungut-rungut hingga kedengaran suaranya berubah menjadi parau. Sewaktu dia berpaling ke arah saya, memang terasa perut menjadi senak memulas-mulas. Tetapi sengaja saya bertahan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku menimpa diri saya.
“ Jangan nak berpura-pura ustaz”, ulung siah mengejek dengan suara parau yang menggerunkan. “ Kalau senak perut tu, kenapa buat macam tak sakit apa-apa”, ujarnya semakin tajam merenung ke arah saya.
Segera tok aji menepuk bahu saya menyebabkan terasa angin berpusar menolak saya jauh ke udara. Tatkala saya berjejak di kawasan hutan di celah belukar nibung, beberapa orang lelaki berada disitu. Kepala mereka gondol laksana buah kundur dengan tidak ada muka langsung. Mereka memegang puntung kayu masih berbara seolah-olah dicapai dari unggun yang menyala apinya.
Apabila lekali-lelaki berkepala kundur itu mencampakkan puntung kayu di tangan sekali gus pula bertukar menjelma menjadi ular hitam berkepala merah. Saya tidak berundur sewaktu ular berkenaan menerkam garang. Tetapi semua ular hitam berkepala merah itu terpelanting ke belakang menggelepar akibat hangus terbakar, sebaik sahaja saya mendengar tok aji berbisik : Watahsabahum aiqo zauwahan ruqudauwa nuqollibuhum zatalyamini wazatasy syimali wakalbuhum bisithon zira-'aihi hilsowid liwath-thola'ata -alaihim lawallaita minhum firarau walamulikta minhum ru'ba.
Tidak bertangguh lelaki-lelaki berkenaan yang tercegat disitu berundur melarikan diri tidak ketahuan. Semuanya ketakutan setelah melihat ular hitam berkepala merah itu hangus terbakar apabila terpelanting tidak bersebab. Setelah semua lelaki berkenaan bercempera lari, tiba-tiba sahaja salah sebatang pokok nibung terbelah dua. Ketika ini seorang perempuan tua rambut menggerbang keluar bercekak pinggang selepas membuang tongkat di tangan.
Marah benar perempuan tua itu lantas memberitahu mengenai dirinya ditinggalkan tujuh suaminya yang berkepala laksana buah kundur itu. Tetapi dia berdekah-dekah ketawa apabila saja mengejek pasal suaminya hingga tujuh orang.
“ Apa salahnya aku kahwin tujuh?”, ujar perempuan itu berbangga disebabkan mempunyai suami tujuh orang sekali gus.
Ketika itu ulung siah yang terkeke-kekeh ketawa mengejek saya berconggok didepannya. Memang saya tidak peduli apa-apa pasal ulung siah, kerana didepan saya hanya perempuan rambut mengerbang ditengah hutan belukar nibung. Hanya tok aji sahaja kedengaran berbisik menyuruh saya bacakan doa yang ditururnya.
Setiap kali tok aji bisikkan doa yang perlu saya tuturkan, perempuan tua rambut mengerbang itu terketar-ketar akibat api membakar kelilingnya.
TAMAT