HANTU TINGGI
Sebab itu usin pakau juga bersetuju dengan sepupunya mat kanun tidak perlu lagi berjamu ancak pada batu bertimpuh di pinggir hutan. Sudah bertahun-tahun selepas kematian arwah datuk meraka pawang lamid, tidak siapa lagi yang tahu mengenai berjamu ancak disitu.
Satu-satunya yang tahu mengenai amalan yang diturunkan pawang lamid hanya bapa saudara mereka ucu sidin. Tetapi semenjak ucu sidin berpindah ke felda, dia juga tidak peduli apa-apa mengenai berjamu ancak. Lainlah sewaktu ucu sidin menetap dikampung, sekali-sekala dia akan berjamu ancak juga mematuhi amalan yang diturunkan oleh arwah ayahnya pawang lamid.
Apabila menetap di felda memang ucu sidin tidak amalkan lagi segala amalan yang diturunkan oleh ayahnya. Apalagi abang iparnya malim tekih seringkali ingatkan dia supaya tidak ikutkan sangat berjamu ancak. Memang dia tidak peduli apa-apa setiap kali bapa mertua nya berjamu ancak, tetapi tidaklah mengejek nya macam jaaman gila.
Setiap kali bapa mentuanya berjamu ancak sudah tentu diwajibkan ikat lengan dengan kain kuning yang siap diasap kemenyan. Ketika isterinya saedah akan desak juga malim tekih ikatkan kain kuning berkenaan biar jadi tangkal sampai reput sendiri. Malim tekih tidak membantah sekalipun jauh di lubuk hatinya dia tidak harapkan apa-apa pada tangkal kain kuning terikat ditangan itu.
“ Aku pakai tangkal ni, semata-mata nak jaga hati ayah”, beritahu malik tekih apabila isterinya merungut sekiranya dia enggan ikatkan kain kuning berkenaan pada lengannya.
Saedah sekadar mencemik muka sahaja kalau suaminya berkeras tidak mahu pakai tangkal berkenaan. Sejak turun temurun keluarga pawang lamid sudah ditetapkan ikat lengan dengan kain kuning menjadi tangkal sebaik sahaja selesai dia berjamu acak. Memang pawang lamid ingatkan mereka siapa sahaja puaka tidak akan merasuk asal saja lengan diikat dengan tangkal kain kuning.
Samalah macam dia ingatkan orang-orang kampung supaya membakar lada kering dengan garam di tungku dapur tatkala angin bertiup kencang. Tahu sangat pawang lamid yang melintas bersama angin ribut berkenaan sudah tentu lembaga tinggi yang sentiasa mendampingi nenek moyangnya, moyang labang.
Siapa pun tidak melihat lembaga hantu tinggi itu melintasi kampung dengan menempuh pokok-pokok kayu hingga tumbang rebah tidak menentu. Satu-satu nya yang boleh melihat hanya pawang lamid sebaik sahaja dia membakar kemenyan di tengah rumah. Tatkala lembaga tinggi berkenaan merempuh dengan kepala mendongak ke atas, segera dijerkah oleh pawang lamid.
Ketika ini dia diberitahu yang kampung halamannya adalah peninggalan moyang labang. Tentu lembaga tinggi akan berundur sebaik sahaja diberitahu mengenai moyang labang yang pernah terserempak lembaga tinggi berkenaan tatkala tengah malam didalam gelap gelita diikuti hujan gerimis merintk.
Sejak turun temurun pawang lamid diberitahu oleh nenek moyangnya mengenai moyang labang bermimpi pasal lembaga tinggi mendongak kepala ke atas mahu bertemu. Apabila diberitahu kepada isterinya memang onyeh nisah tidak bernarkan dia keluar bersabung ayam. Asal saja bersabung ayam sudah tentu moyang labang balik ke rumah tatkala malam diserkup gelap gelita.
Manalah moyang labang pedulikan rungutan isterinya apabila dia sudah membuat keputusan. Dia tetap jejak kaki ke tempat sabung ayam, dengan tidak pedulikan mengenai mimpi nya. Apa sangat mimpi yang sengaja mahu menguji keberanian dirinya. Setiap malam moyang labang balik meranduk kegelapan, tidak ada satu pun puaka jembalang berani menganggunya.
Bukan takat puaka jembalang sahaja berundur tatkala moyang labang melintas, binatang liar juga tidak berani menjengah. Ular sawa menumbuk paha terus mengerkah, tidak sempat membelit moyang labang. Pantas sahaja tangannya mencekak leher ular berkenaan terus dilibas ke tanah beberapa kali. Dalam masa beberapa minit sahaja ular sawa terkejang mati akibat dilibas kuat ke tanah.
Harimau belang juga tidak dapat mengerkah tengkok, apabila moyang labang menghambur tinggi. Tidak tertangguh tangannya menghunus parang terus memangkas hingga mata menyingahi kepala harimau. Sekaligus harimau berkenaan tergolek ke tanah dengan darah membuak di kepala.
Memang moyang labang tidak bimbang apa-apa semasa meranduk kegelapan malam demikian. Sebab itu dia tidak peduli sangat mengenai mimpinya apabila jelmaan lembaga tinggi mendongak kepala itu mahu berjumpa tatkala tengah malam menyerkup.
Seisi kampung tahu sangat mengenai keberanian moyang labang disebabkan lama amalkan ilmu kebatinan sejak turun temurun. Sebab itu moyang labang mereka harapkan jadi ketua tatkala meneroka tanah hutan dijadikan perkampungan. Bukan calang-calan orang ketika itu sekiranya mahu mengetuai jadi peneroka tanah hutan, kalau takat gagah menebang pokok lima enam pemeluk sahaja.
Bukan mudah mahu menebang pokok besar lima enam pemeluk sekiranya hayun kapak semata-mata. Apabila menerok hutan mereka memerlukan pawang besar seperti moyang labang yang mampu berdepan dengan puaka jembalang yang mengaggu. Bila-bila puaka dan jembalang akan bercempera lari sebaik sahaja moyang labang membakar kemenyan lantas menyeru jelmaan yang tidak boleh dilihat sesiapa pun.
Ketika ini mereka sekadar mendengar moyang labang bertutur seorang diri, sekali pun mereka tahu mengenai jelmaan itu tercegat didepannya. Cuma moyang labang satu-satunya yang nampak jelmaan lembaga yang menyerbu datang apabila dia membakar kemenyan. Tidak bertangguh moyang labang akan perintahkan lembaga yang menjelma itu memburu jembalang puaka mengganggu sesiapa sahaja pengikutnya sama meneroka.
“ Tentulah hantu tinggi nak cari geruh awak”, ujar onyeh tisah ingatkan suaminya supaya tidak takbur sangat mahu berdepan dengan jelmaan yang ditemuinya melalui mimpi.
“ Hah mimpi bukannya boleh dipercayai sangat”, beritahu moyang labang mencemik muka tatkala menuruni anak tangga mahu ke tempat sabung ayam.
“ Mentang-mentang awak tu pawang, sebab tu nak tunjuk berani”, lantas onyeh tisah mengejek disebabkan suaminya berkeras sangat mahu ke tempat sabung ayam.
“ Dah tahu aku ni pawang, apa lagi yang awak sibuk?”, sahut moyang labang tersengih-sengih mengerling isterinya yang tecegat dimuka pintu. Memang dia tahu isterinya tidak senang hati apabila diberitahu mengenai mimpinya terserempak lembaga tinggi yang menunggu balik dari bersabung ayam.
“ Kalau nak mati, dimana-mana pun mati juga”, jelas moyang labang tidak bimbang apa-apa dengan ancaman jelmaan lembaga tinggi yang mahu menemuinya itu.
Sekali pun isterinya berkeras supaya tidak pergi menyabung ayam, moyang labang tidak peduli apa-apa. Dia tetap jejakkan kaki ke tempat bersabung ayam disebabkan sudah berjanji dengan tok ketua. Memang dia satu-satunya yang diharapkan tok ketua menjadi pawang tatkal ayam tengah bersabung. Masakan dia boleh mungkir janji disebabkan tok ketua yang membenarkan dia membawa pengikutnya meneroka tanah hutan.
Moyang labang tahu mengenai jampi susuh biar ayam kuat bersabung ditengah gelanggang. Kalau ayam tewas ditengah gelanggang samalah macam amalan pawangnya tidak berguna satu pun. Dia mesti pertahankan kemahirannya menjadi pawang biar jampi susuh yang di amalkan berkesan pada taji ayam.
Memang moyang labang tidak berhajat apa-apa mahu bertemu lembaga tinggi yang menuntut janji di dalam mimpi akan bertemu tatkala tengah malam. Habis saja bersabung ayam dia akan terus balik kerumah sebaik sahaja masuk isya. Tidak perlu dia menunggu terlalu lama setelah tok ketua selesai bersabung ayam.
Ketika ayam tok ketua galak bersabung, moyang labang memang sudah bersiap-siap untuk balik ke rumah. Sebaik sahaja tok ketua menang sabung, tiba-tiba sahaja diberitahu mengenai anak gadisnya digigit lipan. Tidak bertangguh tok ketua mendesak moyang labang menjengah anak gadisnya akibat digigit lipan di pangkal peha.
Terkejut juga moyang labang bagaimana lipan berkenaan boleh menjalar hingga sampai ke pangkal peha. Kalau menjalar pada betis pun sudah terasa geli geleman akibat jarinya banyak merayap. Sudah tentu belum sempat merayap ke pangkal peha anak gadis tok ketua sudah menjerit ketakutan.
Tatkala menjengah anak gadis tok ketua, lantas moyang labang minta ambilkan upih pinang yang lurus ke tanah. Tidak perlu dia menjengah pangkal peha anak gadis yang digigit lipan. Memang isteri tok ketua melihat lipan bara melekap pada pangkal peha anak gadisnya sebelum terpelanting jatuh menyusup ke bawah tikar.
“ Lipan itu tak dapat kami bunuh”, gerutu isteri tok ketua memberitahu moyang labang mengenai kejadian yang berlaku terlalu pantas dalam sekelip mata sahaja.
Moyang labang tersenyum sahaja mengangguk perlahan. Sebaik sahaja dihulurkan upih pinang segera diturisnya dengan hujung pisau. Upih pinang itu dibentuknya laksana lipan dicampakkan ke atas tikar. Dalam sekelip mata sahaja upih pinang berkenaan bertukar menjadi lipan bara merayap berkeliling.
Ketika inilah lipan bara yang menggigit pangkal anak gadis tok ketua terkial-kial keluar dari celah lantai. Terus sahaja lipan berkenaan naik keatas tikar menyerbu jelmaan lipan moyang labang yang dituris daripada upih pinang itu. Sebaik sahaja bertembung lipan tersebut bergulung-gulung berkelahi mahu mengalahkan lawan.
Tidak tertangguh moyang labang mencekak lipan tersebut dengan tidak berasa bimbang mengenai bisa taringnya. Setelah digenggam lipan itu didalam tangannya, moyang labang tunjukkan dua ekor lipan yang berpintal-pintal berlawan ditikar sekadar jelmaan upih pinang yang dibuat menyerupai lipan bara.
“ Permainan orang, tok”, ujar moyang labang tersenyum disebabkan anak gadis tok ketua tidaklah digigit lipan yang menjalar hidup.
“ Kalau boleh balikkan pada tuannya, tok pawang”, marah benar tok ketua apabila anak gadisnya diganggu demikian.
“ Saya tak belajar amalan balikkan penyakit macam ni”, tersengih-sengih moyang labang mengerling tok ketua disebabkan lelaki berkenaan mahu sangat balas dendam. “ Hanya saya belajar mengubatkan penyakit”, jelasnya sengaja berdalih biar tok ketua tidak terus mendesak.
“ Dah sembuh pun cukuplah, buat apa nak balas dendam”, sahut isteri tok ketua mencebek bibir marahkan suaminya.
Apalah gunanya mereka membalas dendam setelah anak gadis berkenaan sembuh sekalipun pangkal pehanya masih berbekas digigit lipan. Isteri tok ketua sendiri melihat upih yang diukir sama seperti lipan itu digunakan hingga anak gadisnya terasa bisa gigitan.
Memang tok ketua merasa terhina sekiranya sesiapa yang aniaya anaknya tidak menerima hukuman. Tentu mereka mahu tunjukkan jantan apabila berani gunakan sihir hingga anak gadisnya seolah-olah digigit lipan berbisa. Kalau dia terserempak sesiapa menganiaya anak gadisnya dengan jelmaan lipan berkenaan, tidak bertangguh tok ketua akan hunus keris disendal pada leher.
Sebab itu moyang labang tidak mahu gunakan jampi mantera hingga sesiapa yang sihirkan anak gadis tok ketua terkinjal-kinjal menahan kesakitan seolah-olah digigit lipan pada pangkal peha. Apa sangat mahu balikkan bisa kepada sesiapa yang amalkan sihir demikian, kalau dibandingkan moyang labang boleh menyeru ular merayap tengah belukar tunduk didepannya.
Cubalah ular tedung selar mematuk mangsa tatkala menebas belukar, nescaya moyang labang akan seru semuanya tunduk menyerah. Tidak seekor pun ular bisa terlepas apabila diseru datang mengaku salah. Dia akan memaksa ular berkenaan sedut semuala patukkan sampai bisa berkenaan meracun seluruh tubuhnya sendiri.
Masakan pawang besar seperti dirinya tidak mampu. Tetapi dia tidak mahu perkara kecil demikian menyebabkan seisi kampung bermasam muka. Moyang labang dapat mengagak tentu anak gadis tok ketua terlepas cakap hingga menyinggung perasaan menyebabkan dia diganggu demikian.
Disebabkan kejadian yang menimpa anak gadis tok ketua, memang moyang labang tidak menyedari tengah malam kian menyerkup. Dia sendiri terlupa pasal mimpi apabila jelmaan lembaga tinggi mahu bertemu tatkala balik dari bersabung ayam. Sewaktu dia melalui lorong balik ke rumah melintasi belukar tebal, terkejut dia apabila dihadang lembaga tinggi itu.
Tatkala moyang labang mendongak ke atas lembaga lembaga tinggi itu tercegat di depannya dengan kaki terkangkang. Moyang labang tahu dia tidak boleh menyerbu ke bawah kangkang lembaga tinggi kalau sekadar mahu membolos melarikan diri. Sudah tentu lembaga itu mengapit dengan kaki menyebabkan dia tersepit tidak boleh melepaskan diri lagi. Lantas dia berundur ke belakang tiga tapak terus menghentak tumit ke tanah tiga kali. Ketika ini dia terus menyeru : “ Hai, nenek tujuh petala langit, setinggi-tinggi sampai ke langit, hai nenek tujuh petala bumi, sedalam-dalam sampai ke dasar bumi, aku nak menyuruh aku nak menyaraya, jangan kau menderhaka pada pawang berlima, hu. . . “
Sekaligus dia pula mendengar batuk berdehem tiga kali diudara bagaikan guruh bergema. Kemudian lembaga tinggi itu menyuruh dia naik ke tapak tangan yang dihulurkan. Memang moyang labang tidak bimbang apa-apa terus sahaja dia melompat ke atas tangan lembaga berkenaan. Sebaik sahaja diletakkan pada bahunya, Moyang labang melihat kebawah sayup-sayup hingga tubuhnya seolah-olah diselaputi awan memutih.
“ Aku ni orang tinggi sahabat awak juga, labang”, bisik lembaga tinggi lantas melompat membawa moyang labang dia atas bahunya.
Terpaksa pula moyang labang berpaut kuat pada telinga lembaga tinggi itu disebabkan angin kencang bertiup tatkala lembaga berkenaan melompat hingga melangkahi hutan rimba yang berbalam-balam. Apabila jejak kaki dihutan rimba, dia turunkan moyang labang pada sebuah pondok di tengah belukar nibung.
Sebaik sahaja tercegat dihalam pondok berkenaan, moyang labang disambut seorang perempuan tua berambut putih terurai hingga sampai ke tumit. Cepat-cepat perempuan tua itu menyambut moyang labang terus dipelawa naik ke atas pondok. Tidak bertangguh moyang labang naik ke atas pondok disebabkan dia tidak bimbang apa-apa.
Cubalah aniaya dirinya ketika itu, nescaya moyang labang akan menghambur tinggi ke udara. Bila-bila dia sanggup cekak lembaga tinggi berkenaan sekiranya berkeras mahu cari geruh dirinya. Belum pernah moyang labang mengalah sekiranya puaka jembalang sengaja mahu mencari geruh.
“ Awak nak geruh kami ke”, moyang labang bersuara keras lantas mengisar tapak tangannya.
“ Siapa nak lawan awak tu, labang”, tersengih-sengih perempuan tua itu menunduk bagaikan mengakui keberanian moyang labang.
“ Habis awak nak apa dengan kami ni?”, Katanya menatap muka perempuan disebabkan dia dibawa lembaga tinggi itu ke tengah hutan rimba.
“ Lebih baik kita bersahabat, sebab kami tak terlawan dengan awak”, beritahu perempuan tua itu mengenai lembaga tinggi yang menjemputnya ke situ.
Lantas perempuan tua itu memberitahu moyang labang mengenai hantu tinggi yang disumpah pawang berlima setelah membunuh habis rusa berkeliaran di tengah hutan. Kalau tidak disebabkan isterinya tengah mengandung terlalu mengidam daging rusa putih, memang pawang malim tidak masuk ke hutan memburu. Tetapi rusa yang melintas semuanya tidak berbulu putih. Sebab itu selepas ditombak mati, dia tinggalkan sahaja tergolek ditanah dengan tidak disembelih langsung.
Marah benar pawang malim setiap kali menombak rusa yang melintas tetapi tidak berbulu putih. Hinggalah dia terserempak pawang berlima yang ingatkan dia pasal membunuh rusa terlalu banyak. Memang pawang berlima tersinggung apabila rusa-rusa ternaknya dihutan dibunuh sia-sia.
“ Kami bersumpah awak jadi hantu tinggi”, bentak pawang tua lima bersaudara setelah pawang malim tidak mahu tunduk dan mengaku salah membunuh rusa-rusa di hutan.
“ Biar kami jadi hantu tinggi”, sahut pawang malim tidak anak dalam kandungan isterinya diserahkan kepada pawang berlima.
“ Awak akan dimusuhi orang sampai bila-bila”, tegas pawang tua yang berkeras tidak mahu melepaskan pawang malim yang terperangkap di belukar nibung. “ Kecuali keturunan awak sendiri yang kenalkan awak”, bentaknya kecewa disebabkan banyak sangat rusa dihutan mati terkene tombak.
Bukan mudah dia mahu mengalahkan pawang tua lima bersaudara yang mengawal hutan belantara apabila telah membunuh banyak sangat rusa-rusa berkeliaran. Lainlah kalau ia tidak bersalah bila-bila pawang malim mampu bertahan. Dalam sekelip mata sahaja dia bertukar menjadi lembaga tinggi dengan muka mendongak ke atas.
Tatkala anaknya malim karimun dewasa, tidak bertangguh diserbunya ke tengah hutan. Sewaktu malim karimun terserempak pawang bongsu yang menjelma menjadi perempuan tua rambut beruban mengurai hingga ke tumit, segera diserunya pawang malim segera datang.
Memang ribut kencang bertiup apabila pawang malim menyerbu bersama anjing pemburunya yang bertukar menjadi birik-birik. Lantas pawang malim memberitahu mengenai dirinya menjelma menjadi hantu tinggi setelah melanggar pantang larang pawang berlima. Tatkala melintas dia tidak boleh lagi memandang ke bawah disebabkan mukanya sentiasa mendongak ke atas.
Dia ingatkan anaknya sentiasa supaya membakar lada kering bersama garam setiap kali dirinya melintasi kampung, biar dia dapat membezakan tempat kediaman keturunannya. Pawang malim juga meminta anaknya tanam rumpun lengkuas dihujung halaman supaya menjadi tanda apabila melintas.
“ Kalau dengar birik-birik melintas malam, cepat-cepat tidur mengiring. “ dia beritahu anaknya malim kerimun, biar dia dapat membezakan anak cucunya yang memahami pantang larang yang ditetapkan.
Tersenyum moyang labang apabila diberitahu perempuan tua pawang bongsu itu mengenai jelmaan hantu tinggi yang tunduk mengalah kepadanya. Tetapi kenapa dia dibawa ke tengah belukar nibung kalau hantu tinggi berkenaan mahu tunduk mematuhi perintahnya?Sebab itu moyang ladang bersila rapat terus membacakan serapah : “ Tanah segenggam asal kau jadi, datang engkau dirimba raya, balik kau kerimba raya, datang kau digaung guntung, balik kau ke gaung guntung, tak balik berdosa kau kepada pawang berempat, berlima dengan aku, hu. . .
Mengeleng-ngeleng kepala pawang bongsu apabila moyang labang menekan ibu jari ke lantai tatkala merasa nafasnya sesak tidak menentu. Segera dia memberi isyarat meminta moyang labang tidak menghalang lembaga tinggi itu asal sahaja melintasi kampung halamannya. Dia ingatkan mengenai lembaga tinggi berkenaan sentaisa membantu moyang labang sekiranya diseru datang menjelma.
Sebab itu moyang labang cekak batu sendi tiang pondok pawang bongsu menyuruh lembaga tinggi itu letakkan di pinggir bukit tanah kebun yang diteroka moyang labang. Tertonggok batu berkenaan bagaikan perempuan tengah duduk bertimpuh apabila diletakkan oleh lembaga tinggi itu dipinggir bukit.
“ Batu bertimpuh tu tempat moyang labang memanggil hantu tinggi”, jelas ucu sidin apabila kenangkan ayahnya pawang lamid sering kali berjamu ancak disitu.
“ Tapi kenapa arwah berjamu ancak disitu?”, sengaja mat kanun mengusik bapa saudaranya lantas mengerling ke arah saya.
“ Dulu ucu pun berjamu ancak juga”, segera usin pakau mencelah disebabkan sebelum berpindah ke felda bapa saudaranya juga amalkan berjamu ancak.
“ Masa tu kita tak tahu apa-apa”, sahut ucu sidin seolah-olah kesal apabila dia kenang dia berjamu ancak setelah didesak orang-orang kampung.
Memang ucu sidin berjamu ancak sekadar malakan amalan yang diturunkan oleh ayahnya pawang lamid. Apabila seisi kampung mendesak dia berjamu ancak, ucu sidin mematuhi saja kemahuan mereka. Apa sangat dengan membakar kemenyan disisi batu bertimpuh setelah orang-orang kampung sediakan bertih, ayam panggang dan pulut kuning.
Bimbang sangat mereka sekiranya moyang ladang akan menjelma bersama hantu tinggi menganggu seisi kampung sekiranya tidak berjamu ancak. Tentu moyang labang akan lepaskan semula semua puaka jembalang yang terkurung dibawah batu berkenaan sampai merasuk sesiapa sahaja disebabkan tidak berjamu ancak.
“ Takkan moyang labang nak susahkan anak cucunya”, tutur mat kanun mencuit bahu saya disebabkan terasa lucu apabila seisi kampung mendesak ucu sidin berjamu ancak untuk hidar kan gangguan di kampung mereka.
BERSAMBUNG KE TAJUK: PUNTUNG HANYUT MENJADI ULAR.