APA SUMBANGAN DIA KEPADA SEKOLAH?
Sudah dua kali saya mendengar dari “orang cukup upaya” tentang perkhidmatan saya sebagai guru. Dulu ketika berada di tempat lamadan sekarang di tempat baharu.
“Apa sumbangan dia kepada sekolah?”
Mahu menangis, malu pada budak-budak. Nak marah, tak tahu pada siapa harus dimurkai. Termampu danhanya mampu menahan semua ujian yang Allah berikan. Tapi sampai bila?
Ketika diri membawa tongkat putih, menetuk-ngetuk lantai dan dinding untuk sampai ke kelas. Diri ini cuba sedaya upaya untuk sampai tepat atau lebih awal dari masanya. Bukan seratus peratus tepat. Tapi disiplin diri sentiasa berusaha ke arah itu. “Orang Cukup Upaya” mungkin lebih menepati masa dari saya. Saya tidak mampu melihat, tapi Allah masih memberi telinga untuk saya mendengar. Ketika kelas dimulakan, masih ada kelas yang menanti gurunya.
Dengan terbatasnya penglihatan, saya berusaha, agar objektif pembelajaran tercapai mengikut tahap yang sentiasa dipertingkatkan untuk anak-anak istimewa. Rasa “kecewa” dalam diri jika anak-anak tidak mendapat ilmu ketika saya menumpahkan ilmu untuk mereka. Masin rasa tawar ketika itu. Tidak tergamak untuk keluar awal dari kelas sebelum masanya menjadi masak benar. Sepuluh minit awal keluar? Tidak. Lima belas minit awal keluar? Lagilah tidak.
Sebagai orang kurang upaya. Saya cuba untuk menyesuaikan diri untuk melakukan kerja yang bersesuaian dengan bakat dan kemampuan diri. Bukanlah menjadi amalan saya untuk bermalas-malasan melakukan kerja. Jika diberi tugas yang sesuai, saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk tugasan tersebut.
Saya mungkin tidak boleh menyumbang dalam aktiviti sukan untuk murid cukup upaya. Saya tidak mampu untuk membuat garisan di padang. Saya tidak mampu untuk membaiki perabot dan mungkin banyak lagi. TAPI, banyak juga tugas lain yang saya buat. Mungkin dia tidak nampak. Tak apalah.
Apakah justifikasi ini sebagai kayu pengukur untuk mengatakan saya tidak menyumbang kepada sekolah?
OKU: jika dia melakukan kesilapan atau kurang kerja dari anda, itu biasa atas keterbatasan dia sebagai OKU. Tapi jika dia mampu melakukan sesuatu di atas kekurangannya, itu sudah cukup luar biasa.
Andai tidak boleh membahagiakannya, janganlah memberi susah akan dia. SEKIAN.