19 April, 2015

Dua kali ganda

Keluh kesah ketika menjadi cacat bukanlah sesuatu yang pelik. Sebagai manusia yang serba daif dan lemah, sifat tersebut memang tidak dapat lari dari kehidupan. Bezanya mungkin tingginya kesabaran seseorang yang bergelar orang kelainan upaya (OKU).

Begitu juga dengan diri saya, sifat daif dan lemah sudah tentu ada. Jujur saya katakan soalan yang selalu terlintas di benak fikiran saya;

"mengapalah aku menjadi cacat sebegini?"

" ... mengapa tidak orang lain?"

Begitulah seperti saya katakan tadi dari awal, sifat daif dan lemah selalu membakar diri. Astagfirullah!!

Jika hidup sehari-hari yang dilalui tidak memerlukan pertolongan orang, mungkin keluh kesah itu sedikit berkurangan. Tapi banyak hal mahu tidak mahu saya akan meminta belas simpati insan-insan sekeliling saya.

Tertarik dan teringat kata-kata beberapa orang sahabat yang celik;

" .. tak apa Azhar, bila lagi aku nak tambah pahala ..?"

" .. saya nak buat zakat (tolong) banyak-banyak ..."

Tetapi sejujurnya dari sepuluh tidak sampai separuh yang akan berkata begitu. Hakikatnya ramai yang memerhati dari menghulurkan pertolongan. Berkata benarlah walaupun pahit.

Mereka tidak bersalah dan jangan sesekali mengecam mereka atas sikap mereka. Anggap sahaja Allah masih belum memperkenankan pertolongan mereka ke atas diri saya.

Saya tidak berhasrat bercerita tentang itu, tapi sebaliknya coretan saya kali ini berkisar mengenai usaha dua kali ganda orang kelainan upaya berbanding orang celik.

Tidak dinafikan, ramai pelajar SPM golongan cacat penglihatan yang cemerlang di peringkat Kebangsaan. Keluar dalam kaca TV dan media perdana.

Malah apabila diberi kepercayaan berserta bimbingan, atlet paralimpik negara lebih banyak membawa kilauan emas berbanding atlet celik.

Usah lihat pada skop pertandingan, lihat pada keupyaan mereka di atas ketidakupayaan mereka. Faham apa yang saya maksudkan?

Bergelar orang kelainan upaya memang memerlukan usaha dua kali ganda. Kerja dua kali ganda. Belanja dua kali ganda. Malah semangat dua kali ganda.

Orang cacat penglihatan tidak boleh memandu. Maka terpaksa mengeluarkan belanja dua kali ganda lebih dari orang normal yang boleh memandu. Itu tidak lagi termasuk GST!! Siapa yang ingin mendengar keluh kesah ini?

Orang cacat penglihatan seperti saya, terpaksa ketuk dua kali pada skrin smart phone android untuk memilih sesuatu. Orang celik hanya satu kali.

Orang cacat penglihatan seperti saya terpaksa buat kerja dua kali untuk membaca buku tulisan normal. Imbas pada scanner dan convert pada plain teks. Baru boleh baca.

Orang cacat penglihatan seperti saya, terpaksa keluarkan tenaga dua kali ganda berbanding orang celik ketika berjalan. Terpaksa melalui jalan yang jauh semata-mata mengelak halangan di hadapan. Longkang, becak, kenderaan di kaki lima. Pokoknya kerja dua kali ganda.

Malah ketika saya belajar dulu, saya akui saya terpaksa usaha dua kali ganda lebih dari orang normal.

Itu cerita dua kali ganda menjadi orang kelainan upaya.

Memang ianya sudah ditakdirkan dan tertulis dalam kalam Allah. Mahu tidak mahu, saya terpaksa lalui. Orang putih kata 'life must go on'.

Tapi lelah dua kali ganda menjadi lebih terseksa apabila terdapat individu-individu tertentu yang mempermainkan keadaan cacat diri saya.

Malah cacat penglihatan itu menjadi bahan gurauan semata-mata. Alangkah peritnya, mereka tidak faham atau buat-buat tidak faham. Emosi dan jiwa orang cacat penglihatan seperti saya mudah sangat tersentuh.

Benarlah, mereka tidak duduk pada posisi saya. Maka mereka tidak akan sesekali dapat mengerti 'dua kali ganda' itu.

Apa perasaan anda jika ada orang berkata;

" .. kamu tidak banyak menyumbang, tak sampai 50% pun!"

Apakah kenyataan itu sudah dihalusi dan difikirkan masak-masak? Maksud saya dari semua aspek, kecil mahupun besar.

Andai saya boleh meminta pada Allah sebelum kelahiran saya, saya akan meminta supaya saya tidak cacat. Siapa yang mahu dirinya cacat?? Dan bukan semua orang cacat penglihatan tidak mahu berusaha untuk memajukan dirinya.

Jawab ayah saya pada persoalan di atas;

" .. jika kamu tidak buta, pasti kamu akan lebih menyumbang banyak dari orang lain .."

Itulah harapan saya, harapan untuk terus berjuang walaupun saya terpaksa usaha dua kali lebih

wallahualam
Copyright © dunia rasasayang ®