09 Julai, 2008

Pelangi petang Siri02

Segala jerit payah ketika aku bertungkus lumus mengharungi UPSR memberi aku motivasi untuk terus berjaya.

Hingga kini masihku teringat akan pesanan guruku yang tak henti-henti memberi semangat dan galakkan. Semua warga sekolah pada ketika itu tahu aku adalah seorang budak rabun teruk! Guruku menasihatiku agar menyambung pelajaran di sekolah asrama penuh.






“Azhar, saya rasa awak lebih baik masuk sekolah asrama dan teruskan usaha awak agar berjaya pada masa hadapan” begitulah pesan terakhir Cikgu Zarina kepadaku sebelum beliau berpindah ke negeri lain.

Namun apakan daya pada usia aku 12 tahun, segala keputusan ditangan keluargaku. Aku akur dengan kehendak keluargaku agar aku bersekolah di sekolah biasa yang berhampiran dengan rumahku. Alasan yang diberikan oleh ayahku ketika itu adalah kerana aku memerlukan rawatan pakar setiap bulan dan ayah tidak yakin aku mampu menguruskan diri sendiri memandangkan aku adalah anak istimewa berbanding dengan adik beradik yang lain.

Satu lagi episod yang membuatkan hatiku terasa terkilan kerana tidak pernah menjejakkan kaki ke asrama penuh yang penuh dengan “glamour” berbanding rakan-rakanku yang lain.

Melangkah kaki ke sekolah biasa yang aku sedia maklum dengan prestasi akademik yang rendah dan tahap disiplin yang lemah. Maka aku menempuhi cabaran itu selangkah demi selangkah.

Bayaran yang paling mahal ketika itu adalah pengaruh rakan sebaya yang agak kuat. Aku makin hanyut pada tingkatan 1 dan dua hingga rekod cemerlangku di sekolah rendah semakin lenyap. Aku semakin malas dan lebih seuka bermain-main dengan rakan-rakan.

Walaupun aku dikalangan kurang upaya pada ketika itu, tetapi sebagai anak kanpung, semua aktiviti budak kampung aku tempuhi dengan penuh keseronokkan bersama rakan-rakan. Mandi sungai, menahan burung, memancing, main sembunyi waktu malam dan sebagainya tak pernah ku lupakan sehingga kini. Aku menempuhi semua itu macam orang biasa walaupun penglihatanku agak terhad ketika itu.

Adakalanya aku juga dipinggirkan oleh rakan-rakan kerana aku sentiasa menyusahkan mereka. Memanglah, nak memancing ikan tetapi nak pasang umpan pada mata kail pun suruh kawan yang buat. Kan menyusahkan tu.

Ejekan demi ejekan biasa bagiku. Walaupun aku marah pada zahirnya namun jauh disudut hatiku, aku berazam untuk membuktikan kelemahanku bukan penghalang kejayaanku.

Semasa di tingkatan satu dan dua, keputusan peperiksaanku agak merosot. Masa malamku diisi dengan menonton TV dan tidur awal. Tak macam dulu, banyak ulangkaji. Bagiku seronok sungguh dapat mandi sungai bersama kawan-kawan. Seronok juga jika dapat menahan burung merbah yang kami tahan menggunakan jerat.

Entah bagaimana suatu ketika, pada pertengahan tingkatan dua, aku mula sedar akan perubahan pada pencapaian akademikku. Ada sebab mengapa aku mula sedar sendiri…

Copyright © dunia rasasayang ®