07 Julai, 2000

LEMBU PUTIH MINTA KORBAN

Walaupun sudah berjanji dengan haji sapardi untuk datang ke rumahnya di lubuk cina sebelum maghrib, tetapi saya tidak sempat sampai seperti waktu yang ditetapkan. Kira-kira jam 10. 00 malam barulah saya sampai ke rumah haji sapardi bersama manap jambul.
Manap jambul memang suka menemani saya, kerana dia seronok mendengar cerita-cerita misteri. Tetapi sudah berkali-kali saya sudah memberitahu dia sebenarnya tidak ada yang misteri. Cuma manusia saja yang tidak dapat menjangkau rahsia cerita-cerita tersebut.
Disebabkan kerap kali mengikut saya manap jambul juga sudah semakin seronok mahu mengetahui rahsia di sebalik kisah-kisah yang menakjubkan dia selama ini. Dia sudah mula mendekatkan dirinya dengan guru-guru agama. Akhirnya manap jambul sudah mula menyimpan janggut sejemput dibawah dagunya.
Bagaimana pun saya tidak hiraukan sangat mengenai perubahan pada diri manap jambul ini. Saya sendiri tumpang seronok kerana dia sudah dapat memahami bahawa kejadian-kejadian yang dianggap ganjil selama ini, sebenarnya rahsia-rahsia allah belaka.
“ Maaflah tuan haji, terlambat saya. .”, ujar saya semasa menghulur tangan kepada haji sapardi.
“ Hah, biasalah tu. Mana pula berjanji nak tepat-tepat betul”, sahut haji sapardi tersenyum. “ Asal dapat datang cukuplah jadi syarat memenuhi janji. Kalau tak datang barulah dikatakan mungkir janji”, katanya tersengih-sengih sambil meraba ketayap di kepalanya.
Saya rasa haji sapardi tidaklah menyindir saya. Masakan dia mahu menyindir kalau saya tidak memungkiri janji dengannya walaupun terlambat sampai ke situ. Lagi pun saya percaya dia bercakap dengan ikhlas.
Perjalanan ke lubuk cina dari kuala lumpur memanglah tidak jauh. Kalau mengikut jalan dari linggi dan menyimpang masuk ke ladang bertam sampailah ke lubuk cina. Dari sana kami menuju ke berisu terus menyusur jalan kecil tanah merah menuju ke rumah haji sapardi ini.
Manap jambul yang mengajak saya mengikut jalan seliau menuju ke linggi, kerana dia memang tahu benar jalan ke sana. Kadang kala dia selalu juga sampai ke tanjung bidara kerana berniaga kecil-kecilan. Saya pula memang suka berkawan dengan manap jambul ini sebabnya mulunya yang becok dan sikapnya ramah tamah.
Dia yang memberitahu saya mengenai haji sapardi ini. Dia juga menjanjikan pada haji sapardi bahawa kami akan sampai sebelum maghrib. Haji sapardi bukanlah anak tempatan di situ, tetapi berasal dari kampung saya. Khabarnya dia merantau sampai ke berisu dalam masa darurat 1948 dulu.
Apakah sebab dia berpindah saya kurang pasti pula. Sebagaimana yang dia beritahu pada manap jambul, dia memang sama seguru dengan pak tua mahat iaitu abang tua emak saya.
Saya juga mendengar cerita haji sapardi ini masa muda remajanya suka memikat wanita. Pernah dia berkahwin sampai 3 orang sekaligus tinggal serumah. Kononnya manap jambul jugak sering menemui haji sapardi ini pasal ilmu pengasih itulah.
Tetapi setelah mendengar nasihat saya, manap jambul memberitahu dia sudah tidak lagi mengamalkan ilmu pengasih itu. Buat apalah dengan ilmu pengasih, kerana cara itu lebih mendekatkan diri kepada perbuatan maksiat. Untuk memilih isteri tidak perlu menggunakan ilmu pengasih, kerana istri yang baik akan mengasihi seorang suami itu semata-mata kerana allah.
Setelah berbual barulah saya bertanyakan kepadanya mengenai pak akil yang saya hendak tahu sangat ceritanya. Saya dapat tahu pak akil mengalami kejadian sedih semasa hendak mengahwainkan anak gadisnya kerana diganggu makhluk halus.
Kejadian ini pernah diceritakan oleh haji sapardi kepada manap jambul. Kejadian tersebut berlaku tidak jauh dari situ. Haji sapardi sendiri cuba menolong keluarga yang malang ini yang diganggu makhluk halus, sayangnya sudah terlambat. Dia sendiri merasa kesal tidak dapat menolongnya.
“ Saya dipanggil setelah kejadian itu tidak dapat ditolong lagi”, ujar haji saprdi perlahan. “ Allah maha mengetahu segalanya, kita yang tidak dapat menyamai ilmu allah ini tak tahu apakah rahsianya. Dia macam mengenang-ngenang kembali kejadian yang berlaku 20 tahun lalu.
Tidak jauh dari kampung itulah pak akil, seorang petani tinggal bersama keluarganya. Pak akil mempunyai lima orang anak, tiga lelaki dan dua orang perempuan. Anak perempuannya yang tua bernama lijah sudah bertunang dengan pemuda dari kampung tempat tinggal haji sapardi itu.
Lijah gadis sedang remaja ini, sebagai seorang anak petani sentiasa membantu keluarganya bekerja sama ada di sawah, mahu pun di rumah. Dia juga turut mengembala lembu-lembu kepunyaan ayahnya. Ada seekor lembu jantan putih telah 'diakukan' oleh pak akil sebagai kepunyaan lijah.
Oleh itu pak akil bercadang mahu menyembelih lembu jantan putih itu apabila majlis persandingan lijah diadakan. Disebabkan lijah yang mengebalanya, adalah wajar digunakan semasa kenduri kahwinnya kelak. Inilah yang terbendung dalam jiwa pak akil.
Seminggu sebelum perkahwinan lijah, pak akil telah bermimpi didatangi seorang lelaki berjubah putih. Lelaki itu terlalu tua dengan janggutnya sampai ke pusat.
“ Akil. . “ seru lelaki tua berkenaan perlahan. “ Jangan kau sembelih anak aku, carilah ganti yang lain. Aku harap kau jangan bantah permintaan aku ni. . . “ dia semacam memberi amaran.
Pak akil merasa heran dengan permintaan lelaki tua berkenaan. “ Siapa, siapakah anak kau yang aku nak sembelih tu. Lagi pun tak kan aku nak hidangkan daging manusia pada hari perkahwinan lijah, aku nak hidangkan daging lembu”, ujar pak akil tersinggung dengan kata-kata orang tua didepannya.
“ Akil, lembu jantan putih itu anak aku, kau tau tak”, suara lelaki itu kuat sedikit.
“ Jangan kau cederakan anak aku tu, ingat akil hutang darah dibayar dengan darah juga. Hutang nyawa akan dibalas dengan nyawa”, jerkahnya memberi amaran.
Mengirap darah pak akil apabila dia diugut demikian. Hatinya mula mendongkol dengan sikap tetamu yang tak diundang itu. Ketika ini dia merasakan dirinya ini semacam diperbodoh-bodohkan.
“ Setahu aku, lembu jantan putih itu lembu aku, dann aku serahkan pada lijah. Takkanlah manusia macam kau beranakkan lembu pula”, pak akil membentak marah.
“ Jasad lain akil. Jasad ni tubuh kasar, kalau tubuh kasar lembu maka lembulah jadinya, kalau tubuh kasar manusia maka manusia lah jadinya”, sahut orang tua berjanggut putih itu masih keras tidak mahu membenarkan pak akil menyembelih lembu jantan putih berkenaan.
“ Kalau anak kau lembu, mengapa tak kau pelihara dia”, pak akil bertambah marah.
“ Jangan-jangan kau ni pun lembu agaknya. Lembu memang tak ada otak, tak tahu berfikir”, katanya menyindir orang tua itu.
Orang tua berkenaan merapati pak akil. Jelas pada pak akil paras lelaki tua itu terlalu hodoh. Hidung nya sama seperti hidung lembu, manakala kepalanya juga bertanduk.
“ Akil. . “ seru lelaki tua itu lagi. “ Kau jangan menghinakan aku. Kalau kau tak mahu berunding, kau akan tanggung sendiri padahnya. Perkara tubuh kasar dengan tubuh halus tak sama, kau mesti ingat”, dia tersinggung dengan kata-kata pak akil kepadanya.
“ Aku tak mengganggu kau, tapi kau yang mengganggu aku”, ujar pak akil masih mempertahankan kebenarannya.
“ Aku datang bukan nak mengganggu, aku nak mengingatkan kau. Yang kau nak sembelih tu anak aku. Mahukah kau kalau aku sembelih anak kau pula?”, balas orang tua itu menggertap bibir.
Sekali sekala pak akil memerhati tepat ke muka orang berjanggut putih itu. Nampak nya keadaan bongkol dibelakangnya seperti bongkokl belakang lembu juga. Teringat juga dihatinya tentu lelaki berkenaan syaitan yang datang mengganggu tidurnya.
Dia cuba membaca ayat-ayat quran. Ketika ini terasa padanya angin bertiup kencang. Dia hampir-hampir diterbangkan oleh angin kencang itu. Tetapi cepat-cepat dia berpaut pada tiang katil besinya. Dalam angin kencang itulah lelaki berkenaan terapung-apung di udara dibawa angin keras.
“ Ingat akil, ingat. . “ laung lelaki tua berkenaan walaupun dia sudah melayang-layang ke udara ditiup angin kencang. “ Hutang nyawa dibalas nyawa, hutan darah dibalas darah. Ingat akil”, katanya berulang-ulang kali.
Pak akil tidaklah memberitahu mimpinya itu kepada sesiapa pun, kecuali pada istrinya mak yam, bagaimana pun dia tidak lah menghiraukan sangat pasa mimpi tersebut. Menurut pak akil, mimpi hanya satu permainan tidur saja. Oleh yang demikian dia tidaklah memikirkan sangat akibat dari mimpi yang dialaminya itu.
Seperti biasa sehari sebelum hari kenduri sanak saudara sudah berkumpul di rumah pak akil. Masing-masing bergotong-royong membuat kerja-kerja yang patut. Sesetengah nya membelah kayu api, setengah membuat tunku dan penanggah, setengah memasang khemah, mengopek kelapa dan bermacam-macam lagi. Manakala lebai bidin ditugaskan menyembelih lembu jantan putih yang sudah dihajatkan untuk disembelih sempena perkahwinan lijah.
Lebai bidin mengaja beberapa orang pemuda menarik lembu berkenaan ke baruh rumah berdekatan dengan paya yang dipenuhi dengan rumpun rembia. Disitulah lembut tersebut ditumbangkan.
Semasa lembu tersebut ditarik ke sebatang pokok kayu manis, dibaruh rumah, lebai bidin mendapati air mata lembu berkenaan mengalir. Lembu itu seoalah-olah meminta belas kasihan supaya ianya tidak disembelih. Berat juga hati lebai bidin mahu meneruskan kerja menyembelih. Oleh itu dia memberitahu pak akil mengenai kelakuan lembu tersebut semasa ditarik ke tempat penyembelihan.
“ Saya rasa lain sangat hati saya ni akil”, beritahu lebai bidin memerhatikan mata lembu itu digenangi air seperti manusia meminta belas kasihan. “ Berdebar-debar ada, belas kasihan ada, gementar pun ada”, katanya tercegat dibawah pokok kayu manis tempat lembu itu akan disembelih.
“ Hah, awak ni macam tak biasa menyembelih pula. . “ sahut pak akil macam memberi semangat. Walaupun dia teringat mimpinya minggu sudah, tetapi dia tetap berkeras mahu menyembelihnya. Dia tidak percaya dengan mimpi yang dianggap nya sebagai permainan tidur saja.
“ Ini bukan tak biasa. . “ kata lebai bidin lemah sambil menyuruh anak muda menggali lubang sedikit tempat mahu menyendal leher lembu berkenaan. “ Selalunya saya tak rasa macam ni, hari ni lembu tu macam menangis, cuba awak perhatikan betul-betul”, jelasnya memerhatikan lembu jantan putih yang menunduk saja. Sekali-sekali lembu berkenaan merenung ke arah pak akil.
Kesan basah di bawah mata lembu itu jelas menampakkan air masih mengalir. Tiba-tiba saja hati lebai bidin bagai direnggut-renggut terasa pilu dan hiba. Dia seolah-olah tidak sanggup mahu menyembelih lembu tersebut. Setiap kali dia merenung lembu itu bagaikan lijah yang berdiri di situ. Bagaimanapun dia enggan memberitahu pak akil, kerana bimbangkan pak akil akan menuduh dia percaya pada tahyul.
Sebagai orang yang mengajar budak-budak membaca al quran dikampung itu, tentulah lebai bidin tidak mahu dituduh percaya kepada tahyul. Sebaliknya dia tahu membezakan yang mana tahyul, dan yang mana pula kudrat dan iradat allah yang mesti difahami.
“ Lembu ni memang kesayangan lijah, dia yang mengembalanya sejak kecil lagi lembu ni”, ujar pak akil tersengih-sengih mengerling lebai bidin yang sudah mula menghunus parang. “ Walaupun dia binatang, tau juga dia sayangkan tuannya yang mengembala. Lijah pun macam tu juga, berat sangat hatinya tak beri lembu ini disembelih”, dia menjelaskan selanjutnya.
Lebai bidin mengangguk. Dia juga percaya dengan penerangan pak akil itu. Binantang pun memang tahu merasa hiba apabila tiba saat berpisah. Sekali pun lembu itu mengalirkan air mata, namun penyembelihan tidak dapat dibatalkan. Penyembelihan adalah hajat tuan rumah sendiri untuk tujuan qikah.
Setelah itu mereka beramai-ramai menumbangkan lembu jantan putih itu ke tanah. Lehernya disendal ke kayu yang tersedia melintang pada lubang sebesar timba yang siap digali. Ketika lebai bidin mahu meletakkan mata parang ke lehernya kedengaran lembu itu mengeluh tiga kali. Bunyinya seakan akan suara orang lelaki meminta tolong.
Bagaimana pun lebai bidin menguatkan semangatnya. Dia tidak mahu memikirkan perkara-perkara yang tidak munasabah pada akalnya. Dia telah diminta pak akil untuk menyembelih lembu, maka tanggungjawabnya mesti menyempurnakan permintaan tersebut. Mungkin apa yang didengarnya lenguhan dari lembu jantan itu hanya khayalan saja setelah hatinya merasa belas melihat air mata lembu berkenaan mengalir.
Dengan tidak bertangguh lebai bidin pun mencecahkan mata parangnya ke leher lembu. Sekaligus mata parang terbenam terus sampai ke tulang rahang. Lembu jantan yang sudah terikat kaki tangan itu meronta-ronta tidak berdaya lagi. Lama juga dia menggelupur menahan kesakitan barulah tendangan kakinya menjadi lemah. Apabila melihat pergerakan lembu itu mulai lemah, lebai bidin pun memerintahkan ikatan di kaki dan di tangan cepat-cepat diuraikan.
Sebaik saja tali pengikat kaki dan tangan lembu terurai, tiba-tiba safar anak pak akil yang kedua datang berlari mendapatkan ayahnya. Tergagap-gagap budak itu tidak mahu meneruskan cakapnya. Bagaimana pun pak akil dapat mendengar dengan jelas safar mengatakan kakanya lijah tidak sedarkan diri.
Cepat-cepat pula pak akil berkejar balik ke rumah. Orang-orang perempuan sudah berkumpul di bilik lijah. Mereka memberitahu pak akil, lijah tiba-tiba jatuh dan memegang lehernya meminta tolong. Ia menggelupur seperti lembu kene sembelih.
Suasana di rumah itu menjadi kelam-kabut. Pak akil yang sampai termengah sempat juga memangku kepala anaknya. Tetapi dia melihat lijah menggelupur lemah seperti lembu jantan putih yang disembelih tadi. Kakinya juga menendang-nendang lemah. Lehernya terkulai tidak dapat diangkat langsung. Akhirnya lijah tidak bergerak lagi.
“ Apa kene kau nak, apa kene kau. . “ mak yam memekik-mekik sekuat hati. Orang-orang perempuan itu cuba mententeramkan dia. “ Ini pasal ayah kau, memang ayah kau degil, keras kepala, biar. . biar dia tengok sendiri”, mak yam terus mengongoi-ngogoi.
“ Sekarang hutang nyawa sudah berbalas, hutang darah juga sudah berbalas. . . “ Ketawa orang tua itu memanjang mengejek-ngejek pak akil.
“ Jadi apa kau mahu sekarang?”, pekik pak akil.
“ Kalau kau mahu anak kau, pulanglah semula anak aku”, ujar orang tua menepuk-nepuk dadanya.
“ Siapa anak kau?”, pak akil mengertip bibir.
“ Jangan dah gaharu cendana pula, kawan oii”, dia terus mengejek pak akil. “ Yang awak sembelih di bawah pokok kayu manis dulu siapa, bukan anak kami. . “ katanya menuding jari ke kepala pak akil.
“ Keparat kau”, jerkah pak akil. “ Kalau kau setan tunggu sekarang. A'uzubillahiminas sayitannirajin. . “ pak akil merenung tepat-tepat ke muka lelaki berkenaan. kemudian dia terus membaca ayatul kursi berulang kali.
Dia melihat orant tua itu memekik-mekik kesakitan. Sekonyong-konyong api menyala ke seluruh tubuhnya. Orang tua itu tenggelam didalam api yang marak menyala.
Apabila sedar dari tidur pak akil beristighfar berulang kali. Sampai pagi dia tidak dapat melelapkan mata. Esok nya dia menceritakan mimpinya kepada lebai bidin, termasuk juga mimpi seminggu sebelum lijah meninggal dunia.
Oleh itu kenduri aruah hari ketiga, lebai bidin telah memanggil haji sapardi serta keluarga tunangan aruah lijah. Lebai bidin menceritakan tentang mimpi pak akil dan hubungannya dengan kematian lijah secara tiba-tiba itu. Mendengar cerita lebai bidin ini, haji sapardi merasakan ada sesuatu yang mesti dibuatnya. Malah lebai bidin sendiri meminta haji sapardi menolong sekiranya masih boleh ditolong.
Malam itu juga haji sapardi mengajak semua orang yang hadir menngikutnya mengerjakan sembahyang hajat dua rakaat. Kemudia sama-sama membaca yassin menurut khifiatnya sebanyak 41 kali. Selepas itu haji sapardi meminta izin untuk tidur sebentar.
Tidak lama selepas haji sapardi tidur kedengaranlah bunyi angin kencang bertiup. Dari kejauhan pokok-pokok kayu orang ramai dapat mendengar suara lijah memanggil emaknya. Suara nya begitu menyayukan merintih-rintih bagaikan mengharap pertolongan. Orang ramai pun menyuluh ke pokok-pokok kayu yang kedengaran suara lijah, tetapi tidak apa-apa pun yang kelihatan.
Ketika inilah haji sapardi yang tidur itu menggunakan 'rawannya' keluar mencari siapakah orang tua yang datang dalam mimpi pak akil. Haji sapardi dapat melihat bahawa orang tua itu memang sudah lama mendendam lijah. Kemana saja lijah mengembala lembu dia sentiasa mengekorinya.
“ Kau aniaya keluarga akil. . “ kata haji sapardi berdiri di depan orang tua berjanggut putih. “ Kau datang dari jauh semata-mata nak menganiaya keluarga akil”, jerkah haji sapardi mengancam lembaga puaka yang menjelma sebagai orang tua berjanggut putih.
“ Aku tak aniaya sesiapa, tetapi dia sendiri yang menganiaya anaknya”, sahut orang tua berjanggut putih.
“ Jangan berdolak dalik dengan aku”, haji sapardi memberi amaran lalu membacakan ayatul kursi sambil mengembuskan kearah orang tua tersebut. Sekali gus api marak menyala membakar tubuhnya. Orang tua itu menjerit-jerit kesakitan.
“ Minta ampun tok aji, minta ampun jangan bakar kami, jangan bakar kami. Tak tahan panas. . . “ orang tua itu merayu-rayu minta belas kasihan.
Tetapi haji sapardi tidak peduli. Dia terus membaca ayatul kursi itu sehingga 113 kalo. Seluruh badan orang tua itu hampir musnah didalam api bernyala. Namun tenaganya masih ada mahu menyelamatkan diri. Bagaimana pun dia tidak dapat melarikan diri kemana, kerana sudah dikurung oleh haji sapardi.
“ Cakap, mengapa kau aniaya keluarga akil”, desak haji sapardi
“ Dia aniaya aku”, sahut orang tua itu terketar-ketar.
“ Janga berdolak dalik. Cakap saja mengapa kau aniaya anak akil?”, haji sapardi mengancam.
Orang tua itu termengah-mengah mahu melarikan diri, tetpai dia sudah terkurung di dalam sangkar haji supardi. Dia tidak dapat melarikan diri kemana-mana lagi. Segala peluang hidup matinya tidak lepas dari tangan haji supardi.
Dia tahu haji sapardi tidak sama dengan pak akil. Setiap ayat-ayat quran yang dihembuskan dari mulut haji sapardi semuanya mengancam dia. Orang tua itu berniat juga menyerang haji supardi, tetapi setiap kali dia cuba menyerbu dia ditolak oleh angin kencang seperti ribut. Haji sapardi dilihatnya berdiri seperti gunung yang tersergam didepannya.
“ Aku tau ilmu kau tinggi tok aji, lepaskanlah aku. Aku tak akan melawan kau tok aji”, kat orang tua itu merintih-rintih.
“ Cakap dulu, mengapa kau aniaya anak akil?”, haji sapardi terus mendesak. “ kalau kau tak cakap aku akan hancurkan kau dengan :lanar jumanakum wala yamasanakum minna azabun alim. . “ serunya sambil mengulangi membacanya tigak kali.
Ketika ini panahan api datang bertalu-talu merejam ke tubuh orang tua tersebut. Sekaligus orang tua itu memekik meminta dan merayu pertolongan kepada haji sapardi.
“ Tolong tok aji, cukuplah. Jangan seksa aku lagi”, rayuannya berulang lagi.
“ Kau aniaya orang suka hati ye?”, ejek haji sapardi.
“ Aku tak aniaya, aku disuruh orang”, jelas orang tua itu terketar-ketar.
“ Siapa suruh kau?”, soal haji sapardi.
“ Pemuda yang meminang lijah, tetapi pinangannya ditolak oleh akil. Aku hanya disuruh tok aji”, orang itu semakin merintih-rintih menahan siksaan akibat badannya habis terbakar.
“ Sekarang mana kau bawa lijah?”, haji sapardi menghembuskan ayat-ayat quran ke arah orang tua tersebut.
“ Aku sembunyikan, tapi akil yang kebumikan jasadnya, lijah tak boleh balik lagi”, sahutnya dalam ketakutan.
“ Sekarang kau bawa lijah pada aku. Lepaskan dia sekarang juga. Jangan kau ganggu lagi keluarga akil”, perintah haji sapardi keras.
Orang tua itu membukakan mulutnya luas-luas. Asap keluar berkepul dari mulutnya. keluarlah lijah dari mulut itu terapung-apung mencari tempat seperti bunga lalang ditiup angin.
Haji sapardi melepaskan kurung orang tua itu lalu dihembusnya kuat-kuat dengan surah fatihah. Orang tua itu melayang jauh seperti dipuput angin puting beliung. Ketika ini haji sapardi dapat melihat lijah dengan jelas terisak-isak menangis.
“ Baliklah lijah, balik kepada allah. Kau sebenarnya sudah terpisah dari keluarga kau, kerana meraka tidak tahu kedudukan sebenarnya. Tenteramlah kau disisi allah yang maha mengetahui segala-galanya. . “ ujar haji sapardi sambil memimpin tangan lijah ke satu kawasan lapang.
Sampai di pinggir kawasan lapang itu haji sapardi melepaskan dia disitu. “ masuklah kau dengan aman kesana, disitulah penempatan buat sementara kerana jasadmu sudah dikebumikan orang. Insya allah bila tiba masaku, aku juga akan masuk ke sini. Sekarang aku tak boleh masuk, cuma engkau sajalah masuk dulu”, jelas haji sapardi sambil memerhatikan lijah melayang-layang masuk ke kawasan lapang.
Ketika haji sapardi bangun semula, orang-orang kampung yang berkumpul disitu menceritakan pasal mereka mendengar suara tangisan lijah. Haji sapardi tidak memberitahu apa-apa kepada mereka. Dia hanya beristighfar beberapa kali.
“ Ini semua kuasa allah, kita tak tahu mengenainya”, katanya perlahan dalam keletihan seperti baru saja berjalan jauh.
Semasa dia mahu meminta diri untuk balik orang-orang kampung gempar mendengar berita seorang pemuda dijumpai mati tergantung di pokok kayu dekat kubur lijah. Pemuda itu dikenali sebagai orang yang pernah meminang lijah sebelum itu, tetapi pinangannya ditolak kerana menurut pak akil pemuda tersebut suka bermain terup.
Haji sapardi menceritakan semula kejadian 20 tahun lampau kepada saya dengan rasa terharu. Sekali sekala saya nampak dia mengesat matanya dengan hujung lengan baju. Tetapi saya tahu keharuan hati haji sapardi bukan disebabkan mengenang kisah keluarga pak akil, sebaliknya bila mengetahui tentang keagungan allah dengan kudrat dan iradatnya.
Malam itu saya balik semula ke kuala lumpur. Saya merasakan haji sapardi yang berbual-bual dengan saya itu mempunyai persamaan dengan pak tua mahat saya yang telah lama meninggal dunia. Kalaulah pak tua mahat masih hidup tentulah dua orang kawan lama ini boleh menceritakan lebih lanjut pengalaman hidup masing-masing.
Seperti kata haji sapardi, keluarga pak akil sendiri tidak tahu apakah kejadian sebenarnya berlaku disebalik peristiwa yang dialami oleh keluarganya itu, hinggalah pak akil sendiri meninggal dunia tidak lama dulu.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®