04 Julai, 2000

KELUAR DARI KUBUR

Memanglah tidak ramai orang menghantar ke kubur semasa kematian Wak Diman jaga yang bertugas sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah bank di kuala lumpur. Sanak saudaranya tidak mengebumikan dia di tanah perkuburan islam di Kuala Lumpur, tetapi di bawa ke kampungnya di Kuala Pilah.
Semasa darurat dulu, Wak Diman menjadi sc atau polis khas. Apabila habis darurat, tenaganya tidak diperlukan lagi. dia pun menoreh getah di kampungnya. tetapi setelah 13 mei 1969, Wak Diman mengikut anak saudaranya di Kuala Lumpur dan bekerja menjadi pengawal keselamatan. Kekallah dia menjadi 'jaga' sampai ke akhir hayatnya.
Tidaklah ramai orang menghantar ke kubur, kerana dia bukanlah orang besar yang akan dihantar oleh beribu - ribu manusia sama ada dikenalinya atau pun tidak dikenalinya. Wak Diman dihantar ke kubur hanya oleh sanak saudaranya saja. semasa hayatnya, dia memang seorang dukun sambilan. Ada beberapa kali saya ( tok awang ngah )menemuinya, tetapi biasanya dia seolah - olah mengelak tidak mahu bertemu dengan saya.
Kematian Wak Diman hanya diberitahu oleh Kadri kepada saya selepas seminggu orang tua itu meninggal dunia. jadi, tidaklah dapat saya melawat jenazahnya. Lagi pun jenazahnya dibawa balik ke kampung di Kuala Pilah.
" Dah seminggu Wak Diman itu meninggal " beritahu Kadri apabila dia datang ke rumah saya. " Tapi, ada orang ternampak dia merayau - rayau di dalam kampung " jelasnya keheranan dengan cerita Wak Diman hidup semula itu.
" Awak ada tengok? " tanya saya.
Kadri menggelengkan kepala. " Saya tak pernah tengok, tetapi orang - orang kampung ternampak. Mak Lang saya juga ada nampak " katanya, kerana Wak Diman itu berkahwin dengan mak langnya.
" Entahlah " keluh saya pendek. " Susah nak cakap benda - benda macam ni, maklumlah urusan allah, mana kita nak tau " ujar saya.
Tetapi Kadri mengakui bahawa Wak Diman itu pernah dikatakan memelihara hantu raya. Sejauh mana kebenaran dakwaan ini, tidaklah dapat dipastikan kerana orang yang memelihara syaitan tidak akan mengaku ada memelihara benda - benda seperti ini.
Mungkin hantu raya juga tergolong dalam jenis syaitan. Mereka yang memelihara hantu adalah meminta pertolongan syaitan dalam segala urusan, jadi sudah tentulah bertentangan dengan Aki dah islam. Tetapi semasa hayatnya saya tidak dapat berbual banyak mengenai amalannya, jadi tidaklah saya tahu sejauh mana dia terlibat dengan memelihara hantu raya itu.
Lagi pun setiap kali saya datang ke rumahnya di satu kawasan setinggan, dia cuba mengelak dari membiarkan saya lama berada di rumahnya. Dia akan berdalih dengan berbagai cara agar saya segera balik, atau pun dengan helah mengatakan dia ada hal untuk mengubat orang.
Saya tidaklah berkecil hati dengan sikap Wak Diman ini. Bagaimana pun saya dapat mengagak bahawa kata - kata Kadri menyebut dia memelihara hantu raya itu boleh jadi juga benar.
Arwah bapa saudara saya, Pak Tua Mahat  ada memberitahu bahawa orang yang memelihara hantu raya bertujuan untuk kuat. Orang seperti mudah saja mengangkat batang pokok sagu, dengan memikulnya di bahu. Dia juga boleh mengangkat kayu balak di hutan dengan mengambil upah dengan taukeh - taukeh balak. Tetapi biasanya mereka tidak akan mengangkat barang yang berat - berat ini di depan khalayak ramai. Dia akan menunggu semasa orang tidak ada, atau pun di waktu senja, barulah dia mengangkatnya.
Mereka yang memelihara hantu raya ini kata Pak Tua Mahat , selalu bersikap cemburu terhadap isterinya. malah dengan adik beradik pun dia cemburukan. Hantu raya yang mendampinginya akan sentiasa membisikkan ke telinganya bahawa isterinya sedang berlaku curang. Oleh itu apabila dia balik ke rumah, dia akan menampar isterinya sampai lebam - lebam.
Hal ini pernah juga berlaku kepada emak saudara saya, tetapi saya tidak tahu sama ada suaminya itu ada memelihara hantu raya atau tidak. Tetapi dari orang sekeliling, saya mendengar mengenai suami emak saudara saya itu memelihara hantu raya. bagaimana pun sepanjang ingatan saya dia tidaklah segagah seperti yang diceritakan oleh Pak Tua Mahat itu.
Dia hanya cemburu saja. Pernah dia mengunci pintu bilik lantas memukul emak saudara saya kerana rasa cemburunya yang tidak dapat ditahan - tahan. Emak saudara saya terjerit - jerit kesakitan. Mujurlah Datuk Aki saya mendengar jeritan anaknya. Datuk Aki saya telah datang meleraikan. apabila Datuk Aki saya datang, suami emak saudara saya jadi gementar dan menyembah - nyembah meminta ampun dari Datuk Aki saya.
Datuk Aki saya tidak boleh berbuat apa - apa, kerana bukan sekali dua suami emak saudara saya itu melakukan perbuatan demikian. Setiap kali dia bertindak gila, dia akan menangis tersedu - sedu sambil meminta ampun bila diserbu oleh keluarga emak saudara saya. Manakala emak saudara saya pula walaupun teruk di pukul oleh suaminya, dia tetap kasih kepada suaminya. apabila suaminya lari, dia tetap akan mengikutnya.
Akhirnya kami tidak memperdulikan lagi, apa pun berlaku. Hanya datang meleraikan kerana kasihan melihat emak saudara teruk kena pukul. Dari kejadian itu tidak pula nampak bahawa suami emak saudara saya itu seorang yang kuat. Malah dengan saya sendiri ketika itu baru berusia belasan tahun, dia terlalu gementar berhadapan selepas memukul emak saudara saya itu.
Datuk Aki saya telah menyuruh Pak Tua Mahat melakukan apa - apa bagi menyelamatkan adiknya itu. Pada mulanya Pak Tua Mahat  diminta supaya memisahkan suami isteri berkenaan. sebaliknya Pak Tua Mahat tidak bersetuju dengan ayahnya untuk memisahkan emak saudara saya dengan suaminya. Apabila Pak Tua Mahat  menyuruh suami emak saudara saya itu supaya berubat, dia mahu pula mengikutnya.
Pak Tua Mahat  menyuruhnya mandi berlimau 3 hari berturut - turut. dia tetap mematuhinya dengan tidak berani membantah. selepas itulah perangainya berubah. Dia tidak lagi cemburu. Kalau makan nasi, tidaklah diamalkannya untuk meninggalkan sisa - sisanya dalam pinggan kira - kira 3 kali suap.
" Amalan orang memelihara hantu raya memang begitu " Pak Tua Mahat  menjelaskan. " dia sengaja meninggalkan sisa - sisa nasinya 2 - 3 suap di dalam pinggan. Itulah petua kalau nak tahu mereka memelihara hantu raya atau tidak " katanya menerangkan kejadian sebenarnya.
Kadangkala hantu raya itu sendiri menjelma seperti tuannya dan dia akan keluar melakukan persetubuhan dengan isteri tuannya sendiri.
"Kalau mahu tahu sama ada dia hantu raya atau pemeliharanya, tegurlah " ujar Pak Tua Mahat  lagi selepas suami emak saudara saya dapat dipulihkannya. "Kalau hantu raya dia tidak akan menyahut atau berbual - bual " jelas Pak Tua Mahat selanjutnya.
Beberapa tahun kemudian barulah suami emak saudara saya itu mengakui bahawa hantu raya itu menguasai dirinya bukanlah dengan kerelaannya. Pada mulanya dia hanya menuntut ilmu pengasih dari seseorang, rupanya orang itu telah menurunkan hantu raya kepadanya melalui amalan ilmu pengasih itu. Termasuk emak saudara saya, 14 orang isterinya. malah ada di antara janda yang sudah diceraikan datang semula tidur bersamanya.
Setelah berkahwin dengan emak saudara saya dan diubat oleh Pak Tua Mahat , dia tidaklah berkelakuan seperti sebelumnya. bagaimana pun apabila dia berkahwin lagi seorang, ada emak saudara saya bertanyakan kepada saya sama ada mahu membenarkan atau tidak. saya hanya menasihatkan emak saudara saya supaya membenarkan saja, kerana tidak ada gunanya membuat keributan. Bagaimana pun dia tidak kekal dengan isterinya yang ke 15 itu, hanya dengan emak saudara saya saja dia kekal.
" Ada apa - apa keanehan yang awak lihat semasa hayatnya? " saya bertanya kepada Kadri mengenai Wak Diman .
Kadri termenung sebentar mengerutkan dahinya. Dia cuba mengingat - ingatkan semula tentang keanehan Wak Diman semasa hidupnya. Kerana yang meninggal dengan sempurna tidak akan melihat merayau - rayau atau bangun dari kubur setelah dikebumikan. Mereka yang kembali menemui allah dengan sempurna akan berehat dengan aman di barzakh sehingga menunggu hari hisab. Ini yang dijelaskan oleh Tok Aji kepada saya tatkala saya menjadi murid di madrasahnya.
" Anehnya, tak ada " ujar Kadri perlahan. " tetapi, ada saya dengar dia memang memelihara hantu raya " jelasnya semacam kesal dengan apa yang terjadi kepada suami Mak Langnya itu.
Tetapi dia juga ada mendengar peristiwa Wak Diman menolong pihak JKR, semasa jabatan itu membina jalan baru. Traktor yang menolak tanah telah jatuh ke dalam gaung. Amatlah sukar untuk menarik semula traktor berkenaan naik ke atas kerana curam gaungnya sangat dalam. Kebetulan Wak Diman ada di situ ketika kejadian tersebut berlaku.
Disebabkan masalah kesuntukan masa bagi menarik semula traktor itu naik ke atas jalan, pihak JKR terpaksa meninggalkan jentera berkenaan di dalam gaung sementara mendapat bantuan kren. Memanglah mustahil untuk menarik semula traktor itu walaupun kren dapat dipanggil, kecuali ditanggalkan bahagian badannya satu persatu untuk ditarik ke atas.
Dalam masa traktor itu ditinggalkan, hanya dijaga oleh kaki tangan JKR yang memasang khemah di atas jalan. kebetulan jaga traktor itu orang kampung Wak Diman .
" Aku boleh tolong kau, Akop " Wak Diman memberi jaminan kepada jaga tersebut.
Akop menyangka Wak Diman mahu menemankan dia berjaga tiap - tiap malam di situ. Mana tahu sampai seminggu pun traktor itu masih belum dapat di tarik ke atas. Kalau Wak Diman mahu menemankan, ada jugalah teman berbual - bual pada sebelah malam. Lagi pun di tempat yang sunyi seperti itu, musuh tarahnya banyak, maklum saja di tengah hutan. Boleh jadi gajah, harimau atau beruang muncul di tengah malam.
" Kurang tapak tangan, nyiru aku tadahkan, Pak Lang " sahut Akop sebaik mendengarkan Wak Diman mahu menolongnya.
" Tapi, ada syaratnya " dia menjelaskan.
" Kalau syaratnya tak berat, apa salahnya.." sahut Akop memberi pengakuan.
" Syaratnya tak berat " beritahu Wak Diman tersengih - sengih. " tapi, kalau kau langgar syarat ni, tak mahulah aku tolong " katanya.
" Bolehlah, aku terima syarat itu " wajah Akop gembira.
" Syaratnya senang aje " dia menjelaskan tersengih - sengih seolah - olah pengakuannya tidaklah serius.
" Senja nanti kau jangan datang, biar aku yang datang dulu. kau datang agak - agak pukul 8.30 malam " jelasnya dengan ikhlas mahu menolong.
Apa lagi Akop memanglah suka, kerana ada orang yang sanggup menolong sampai begitu sekali. Dia boleh datang lambat sedikit untuk menjaga traktor yang terhumban ke bawah gaung itu. Syarat itu bukanlah susah sangat, malah memang sesiapa pun sanggup datang lambat menjalankan tugas.
Tetapi petangnya apabila jam 6, hati Akop terasa tidak senang. Kalaulah ada alat - alat yang hilang pada jentera berkenaan dia yang akan bertanggungjawab. Dia tidak boleh menyerahkan tugas tersebut kepada Wak Diman . Bagaimana kalau mandur meronda, dan mendapatinya dia tidak ada menjaga traktor itu.
Memikirkan perkara - perkara buruk demikian, Akop terpaksa juga memungkirkan janji dengan Wak Diman . Dia datang juga kira - kira tepat pada waktu senja. Sebaik saja sampai di atas jalan, dia terkejut kerana melihat traktor di bawah gaung terangkat dan bergerak naik. Dia nampak betul - betul Wak Diman yang memikul traktor berkenaan menaiki tebing gaung. terkial - kial dia memikulnya dengan susah payah.
Takut akan melanggar pantang, Akop menyorok di dalam belukar. Basikalnya juga disorokkan ke dalam belukar. Kemudian dia melihat dari tempat persembunyiannya, Wak Diman betul - betul yang mengangkat traktor tersebut.
Setelah traktor itu diangkat naik ke jalan, Wak Diman pura - pura berbaring di dalam khemah yang disediakan di tepi jalan. Sementara Akop pula terus bersembunyi di dalam belukar. Hatinya bercampur gembira dan bimbang. Apakah akan dijawabnya pada jurutera, kalau pegawai itu bertanya siapa yang menarik traktor itu naik ke atas.
Sehingga jam 8.30 malam barulah Akop keluar dari tempat persembunyiannya. Sebaik sampai saja di depan khemah, dia pura - pura terkejut sambil memanggil Wak Diman memberitahu traktor sudah ada di atas jalan.
" Eh, macam mana traktor tu ditarik dari bawah gaung, Pak Lang? " Akop pura - pura tidak tahu kejadian sebenarnya.
" Mengarutlah kau Kop " sahut Wak Diman tersengih - sengih. " semasa aku datang pukul 4 petang tadi, traktor tu memang dah dinaikkan. Kau nak temberanglah pada aku " dia cuba menuduh Akop berdusta seolah - olah tidak tahu bahawa traktor itu sudah ditarik oleh JKR.
" Boleh jadi juga, sebab aku cuti hari ni tadi " Akop cepat - cepat menutup rahsianya supaya tidak diketahui oleh Wak Diman dia menyaksikan sendiri Wak Diman memikul traktor itu tadi.
" Kalau macam tu, biarlah aku balik. Tak payahlah aku temankan kau menjaga traktor ni " katanya tersengih - sengih sambil mencapai basikal yang tersandar di tebing jalan.
Dia tidak tahu bahawa Akop sudah melihatnya memikul traktor berkenaan. Besoknya memanglah pihak JKR heran bagaimana jentera berat seperti traktor itu boleh ditarik dari dalam gaung yang sampai 20 rantai ke bawah. Sementara Akop tidak dapat memberitahu kisah sebenarnya. Mungkin jurutera berbangsa India itu tidak percaya kalau diceritakannya Wak Diman memikul traktor tersebut. Oleh itu Akop hanya mendiamkan diri dan mengaku tidak tahu bagaimana traktor di bawah gaung tiba - tiba saja sudah berada semula di atas jalan.
" Cerita itu ada Akop sepupu saya ceritakan " jelas Kadri mengingatkan semula kisah Akop mengenai peristiwa Wak Diman boleh memikul traktor yang terhumban ke dalam gaung sedalam 20 rantai itu, naik semula ke atas jalan. " Tetapi saya sendiri tidak pernah melihatnya " ujar Kadri lagi.
Sudah seminggu Wak Diman meninggal dunia, tetapi orang - orang kampungnya heboh ada melihat dia merayau - rayau di tengah kampung. Memang orang nampak betul Wak Diman berjalan dalam keadaan berselimut putih dalam kain kapannya.
" Biasanya selepas 3 hari perut dah pecah " kata Kadri tertanya - tanya. " macam mana Wak Diman boleh merayau - rayau selepas seminggu dikebumikan " ujarnya keheranan.
Mula - mulanya emak saudara Kadri yang ternampak Wak Diman menyusur di tepi dinding hendak naik ke rumah. Dia telah menjerit memanggil jiran - jiran yang tinggal berdekatan, menyebabkan mereka semua menyerbu ke rumah Mak Lang Emon. Semasa mereka sampai, memang ternampak kelibat orang berlari dengan pakaian serba putih menuju ke tanah perkuburan.
" Aku nampak macam Wak Diman di situ " beritahu Mak Lang Emon sambil menuding ke arah penjuru dapur. Apabila mereka mendekati tempat yang dikatakan Wak Diman berpaut tadi, terbau bau busuk yang meloyakan.
" Kau terangan-angankan dia agaknya " bapa saudaranya cuba menafikan.
" Betul, aku pun nampak " sahut Joyah yang mula - mula tiba semasa kakaknya terjerit tadi. " Aku nampak aruah ni berdiri di situ " katanya menguatkan lagi cerita Mak Lang Emon mengenai jelmaan Wak Diman .
Disebabkan semua orang - orang kampung heboh melihat Wak Diman menjelma semula, maka Kadri juga balik ke kampung untuk memastikan cerita mengenai bapa saudaranya itu. Dia sengaja mengendap untuk melihat keadaan sebenarnya.
Pada malam berkenaan dia tidak melihat apa - apa, kecuali deru angin malam yang menggetarkan. Dia mengajak seorang kawannya mengendap sama ada benar yang dilihat itu Wak Diman atau tidak. Lagi pun Kadri memang hendak melihat dengan mata kepalanya sendiri akan kejadian - kejadian yang dianggap tahyol oleh masyarakat moden sekarang. Kawannya itu pula Tapa Cendol, anak muda gila - gila bahasa. Kalau kena gaya memujinya, apa pun disuruh dia sanggup lakukan.
" Memang aku nampak Wak Diman tu melintas dekat pagar rumah aku " beritahu Tapa Cendol terangguk - angguk. " 3 hari buluh pagar tu bau busuk, nak loya aku dibuatnya " ujarnya menekup leher dengan 2 tangannya seolah - olah menahan rasa hendak muntah.
" Kenapa kau tak tEgur dia? " usik Kadri tersengih - sengih.
" Nak mampus! " Tapa Cendol membeliakkan matanya kerana seram disuruh menegur jelmaan Wak Diman . " Baik - baik tak kuluhum, hah, langsung kuluhum " katanya menyebabkan Kadri tertawa terbahak - bahak.
" Kau bukan ke hebat, Tapa " Kadri sengaja mengusik. " Lagikan ular sawa besar betis kau berani tangkap, inikan pula Wak Diman yang dah mati, apa kau takut? " ujarnya menepuk - nepuk bahu Tapa Cendol.
" Ular tak sama dengan hantu..." gerutunya tersengih - sengih.
Ketika inilah mereka berdua terdengar Mak Lang Emon terjerit lagi. cepat - cepat mereka berkejar ke rumah Mak Lang Emon. di sana sanak saudara sudah berkumpul sebaik saja mendengar Mak Lang Emon menjerit. Kadri pula sebaik saja sampai, melihat ke arah pintu dapur yang terbuka. Apabila dia masuk di situ, terbau bau busuk yang meloyakan. Periuk sudah tertonggeng di atas tungku.
" Jangan kau pegang apa pun di dapur tu " Tapa Cendol mengingatkan. " kalau kau pegang, nanti bau busuk tak hilang " katanya sambil mengelak - elakkan badannya dari bersentuhan barang - barang di dapur yang berbau busuk itu.
Rupa - rupanya semasa Mak Lang Emon hendak ke dapur untuk ke bilik air, dia ternampak Wak Diman makan nasi di dapur. Itulah menyebabkan dia menjerit meminta tolong.
" Nampaknya tak boleh jadi macam ni " rungut Lebai Ujud bila mengenangkan gangguan jelmaan Wak Diman itu.
Barulah mereka diberitahu mengenai aruah Wak Diman memang menyimpan hantu raya. Jelmaan Wak Diman itu adalah hantu yang sudah tidak bertuan. Akop juga menceritakan mengenai Wak Diman pernah mengangkat traktor yang terhumban ke gaung. Lebai Ujud juga teringat tentang Wak Diman mengangkat sebatang pokok sagu rembia dari hujung sawah di bawa balik ke rumahnya. pada masa itu dia tidak pula menduga bahawa menantunya ada memelihara hantu raya.
Patutlah apabila ditegur, Wak Diman yang mengangkat batang sagu rembia itu hanya mendehem saja, sedangkan Wak Diman selalunya suka berceloteh. Tetapi Lebai Ujud menyangka, tentulah ketika membuat kerja yang berat - berat dia tidak suka bercakap. Tetapi adalah mustahil manusia biasa mengangkat sebatang pokok sagu rembia.
" Kalau macam tu, kita baca yassin la nampaknya " lebai ujud menganjurkan.
Dalam masa orang ramai bercadang mahu membaca yassin beramai - ramai, Kadri mengajak Tapa Cendol terus mengintip dari mana datangnya jelmaan tersebut.
" Kalau apa saja yang diusiknya menjadi busuk, sudah tentu kita boleh jejak dia " Kadri menguatkan hati untuk terus melihat sendiri kejadian yang sebenarnya.
" Macam mana? " tanya Tapa Cendol tidak tahu hujung pangkal.
" Di mana ada terbau busuk, kita ikut. Tentu itulah jalannya " ujar Kadri.
Mereka berdua pun berdiri di depan pintu dapur untuk mendapatkan bau busuk itu dari arah mana. Kedua - dua mereka terus menyusur arah ke reban ayam. Dari sana mereka terus mengikut bau busuk itu masuk ke belukar yang lantas menuju ke arah kubur.
" Hus, ini arah ke kubur nampaknya " Tapa Cendol serba salah untuk mengikut Kadri.
" Kau takut ke? " usik Kadri perlahan.
Tapa Cendol terdiam. Malu juga dia mahu mengaku takut untuk terus mara ke kubur di waktu malam demikian. Ketika ini sudah pukul 12 tengah malam. Tetapi Kadri memang nekad untuk mengetahui jelmaan Wak Diman itu.
" Aku agak kau ni takut " Kadri menyinggungkan siku ke bahu Tapa Cendol.
" Ah, apa pula nak takutkan " cepat - cepat Tapa Cendol menafikan.
Apabila sampai di kawasan kubur, mereka terus menuju ke arah kubur Wak Diman . Bau busuk tidak ada di situ. Malam itu mereka berdua gagal untuk mengesan jelmaan Wak Diman .
Besoknya Kadri pergi melihat sendiri kubur Wak Diman , kerana semasa menaikkkan tanah kubur pada hari ke 3 kematian Wak Diman , dia tidak dapat balik. Petang itu pula dia akan terpaksa balik semula ke Kuala Lumpur. Semasa melihat kubur itu, didapatinya ada lubang di bahagian tengah kubur. Lubang itu ada kira - kira sebesar buluh aur.
Kadri memberitahu Lebai Ujud mengenai apa yang dilihat di kubur Wak Diman . Mendengarkan aduan Kadri itu, pada waktu zuhurnya Lebai Ujud bersama beberapa orang anak saudaranya pergi bertahlil dan membaca yassin di atas kubur Wak Diman.
Selepas membaca yassin, Lebai Ujud mencurahkan air bacaan yassin dalam jag ke atas kubur Wak Diman . Sebahagian dari air itu dicurahkannya pada bahagian yang berlubang itu. Setelah dicurah air yassin, lubang itu dikambus semula. Petang ahad itu, Kadri balik ke Kuala Lumpur. Dia tidak lagi mendengar cerita mengenai jelmaan Wak Diman selepas itu.
" Apa yang ustaz agak mengenai cerita Wak Diman ini? " tanya Kadri.
Saya terdiam. Sukar hendak menjawab pertanyaan tersebut. Saya mendengar kisah orang yang memelihara hantu raya ini, tetapi berlainan pula keadaannya. Saya mendengar cerita mengenai seorang lelaki memelihara hantu raya setelah dia jatuh sakit beberapa lama, saudara maranya menjadi heran kerana dia makan terlalu kuat. Sebaliknya badan semakin lama semakin kurus.
Setelah dibukakan anak tangga, lantai sekeping dan atap sekeping, barulah dia meninggal dunia. Tetapi setelah meninggal, didapati mayatnya sudah reput menunjukkan dia sudah lama meninggal dunia. Jadi, ada bermacam - macam cerita mengenai orang yang memelihara hantu raya ini.
Apa yang terjadi kepada Wak Diman ini memang saya tidak tahu. Tanda - tanda yang diceritakan semasa hayatnya memang dia ada memelihara hantu raya kata sesetengah orang tua. Dia memang kuat, tetapi dia tidak pula cemburu kepada isterinya Mak Lang Emon. Dia tidak mempunyai ilmu pengasih yang suka berkahwin dan bercerai dengan banyak perempuan. Hanya Mak Lang Emon itulah saja isterinya sejak muda lagi.
Tetapi bagaimana dengan jelmaannya yang balik semula ke rumah dan merayau - rayau di dalam kampung. Kemudian dia suka naik ke dapur untuk makan nasi menyeluk periuk sendiri. Terpaksalah pula periuk dan pinggan mangkuk yang telah digunakan itu dibuang atau dimusnahkan.
Anehnya selepas makan dan minum, dia terus meninggalkan rumah berkenaan dengan tidak menganggu sesiapa pun. Mak Lang Emon terjerit pun hanya ketika dia bangun hendak ke bilik air, dilihatnya jelmaan Wak Diman itu sedang makan nasi di dapur. Sejak itu ayahnya, Lebai Ujud menyuruhnya supaya jangan ditinggalkan nasi selepas makan malam.
Akop pula menceritakan dia berjaya mengendap jelmaan itu dan mengikutnya sampai ke kubur. Apabila sampai di kubur Wak Diman, kelihatan jelmaan itu masuk ke kubur melalui lubang yang ditemui oleh Kadri itu.
2 - 3 hari selepas itu, Kadri menerima surat dari emaknya mengatakan gangguan jelmaan Wak Diman itu sudah tidak ada. Sejak dibacakan yassin dan lubang kuburnya dikambus semula, tidak ada lagi ternampak jelmaan Wak Diman merayau - rayau mencari nasi di dapur pada waktu tengah malam.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®