04 Julai, 2000

HARIMAU MELOMPAT TENGAH SERAMBI

Tergelak besar Wak Samin bila saya tanyakan kepadanya mengenai harimau cinaku atau harimau jadian. Bagi mereka di Sumatera terutama di daerah Jambi kisah harimau cinaku ini perkara biasa saja kepada mereka, tetapi bagi orang-orang di Semenanjung mendengarnya sebagai cerita tahyol saja. Sebab itu Wak Samin tergelak besar, kerana pada sangkaannya saya hanya mahu bertanya disebabkan merasakan cerita tersebut sebagai tahyol saja.

Kebanyakan harimau cinaku ini boleh mencuri kerbau dan lembu orang-orang kampong. Mereka boleh menghilangkan diri dalam sekelip mata saja. Ada juga orang mengatakan bahawa harimau cinaku ini hanya kepalanya saja bertukar menjadi harimau, sementara batang tubuhnya kekal sebagai manusia.

“Wak tak dengar cerita macam tu” beritahu Wak Samin apabila saya tanyakan mengenai cerita harimau cinaku yang kepalanya bertukar menjadi harimau sedangkan batang tubuhnya masih kekal seperti manusia biasa.

“Setahu Wak, harimau cinaku ini berubah menjadi harimau seluruh batang tubuhnya” jelasnya lagi.

“Harimau cinaku ni banyak di Jambi ye Wak?” saya cuba menduga. “Kebetulan saja” ujarnya perlahan.
“Dulu, orang kata orang-orang Jambi yang jadi harimau cinaku” katanya tersengih-sengih macam gelihati dengan tuduhan tersebut.

“Adakah Tok Malim Udoh tu menuntut ilmu harimau cinaku?” tanya saya selanjutnya.

Dia menggelengkan kepala. Malah Wak Samin tidak mahu langsung menyebut kisah Tok Malim Udoh, sekadar dia memberitahu mengapa dia datang ke Tanah Melayu ini. Kalaulah tidak berlaku peristiwa yang menimpa gurunya, memang dia tidak akan meninggalkan kampung halamannya merantau sedemikian jauh.

Sebelum datang ke Endau, Wak Samin pernah juga berkahwin dengan seorang janda di Kota Tinggi. Perkahwinan itu tidak lama kerana isterinya lari meninggalkan dia. Disebabkan malu dengan peristiwa isterinya meninggalkannya itu Wak Samin lari membawa diri ke Endau. Demikian Tok Aji memberitahu saya mengenani kawannya Wak Samin yang sama-sama menumpang kapal barang dari Dumai menyeberang ke Tanah Melayu dan naik di Johor.

Sementara berkahwin dengan janda di Kota Tinggi itu, Tok Aji ikut sama jadi pengapit Wak Samin. Ketika ini Tok Aji juga berkahwin di Kota Tinggi dan sudah mendapat seorang anak lelaki.

Pada malam pertama hari perkahwinannya itu, janda tersebut Lisun terkejut kerana Wak Samin tidur bersener kuat. Bunyi senarnya seolah-olah seperti harimau mendengkur. Kerana was-was dengan suaminya yang datang berdagang ke situ, Lisun bertanya dari mana kampung halaman Wak Samin.

“Abang dari Palembang, tetapi menetap di Bukit Tinggi” dia menjelaskan kepada isterinya.

“Abang bukan dari Jambi?” tanya Lisun lagi.

“Tidak…” beritahu Wak Samin keheranan. Hatinya mula tertanya-tanya sama ada isterinya menduga yang bukan-bukan terhadap dirinya.

“Lisun, syak yang tak baik terhadap diri abang?” soalnya macam rasa tersinggung.

“Saya hanya nak tau, kerana orang kata orang Jambi suka jadi harimau” jelas Lisun secara jujur.

Memang dia pernah mendengar dari orang tua-tua mengenai kesukaan orang-orang Jambi mempelajari ilmu kebatinan menjelma menjadi harimau. Kebanyakan mereka pula menyalahgunakan kepandaian tersebut, dengan melakukan rompakan dan mencuri harta benda.

“Bukan semua orang Jambi begitu” Wak Samin menerangkan kepada isterinya.
Segala kebimbangan isterinya itu diceritakan oleh Wak Samin kepada Tok Aji. Bagaimanapun Tok Aji menasihatkan dia supaya bersabar saja, kerana niat baik tentu dibalas dengan baik juga.

Wak Samin sudah melupakan ilmu-ilmu kebatinan yang dituntutnya selama di Sumatera dulu. Sebab itu dia lebih suka orang memanggilnya Wak Samin saja kerana panggilan Wak itu biasanya digunakan kepada orang-orang dari Tanah Jawa saja. Kalau orang-orang dari Sumatera biasanya dipanggil ‘Pak Tua’ sebagai menghormati orang yang lebih tua.

Kerana mahu melupakan kisah-kisah di Sumatera inilah dia sanggup mengembara jauh. Dia hanya mahu menyerahkan diri semata-mata kepada Allah. Ilmu-ilmu kebatinan yang berlawanan dengan ajaran Islam, mahu dibuang jauh-jauh dari ingatannya.
Rupa-rupanya orang-orang di Semenanjung ketika itu apabila berkahwin dengan orang-orang dari Sumatera, bimbang kalau berkahwin dengan orang-orang dari Jambi. Cerita ini merebak dari satu telinga sehingga mereka benar-benar takut kepada orang-orang Jambi.

“Mereka takut harimau kerinci…” ujar Tok Aji ketawa geli hati dengan nasib yang menimpa kawannya Wak Samin.

Bagaimanapun Tok Aji dapat meyakinkan Lisun bahawa cerita-cerita mengenai harimau kerinci, harimau cinaku atau harimau jadian itu hanya reka-rekaan saja bagi menakutkan orang-orang Semenanjung dengan orang-orang Jambi.

Ketika ini ramai orang-orang Semenanjung mengambil menantu dari mereka yang datang dari Sumatera kerana dipercaya mempunyai ilmu agama yang tinggi. Untuk menyedarkan orang-orang seperti inilah ditimbulkan cerita-cerita seperti ini.

Lisun pula tidaklah mengesyaki apa-apa lagi terhadap suaminya, malah dia semakin kasih akan Wak Samin. Dia sama-sama membantu Wak Samin pergi menoreh getah atau mengait kelapa.

Satu ketika orang-orang di kampung itu diganggu oleh harimau yang membaham kambing-kambing ternakan. Mereka takut dengan gangguan itu, kerana setiap masa ada saja mangsanya. Beberapa kali dibuat perangkap tetapi mereka tidak berjaya membunuh harimau tersebut.

Akhirnya lembu ketua kampung sendiri dilarikan oleh harimau. Lembu jantan itu kesayangan ketua kampung Pak Kidam. Oleh itu Pak Kidam sanggup membayar sampai seratus ringgit kepada sesiapa yang sanggup membunuh harimau berkenaan. Pak Kidam sendiri mengajak beberapa orang kampung mengikut jejak harimau itu masuh ke hutan dengan mengesan titisan darah lembu yang menjadi mangsanya.

Di antara yang sama mengikut itu termasuklah Tok Aji dan Wak Samin sendiri. Sebagai orang dagang mereka terpaksalah mengambil hati ketua kampung supaya tidak dipandang serong. Mereka berdua sama-sama mengesan jejak harimau melarikan lembu itu.
Mereka sampai juga kepada bangkai lembu yang sudah habis sebelah pahanya ditinggalkan pada sebatang pokok. Pak Kidam pun menyuruh membuat pondok di atas pokok bagi menunggu kedatangan harimau mengulangi lagi bangkai lembu berkenaan. Pak Kidam menunggu pada sasaran yang senang dia membedil dengan senapangnya. Seolah-olah dia betul-betul berdendam dengan binatang tersebut.

Tok Aji sengaja memilih pondok tempat Pak Kidam menunggu dengan senapangnya. Sementara Wak Samin menunggu pada pokok yang satu lagi bersetentang dengan pondok Pak Kidam.
Lama juga mereka menunggu sehingga hari malam, tetapi harimau itu tidak juga datang mengulangi mangsanya. Mereka tahu lambat laun harimau itu akan datang juga semula. Disebabkan terlalu lama menunggu, salah seorang yang bertahan di pondok Wak Samin iaitu Jalit abang iparnya sendiri, terasa mahu buang air kecil.

Dia malu mahu buang air dari atas pokok itu saja, maka terpaksalah dia turun ke tanah. Ketika dia turun inilah Pak Kidam ternampak dua biji mata mara ke situ. Pak Kidam cepat-cepat menyuruh Jalit naik segera ke pondoknya, tetapi belum sempat Jalit naik semula ke pondok, harimau itu sudah hampir benar.

Serba salah Pak Kidam mahu menembak. Kalau tembakannya tidak tepat harimau itu pasti akan menerkam Jalit. Harimau terluka tentu lebih ganas apabila ternampak mangsa.

Disebabkan harimau sudah terlalu dekat, sedangkan Jalit masih belum naik ke atas pondok tempat bertahan, maka Wak Samin pun terjun ke tanah mahu menyelamatkan abang iparnya iaitu abang Lisun. Sebaik saja harimau itu mahu menerkam, Jalit nampak Wak Samin menekan ibu jari kakinya ke tanah menyebabkan harimau itu tidak dapat menerkam.

“Kau nak tunjuk kuat ye!” herdik Wak Samin.
Harimau itu seolah-olah meronta, tetapi badannya tidak dapat bergerak. Dia bagaikan terlekat pada tanah tidak boleh menghambur. Ngaumannya juga tidak keluar dari rahangnya, cuma rungutan kecil. Jalit nampak air liur harimau itu meleleh keluar seperti termakan cili padi.

“Dengan orang kampung ni kau boleh tunjuk keras kepala, tapi dengan Samin kau jangan cuba main-main” Wak Samin menggertap bibir sambil berjalan mara mendapatkan harimau yang terpaku di depannya.
Pak Kidam yang memegang senapang tidak dapat melepaskan tembakan dia. Jarinya seolah-olah kaku tidak dapat memetik trigger. Dia terpegun melihat Wak Samin yang tiba-tiba saja melompat ke tanah sebaik saja abang iparnya terperangkap tidak sempat naik ke atas pondok.

“Biadap kau…” tepiknya lantas menampar muka harimau itu sekuat hatinya.
Harimau itu menjerit kesakitan tetapi kakinya tidak terlepas dari bumi. Kaki harimau itu seolah-olah diikat dengan simin ke tanah tidak boleh diangkat langsung.

“Depan Samin, kau jangan nak tunjuk garang” dia menampar sebelah lagi muka harimau itu.
Tok Aji nampak apa yang dibuat oleh Wak Samin, kerana kedudukan pondok itu tidaklah jauh sangat. Cahaya samar-samar di pinggir hutan itu masih jelas boleh nampak dari jarak yang tidak berapa jauh. Tok Aji hanya tersenyum melihat kehebatan kawannya, tidaklah terperanjat seperti Pak Kidam. Malah Pak Kidam sendiri terasa gementar apabila Wak Samin menampar muka harimau itu.
Harimau itu merungut-rungut, tetapi tidak mengaum kuat. Air liurnya meleleh-leleh keluar. Jalit yang tercegat di bawah pokok tempat mereka membuat pondok terkencing dalam seluar kerana terlalu takut. Dia melihat sendiri harimau sebesar lembu itu tercegat di depan adik iparnya. Kemudian adik iparnya menampar beberapa kali ke muka harimau itu, tetapi sedikit pun harimau itu tidak melawan.

Beberapa minit kemudian tidak kedengaran lagi rungutan harimau. Wak Samin berpaling ke belakang dan berjalan mendapatkan abang iparnya Jalit yang terketar-ketar ketakutan. Apabila dia meninggalkan harimau berkenaan, tiba-tiba saja tubuh harimau itu berdebap jatuh.

Barulah semua orang di atas pokok turun ke tanah. Mereka memeriksa harimau itu sama ada sudah mati atau masih hidup. Sebenarnya tidak siapa pun berani mendekati harimau itu apabila turun dari pokok. Hanya setelah Tok Aji merapati harimau tersebut sambil menyepak-nyepak punggungnya, barulah orang lain berani.

Setelah diperiksa didapati muka harimau lekuk seperti disinggahi pukulan yang terlalu kuar lagi berat berpikul-pikul. Harimau itu sudah mati terbujur dengan tulang mukanya remuk. Kalau diamat-amati bekas penampar Wak Samin yang singgah ke muka harimau itu seolah-olah bekas diterjah kayu balak yang besar.

“Tak sangka awak boleh menentang harimau Wak Samin” keluh Pak Kidam masih terasa gementar.

Wak Samin tidak menyahut. Dia sendiri menyesal kerana terlalu cepat menunjukkan kepandaiannya. Tetapi kalau dia terlambat, tentulah abang iparnya Jalit menjadi mangsa pula. Harimau itu sudah bersedia untuk menerkam semasa dia terjun ke tanah. Kalau harimau tersebut sempat menerkam tentulah Jalit mendapat cedera parah. Sebab itulah Wak Samin tidak bertangguh terjun ke tanah bagi menyelamatkan abang iparnya.

Ketika ini dia tidak memikirkan apa orang kampung akan kata. Boleh jadi orang-orang kampung merasa kagum dengan tindakannya, dan boleh jadi juga mereka takut bila berhadapan dengannya. Itulah pertama kali Wak Samin menunjukkan kepandaiannya. Selama ini dia tidak pernah menunjukkan apa-apa kelebihan kepada masyarakat kampung. Malah Tok Aji sendiri tidak tahu tentang kebolehan Wak Samin menentang seekor harimau liar di hutan.

“Terima kasihlah Wak Samin kerana sudah menolong orang-orang kampung “ kata Pak Kidam mengajak semua anak buah balik semula. Cerita Wak Samin menentang harimau dengan tidak bersenjata itu cepat saja meribak ke seluruh kampung. Jalit juga memuji-muji adik iparnya itu, malah dia merasa terhutang nyawa kepada Wak Samin. Kalaulah tidak kerana Wak Samin cepat datang menolong sudah tentu dia menjadi mangsa harimau.

Kegagahan Wak Samin menentang harimau ini telah menjadi bualan. Tidak lama kemudian Tok Aji, membawa anak isterinya ke Singapura, tinggallah Wak Kamin saja di Kota Tinggi. Ketika ini Lisun sudah mula mengandung 3 bulan. Entah mengapa dalam masa mengandung ini Lisun kuat mendesak Wak Samin ke hutan kerana dia mahu melihat harimau hidup-hidup.

Wak Samin tahu desakan Lisun bukanlah kerana mendengar kegagahan dia meneang harimau dan menyelamatkan Jalit, tetapi pembawaan orang mengandung. Heran juga dia dengan pembawaan Lisun. Kalau perkara lain dia memang bersedia untuk memenuhi kemahuannya, tetapi untuk melihat harimau hidup bukanlah perkara yang menjadi kebiasaan.

“Saya hendak sangat melihat harimau hidup, bang” desak Lisun selepas makan tengah hari.

“His, merepek aje kau ni Lisun” rungut Wak Samin.

“Betul-betul ni bang, saya ingin sangat” kata Lisun lagi bagaikan tidak sabar.

“Harimau di trengah hutan, macam mana nak bawa kau ke sana? “ Wak Samin cuba menasihati isterinya.

“Cubalah abang bawa saya jumpa harimau” ujar Lisun bersungguh-sungguh. Wak Samin tahu pernmintaan Lisun itu bukanlah olok-olok. Memang pembawaan orang mengandung bermacam-macam. Tetapi dia heran juga dengan pembawaan Lisun yang ganjil dari orang lain. Belum pernah dia mendengar pembawaan perempuan mengandung mahu melihat harimau berjalan-jalan dan melompat-lompat.

Harimau binatang ganas yang liar di hutan, bukanlah seperti kucing yang boleh dibuat permainan. Sebaliknya bila didesak oleh Lisun, dia menjadi serba salah juga. Kalau tidak dipenuhi pembawaan orang mengandung entah apa pula bencana.
Puas memikirkan apa harus dibuat. Wak Samin mengadukan halnya kepada Jalit. Selalunya dia minta buah fikiran Tok Aji, tetapi disebabkan Tok Aji tidak ada, dia pn bertanya pada Jalit.

“Kau dah gila.....” Jalit memarahi adiknya Lisun kerana membuat permintaan yang bukan-bukan. “Apa yang kau pinta Samin lakukan ni cari nahas saja” ujar Jalit keras.

“ Saya tahu Abang Samin boleh jinakkan harimau. Nyawa abang pun Abang Samin yang selamatkan” Lisun tersinggung dengan sikap abangnya berkasar terhadap dirinya. “Takkan dia tak boleh jinakkan harimau, kalau saya sendiri yang nak tengok” katanya macam mengejek.
“Perkara sia-sia yang kau minta Samin buat” jerkah Jalit masih heran dengan permintaan adiknya.

Dia tahu Lisun sudah mendengar cerita Wak Samin membawanya ke hutan untuk melihat harimau hidup-hidup. Kalau memakan binatang-binatang hutan seperti pelanduk, kijang, rusa atau naouh dia sendiri sanggup menemankan Wak Samin pergi memburu.
Tetapi permintaan seperti Lisun ini jarangbenar didengar. Malah tidak pernah perempuan mengandung mahu mengidammelihat binatang buas hidup-hidup. Apa lagi harimau yang ganas di hutan.

“Janganlah kau minta yang bukan-bukan Lisun “ ujar Jalit menasihatinya.

“Saya ingin sangat nak tengok.....” Lisun macam merayu.

“Tak boleh kah kau minta yang lain?” soal Jalit semakin heran.

“Entah lah bang, saya tak dapat nak minta yang lain” jelasnya tegas.

Wak Samin terdiam dengan desakan isterinya itu. Dia semakin gelisah dengan desakan isterinya itu. Dia semakin gelisah mengenangkan permintaan yang diluar dugaan itu. Bagaimanakah seorang perempuan mengandung mengidam mahu melihat harimau hidup-hidup padahal tidak pernah didengarnya perempuan mengidam sedemikian.

Tetapi pembawaan perempuan mengandung bermacam-macam. Ada perempuan yang suka menghisap puntung rokok saja, ada yang suka makan sepah sirih, ada yang mahu makan asam, ada pula yang  suka mandi air telaga dan bermacam-macam lagi. Wak Samin terpaksa menerima hakikat ini bahawa amalan-amalan yang dipelajari dari Tok Malim Udoh inilah yang sedang menguji dia sekarang.

Sedangkan Jalit sudah tidak berupaya untuk menghalang kemahuan Lisun. Apa lagi permintaan itu merupakan pembawaan perempuan mengandung.

“Aku tak dapat nak cakaplah, Samin” keluh Jalit memberi keputusan kerana tidak sanggup lagi menasihatkan Lisun.

“Tak apalah bang Jalit, muga-muga dia boleh lupakan juga” sahut Wak Samin dengan satu harapan tergaris di hatinya.

Tetapi sepeninggalan Jalit itu, Lisun tetap tidak mahu mengalah. Dia berkeras mahu mengajak Wak Samin ke hutan kerana hendak melihat sendiri harimau hidup-hidup. Puas Wak Samin memujuk dia berkeras juga mahu seperti yang dihajatinya.

“Nanti kau terkejut kerana takut” Wak Samin cuba berdalih.

“Ah, itu dalih abang saja kerana tak mahu membawa saya ke hutan” Lisun mencemiknya.

“Kalau Lisun nak tengok harimau tak payah ke hutan” beritahu Wak Samin perlahan. “Abang boleh panggilkan harimau datang ke sini” jelasnya tersengih-sengih macam menduga perasaan Lisun.

“Abang sengaja takut-takutkan saya” perempuan itu menjuihkan bibir mengejek. :Kalau abang boleh panggilkan, panggillah” ujarnya mencabar Wak Samin.

“Nanti Lisun ketakutan” Wak Samin masih menasihatkan dia.

“Saya teringin nak tengok, tak kan saya ketakutan” sahutnya keras.
“Kalau begitu baiklah’ Wak Samin memberi jaminan.

Sedapat-dapatnya dia tak mahu melukakan hati isterinya. Dia tahu hidup berdagang di rantau mesti tahu membawa diri. Mesti selalu merendahlkan diri kepada sesiapa saja. Apa lagi dengan isteri sendiri dia dia mesti tunjukkan segala kasih sayangnya. Apa saja permintaan isteri mesti dipenuhi juga.

Dia menyuruh Lisun naik keatas para romeh, iaitu lantai yang sengaja dibuat seperti silng rumah.

“Lisun tunggulah di sini, dan jangan kemana-mana” katanya kepada isterinya penuh kasih sayang.

Setelah Lisun naik keatas para rumah, Wak Samin pula mula membakar kemenyan dan mulutnya kumat kamit membaca sesuatu. Lisun memerhatikan sahaja kelakuan suaminya, sementara matanya melingas-lingas dari manakah harimau yang dipanggil oleh suaminya akan masuk ke dalam rumah.

Lama Lisun memerhatikan suaminya, dia terperanjat bila Wak Samin membongkok sambil meneran sesuatu seperti laku orang mahu membuang air besar. Tiba-tiba ekor panjang keluar dari punggongnya. Setelah ekornya keluar, Wak Samin mula meniarap seperti kucing bangun dari tidurnya.

Kemudian dia menguling-gulingkan badannya dan mengeliat-ngeliat. Dari sinilah tubahnya berubah sedikit demi sedikit menjadi harimau sepenuhnya. Apabila sudah menjadi harimau sepenuhnya, Wak Samin pun melompat dan berjalan dari serambi masuk ke induk rumah. Dia menganga- ngangakan mulut seperti terkuap-kuap kelaparan. Sekali sekala mengerling juga ke arah para rumah supaya isterinya dapat melihat dengan jelas rupa seekor harimau yang hidup.

Kira-kira setengah jam dia menjelma menjadi harimau, Wak Samin pun memulihkan semula dirinya. Setelah dia kembali kepada asalnya, cepat-cepat dia mendapatkan isterinya di atas para. Tapi, alangkah terkejutnya dia melihat Lisun pengsan tidak sedarkan diri.

Disebabkan dia sudah menduga Lisun memang terkejut melihat harimau hidup maka tidak Wak Samin terkejut benar. Tetapi yang diketahui oleh Wak Samin ialah Lisun terkejut kerana suaminya bertukar menjadi harimau.

Terpaksa pula Wak Samin memulihkan isterinya dari pengsan. Sebaik saja Lisun sembuh dia terus meluru ke pintu lari dari rumahnya. Dia terus balik ke rumah emaknya dan enggan balik semula kepada suaminya. Puas dipujuk oleh Jalit supaya Lisun jangan ikutkan perasaan, namun dia tetap berdegil tidak mahu balik lagi mendapatkan Wak Samin.

“Selama ni saya nikah dengan harimau,” dia merintih-rintih memberitahu keluarganya. “Saya lihat sendiri Samin bertukar menjadi harimau. Saya tak mahu lagi bersuamikan harimau,” katanya menangis hiba.

“Perasaan kau saja Lisun,” kata Jalit memarahinya. “Pasal kau berkeras mahu melihat harimau, sebab tu Samin pun kau kata harimau!” Jalit tidak percaya dakwaan adiknya Wak Samin bertukar menjadi harimau.

Emaknya juga menasihatkan Lisun supaya balik semula ke rumah. Masalah Wak Samin bertukar menjadi harimau bukanlah perkara yang boleh meruntuhkan rumah tangga mereka. Wak Samin tidak pernah menganggu sesiapa pun dengan kepandaiannya menukar dirinya menjadi harimau.
Malah dia sudah menolong Pak Kidam dengan kebolehannya itu, disamping menyelamatkan nyawa Jalit. Ilmu di dada menjadi salah kalau ianya disalah gunakan , tetapi kalau digunakan dijalan kebaikan, ia tetap memberi manafaat kepada semua orang.

Setelahmendapat tahu isterinya tidak mahu lagi balik kepadanya, disamping menuduhnya seekor harimau, maka dengan diam-diam Wak Saminmelarikan diri dari kampung tersebut. Dia malu bertemu muka dengan mak mentuanya dan juga sanak saudara Lisun. Tidak pula diduganya Lisun membukakan rahsia tersebut kepada kaum keluarganya.

Tidak siapa pun mengetahui ke mana Wak Samin membawa dirinya. Sementara Lisun pula sentiasa meracau-racau takut menjadi isteri harimau. Dia memekik-mekik kerana sudah trerpeday hingga menjadi isteri harimau. Penyakit Lisun tidak dapat diberitahu kepada Wak Samin. Hingga akhirnya Lisun meninggal dunia akibat terkejut melihat suaminya menjadi harimau, siapa pun tidak dapat menyampaikan berita itu pada Wak Samin.

“Saya kira amalan menjadi harimau ni bertentangan dengan ajaran Islam,’ kata saya memerhati Wak Samin.

Dia menganggukan kepala. Kemudian menunduk memikirkan sesuatu.

“Iya, kerana menyamakan diri kita dengan binatang,” keluhnya perlahan.

Saya tahu Wak Samin juga bukanlah sebarangan orang dari segi pengetahuan agama. Sebab itu saya tidak banyak bertanya mengenai perkara lain selain dari amalan dirinya yang boleh menukarkan sifat tubuhnya kepada harimu.

“Ustaz tak lakukan Wak? “ katanya macam menyindir.
“Tidak,” sahut saya menggelengkan kepala. “Saya hanya takut kepada Allah,” beritahu saya tegas.
“Alhamdulillah.....’” dia tersenyum menatap muka saya.

Ketika ini saya membaca Ayat Kursi di dalam hati hingga sampai 313 kali. Tetapi saya lihat Wak Samin tetap tidak menghadapi apa-apa perubahan. Kemudian dia tersenyum lagi sambil menepuk paha saya.

“Wak tak ada apa-apa Ustaz,” katanya lagi. Saya merasakan diri saya disindir, tetapi saya sedar Wak Samin juga tahu saya sedang mengujinya. “ Wak tak ada amalkan ajaran yang berlawanan dengan aqidah Islam. Hanya kepada Allah, Wak mohon pertolongan dan perlindungan,” jelasnya terangguk-angguk.

Saya percaya dengan kata-kata Wak Samin itu. Memang Tok Aji sudah pesankan kepada saya mengenai diri Wak Samin itu dia tidak lagi mengamalkan pertapaan yang membolehkan dirinya menjelama menjadi haiwan. Sudah tentulah menjadikan diri kepada haiwan itu tidak dikehendaki oleh Islam.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®