Komik Pedang Setiawan tamat selepas 25 tahun dijual
Pasti ramai yang pernah ‘tergila-gilakan’ komik berunsur kisah alam pendekar dari Hong Kong yang diterbitkan dalam siri episod ketika di zaman remaja pada tahun 90-an.Sebut sahaja komik, Raja Rimba, Alam Perwira, Dewata Raya dan lain-lain lagi pasti ramai yang mengimbau saat mula-mula komik berkenaan diterbitkan, salah satunya ialah komik Pedang Setiawan yang pernah diadaptasikan ke layar perak.
Mungkin ramai pembaca tertanya-tanya, apakah kesudahan jalan cerita komik Pedang Setiawan karya Mah Wing Shing yang tamat pada episod 667 setelah 25 tahun berada di pasaran.
Jurucakap kepada Unit Editorial Real Network Sdn Bhd yang hanya mahu dikenali sebagai Chia mengesahkan bahawa, komik Pedang Setiawan telah ditamatkan pada bulan April 2015 untuk versi Bahasa Malaysia.
“Komik ini telah tamat namun, jalan cerita terakhirnya masih lagi menjadi rahsia kerana buat masa ini, kesudahan jalan ceritanya hanya disiarkan dalam pameran manuskrip kesudahan Pedang Setiawan di Hong Kong.
“Mungkin dalam masa terdekat ini, ia juga akan diterbitkan di Malaysia dalam bahasa Melayu dan Cina,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Menurutnya, komik tersebut diterbitkan di bawah nama Jonesky Publishing Limited. Isu pertama komik itu diterbitkan di Hong Kong pada tahun 1989 dengan nama Fung Wan (Angin dan Awan) manakala, keluaran versi Bahasa Malaysia yang pertama pula diterbitkan sekitar awal 90-an dan ianya dinamakan sebagai Pedang Setiawan.
“Pedang Setiawan merupakan antara komik yang diminati ramai pada awal 90-an dan ianya diterbitkan seminggu sekali pada mulanya. Kemudiannya ditukar dua minggu sekali dan sebulan sekali. Di awal pembabitan Mah Wing Shing dalam bidang ini, bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk memperkenalkan watak-watak utama Pedang Setiawan iaitu Penjejak Awan dan Penjejak Badai.
“Sejak keluaran isu pertama, berlakunya beberapa perkembangan baik dari segi gaya dan strok lukisannya serta perkembangan penceritaan watak utamanya sehinggalah kepada gambar-gambarnya yang dilukis dengan begitu berseni sekali,” katanya.
Mengulas lanjut, Chia berkata, komik Pedang Setiawan digilai ramai kerana Mah Wing Shing bijak menonjolkan beberapa perkembangan watak-watak dengan munculnya beberapa watak pahlawan generasi kedua yang lebih memberi fokus kepada Penjejak Angkasa (anak Penjejak Awan) dan Yi Feng (anak Penjejak Badai) dalam keluaran komik Fung Wan generasi kedua yang telah ditukarkan nama kepada Tin Ha (Di Bawah Langit).
“Gandingan watak-watak tersebut sebenarnya menghasilkan satu jalan cerita yang lebih baik dalam menonjolkan hubungan kekeluargaan yang kadangkala ada pasang surutnya. Contohnya hubungan Yi Feng yang tidak berapa akrab dengan bapanya, Penjejak Badai kerana Yi Feng telah dibesarkan oleh bapa angkatnya di sebuah kasino, manakala Penjejak Angkasa pula sering dibayangi oleh bapanya, Penjejak Awan.
“Sudah lebih 25 tahun komik Pedang Setiawan ini dijual di pasaran dan atas populariti yang begitu mengagumkan, komik itu telah mendapat keuntungan melalui penjualan hak cipta seperti penjualan figura watak-wataknya dan replika senjata, cerita seperti Storm Riders (1998) dan Storm Warriors (2009) serta permainan video dan penghasilan animasi,” katanya.
Ulasan rasasayang79:
Teringat dulu masa remaja dan masih nampak. Saya juga salah seorang peminat komik ini. Nak beli tak mampu, rasanya pinjam yang kawan punya untuk baca. hahahaha.