Lantang kritik PBS, guru dakwa diarah tukar
SHAH ALAM - Gara-gara lantang mengkritik sistem pendidikan negara, dua orang guru mendakwa telah diarah bertukar sekolah serta-merta.Menurut seorang daripada guru berkenaan, tindakan tersebut diambil jabatan pendidikan negeri ekoran penyertaannya dalam kempen Mansuh PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) yang akan berlangsung esok.
Namun, difahamkan surat arahan pertukaran itu masih belum diterima guru-guru terbabit.
“Surat ini adalah satu tindakan daripada kementerian (Kementerian Pendidikan Malaysia) untuk menggagalkan himpunan esok. Sekali gus membuktikan bahawa mereka menggunakan kuasa mereka untuk menutup atau menghalang apa jua usaha untuk membuka kelemahan mereka.
“Ini salah satu bentuk kezaliman yang dilakukan kepada guru-guru yang cuba memberitahu kebenaran. Surat tersebut berkuat kuasa 17 Februari 2014 tapi saya masih belum menerima surat berkenaan secara rasmi,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Beliau menolak bahawa tindakan itu akan menyekat penyertaannya dalam himpunan membantah PBS, esok.
“Tindakan ini adalah cubaan untuk menutup mulut saya. Apa jua tindakan yang akan dikenakan ke atas saya, saya terima dengan hati terbuka dan saya akan memberi laluan kepada pihak kementerian untuk membuat apa jua tindakan untuk menutup mulut saya.
“Semangat saya tak pernah luntur kerana saya tahu kalau nak menyatakan kebenaran, ini yang saya perlu terima,” katanya.
Sistem PBS menerima pelbagai desakan dan kritikan sejak tahun lalu ekoran bebanan guru yang semakin bertambah selain kesan sistem itu kepada pelajar-pelajar.
Sementara itu, sistem aplikasi PBS pula sedang ditambah baik dan dijangka siap April ini.
*sinar harian, 22.2.2014