JENGKA - Berketinggian 2.07 meter, tidak mematahkan semangat seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Jengka, untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat lebih tinggi.
Pelajar terbabit, Mohammad Adli Hisham Abd Ghafar, 19, tidak pernah merasakan dirinya terpinggir dengan saiz badannya lebih tinggi dan besar berbanding rakan sebayanya lain.
(lanjut sila klik butang papar)
Bagi Mohammad Adli, tidak ada yang sukar baginya meneruskan kehidupan seharian melainkan mempunyai masalah dengan saiz kasutnya yang tidak terdapat di negara ini.
“Saya memakai saiz kasut 14 dan ia terlalu sukar untuk diperolehi di sini sehinggakan abang saya terpaksa membelikan kasut untuk saya di luar negara,” katanya anak ketujuh dan lapan beradik.
Berasal dari Kelantan, dia memberitahu, sejak sekolah lagi dia tidak pernah dihina atau diejek rakannya melainkan kata-kata belakang yang dilontarkan mungkin kerana pelik melihat saiz badannya.
“Saya tidak pernah diejek rakan-rakan. Jika ada, mungkin sekadar kata-kata belakang yang saya anggap sebagai pembakar semangat saya untuk terus membuktikan kepada semua orang bahawa walaupun dengan saiz badan begini, saya juga boleh berjaya ke menara gading,” katanya.
Tambahnya, sejak berada di UiTM, dia tidak menafikan sering mendapat perhatian orang ramai, malah dia kini sedang bergiat aktif dalam sukan bola keranjang yang baru sahaja diceburinya sejak belajar di situ.