31 Oktober, 2011

Apabila orang kenamaan jalan tutup mata

Exco jalan kaki tutup mata


BANDA HILIR - Bagi merasai sendiri kesulitan di hadapi golongan cacat penglihatan, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerja Raya dan Kemudahan Awam, Datuk Ab Karim Sulaiman turut serta berjalan kaki sejauh 2.8 kilometer sambil menutup mata.

Beliau berbuat demikian bersama lebih 600 peserta menyertai Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa Peringkat Negeri Melaka berlangsung di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini semalam.

(klik butang papar untuk meneruskan bacaan)





Acara yang julung kalinya diadakan di negeri ini bertujuan memberi peringatan kepada pemandu kenderaan dan pengguna jalan raya lain terhadap betapa pentingnya keprihatinan kepada golongan cacat penglihatan ketika mereka hendak melintas jalan. Menurut Ab Karim, bermula di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini, kesemua peserta berjalan kaki sejauh 2.8 kilometer bagi mendapatkan perhatian ramai, khususnya di kalangan pengguna jalan raya.

Katanya, dia turut menutup mata bersama peserta lain bagi merasai sendiri rintangan dialami golongan cacat penglihatan.

“Semoga dengan acara ini, Negeri Melaka bebas daripada berlakunya nahas jalan raya khususnya melibatkan golongan cacat penglihatan,” katanya kepada media, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, Melaka, Hashim Ishak berharap dengan adanya program sedemikian mampu membuatkan orang ramai memahami keperluan warga cacat penglihatan di samping memperolehi kesedaran awam.

“Saya ingin menyeru kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menyediakan satu unit audit akses yang mempunyai peranan membantu golongan seperti kami.

“Sekiranya ada lubang atau longkang diharap dapat ditutup bagi mengelakkan golongan sebegini daripada terjatuh,” katanya.


(petikan sinar harian - 31 Oktober 2011)


  • kongsikan pandangan anda menggunakan akaun FB

Copyright © dunia rasasayang ®