12 September, 2011

Berita baik untuk OKU dalam PBT

Berita baik buat warga OKU. Ini kerana selepas ini dalam perancangan dan pembangunan dalam setiap pihak berkuasa tempatan (PBT)akan juga turut diputuskan oleh golongan OKU.

Seorang OKU akan duduk semeja dalam mebuat keputusan bagi aktiviti perancangan dan pembangunan sesebuah kawasan. Antara impak yang bakal diterima adalah seperti berikut:

  • impak pertama ialah pertambahan prasarana untuk golongan OKU di negara ini.
  • impak kedua ialah meningkatkan kefahaman berhubung masalah serta keperluan OKU dalam PBT
  • impak ketiga pula ialah pelantikan itu mampu menukar peranan OKU daripada penerima bantuan kerajaan dan masyarakat kepada penyumbang yang boleh membantu memajukan negara serta masyarakat.

(klik butang "papar" untuk melihat petikan penuh akhbar)




Pelantikan OKU dalam PBT bakal beri tiga impak utama


KUALA LUMPUR - Pelantikan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai anggota jawatankuasa perancangan dan pembangunan dalam setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini bakal memberikan tiga impak utama, kata Presiden Majlis Gabungan Persatuan OKU Malaysia Datuk Mah Hassan Omar.

Beliau berkata impak pertama ialah pertambahan prasarana untuk golongan OKU di negara ini.

"Kemudahan awam akan lebih mesra OKU, dan mereka tidak terhalang menikmati kemudahan awam yang diberikan kerajaan untuk rakyat kerana kemudahan itu hak OKU sebagai rakyat Malaysia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Jemaah Menteri yang bersidang Rabu lepas meluluskan cadangan kementerian itu agar OKU dilantik dalam jawatankuasa PBT.

Mah Hassan, yang cacat penglihatan berkata, pertambahan prasarana mampu memudahkan golongan OKU menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan LRT, selain dimanfaatkan warga emas serta kanak-kanak.

"Ada cakap hanya OKU dapat faedah, tetapi bila kemalangan, terpaksa naik kerusi roda sekejap, tunggu pulih jadi OKU sementara, jadi beri faedah kepada dia, ibu hamilpun begitu, dapat manfaatkan prasarana ini, walaupun jadi OKU sementara.

"Jadi, bila kita peruntukkan bajet bina prasarana OKU, kita bukan hanya beri peruntukan untuk kepentingan OKU sahaja, semua masyarakat dapat faedah dengan peruntukan itu," katanya.

Mah Hassan berkata impak kedua ialah meningkatkan kefahaman berhubung masalah serta keperluan OKU dalam PBT kerana golongan itu lebih memahaminya dan mereka yang dilantik perlu menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk menjadi hab atau perantara OKU untuk golongan berkenaan.

Beliau berkata impak ketiga pula ialah pelantikan itu mampu menukar peranan OKU daripada penerima bantuan kerajaan dan masyarakat kepada penyumbang yang boleh membantu memajukan negara serta masyarakat.

"Banyak orang beranggapan jadi OKU sudah tidak boleh buat apa-apa, itu tidak betul. Kita masih mampu berkhidmat untuk masyarakat dan negara, cuma kita perlu (diberi) peluang," katanya. - Bernama

petikan Sinar Harian


  • kongsikan pandangan anda dengan menggunakan akaun facebook

Copyright © dunia rasasayang ®