29 Julai, 2011

Harimau Malaya terkulai dibaham Singa

Saya mengikuti dengan penuh minat perkembangan bola sepak tanahair. Malah sejak dari dulu lagi saya memang minat dengan bola sepak. Cuma setelah dunia saya "gelap" saya tidak lagi bermain bola sepak.

Tetapi ianya tidak membataskan minat dan sokongan saya kepada sukan bola sepak. Terbaru apabila berkongsi kesedihan dengan seluruh rakyat Malaysia mengenai kekalahan secara agregat 4 - 6 ke atas tangan Singapura.

(klik butang "papar" di bawah untuk meneruskan bacaan)





Sepanjang 90 minit saya berada di depan kaca TV, mendengar dengan penuh minat ulasan pengacara mengenai perlawanan antara Malaysia dengan Singapura. Yang menang akan mara ke pusingan ketiga kelayakkan Piala Dunia, manakala yang kalah pula perlu terus mempelajari kesilapan. Tapi sampai bila??

Sampai bila kita akan terus duduk di tangga yang sama tanpa mendaki dengan lebih tinggi?

Saya seccara peribadi memberi penghormatan tertinggi kepada skuad Harimau Malaya kerana berjaya membangkitkan semarak bola sepak tanahair. Layak ke pusingan kedua sebagai penawar kepada kedudukan bola sepak kita. Alangkah manisnya kalau kita layak ke pusingan ketiga dan seterusnya mengejar impian untuk beraksi dalam piala dunia.

Rakan saya dihujung sana berkata,

"ah ... malaslah nak tengok pasukan Malaysia main, dah tahu keputusannya"

Saya tidaklah berhasrat untuk mempertikaikan keputusannya. Tapi bagi saya itu tidak melambangkan semangat kebangsaan yang tinggi. Kita ,memikul nama Malaysia di bahu kita. Maruah kita, imej kita, seharusnya kita bangga dan terus memberi sokongan terhadap pasukan negara walau sudah menjangkakan keputusan perlawanan.

Mengenai siri kekalahan bukan bererti kita gagal selamanya. Dan itu juga bukan alasan untuk pihak yang terbabit terus selesa dengan jawapan itu. Mereka perlu terus bekerja keras. Bukan sekadar omong kosong di kedai kopi atau seronok membuat alasan di dalam dada akhbar.

Saya memang tidak nampak apa yang tertera di kaca TV, namun apa yang saya dengar dari ulasan pengacara dan info dari adik, pemain Singapura membariskan pemain-pemain import yang diberi taraf kerakyatan oleh kerajaan Singapura.

Sudah tentu fizikal mereka lebih besar dari rakyat kita. Apakah itu juga alasan? Sudahlah dengan alasan itu. Lihat Jepun dan Korea Selatan ....

Keputusan rasmi, Malaysia tersingkir dan harus menunggu empat tahun lagi untuk mencuba nasib. Dan sehingga itu kita mengharapkan ada sesuatu yang lebih manis dari skuad Olimpik Malaysia ..



  • kongsikan pandangan anda dengan menggunakan akaun facebook

Copyright © dunia rasasayang ®