Benarkah cikgu ni buta?
Ada orang bertanya malah rakan sekolah pun tertanya-tanya, benarkah saya tidak nampak. Benarkah saya buta?Segalanya terjawab dengan menekan butang "papar" di bawah:
Saya dilahirkan pada tahun 1979 dengan penglihatan terhad. Mata sebelah kiri tidak nampak sejak dari lahir. Manakala mata sebelah kanan penglihatan terhad dengan ukuran 6/36 atau dapatlah saya simpulkan hanya 40% dari mata normal.
Ini bermakna saya hanya nampak sebelah kanan dengan penglihatan 40% - 50% sahaja dari orang normal.
Saya juga menghidap penyakit mata sejak dari lahir iaitu glaukoma (conginental glaucoma). Penyakit ini adalah penyakit saraf mata yang melibatkan tekanan dalam mata. Biasanya tekanan yang tinggi akan menyebabkan saraf mata akan rosak sedikit demi sedikit.
Untuk mengawal tekanan tersebut, saya terpaksa mendapat rawatan pakar disamping menggunakan ubat setiap hari. Ianya bermula ketika saya berusia 3 tahun lagi.
Saya mendapat khidmat pakar dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Doktor yang banyak membantu saya ialah Dr Ropilah yang menjaga kes saya dari kecil sehinggalah dia mendapat status profesor. Lama kan?
Dari kecil, penglihatan saya sedikit demi sedikit semakin menyusut, namun masih boleh bertahan dengan bantuan ubat.
Sehinggalah tahun 2001, ketika saya berusia 21 tahun dan ketika itu saya dalam semester akhir di universiti, Allah menguji saya di mana penglihatan saya turun dengan mendadak. Boleh dikatakan hanya tinggal 2%.
Saya bergegas ke HUKM dan doktor mengesahkan retina mata saya sudah tertangal dari kedudukan asal. Pembedahan harus dijalankan segera agar tidak terus buta. Retina yang tertanggal adalah akibat tekanan tinggi pada urat saraf mata saya.
Saya menjalani beberapa siri pembedahan dan doktor dengan izin Allah berjaya menaikkan sedikit penglihatan lebih kurang 10% - 15% sahaja.
Saya gagahi untuk menghabiskan kertas semester akhir yang saya tangguh kerana sakit. Dan saya grade pada tahun 2002.
Setelah tamat pengajian, saya ditawarkan tempat mengjar di Sarawak. Tuhan sahaja yang tahu dengan tahap penglihatan yang terhad. Sudahlah belajar di sekolah normal, belajar di universiti pun secara normal, malah mengjar pun sehingga kini di sekolah normal. Kini saya berkhidmat di kampung halaman sendiri di sekolah normal. Bukan sekolah pendidikan khas.
Dari tahun 2002 - 2005, tahap penglihatan saya hanya 10% - 15% sahaja. Sudalah begitu, akibat pembedahan yang terlalu banyak, kornea saya pula menjadi rosak. Seingat saya sejak dari kecil sehingga saya benar-benar hilang penglihatan secara total, siri pembedahan untuk mata saya melebihi 20 kali.
Kornea yang semakin uzur menyebabkan saya menanggung sakit yang teramat. Siapa yang pernah kena dia akan tahu. Mata akan sentiasa pedih dan berair.
Pada tahun 2005, Allah menguji saya untuk sekian kalinya di mana retina yang berjaya ditampal pada tahun 2002 telah tertanggal kembali. Menurut doktor, jika retina sudah tertanggal dua kali, peluang untuk melekat semula melalui pembedahan adalah amat tipis.
Pada Januari 2006, pembedahan terakhir saya , di situlah detik-detik terakhir saya dapat melihat keindahan dunia. Setelah melalui siri pembedahan yang sukar, melibatkan dua pakar mata iaitu pakar retina dan pakar kornea, akhirnya penglihatan saya gagal diselamatkan. Saya kini buta penuh.
Sudah hampir enam tahun saya tidak dapatmelihat birunya laut, hijaunya tumbuhan dan cantiknya ibu saya. Namun , saya tetap bersyukur kehadratIlahi, kerana memberi peluang kepada saya mengecapi keindahan dunia selama 26 tahun.
Dengan sedikit penjelasan ini, semoga apa yang bersarang di minnda para pembaca dan rakan-rakan terjawab. Saya bukan seperti dulu yang dapat melihat dunia yang canitk ini.
"sakit itu satu nikmat"
Bagi yang terlepas mengikuti kisah hidup saya yang tak seberapa boleh layari link berikut:
klik sini
Artikel Terdekat