18 Mac, 2011

Pengalaman menghadiri demo panel E-Braille Quran

Pada tanggal 15hb March 2011, tepat jam 2.30 saya tiba di perkarangan Hotel Primula, Kuala Terengganu untuk "meraba" sendiri suatu produk digital yang diberi nama "panel E-Braille Quran For Teaching Aid"




Saya sendiri tidak merencana untuk hadir dalam demo produk digital berkenaan. namun dengan izin Allah, saya dapat menyentuh dan merasai sendiri pengaalaman menggunakan produk tersebut. Ulasan awal saya, sangat membanggakan! Teruskan membaca review saya dengan menekan butang
"papar" di bawah.








Saya tiba di lobi Hotel Primula, Kuala Terengganu tepat jam 2.30 petang dengan bantuan bapa mertua. Itupun setelah saya membaca maklumat suatu demonstrasi panel E-Braille Quran For Teaching Aid melalui blog cikgu zakaria

Cikgu Zakaria adalah Yang diPertua Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam malaysia (PERTIS). Seorang yang cacat penglihatan seperti saya. Sebelum ini kami tidak pernah bersua dan berjabat tangan, hanya melalui telefon dan email kami pernah berhubung.

Pertemuan kami atas izin Allah jua kerana kebetulan saya sedang bercuti di Kuala Terengganu. Itupun setelah isteri saya yang juga merupakan rakyat Kuala Terengganu sedang berpantang kepada Adriana Adni. Maka dapatlah saya mengikuti demo kali ini. Jika tidak, entahkan bila saya dapat berpeluang berkenalan dengan beliau dan produk tersebut.

Tiba di pintu utama, saya disambut oleh seorang budak kecil. Terkejut saya apabila tangan saya dipimpin oleh budak berkenaan. Manakan tidak, dalam pemikiran saya membayangkan sudah tentu ada penyambut tetamu hotel atau setidak-tidaknya AJK majlis perkenaan yang akan memimpin saya ke tempat pameran.

Perkara itu tidaklah menjadi masalah besar bagi saya kerana saya ditemani oleh bapa mertua. Dan tatkala tangan saya dipimpin oleh budak tersebut, kepala saya ligat memikirkan siapakah gerangan budak kecil tersebut. Akhirnya saya menemjukan jawapan dengan bertanya adakah dia anak cikgu Zakaria.

Alangkah lega hati saya apabila dia menjawab ya atas soalan saya. Beruntung cikgu Zakaria mempunyai anak yang prihatin dan baik hati. Mudahan dia membesar sebagai insan yang cemerlang dunia dan akhirat.



Saya minta diketemukan dengan cikgu Zakaria dan anak kecil itu tidak menghampakan saya. Kami bersalaman dan memperkenalkan diri. Berbual sedikit sebanyak, saya duduk di tempat yang telah disediakan oleh pihak penganjur.

Masih tidak terlewat buat saya, kerana majlis pada petang itu belum dimulakan secara rasmi. Cuma dari jauh saya mendengar bunyi-bunyi ayat al quran dari mesin tersebut. Rasa ingin tahu terus meluap-luap dalam diri. Kedengaran suara peserta-peserta lain yang kemudiannya saya tahu terdiri daripada ahli-ahli PERTIS cawangan Terengganu.


Saya dimaklumkan oleh cikgu Zakaria itulah alat panel e.braille yang dimaksudkan. Cuma pihak penganjur membawa enam unit sebagai demo.

Setelah bacaan doa dan ucapan oleh pihak penganjur, maka sesi demo dimulakan. Berikut adalah serba sedikit maklumat mengenai produk "panel E-Braille Quran For Teaching Aid"



Bentuk Fizikal / spesifikasi umum

  • berbentuk lebih kurang empat segi tepat.
  • lebih ringan dan kecil berbanding mesin braille
  • mempunyai sambungan elektrik
  • mempunyai bateri "rechargeable" yang boleh bertahan selama 150 minit (purata)
  • mempunyai speaker built in
  • mempunyai line out untuk speaker tambahan atau headphone
  • mempunyai USB port yang menggunakan alat khas seperti thumb drive
  • mempunyai butang dwi mode (stand alone dan grouping learning)
  • mempunyai sambungan wayerless untuk pembelajaran berkelompok
  • mempunyai beberapa butang seperti escape, enter, back, next, play, stop dan lain-lain
  • dan juga mempunyai sebaris ruang untuk titik braille timbul dan tenggelam
  • ada beberapa fungsi lagi yang saya tidak ingat

Fungsi asas

  • sebagai unit penyimpan al-quran dalam bentuk braille, sebelum ini sebuah alquran braille yang lengkap dengan 30 juzuk memerlukan 6 jilid tetapi dengan panel quran ini, ianya dicantumkan dalam satu unit dan mudah dibawa ke mana-mana
  • memudahkan pencarian surah / juzuk untuk sesi pembacaan dan pengajaran.
  • sebagai alat pembelajaran quran secara solo atau berkumpulan
  • memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran. Satu alat berkuasa yang berkesan untuk mengajar quran secara berkelompok kepada orang buta. Sebelum ini, teknik pembelajaran adalah 1 by 1.
  • juga boleh berfungsi sebagai unit pembelajaran secara solo dengan iringan suara orang membaca alquran mengikut baris yang kita kehendaki
  • juga boleh mengaplikasikan pembelajaran subjek lain seperti braille biasa, iqra', matematik dan lain-lain dengan memasukkan unit khas (seperti thumb drive) ke dalam slot panel
  • banyak lagi fungsi yang saya tidak ingat

Di akhir sesi, tetamu dihidangkan dengan sedikit jamuan ringan dan seterusnya sesi soal jawab. Semasa sesi jamuan ringan setiap peserta ditemuramah oleh urusetia untuk mendapat maklumbalas mengenai panel e-braille tersebut. Saya sempat meberikan beberapa penambahbaikan antaranya;

  1. menambah baik kualiti produk
  2. memepercepatkan fungsi suara setelah menekan butang next atau back.
  3. menyusun semula butang kekunci agar lebih mesra kepada semua peringkat umur terutama pelajar sekolah rendah kerana memiliki fizikal jari yang lebih kecil dari orang dewasa
  4. berusaha untuk mendapat lebih subsidi agar unit tersebut mampu milik kepada golongan orang kurang upaya secara persendirian.
  5. memastikan perisian yang digunakan mesra dengan perisian "screen reader" seperti jaws.

Sebelum berpisah kami sempat mengadakan sesi bergambar dan saya sempat berbual dengan cikgu Zaki salah seorang exco dalam Persatuan Orang Buta Malaysia (SBM). Dikesempatan itu saya bertanyakan mengenai program pembelajaran komputer kepada beliau.




Saya sebagai orang kurang upaya penglihatan dan bakal pengguna produk ini, merakamkan jutaan terima kasih kepada semua para penyelidik dari UTM atas inisiatif mereka dalam membantu golongan cacat seperti kami untuk terus berdikari. Saya dengan ikhlas hati mendoakan agar produk ini mencapai objektif seperti yang dirancang.

Copyright © dunia rasasayang ®