15 Julai, 2008

Pelangi petang siri04

Masih aku teringat akan pengalaman lalu semasa aku masih kecil. Ketika aku berumur 5 tahun telah berlaku satu peristiwa yang mengerikan dalam hidupku.

Seperti yang telahku katakan, aku memang dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna seperti orang lain. Aku hanya mampu melihat sebelah mata kanan sahaja dengan penglihatan yang terhad.

Tragedi itu sungguh menyakitkan dan mengerrikan. Namun setiap kesakitan dan penderitaan itu ada manisnya yang kita sendiri akan menyedarinya jika kita mendalaminya dengan penuh keinsafan.







Masih aku teringat ketika aku sedang bergurau dengan kakakku ketika itu, satu kemalangan yang tidak pernah diduga telah melanda diriku. Tali beg yang kami sedang rebut itu telah terkena mata kiriku dengan kuatnya.

Pada peringkat awal aku hanya merasa sakit biasa sahaja dan tidak memberitahu pada ibuku.

Selang beberapa hari, kesakitan itu semakin kuat dan semakin memeritkan. Sukar ku gambarkan bagaimana rasa sakit itu.

Dari hari ke sehari, kesakitan itu semakin kuat dan hinggakan aku terpaksa mandi setiap sepuluh minit untuk menghilangkan rasa kesakitan itu.

Dalam usia sekecil itu, aku tidak tahu apa yang harus ku buat melainkan menangis dan menahan sakit. Walaupun begitu ingatanku masih kuat pada tragedi pada masa itu. Aku juga masih ingat mengenai kesusahan yang ditanggung oleh kedua orang tuaku. Mereka pun tidak tahu bagaimana untuk menghilangkan rasa sakitku.

Tidur malam kedua orang tuaku sering terganggu akibat dari kesakitanku. Ayahku masih belum membawaku ke hospital kerana keadaan ekonomi pada masa itu yang sangat memeritkan. Ya .. ketka it ekonomi sangat susah tambahan pula ayahku hanya seorang peneroka sahaja.

Ayahku terpaksa mengumpul wang hasil bekerja menoreh getah untuk membawaku ke Kuala Lumpur. Pada masa itu, harga getah tak seberapa. Hampir dua minggu aku menahan sakit sendirian dirumah.

Setelah aku di bawa ke Hospital Kuala Lumpur, doktor telah mengesahkan mata kiri yang terkena tali beg itu telah dijangkiti kuman dan perlu dibedah segera.

Doktor mempersoal mengapa aku lewat menerima rawatan. Aku tidak salahkan orang tuaku kerana aku faham dengan keadaan ekonomi pada masa itu. Kemudahan pengangkutan juga membuatkan kami agak sukar untuk keluar dari kawasan tempat tinggalku.

Doktor telah berusaha untuk mengurangkan kesakitan dan rasa panas yang ku alami di bahagian mata. Setelah berusaha bersungguh-sungguh untuk merawatiku, maka satu lagi ujian telah menimpa hidupku.

Doktor tidak dapat menyelamatkan mataku kerana kecederaan bahagian mata sangat teruk dan perlu dibuang dengan kadar segera bagi mengelakkan mata kananku yang masih boleh berfungsi dijangkiti kuman yang sama.

Ketika menandatangani pembedahan itu, ayahku tidak ada disampingku kerana terpaksa balik untuk menorah getah untuk menampung perbelanjaanku di Hospital Kuala Lumpur. Dengan tidak rela ibuku menandatangani surat kebenaran untuk membuang mata kiriku. Namun apalah pilihan yang masih ada bagi ibuku. Dari terus membiarkan aku sengsara kesakitan, ibuku telah membuat satu keputusan yang kufikirkan tepat pada waktunya.

Setelah proses pembedahan itu berlangsung hampir sembilan jam. Akhirnya mata kiriku telah dibuang.

Aku tidak tahu apa-apa ketika itu kerana aku masih kecil ketika itu. Tuhan sahaja yang tahu, betapa penderitaan hidupku sangat mencabar.

“Mak, mana mata saya” itulah soalan pertama yang keluar dari mulutku setelah aku terjaga dari tidurku yang panjang. Antara nampak dan tidak nampak, aku dapat merasakan air hangat mengalir dari kelopak mata ibuku sambil erat memelukku.

Aku hairan mengapa ibuku menangis dan keadaan itu berlarutan sehingga aku tertidur semula.

Dua hari berlalu, kini tibalah masanya doktor ingin membuka balutan yang menutupi mataku. Sakitnya tuhan yang tahu kerana mataku tidak ada lagi. Yang ada hanyalah rongga kosong yang disumbat tisu dan kain-kain. Setelah melalui proses penyembuhan, mataku tidak sakit lagi. Kini ruang rogga yang kosong itu telah diisi dengan mata palsu.

Aku difahamkan oleh ayahku, mata palsu itu telah didermakan oleh seorang yang tidak dikenali. Sungguh cantik mata itu dan ku gunakan sehingga kini.

Maka tahulah mataku telah hilang. Budak sepertiku tidak mengerti apa-apa. Bagiku cukuplah aku tidak merasa sakit seperti sebelum ini. Biarlah mataku hilang dari menanggung kesakitan yang tidak dapat ku gambarkan.

Begitulah episod yang amat mengerikan dalam kehidupanku. Penderitaan itu telah menginsafkanku mengenai besarnya pengorbanan orang tuaku pada diriku.
Sanggup bersengkang mata, menahan lapar dan bersusah payah untukku.

Anda fikirlah sendiri, tinggal di hospital berbulan-bulan lamanya dan ketiadaan ahli keluarga terdekat di Kuala Lumpur telah membuatkan hidup ibuku yang menjagaku amat terseksa. Tinggal di wad bukan ada layanan istimewa, bukan ada dua katil, bukan ada makanan untuk penjaga. Ibuku melaluinya dengan penuh sabar dan tabah. Dialah ibu yang paling tabah di dunia.
Makannya tidak tentu, kadang-kadang makan, kadang-kadang perlu menunggu bekalan yang tidak dikehendaki oleh pesakit lain. Adakalanya ibuku tidak makan!!
***
Peristiwa-peristiwa itulah yang telah banyak menyedarkan aku kembali. Dan setelah aku hanyut pada ketika aku di tingkatan dua, aku mula sedar akan penderitaan dulu. Hati kecilku menyedarkan aku mengenai tanggungjawabku yang belum selesai.

Benar kata ayahku dulu, jika aku tidak belajar bersungguh-sungguh, entah apa akan jadi pada diriku pada masa kini.

Setelah mula menyedari kesilapanku mempersia-siakan masa dengan tidak belajar bersungguh-sungguh, aku mula merangka hidupku kembali. Aku mula menyusun jadual dan lebih berdisiplin dalam mengulangkaji pelajaran. Masa mainku dihadkan pada waktu petang sahaja. Itupun sekadar riadah dengan bermain bola bersama-sama rakan. Itupun pergerakkanku agak terhad.

Aku sendiri yang membuatkan diriku menjadi tidak bebas kerana ku sedar perjalananku masih jauh. Aku tidak mahu menjadi orang buta yang berdiri di tengah panas meminta sedekah. Bukan malu, Cuma aku mahukan hidup yang lebih terjamin.

Keputusan peperiksaanku kembali baik dan memuaskan. Aku masih teringat pada pesan Cikgu Zarina yang mengatakan jika aku ingin bersekolah di sekolah itu, aku mesti kuat. Kini aku faham kuat itu adalah kuat dalaman, kuat membina jati diri, kuat untuk berjaya. Terima kasih cikgu!!

Bersambung…

2 Ulasan:

ashaf berkata...

kasih ibu membawa ke syurga...mmg benar!!

pentadbir berkata...

saya sangat terharu apabila mengenangkan perkara tu... terima kasih asraf..

+

Terbaru ...

Copyright © dunia rasasayang ®