SALAI GADIS ATAS BARA
Senah tatkala meninggalnya bukan seperti Senah yang belum jatuh sakit 6 bulan sebelumnya. Tubuhnya yang mongel, berwajah bujur sirih, berkulit putih kuning memang menjadi impian pemuda - pemuda di kampungnya untuk memperisterikan Senah. Bagaimana pun kejelitaan Senah tidak berpadanan pula dengan sikapnya yang keras hati. Dia tidak akan teragak - agak untuk mengherdik sesiapa sahaja kalau cuba mengganggunya di jalanan.
Selama hampir 6 bulan itulah Haji Maali bersama isterinya Hajah Pesah tidak pernah tenteram perasaan melihatkan keadaan Senah. Jika harapkan anak lelakinya, Zarim memang tidak boleh langsung. Kalau Zarim balik setiap hujung minggu ke rumah mereka di Segamat, Zarim akan cepat sahaja mahu menempeleng adiknya Senah sekiranya Senah berkeras tidak mahu mandi. Dia akan mengherdik memaksa Senah supaya bersolek mengemaskan diri.
Kadangkala bagaikan hampir hilang sabar Haji Maali dengan sikap Zarim. Masakan Zarim tidak tahu adiknya jatuh sakit selepas mendapat kelulusan baik di dalam peperiksaan SPMnya. Kemudian Senah telah memohon untuk memasuki maktab perguruan. Setelah hampir sebulan dia jatuh sakit, Senah telah menerima tawaran untuk memasuki maktab perguruan yang diidam - idamkannya selama ini.
Sayangnya, Senah tidak dapat memenuhi keinginannya untuk menjadi seorang guru setelah tiba - tiba sahaja beliau jatuh sakit. Mula disedari oleh Hajah Pesah anaknya jatuh sakit apabila Senah mengigau pada satu malam sambil memekik - mekik meminta tolong. Apabila dikejutkan, Senah terus memeluk emaknya lantas menangis teresak -esak. Dia tidak pula menerangkan apa - apa setelah ditanya oleh emaknya berulang kali mengenai igauannya itu.
Esoknya, Senah tidak segera bangun ke dapur membantu emaknya menyiapkan sarapan pagi. Hajah Pesah tidak mengesyaki apa - apa walaupun pada malamnya Senah telah mengigau memekik - mekik meminta tolong. Biasanya igauan sedemikian memang kerap berlaku kepada sesiapa sahaja. Sebab itulah Hajah Pesah tidak hiraukan sangat apabila Senah tidak membantunya menyiapkan sarapan pagi.
Tetapi sehingga pukul 9.30 pagi, Senah tidak juga bangun barulah Hajah Pesah naik menjengah ke bilik anaknya. Heran juga dia melihat Senah menangis teresak - esak sambil mukanya menelungkup ke bantal.
" Kenapa kau, Senah? " soal Hajah Pesah bimbang.
Senah tidak menyahut. Dia terus menangis sampai terhenjut - henjut bahunya. Hingga Haji Maali sendiri turut menjengah masuk setelah mendengar mulut isterinya becok dari dalam bilik Senah.
" Apa halnya, Senah? ' Haji Maali mula mengesyaki Senah menangis disebabkan telah berlaku sumbang. Tentulah Senah mula ketakutan setelah badannya mulai berlainan. Apa lagi bila beliau melihat Senah menekan - nekan perutnya ketika sedang menangis tersengguk - sengguk itu.
Tetapi Senah tidak juga menyahut.
" Kau dah rosak ye??? " cepat sahaja Haji Maali mengherdik bila kenangkan Senah cuba memberi malu kepada keluarganya.
Senah hanya terus menangis tersengguk - sengguk.
Sekali gus pula Haji Maali merentap rambut Senah sehingga kepala anak gadisnya terdongak. " Kau nak beri aku malu ye?? " tuduhnya sambil menggertapkan bibir.
Airmata Senah banyak mengalir di pipi. Bibirnya bergerak - gerak mahu bercakap tetapi suaranya tidak keluar sepatah kata pun. Ketika inilah Zarim yang balik bercuti hujung minggu masuk ke bilik setelah mendengar suara ayahnya mengherdik adiknya. Dia juga turut menuduh Senah melakukan perbuatan sumbang yang menyebabkan dia menangisi menyesali perbuatannya itu. Tetapi dia harus memujuk Senah supaya menerangkan segala perkara yang telah terjadi, bukannya dengan mengherdik melepaskan geram.
" Cakaplah, siapa yang buat jahat dengan kau!! " Zarim menyoal adiknya.
Senah hanya terkebil - kebil mata merenung Zarim. Airmatanya semakin banyak mengalir ke pipi. Tidak sepatah kata pun yang terluah daripada mulutnya. Haji Maali yang tidak dapat menahan sabar terus menampar muka Senah tetapi gadis yang sudah berumur 18 tahun itu tidak pula terjerit kesakitan setelah ditampar kuat. Ketika inilah Hajah Pesah memekik memarahi suaminya fasal bertindak dengan terburu - buru.
" Awak jangan ikutkan perasaan, abang haji. Entah - entah budak ni sakit... " kata Hajah Pesah mengingatkan suaminya.
Selepas peristiwa itulah baru Haji Maali menyedari bahawa Senah tidak boleh bercakap lagi. Dia menjadi bisu secara tiba - tiba sahaja setelah mengigau pada sebelah malamnya. Kepalang menyesalnya Haji Maali dengan sikapnya yang terburu - buru itu. Sebab itulah dia sentiasa diselubungi kesedihan bila mengenangkan nasib Senah. Sementara itu Zarim pula cuba melakukan latihan secara kejiwaan dengan memaksa Senah melakukan sesuatu yang tidak disukainya seperti mandi, makan dan menyolekkan diri.
Kepiluan itu terus mengganggu Haji Maali di hari kematian Senah . " Biarlah dia pergi dulu. Lama sangat dia terseksa, ustaz... " beritahu Haji Maali lemah tatkala saya dan Aki Sitam datang menziarahi jenazah.
Sebenarnya Aki Sitam mengajak saya ke Segamat ke rumah Haji Maali bukanlah untuk menziarahi jenazah, tetapi Aki Sitam mahu mencukupkan 3 hari mengulangi mengubat Senah . Dia berazam mahu membantu keluarga itu walaupun dia tahu keadaan penyakit Senah sudah terlalu tenat. Disebabkan saya datang berkunjung ke rumahnya, lantas Aki Sitam mengajak saya bersamanya ke Segamat.
Sampai sahaja di rumah Haji Maali kira - kira jam 9 malam, dia pun terus memberitahu Aki Sitam mengenai kematian Senah selepas waktu maghrib.
" Esok sahajalah nampaknya kita kebumikan, malam ni tak sempat " jelas Haji Maali yang masih kelihatan kesayuan tergaris pada wajahnya.
" Hampir 6 bulan dia mengidap, ustaz " hajah pesah pula menerangkan kepada saya setelah saya diperkenalkan oleh Aki Sitam. " tapi apa boleh buat, Allah lebih menyayangi dia dari kita semua " ujarnya sambil mengesat - ngesat pelupuk mata.
Saya mengangguk - ngangguk lemah. Saya dapat merasakan apa yang terbendung di jiwa Haji Maali dan isterinya, setelah melihat anak kesayangan terlantar hampir 6 bulan. Sudah beberapa kali dibawa ke hospital, hingga pihak hospital sendiri mengagakkan penyakit - penyakit yang sukar hendak difahami oleh Haji Maali.
Berubat secara kampung juga sudah diusahakan dengan menemui beberapa orang dukun dari Merlimau, Serting, Ayer Hitam dan di mana sahaja didengarnya ada dukun Haji Maali akan segera menjemputnya. Aki Sitam merupakan yang terakhir dijemputnya setelah Zarim yang bekerja di Melaka mendapat tahu mengenai kebolehan Aki Sitam di Gemas yang boleh mengubati penyakit - penyakit sedemikian.
Tetapi ternyata manusia hanya boleh berikhtiar, bagaimana pun yang menentukan segalanya adalah Allah SWT. Siapa pun tidak akan dapat melawan takdir yang sudah ditetapkan olehnya.
" Kalau boleh, tunggulah sampai esok hari dikebumikan dia " Haji Maali berkata sambil menepuk paha Aki Sitam.
" Tak tahulah, tuan haji " sahut Aki Sitam sambil tersengih - sengih. " Ustaz ni nak balik juga esok. Saya ke mari tadi pun ustaz ni tak mahu ikut sangat, tapi saya yang kuat mengajaknya " kata Aki Sitam lagi sambil mengerling ke arah saya.
" Bermalam di sini aje laa, ustaz. Boleh kita sama - sama berjaga " ujar Haji Maali sambil memandang ke arah saya.
Saya hanya tersenyum tidak menjawab apa - apa. Memang tidak ada apa - apa perlunya saya menunggu sehingga Senah selamat dikebumikan. Lagi pun orang yang dikatakan sakit sudah pun meninggal dunia. Apalah yang boleh dilakukan selain daripada membacakan ayat - ayat suci Al Quran sepanjang malam.
Bau nyiur kukur yang dibakar harum semerbak di tengah rumah dekat jenazah dibujurkan. Sewaktu Aki Sitam menyelak kain penutup muka jenazah, sempat juga saya menatap mukanya yang pucat. Tubuhnya yang kurus seolah - olah tidak nampak tenggelam oleh tilam alas jenazah dibujurkan itu. Sayu juga hati saya melihat keadaan tubuhnya setelah menderita hampir 6 bulan mengidap penyakit yang tidak tahu apa puncanya itu.
" Dia bukan sahaja bisu malah juga hilang akal... " Aki Sitam menerangkan kepada saya. " Kadangkala dia bertelanjang dengan tidak memakai seurat benang pun " keluh Aki Sitam sambil menggeleng - gelengkan kepala.
Saya hanya mengangguk - nganggukkan kepala sahaja.
Ketika kami sedang berbual - bual inilah, 2 - 3 orang perempuan yang sedang membaca Al Quran telah terjerit akibat terkejut apabila seekor kucing kesayangan Hajah Pesah telah melompat melintasi jenazah. Mereka semua gempar bila mengingatkan kata orang - orang tua bahawa jenazah yang dilompati kucing mempunyai alamat yang tidak baik.
" Jangan percaya semua itu...!! " ujar Aki Sitam lantas menyuruh mereka meneruskan membaca Al Quran itu.
Walaupun 2 - 3 orang perempuan yang membaca Al Quran itu meneruskan bacaan mereka, tetapi mereka tetap diganggu kegelisahan. Masing - masing mengerling ke arah jenazah sambil menampakkan perasaan rusuh.
Pada kira - kira jam 11.30 malam itu juga Aki Sitam bersama dengan saya meminta diri untuk pulang semula ke gemas, sebab saya akan terus balik ke Kuala lumpur. Ketika sedang menyarung kasut di kaki tangga, saya terkejut bila mendengar suara orang perempuan di atas rumah menjerit ketakutan. Sekali gus pula mereka lari menerpa ke pintu luar.
Haji Maali berkejar ke dalam untuk melihat punca kekecohan, kemudian beliau keluar semula sambil terputus - putus cakap meminta Aki Sitam menunggu lagi. " naik lah dulu, aki. Naiklah dulu, ustaz.... " katanya seperti di dalam kebingungan.
Cepat - cepat Aki Sitam mengajak saya naik semula ke atas rumah. Sewaktu saya sampai ke sisi jenazah, tidak ada sesiapa pun yang menunggu di situ. Masing - masing sudah lari ke dapur atau ke serambi. Ketika ini kepala jenazah sudah tidak lagi terletak di atas bantal, tetapi sudah jatuh melepasi tilam.
" Apa halnya ni? " tanya Aki Sitam yang kehairanan.
" Tak tau laa.... " sahut Haji Maali perlahan sambil tergagap - gagap. " budak - budak ni kata, Senah bangun balik. Kaki tangannya bergerak - gerak " katanya terharu.
Saya mengeluh pendek. Dengan tidak bercakap sepatah pun, saya membetulkan semula kepala jenazah yang sudah pun terkulai melepasi tilam. Aki Sitam pun membantu saya membujurkan semula mayat tersebut seperti keadaan mula - mulanya. Selepas itu barulah Hajah Pesah bersama - sama orang perempuan yang lain masuk semula ke tengah rumah.
" Tak cukup ke semasa hayatnya? Sampai macam ni pun dia nak permainkan lagi... Emmm...syaitan!! " gerutu Aki Sitam sambil menyelubungkan semula jenazah tersebut.
Dua malam berturut - turut sebelumnya, Aki Sitam sudah pun menyedari punca yang menyebabkan Senah ditimpa penyakit ganjil itu. Kadangkala buah dadanya berpintal - pintal dan satu garis hitam telah melintang dari kepalanya hingga sampai ke pusat. Senah tidak dapat berkata apa - apa selain daripada menggeliat - geliat sahaja menahan kesakitan. Kadangkala dia hanya mampu menangis teresak - esak sahaja.
Sewaktu Aki Sitam mengulangi dia dua malam berturut - turut dengan dijemput dan dihantar oleh Zarim, dia sudah dapat mengagak mengenai penyakit yang dideritai oleh Senah. Aki Sitam hanya menggelengkan kepalanya bila dia melihat bagaimana lidah Senah telah dipotong melalui renungannya yang jauh ke dalam jiwa gadis berkenaan.
Dia dapat melihat seolah - olah tubuh Senah diletakkan di atas para bagaikan ikan yang disalai. Tubuhnya diikat dengan benang hitam melalui celah kangkang hingga sampai ke kepala. Aki Sitam mencuba juga untuk mengambil tubuh Senah yang sudah kering disalai itu, tapi tubuh Senah itu semakin hancur berkecai bila disentuh dengan tangan. Seorang lelaki berkepala botak dengan berpakaian serba kuning seperti sami Siam, sentiasa mengawal tubuh Senah yang sedang tersalai di atas para itu.
" Kau lepaskan budak tu....!! " perintah Aki Sitam.
" Kalau aku lepaskan, kau nak buat apa lagi. Dah berkecai semuanya " kata lelaki berkepala botak itu sambil ketawa terbahak - bahak.
" Biar aku dapat dia dengan tubuh berkecai!!! " sahut Aki Sitam yang keras mencabar.
Sekali gus Aki Sitam menolak lelaki berkenaan hingga jatuh tergolek ke tanah. Cepat - cepat pula dia menyambar tubuh Senah yang tersalai di para itu, tetapi tubuh itu telah berkecai menjadi abu. Lelaki itu semakin galak tertawa bila melihat Aki Sitam tidak berjaya merampas Senah dari tangannya.
" Perempuan ni mulut jahat, kau tau " kata lelaki berkepala botak itu mengejek - ngejek. " Dia sudah ludah muka budak tu depan orang ramai, tentulah dia malu " beritahunya sambil menuding ke arah seorang pemuda Serani yang tersengih - sengih mengerling Aki Sitam dari jauh.
Sampai di peringkat itu sahaja yang Aki Sitam menerangkan kepada saya, setelah dua malam berturut - turut dia datang ke situ. Sebab itulah dia beriya - iya mengajak saya ke Segamat kerana dia tahu selama ini saya ingin sangat mengikut dia mengubati orang.
" Setan!!! " gerutu Aki Sitam lagi lantas duduk berlutut di hujung lunjur jenazah. " patutnya cukuplah menyeksa budak ni, sampai dah macam ni pun tak puas - puas lagi " rungutnya lagi sambil menggertapkan bibir.
Kemudian Aki Sitam beralih duduk bertupang lutut di hulu kepala pula, menyebabkan saya berundur ke tepi dinding. Aki Sitam menghembus kepala jenazah 3 kali, sekali gus kedengaran satu benda besar jatuh berdebap di tengah halaman. Serentak dengan itu, di kiri kanan jenazah ternampak asap nipis melenggang - lenggan naik sama seperti asap dari nyiur kukur yang dibakar. Tetapi asap yang keluar di kiri kanan jenazah berwarna hitam laksana asap dari getah yang terbakar.
" Ustaz, marilah sama di sini " Aki Sitam pun menggamit saya agar mara mendekati dia.
Saya mengganguk tapi tidak bergerak mendekati Aki Sitam. Haji Maali juga menepuk paha saya supaya duduk berdekatan dengan Aki Sitam. Saya hanya memberikan isyarat dengan tangan agar saya tidak perlu duduk disebelah Aki Sitam. Memang saya sendiri hairan melihat kejadian sedemikian, kerana setelah mangsanya menjadi korban syaitan yang melakukan kekejaman itu masih terus juga mengganggu. Dia masih tergamak untuk menganiaya jenazah yang sudah terbujur kaku itu.
" Cukuplah kau seksa budak ni!!! " kata Aki Sitam sambil duduk di atas tumit dengan bertumpu lutut ke lantai. " sekarang pergilah kau, puaslah hati kau sekarang!! " ujarnya lagi dengan perlahan.
Tetapi asap hitam masih lagi keluar dari celah ketiak jenazah.
" Beginilah, Pak Haji " kata saya sambil berpaling kepada Haji Maali. " panggilkan 40 orang. Kita bacakan Surah Yassin ramai - ramai. Aki Sitam, biarkan dia buat kerjanya " ujar saya lagi mencadangkan.
Haji Maali tidak membantah. Dia pun mengajak semua jiran - jiran yang datang mengunjungi rumahnya supaya ikut sama membacakan Surah Yassin. Mereka yang tidak hafal, boleh lah berkongsi membaca. Sebaik sahaja kami memulakan membaca Surah Yassin, saya pun melihat Aki Sitam mula berpeluh - peluh. Dia menghembuskan beberapa kali ke kepala jenazah sambil tangannya memegang kepala jenazah itu.
Sebaik sahaja selesai membacakan Surah Yassin secara beramai - ramai, saya pun mara mendekati Aki Sitam yang sedang membacakan sesuatu dengan matanya yang terpejam itu. Saya pun meletakkan tangan saya ke atas bahu Aki Sitam lantas memulakan zikir hingga jauh ke dalam hati. Ketika inilah saya dapat rasakan nafas Aki Sitam kencang turun naik laksana orang sedang berjuang berhabis - habisan. Peluhnya telah banyak memercik hingga tengah belakangnya juga basah berlenjun akibat peluh yang banyak mengalir itu.
Kira - kira setengah jam jugalah saya dan Aki Sitam duduk mendiamkan diri di hulu kepala jenazah, barulah asap hitam itu sedikit demi sedikit mulai hilang. Barulah kami mengundurkan diri ke belakang bersandar pada dinding untuk melepaskan lelah. Hingga jam 1 pagi kami menunggu kalau - kalau jenazah Senah diganggu lagi, tetapi alhamdulillah tidak berlaku lagi kejadian - kejadian ganjil selepas itu.
Haji Maali tidak membenarkan kami untuk balik pada malam itu disebabkan dia bimbang kalau - kalau kejadian jenazah bergerak hingga kepalanya jatuh dari bantal akan berulang lagi. Mahu tidak mahu terpaksalah Aki Sitam bersetuju. Kasihan juga dia melihat keluarga Haji Maali dalam keadaan rusuh sepanjang malam itu.
Sampailah pagi tidak ada apa - apa pun yang berlaku. Disebabkan bimbang dengan kejadian yang mengganggu jenazah, Haji Maali telah mengambil keputusan supaya jenazah Senah segera dikebumikan sebelum matahari tegak di atas kepala. Terpaksalah pula Aki Sitam mengajak saya menunggu sehingga selamat jenazah dikebumikan.
Sebelum zuhur lagi jenazah Senah telah selamat dikebumikan dengan tidak ada apa - apa kejadian ganjil yang berlaku. Dalam perjalanan balik dari kubur itulah Haji Maali memberitahu mengenai seorang guru yang mengajar di sekolah tempat Senah belajar, cuba untuk memikatnya. Guru itu berbangsa Serani, bertubuh tinggi kurus dan mukanya penuh dengan jerawat batu.
Guru itu sering mengusik Senah hingga berani memeluk dan mencium Senah bila ada kesempatan tidak dilihat oleh orang. Semasa guru itu memberikan latihan sukan, dia akan mengarahkan semua pelajar - pelajarnya supaya memakai seluar pendek. Dalam masa mengajar latihan sukan inilah, guru berkenaan secara nakal telah memegang punggung Senah menyebabkan Senah tidak dapat menahan kemarahan.
Senah telah berpaling dan merenung guru tersebut hingga telah mencetuskan pertengkaran. Dengan tidak bertangguh Senah terus meludah ke arah guru tersebut. Kejadian itu tidak dilaporkan oleh Senah kepada guru besar kerana guru berkenaan telah segera meminta maaf.
" Itulah cerita kawan arwah ini pada saya " jelas Haji Maali.
" Mungkin itu hanya kebetulan sahaja, Pak Haji " sahut saya dengan perlahan. " kita tak boleh tuduh - tuduh sahaja..... " kata saya lagi menambah.
Haji Maali menggangguk. " betullah cakap ustaz tu. Tapi macam itulah yang kawan sedarjah arwah ni beritahu. Mereka datang melawatnya semasa arwah masih lagi terlantar " jelasnya sambil menahan rasa terharu yang mengombak di dada
Kami terus balik ke rumah Aki Sitam di Gemas dengan tidak menunggu makan lagi kerana saya mahu segera balik ke Kuala Lumpur. Semasa di dalam kereta, Aki Sitam sendiri menceritakan kepada saya kejadian - kejadian yang dialaminya semasa mengubati Senah.
" Kerja orang kafir, mana ada timbang rasa... " keluh Aki Sitam dengan lemah.
Dia dapat merasakan bagaimana tubuh Senah disalai di atas para dengan api menyala di bawahnya. Lelaki berkepala botak dengan berpakaian serba kuning seperti sami siam itu memain - mainkan patung yang sudah dipujanya itu untuk disamakan dengan Senah.
Patung yang sudah disalai itu kemudian dipotong lidahnya agar Senah juga seolah - olah sudah dipotong lidah hingga tidak boleh bercakap memberitahu apa - apa sepanjang masa dia menderita sakit itu. Memang Aki Sitam dapat melihat sendiri pemuda Serani yang mengupah lelaki botak itu melakukan sesuatu kepada patung tersebut agar penyeksaan itu juga dirasakan oleh Senah.
" Memang sukar nak diselamatkan " kata Aki Sitam bila mengingatkan patung yang disalai itu sudah menjadi seperti abu. Sebaik saja tersentuh oleh jari, patung berkenaan akan hancur menjadi debu.
" Kita tak dapat mengatasi kehendak Allah " sahut saya mengingatkan Aki Sitam, kerana bukanlah kuasa manusia yang boleh menyelamatkan Senah. Malah bukan kuasa manusia yang melakukan ilmu syaitan yang menyebabkan Senah terlantar sakit hampir 6 bulan.
Aki Sitam menggangguk.
" Ajal budak tu memang dah setakat itu... " ujar Aki Sitam dengan lesu.
Tetapi dia tetap tidak dapat melupakan bagaimana dia dapat melihat gangguan yang menimpa tatkala Senah terlantar sakit. Malah setelah Senah meninggal dunia pun, lelaki botak itu terus juga mengganggu. Dia tidak perlu memegang patung tersalai itu, sebaliknya hanya menolak - nolak para tempat penyalai itu. Ketika inilah Aki Sitam menerpa memukul kepala lelaki botak berkenaan.
Semasa orang ramai sedang membacakan Surah Yassin, Aki Sitam dapat melihat lelaki berkepala botak itu terhumbang ke kiri dan ke kanan bagaikan ditolak oleh ribut kencang dari segenap penjuru. Sekali gus pula hujan telah turun lalu memadamkan api yang menyala di bawah para salai. Terjerit - jerit lelaki berkepala botak itu sambil mencari tempat berlindung. Kemana sahaja dia mencuba berlindung, ribut kencang dengan petir memancar akan menyambar tubuhnya.
" Tolonglah, aku buat ni fasal diupah orang... " lelaki berkepala botak itu meminta belas kasihan daripada Aki Sitam.
Dia tidak pedulikan lagi rayuan lelaki berkepala botak itu yang angkuh sangat sebelumnya itu. Deru ribut kencang bergaung kuat di cuping telinga Aki Sitam tatkala bacaan Surah Yassin bergema di tengah rumah. Dia sendiri merasakan bahawa tugasnya menjadi semakin mudah untuk menyerbu kawasan lelaki berkepala botak itu, kerana tidak ada halangan seperti dua malam sebelumnya.
" Ini ilmu apa ni?? Kami tak pernah jumpa ilmu macam ni!! " rintih lelaki berkepala botak itu sambil terkial - kial untuk mencari tempat perlindungan. Tetapi setiap kali dia terhumban, tubuhnya akan berdebam jatuh ke tanah. Ribut kencang terus juga menunda - nunda tubuhnya bagaikan kertas yang sedang ditiup angin sahaja.
Dia tidak dapat lagi bertahan. Apa sahaja usaha yang dilakukannya, kilat dan petir akan memancar bagaikan panahan api lalu menerkam ke arahnya. Habis sahaja deru ribut yang menggila memerangkap lelaki berkepala botak tatkala bacaan Surah Yassin mulai selesai.
Bagaimana pun Aki Sitam melihat lelaki berkepala botak itu sudah tidak berdaya lagi untuk bangun. Seluruh tubuhnya berlubang - lubang kesan terbakar akibat diserbu panah berapi dari segenap penjuru itu. Ketika inilah Aki Sitam dapat merasakan yang saya ada berdiri dibelakangnya bagaikan dinding besi yang melindungkan dirinya.
" Aku sudah kalah.... " ujar lelaki berkepala botak itu terketar - ketar sambil melambai - lambaikan tangan tanda meminta belas kasihan dari Aki Sitam.
Aki Sitam tidak menghiraukan tindakan lelaki tersebut. Dia terus mara mendekati lelaki yang sudah tidak berdaya lagi itu. Sekali pun sudah tertiarap, lelaki berkepala botak itu cuba juga melawan sewaktu Aki Sitam berjalan hampir kepadanya. Dia menyemburkan api dari dalam mulutnya, tetapi tidak mengenai tubuh Aki Sitam kerana sudah dilindungi oleh dinding besi di sekeliling tubuhnya itu.
" Aku cabuk kepala engkau!!! " jerkah Aki Sitam sambil memukul kepala lelaki berkepala botak itu hingga berkecai.
Saya hanya tersenyum sahaja mendengar cerita Aki Sitam, tetapi bukanlah bermakna saya menganggap dia mereka - reka sahaja cerita tersebut. Selepas balik daripada Gemas kira - kira 6 bulan saya tidak mengunjungi Aki Sitam. Apabila saya menemuinya selepas itu, cerita mengenai Senah tidak juga berakhir. Aki Sitam telah diberitahu oleh Haji Maali bahawa guru berbangsa Serani yang dikatakan telah diludah oleh arwah Senah itu telah dijumpai mati tertiarap di atas kubur arwah Senah. Mulutnya berlumur darah kering akibat disyaki meminum racun di situ. Botol bekas racun juga ditemui di sisinya.
TAMAT