KEPALA MELAYANG DI POKOK ASAM
Dia akan mati akal kalau orang tidak mahu menentangnya. Cuma sekali Bakri Pekak menghunus parang di depannya fasal permatang sawah kena roboh. Apabila permatang sawah dirobohkan air masuk ke lopak sawah Bakri Pekak sampai anak benihnya habis diacupi air.
Bakri Pekak menuduh Latip Baran yang merobohkan permatang disebabkan sawah mereka bersempadan. Tetapi Latip Baran menafikan. Pada mulanya Latip Baran tidaklah tiba-tiba saja memberang. Dia bercakap perlahan saja mengatakan bukan dia yang membukakan pengempang di permatang sawah. Bakri Pekak tidak peduli akan jawapan Latip Baran.
Cepat-cepat dia menghunus parang mahu mengertak Latip Baran. Orang-orang kampung yang sama ke sawah segera datang mahu meleraikan. Mereka datang menyabarkan Bakri Pekak yang sudah mula naik berang. Tiba-tiba saja orang-orang yang ada di situ melihat parang dari tangan Bakri Pekak terpelanting. Dia kemudian berlari keliling sawah memekik-mekik minta pertolongan, pada hal Latip Baran tercegat saja berdiri di atas permatang.
Tidak lama kemudian Bakri Pekak jatuh di pinggir sawah. Terpaksa pula panggil Dukun Amid untuk memulihkannya. Dukun Amid terpaksa mengebas dengan kain hitam, barulah Bakri Pekak dapat dipulihkan. Itu pun dia kelihatan masih dalam ketakutan.
Setelah dia pulih betul barulah Bakri Pekak menceritakan mengapa dia pengsan ketika menghunus parang di depan Latip Baran. “Aku nampak Latip Baran bukan main besar. Dia berdiri, kepalanya sampai kat awan....”beritahu Bakri Pekak seram sejuk mengenangkan peristiwa tersebut.
Sejak itu orang tahu Latip Baran tidak boleh dicabar. Cerita mengenai pokok kelapa tumbang semasa dia menjemput Tok Uda Badin pun sudah diketahui oleh orang-orang kampung. Pokok kelapa itu tumbang akibat disepak oleh Latip Baran. Memang sudah sah bahawa Latip Baran sudah berhampir yakni mendapat pertolongan dari lembaga tinggi yang memberikan dia bulu betis itu.
Tiba-tiba satu kampung menjadi gempar bila Latip Baraan jatuh sakit tidak sedar diri. Seluruh badannya berpeluh. Sehingga satu minggu dia terlentang di tengah rumah, masih juga tidak pulih. Dukun Amid yang dipanggil mengubati Latip Baran juga semacam hilang akal kerana segala usahanya tidak berjaya memulihkan Latip Baran.
“Kena berubat air tawar ni ......” beritahu Dukun Amid pada Mirah isteri Latip Baran.
Mirah tahu apabila Dukun Amid sudah menggunakan air tawar bermakna penyakit Latip Baran terlalu teruk. Bukan senang Dukun Amid mahu menggunakan air tawar iaitu menyediakan 7 geluk air dengan 7 jenis bunga. Hanya penyakit yang tenat sahaja memerlukan Dukun Amid berubat air tawar ini.
Pantang larang juga mesti dijaga supaya tidak cabuh. Orang yang berdiri di tanah tidak dibenarkan melaung memanggil orang di atas rumah, sementara orang di atas rumah pula dilarang dilarang menyahut sebarang panggilan dari halaman rumah. Orang yang mencari tujuh jenis bunga itu juga tidak dibenarkan bercakap sepatah pun sekalipun ditegur oleh jiran-jiran. Demikianlah pantangnya bila sudah sampai kepada peringkat berubat air tawar.
Di hadapan tangga rumah juga akan digantung daun nyiur tujuh helai sebagai tanda di rumah itu sedang berubat air tawar. Sebab itulah apabila Dukun Amid memberitahu dia bahawa Latip Baran akan dikenakan berubat air tawar, Mirah sudah semakin resah. Dia tahu penyakit Latip Baran semakin tenat.
Biasanya siapa sudah sampai pada peringkat berubat air tawar dengan Dukun Amid, peluang untuk sembuh adalah tipis. Ini menyebakan air mata Mirah cepat tergenang di pelupuk mata. Dia merasakan Latip Baran tempat bergantung hidup anak beranak sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Bagaimanapun dia masih berharap Dukun Amid mampu memulihkan penyakit suaminya. Lainlah kalau sudah tiga kali naik berubat air tawar. Kalau setakat sekali naik tentulah penyakitnya masih boleh diubat. Dukun Amid juga sekadar menolong, kuasa untuk menyembuhkan penyakit Latip Baran hanya pada Allah saja.
Ini memang Mirah faham benar-benar. Ayahnya Pak Itam Nong selalu ingatkan dia semenjak Latip Baran jatuh sakit tiba-tiba dengan tidak bersebab. Pada mulanya dia hanya memberitahu Mirah untuk ke hutan memasang jerat. Tetapi tidak lama kemudian Sarip Juling menemui dia terbaring dibawah pokok asam putat menuju ke kubur. Kebetulan Sarip Juling pergi ke belukar kubur mahu melepaskan kambingnya.
Cepat-cepat Sarip Juling memberitahu Pak Itam Nong mengenai Latip Baran yang dijumpai terbaring tidak sedar diri itu. Hanya itu sajalah puncanya yang diketahui oleh orang-orang kampung.
“Siap-siaplah perkakasnya untuk berubat air tawar...”jelas Dukun Amid sebelum meninggalkan rumah Mirah.
Semua permintaan Dukun Amid terpaksalah dipenuhi. Tujuh geluk air dengan tujuh jenis kuntum bunga, mayang pinang belum terurai, bertih, kain hitam, dan tujuh jenis limau. Itulah perkakas ramuan perubatan yang mesti disediakan. Mak Ibah sendiri menyediakan bersama suaminya Pak Itam Nong.
Mirah memang tidak boleh diharapkan lagi. Sejak seminggu Latip Baran ditemui oleh Sarip Juling terbaring di bawah pokok asam putat, dia sudah semacam hilang akal. Dia tidak tahu apa pun kalau disuruh sediakan itu dan ini. Semuanya terserah kepada Mak Ibah dan Pak Itam Nong saja.
Pada malam Dukun Amid memulakan pengubatan air tawar itu dia meminta semua pelita dipadamkan. Hanya bau asap kemenyan saja memenuhi segenap ruang. Beberapa saat kemudian rumah itu bergegar kuat seperti dilanggar benda besar. Setelah selesai Dukun Amid mengubati, pelita pun dipasang semula.
“Cuba suluh di bawah apa bendanya tadi tu....” perintah Dukun Amid.
Cuma Sarip Juling yang memberanikan hati mengambil pelita untuk turun ke tanah. Sampai di kaki tangga Sarip Juling terpekik menyebabkan orang-orang yang ada di atas rumah menyerbu kemuka pintu.
“Ada apa Rip?” tanya Pak Itam Nong.
“Itu, itu......” sahut Sarip Juling tergagap-gagap. Dia menunjuk ke arah tapak kaki. Tumitnya saja sebesar nyiru. “Besarnya tapak kaki...” katanya gementar.
“Huh, ini kerja orang atas ni, “ ujar Dukun Amid perlahan. Dia juga kelihatan gementar bila memerhatikan tapak kaki yang berbekas di muka tangga. “Tak terkerjakan dek aku ni.......” keluhnya lemah macam tidak yakin lagi akan kebolehannya dapat mengubat Latip Baran.
“Habis macam mana?” Pak Itam Nong cemas dengan sikap Dukun Amid seakan-akan menyerah kalah.
Dukun Amid geleng kepala. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mengubati Latip Baran. Pengalamanya sebagai dukun selama ini sudah dicurahkannya bagi mengubati Latip Baran. Tetapi ternyata dia tidak dapat menyaingi hantu tinggi yang menganggu Latip Baran sekarang.
Memang dia tahu Latip Baran sudah diganggu hantu tinggi. Latip Baran sendiri pernah memberitahunya mengenai bulu betis yang diberi kepadanya. Tetapi mengapa sekarang hantu tinggi ini menganggu? Pada hal bulu betis itu sudah diberikan kepada Latip Baran! Setahu Dukun Amid siapa saja sudah mendapat barang dari makhluk-makhluk ghaib, maka dirinya sentiasa bersahabat dengan makhluk berkenaan. Masakan pula makhluk ghaib seperti hantu tinggi itu menganggu Latip Baran yang sudah bersahabat.
Boleh jadi juga Latip Baran tidak menjaga hati sahabatnya . Sepatutnya hati sahabatnya mesti dijaga. Kalau dia mahukan ayam panggang separuh masak, Latip Baran mesti sediakan. Dia mesti sediakan ancak untuk memberi makan sahabatnya. Dengan cara itulah saja hubungan persahabatan akan terjalin.
“Macam mana dukun?” tanya Pak Itam Nong lagi.
“Aku tak sanggup lagi.....” keluh Dukun Amid. “Macam mana fikir awak Kak Mun?” dia berpaling pada Bidan Mun yang tersandar pada dinding induk rumah.
“Kalau dah Amid tak sanggup, kenalah cari orang yang sanggup....” Bidan Mun mengunyam-ngunyam pinang di mulutnya.
“Siapa agaknya kalau bukan Dukun Mun Amid ni?” Pak Itam Nong berpaling pada Mak Bidan Mun.
“Cuba-cubalah Tok Uda Badin” kata Bidan Mun perlahan. “Berubat ni bukan nak kira dukun besar dukun kecik, yang pentingnya ikut rasi’ beritahunya mengingatkan.
“Betullah kata Kak Mun tu” sahut Dukun Amid. Dia sendiri tidak berkecil hati kalau Tok Uda Badin guru agama di kampung itu boleh mengubati Latip Baran. Tentulah Tok Uda Badin yang sudah belajar mengaji pondok samai ke Sumatera itu mempunyai banyak pengalaman juga. “Cubalah panggilkan Tok Uda Badin. Jangan lengah lagi.....” ujarnya menggesa Pak Itam Nong supa segera memanggil Tok Uda Badin.
Disebabkan Dukun Amid tidak sanggup lagi mengubati Latip Baran, maka dipanggillah Tok Uda Badin. Sarip Juling disuruh ke rumah Tok Uda Badin memanggil orang tua itu.
Apabila Tok Uda Badin datang dia pun diberitahu mengenai nasib yang menimpa Latip Baran. Kisah Latip Baran ditemui terbaring tidak sedarkan diri di bawah pokok asam putat berhampiran tanah kubur semasa mahu memasang jerat ke hutan, memang mengherankan mereka. Kalau mahu dikatakan ada orang sakit hati terhadapnya lalu memukul curi dari belakang, tidak ada kesan-kesan kena pukul.
Tok Uda Badin tetap tenang apabila diberitahu mengenai Latip Baran dijumpai oleh Sarip Juling berbaring tidak sedarkan diri. Dia bersila menghadapi tubuh Latip Baran yang terkejang tidak bergerak. Cuma nafasnya saja turun naik kencang.
“Mid.......” Tok Uda Badin menggamit Dukun Amid. “Kau gunakan kepandaian kau, biar aku membantu” kata Tok Uda Badin mengertap bibir.
Dukun Amid mengangguk. Dia mara ke kepala Latip Baran.
“Emmm, dah aku nasihatkan dia” Tok Uda badin menghela nafas pendek. Buangkan benda tu, buangkan! Dia degil juga nak simpan. Setan, mana pula boleh buat berjanji!” gerutunya bila kenangkan Latip Baran berkeras tidak mahu membuang bulu betis yang diberi kepadanya oleh hantu tinggi.
Orang ramai berkumpul di rumah Latip Baran tidak berkata apa-apa. Mereka serahkan semuanya kepada pada kesanggupan Tok Uda Badin dan Dukun Amid saja.
“Mulalah Mid......” kata Tok Uda Badin ke arah Dukun Amid.
Dukun Amid mengangguk. Mulutnya kumat kamit sambil matanya pejam. Lama kelamaan peluh memercik di dahi Dukun Amid. Matanya tetap terpejam dengan mulut kumat kamit. Sementara Tok Uda Badin mengangkat kedua belah tangannya. Tapak tangannya dihalakan kepada Dukun Hamid, bukannya pada Latip Baran. Sekali sekala dia mengenjur-ngenjur tangannya menolak sesuatu ke arah Dukun Amid.
Ketika itu barulah Latip Baran mengerakkan kepalanya sama seperti Dukun Amid juga.
“Tolong tengok-tengokan Latip tu” Tok Uda Badin menggamit Pak Itam Nong. Sementara Pak Itam Nong menggamit Sarip Juling. Mereka berdua duduk melutut berhampiran dengan Latip Baran.
Sekali gus Latip Baran bingkas mahu bangun. Tetapi cepat-cepat Pak Itam Nong memaut dadanya. Dia direbahkan semula. Sarip Juling pula menerpa ke arah kaki Latip Baan. Beberapa orang lelaki yang ada di serambi juga menerpa masuk setelah dipanggil oleh Mak Bidan Mun. Mereka sama-sama membantu memegangkan Latip Baran yang mulameronta kuat.
“Celaka kau Amid, kenapa kau panggil orang tua cabuk ni !” bentak Latip Baran. Suaranya garau jauh di kerengkung. Suara itu tidak sama dengan suara Latip Baran sebenarnya.
“Celaka kau Amid !” gertuunya lagi.
Dukun Amid tidak menyahut. Dia sudah semakin jauh ditolak oleh Tok Uda Badin menembusi kawasan gelap. Dia sampai di bawah pokok asam putat di pinggir tanah perkuburan. Tiba-tiba saja sebuah kepala sebesar reban ayam melayang-layang menerpa ke arahnya. Kepala itu tidak bertubuh. Matanya tersembul merah, pipinya berkedut-kedut, rambutnya mengerbang serta dahinya bertanduk.
“Celaka kau Amid, kenapa kau bawa orang tua cabuk tu...... !” herdik kepala melayang-layang iyu. Dia berligar-ligar juga mahu menerkam ke arah Dukun Amid. Tetapi setiap kali dia mahu menerkam dirinya terpelanting ditolak oleh suatu kuasa yang tidak diketahui dari mana.
“Sapa ?” sahut Dukun Amid marah.
“Orang tua tu..........!” mulutnya memuncung panjang menunjukkan ke arah Tok Uda Badin bersila duduk di awang-awangan.
“Kau takut dia?” herdik Dukun Amid macam menyindir.
Kepala itu tidak menyahut. Tetapi mukanya tetap marah kerana tidak dapat menghampiri Dukun Amid.
“Selama ini kau menyorok dari aku, kenapa sekarang kau keluar?” soal Dukun Amid lagi.
“Celaka kau, celupar sangat mulut kau !” kepala melayang-layang itu mengertap bibir. “Macam mana aku nak menyorok dari orang tua tu, panas badan aku. Tempat ini sangat panas...” katanya geram.
“Kalau panas berambuslah kau !” bentak Dukun Amid.
“Macam aku nak pergi, aku tak ada jalan. Biarlah Latip tunjukkan jalan aku...” kepala itu tersengih-sengih mengerling ke arah Dukun Amid.
“Tinggalkan Latip! “ suara Dukun Amid keras. “Kalau kau tahu jalan datang, fasal apa tak tau jalan balik” ujar Dukn Amid lagi.
Belum sempat kepala itu menyahut, Dukun Amid nampak Tok Uda Badin menghembus ke arah kepala melayang – layang itu. Panah-panah berapi menjunam datang beratus-ratus. Kepala itu terjerit-jerit lalu bertukar menjadi kepulan asap hitam yang memanjang macam menungkat ke langit.
Tetapi panah berapi itu menujah juga ke arah kepulan asap sambil terbakar. Api menyala membakar kepulan asap hitam menungkat ke langit.
“Tolong ....jangan bakar aku...” kepulan asap itu memekik bergaung ari udara. “Orang tua ni tak sama macam kau Amid, tak pernah aku jumpa lagi macam ni ilmunya” suaranya merintih menahan kesakitan.
“Kau fikir kau boleh olok-olokkan aku ye?” ejek Dukun Amid memerhatikan kepulan asap hitam itu mengeliat-geliat kesakitan. “Sekarang kau cubalah menyorok diri kau !” jerkah DukunAmid mencabar lembaga hitam yang menjelma dalam kepulan asap itu.
“Aku tak dapat menyorok...” pekik lembaga itu sekuat hati.
“Tidak boleh menyorok berambuslah!” Cabar Dukun Amid lagi.
Kepulan asap itu bertukar menjadi batu kerikil. Dukun Amid kumat kamit membaca sesuatu. Kemudian dia mendengar Tok Uda Badin menyuruhnya membacakan ayat
Wallaunna qurana suriyat bihiljibalu auqutiat bihilar’d auqulimma bihilmaut...
Dukun Amid mengikut saja apa yang disuruh oleh Tok Uda Badin. Sebaik saja dia membaca ayat tersebut tiba-tiba halalintar berdentum menyebabkan batu kerikil itu berkecai.
Sekali lagi jerit lembaga hitam itu bergema melalui pekikan Latip Baran. Meronta-ronta dia menahan kesakitan sekalipun yang dilihat orang-orang kampung Latip Baran meronta-ronta.
“Berani kau dengan Tok Uda Badin !” Dukun Amid menyindir.
“Dengan orang tua ni beranilah awak cakap besar Amid...” sahut lembaga itu bertukar menjelmakan dirinya menjadi kepala berligar-ligar. Seluruh bahagian mukanya sudah hangus dibakar api. Matanya yang tersembul merah pun sudah terbakar hangus.
“Kalau takut awak, belum undur kawan lagi!” kata Dukun Amid meludah muka kepala yang berligar-ligar itu. “Tak ada Tok Uda Badin pun kawan sanggup melawan awak......” ejeknya sengaja mahu menyakitkan hati lembaga tersebut.
“Habis, kenapa awak panggil orangtua ni?”
“Awak takut pada Tok Uda kan.........Kalau takut cakap”
“Dengan awak, kawan tak takut Amid.”
“Seranglah !”
“Orang tua tu ada............”
“Awak orang gagah berani, mengapa takut....” Dukun Amid terus mengejek-ngejek untuk menaikkan kemarahan hantu tinggi itu.
Kepala melayang-layang di udara cuba menerkam ke arah Dukun Amid. Dengan pantas Dukun Amid mengambil bertih lalu dilimparkan ke arah kepala berkenaan. Bertih itu menjadi bola-bola besi hinggap menerjah, sampai segenap bahagian kepala itu berdarah. Tetapi dia tetap bertahan dari serangan Dukun Amid. Dia tidak kelihatan merasa sakit pun dengan serangan tersebut.
“Bacakan Ayat Kursi, Amid.........” Dukun Amid terdengar suara Tok Uda Badin mengiang-ngiang di telinganya. Lantas dia membacanya seperti diarahkan oleh Tok Uda Badin.
Sebaik saja dia membaca Ayat Kursi api menyala besar seperti kawah gunung berapi. Kepala melayang-layang itu tidak dapat mengelakkan diri dari api yang menyala. Bahang panas itu menyebabkan seluruh mukanya menjadi merah, kulitnya mengerekot, rambut mengerbangnya habis hangus.
“Cukup jangan baca lagi Amid.......” rintih kepala itu terawang-awang seperti periuk tergagang diatas tunku masak. Api terus menyala membakarnya, sedangkan dia tidak dapat melarikan diri dari api berkenaan.
“Kalau tak tahan, berambus kau!” perintah Dukun Hamid.
“Kawan tak tahu jalan...”
“Kenapa datang kau tahu jalan?”
“Latip yang bawa”
“Kau jangan bohong!”
“Memang Latip bawa aku......”
“Kalau kau tak tahu jalan, kau tahanlah lagi.......!” kata Dukun Amid membacakan lagi ayat kursi.
Terjerit-jerit kepala terawang-awang itu bila api semakin menyala hingga dia tenggelam di dalamnya. Seluruh mukanya habis hangus dijilat api menyala. Dia terketar-ketar menahan kesakitan. Ketika ini orang-orang yang menyaksikan Latip Baran nampak muka Latip Baran semakin banyak memercik peluh. Dia mengelepar ke kiri ke kanan bagaikan tersiksa menahan kesakitan.
Tok Uda Badin pula membongkok sedikit merapatkan mulutnya ke telinga Latip Baran. Dia terus azan pada bahagian telinga kanan Latip Baran. Setiap kalimat azan berkumandang Latip Baran semakin mengeliat kesakitan.
Dukun Amid nampak yang mengeliat itu bukan Latip Baran tetapi kepala yang terapung-apung tidak bertubuh di bawah pokok asam putat. Azan yang dikumandangkan oleh Tok Uda Badin benar-benar menyeksakan kepala berkenaan. Kemana saja dia cuba melarikan diri gema azan itu tetap memukulnya bertalu-talu.
“Ampun Tok Uda !.. Ampun.......” rintih kepala itu terketar-ketar menahak seksa.
“Aku tak ampunkan kau. Aku mahu kau tinggalkan Latip!” jerkah Tok Uda Badin keras. Dukun Amid semakin berani kerana Tok Uda Badin sendiri menentang lembaga tersebut.
“Aku tak tahu jalan balik.....” sahut lembaga itu merayu-rayu.
“Aku tak peduli sama ada kau tahu jalan atau tak tahu jalan balik “ kata Tok Uda Badin lebih keras. “Aku tak mahu layan setan. Kalau kau tahan tunggulah ayat-ayat Allah ini...” ujarnya sambil mulutnya kumat kamit.
Lembaga itu terjerit-jerit kesakitan, Tetapi Tok Uda Badin tidak menghiraukannya. Dia terus membaca kalimat-kalimat dari ayat Quran. Seluruh kawasan tempat lembaga itu bertahan bergegar kuat. Api membakar dari tiap penjuru. Kepala itu tenggelam dalam nyala api seperti kawah gunung berapi.
Tolong....tolong.....tolong Tok Uda !” rintih kepala yang terperangkap dalam api marak menyala.
Namun Tok Uda Badin tidak menyahut. Dia terus membaca kalimat-kalimat Allah. Dia tidak melayan langsung kata-kata kepala seperti dilakukan oleh Dukun Amid.
“Aku tak akan terpedaya oleh tipu daya setan.!” Jerkahnya setiap kali kepala yang terbakar itu merintih meminta pertolongan. Akhirnya kepala itu mengaku akan pergi dari situ. Dia tidak sanggup lagi menghadapi seksaan yang demikian dasyat.
“Aku pergi Tok Uda... Aku pergi. Cukuplah, hentikan membaca ayat-ayat itu. Aku tak tahan lagi......” katanya terketar-ketar.
“Kalau nak pergi, pergilah!” sahut Tok Uda Badin tidak menghiraukan rintihan tersebut.
Dukun Amid dapat belajar dari cara Tok Uda Badin menghadapi hantu tinggi yang menjelma sebagai kepala sebesar reban ayam itu. Tok Uda Badin terus menyerang dengan tidak memperdulikan apa saja rintihan lawannya. Kalau dilayan sudah tentulah lawannya dapat mengelakkan dari terus diserang. Lawannya akan mencari helah tidak mahu berundur. Inilah tipu daya setan yang tidak dapat memerangkap Tok Uda Badin.
“Latip tak patut...” ujar kepala itu lagi merintih-rintih. “Aku dah beri dia pelindung, tapi tak dijaganya. Aku minta balik dia tak beri. Sebab itulah aku marah” dia menjelaskan dengan harapan dapat menarik perhatian Tok Uda Badin.
Tetapi Tok Uda Badin tidak menyahut. Mulutnya terus kumat-kamit membacakan kalimat-kalimat dari Quran. Api terus marak menyala seperti kawah gunung berapi. Kepala itu tidak dapat melarikan diri dari disambar oleh api dari segenap penjuru. Sebahagian kepala itu sudah menjadi bara merah. Sedikit demi sedikit debu gugur tidak bertahan.
Debu itu dihembus oleh Tok Uda Badin hingga hilang di udara. Dukun Amid mengibas-ngibas debu yang berterbangan itu dengan belakang tangannya.
Kira-kira tengah malam kemnudiannya barulah Latip Baran sedar dari pengsannya. Dia macam orang bingung tidak tahu apa yang berlaku keatas dirinya. Hampir sebulan selepas itu barulah Latip Baran pulih betul. Barulah dia dapat mengingat kejadian yang dialaminya.
Bulu betis yang didapatinya dari hantu tinggi itu sebenarnya sudah hilang entah kemana. Dia selitkan celah atap di kepuk padi. Satu pagi apabila dilihatnya, benda itu tidak ada lagi. Rupa-rupanya benda itu sudah diambil oleh anaknya Din yang lahir bersama kelongsong dulu. Dia telah membakar benda itu yang disangkanya ijuk enau.
Pada mulanya Latip Baran menyangka tidak ada apa-apa masaalah apabila bulu betis itu hilang. Hinggalah dia diterkam oleh kepala tidak bertubuh sebesar reban ayam di bawah pokok asam putat di pinggir kubur.
“Jangan sekutukan Allah dengan yang lain. Hanya dia yang disembah dan kepadanya meminta pertolongan” Tok Uda Badin mengingatkan dia.
Cerita mengenai Latip Baran ini diceritakan juga oleh nenek saya. Walaupun kisanya sudah berlalu terlalu lama, dan Latip Baran itu pun sudah lama meninggal dunia , tetapi banyak menafaat yang dapat saya fikirkan. Makhluk-makhluk ghaib ini memang sukar kita lihat dengan pancaindera biasa.
Saya sendiri tidak mahu bertemu dengan makhluk-makhluk ghaib dari syaitan ini., tetapi insya Allah saya tidak akan berundur kalau sudah terpaksa menentangnya. Segala apa yang diturunkan oleh Tok Uda Badin pada anak cucunya, saya kira cukup untuk dipergunakan menentang syaitan selagi berpegang kepada Lailla ha illallah.
TAMAT