05 Julai, 2000

KUBUR HILANG DARI HUTAN

SEMASA NAHAS berlaku apabila dilanggar sebuah motorsikal tatkala mahu melintas jalan mahu ke masjid untuk solat maghrib, memang tidak ada sesiapa pun yang nempak Andak Bucin dirempuh. Lama dia terbaring di tepi jalan, barulah Lebai Minin terserempak dengan kawannya itu yang berlumuran darah dalam keadaan tidak sedar apa - apa. Tidak sempat hendak di bawa ke hospital, Andak Bucin  sudah meninggal dunia di atas ribaan Lebai Minin.
Memang tidak ada sesiapa pun yang nampak motorsikal merempuh Andak Bucin , tetapi masakan penunggang motorsikal berkenaan tidak jatuh tersungkur ke jalan aspal? Kalau mahu dituduh dirempuh dengan kereta, Jeman Tengkak tidak dengar pun bunyi kereta melintas di depan masjid. Jeman Tengkak yang sampai lebih awal di masjid sebelum masuk waktu maghrib, tahu memang terdengar bunyi motorsikal melintas.
Dia tidak peduli sangat bunyi motorsikal memecut laju di jalan kecil tengah kampung kerana sudah menjadi kebiasaan anak - anak muda untuk tidak hiraukan keselamatan masing - masing. Kalau mahu dikira anak - anak muda yang menunggang motorsikal di dalam kampung, hanya beberapa orang sahaja yang memilikinya. Leman Sogok yang gila - gila memecut motorsikal tidak cedera apa - apa sewaktu jejakkan kakinya ke masjid. masakan dia yang merempuh Andak Bucin ?
Mereka yang mempunyai motorsikal di kampung berkenaan memang tidak terbabit dalam nahas yang menyebabkan Andak Bucin  meninggal dunia. Bukan mudah mahu mencari di seluruh ceruk di Hulu Perak sesiapa yang jatuh tersungkur menunggang motorsikal hingga merempuh Andak Bucin . Sebab itu mereka tidak peduli sangat siapa yang bertanggung jawab menyebabkan Andak Bucin  meninggal dunia.
Sebaik sahaja keluarga Andak Bucin  menelefon ke rumah Haji Basar memberitahu mengenai nahas yang menimpa, Haji Basar sudah ke luar negara bersama Hajah Rusijah . Lantas Lebai Minin mengingatkan supaya dikebumikan juga Andak Bucin  dengan tidak perlu menunggu anaknya Hajah Rusijah .
Setelah 2 minggu Andak Bucin  dikebumikan, barulah Haji Basar bersama Hajah Rusijah diberitahu mengenai nahas yang menimpa Andak Bucin . Kesal juga Haji Basar apabila kenangkan sukar sangat orang - orang kampung mahu dapatkan kereta jenazah untuk membawa jenazah Andak Bucin  balik dari hospital. Terpaksalah Lebai Minin menyewa kereta bersama orang - orang kampung untuk membawa balik jenazah.
Tetapi Haji Basar pendamkan rasa kesal itu jauh di lubuk hatinya. Sampai bila pun dia tidak akan lupakan fasal bapa mentuanya sanggup bercekang mata bangun di tengah malam, setelah diberitahu perniagaannya tidak mencapai apa - apa kejayaan. Setelah Andak Bucin berturut - turut bangun di tengah malam bersolat tahajud, lantas dia memberikan sebuah botol minyak sebesar ibu jari.
" Minyak ini tak ada kuasa apa - apa " jelas Andak Bucin tatkala dia menyerahkan minyak berkenaan kepada menantunya.
" Tapi eloklah disapukan pada alis mata apabila nak kemana - mana masa uruskan perniagaan ". Dia ingatkan Haji Basar supaya rahsiakan pada sesiapa pun mengenai minyak berkenaan.
Memang Andak Bucin  akan titikkan minyak berkenaan ke dalam air, apabila sesiapa pun mintakan mandi bunga. siapa lagi mereka harapkan di kampung berkenaan tatkala anak gadis lambat berkahwin kalau bukannya Andak Bucin ? Asal sahaja Andak Bucin mandikan bunga tengah malam, nescaya tidak sampai sebulan gadis berkenaan akan dipinang orang.
Sebab itu Hajah Rusijah tahu sangat jenis minyak wangi ayahnya gunakan semasa mandi bunga tengah malam. Setelah dikumpulkan 7 jenis bunga berbau harum, Andak Bucin  akan campakkan bunga itu pada air di dalam timba. ketika itu dia akan curahkan minyak wangi yang sudah dipesankan beli sahaja dimana - mana.
Tentu Hajah Rusijah tidak tahu apabila arwah ayahnya titikkan minyak senyonyong berkenaan di dalam timba tersebut. Siapa sahaja yang mintakan dia untuk mandi bunga hanya sekadar menyangka bau harum tersebut disebabkan oleh minyak wangi yang mereka bawa bersama itu. Sebaik sahaja dijirus air bunga tersebut ke badan, sekali gus terasa sejuk laksana air jeram yang memercik ke batu.
Mereka tahu air yang di dalam timba itu memang ditadah dari pili sahaja. Bagaimana pula tiba - tiba sahaja berubah kepada sejuk hingga menusuk ke tulang hitam tatkala dijirus oleh Andak Bucin  ke tubuh. Siapa pun tidak akan bertanya apa - apa kepada Andak Bucin disebabkan mereka bimbang akan melanggar pantang larang tatkala melakukan upacara mandi bunga itu.
Memang Andak Bucin  sudah ingatkan supaya bertahan jikalau terasa sebarang perubahan pada diri semasa dimandikan air bunga tersebut. Kadang kala terasa badan sakit - sakit hingga sengal sendi sebaik sahaja dijiruskan air berkenaan. Manalah tahu seluruh badan akan menjadi gatal tergaru - garu tidak menentu. Malah masing - masing akan mengalami sendiri perubahan sedemikian yang tidak diketahui oleh sesiapa pun.
" Jangan kamu ingat minyak ini berkuasa sangat! " Andak Bucin  tidak mahu Haji Basar harapkan sangat kepada minyak yang dibekalan kepadanya setelah menantunya itu merungut perniagaannya menjadi tidak menentu.
Tidak sampai setahun Haji Basar diberikan botol minyak sebesar ibu jari itu, dia merasa mudah sangat uruskan perniagannya. Apa sahaja yang diharapkan, semuanya akan mengikut jadual sehingga jika Haji Basar tidak berbuat apa - apa pun, sentiasa ada sumber perniagannya. Sebab itu dia tetap kenang usaha bapa mentuanya hingga mencapai kejayaan besar di dalam perniagaan.
Andak Bucin  memang tidak pernah memberitahu Haji Basar dan keluarganya mengenai dia ke hutan bersama Lebai Minin lalu terserempak dengan rumpun serai bunga yang tumbuh di kawasan padang lalang. Segera dibongkarnya akar lalu dibawa balik ke rumah. Dia pun tanamkan rumpun serai bunga itu di hujung halaman biar tumbuh merimbun di situ.
Tetapi Lebai Minin tidak pedulikan apa - apa tatkala Andak Bucin  membongkarkan akar rumpun serai itu. Biarlah Andak Bucin bawa balik rumpun serai bunga itu lalu ditanam di hujung halaman, asalkan sahaja dia tidak menyimpan harapan tinggi di dalam jiwanya mahukan hikmat dan kesaktian. Serai bunga berkenaan sama juga dengan tumbuh - tumbuhan yang lain yang tumbuh dengan izin Allah.
Apa sangatlah diharapkan dengan serai bunga yang boleh memberikan kesaktian. Lebai Minin tahu mengenai Andak Bucin  hanya sekadar gemarkan mengumpul barang - barang ganjil jika ditemui di tengah hutan belantara. Pokok senduduk berbunga putih pun Andak Bucin  cabutkan perdunya lalu ditanam di dalam pasu di belakang rumahnya. Apa lagi jika dia menemui buluh tumpat atau rotan songsang ruas, memang dibawanya balik ke rumah.
Sebab itu Lebai Minin ingatkan dia yang tumbuh - tumbuhan demikian tidak mempunyai apa - apa kesaktian luar biasa pun. Sekadar untuk disimpan sebagai kegemaran sahaja memang Lebai Minin tidak akan melarang kawannya itu. Biarlah Andak Bucin mahu mengutip apa pun yang ditemuinya di hutan kalau takat menjadi kegemaran semata - mata.
Lama serai bunga itu tumbuh merimbun di hujung halaman, tiba - tiba sahaja Andak Bucin tercium bau harum bagaikan bunga rampai diletakkan di sanggul. Memang dia menyangka tentu isterinya, Uda Setiyah selitkan daun pandan di celah sanggul biar berbau harum. Tetapi bau harum itu semakin semerbak tatkala tengah malam hingga santak ke subuh.
Takat daun pandan diselit Uda Setiyah di celah sanggul, bau wanginya tidaklah semerbak macam ambar kasturi. Lagi pun Andak Bucin tahu perbezaan bau daun pandan kering dengan harum bunga - bunga kembang malam. Lantas dia mengagak tentu bunga serainya yang berbau harum sedemikian.
Keresahan Andak Bucin bukan disebabkan oleh bau harum yang semerbak setiap malam, tapi masalah rezekinya yang bagaikan tersekat tidak mencurah datang. Mahu bertukang rumah pun tidak ada siapa pun yang harapkannya. Kalau menebang tebas belukar, ramai lagi anak - anak muda yang sanggup mengambil upah pada mereka yang mempunyai kebun itu. Memang Andak Bucin  merasakan kesempitan wang hinggakan beliau hanya harapkan Uda Setiyah anyamkan tikar lalu jualkan dimana - mana.
Sebab itu pada setiap malam Andak Bucin memang sukar sangat mahu melelapkan mata bila kenangkan kesempitan kewangan yang menghimpitnya. Tatkala terkebil - kebil mata tengah malam itulah, dia diganggu bau harum berwarwar asal sahaja angin memuput perlahan. Disebabkan tidak mahu terus lelapkan mata, lantas sahaja Andak Bucin  turun ke tengah halaman. Setidak - tidaknya boleh juga beliau menyedut angin segar tengah malam yang mengelus perlahan itu.
Ketika Andak Bucin  tercegat di tengah halaman itulah dia melihat rumpun serai bunga berombak - ombak dirempuh angin malam. Bau harum semakin semerbak apabila beliau melihat kain kuning bagaikan tersangkut pada rumpun serai berkenaan. Tatkala beliau mendekati rumpun serai berkenaan, berdebar hati Andak Bucin apabila beliau ternampak lelaki tua berjanggut putih sampai ke dada tercegat di situ dengan memakai jubah kuning.
Lantas sahaja lelaki berkenaan memberikan salam. Serba salah Andak Bucin  mahu menjawab tetapi beliau sekadar menyahut di dalam hati sahaja. Memang bau harum yang tercium itu berpunca dari jubah kuning orang tua itu apabila dipuput angin. Segera Andak Bucin bacakan surah al fatihah 3 kali diikuti dengan ayatul kursi. Tetapi lelaki itu hanya tersenyum lantas mengangkat tangan menggamit Andak Bucin  supaya mendekatinya.
Memang Andak Bucin  melihat kaki lelaki berkenaan bagaikan bersatu dengan rumpun serai bunga berkenaan seolah - olah dia tidak dapat bergerak kemana - mana. Sebab itulah Andak Bucin gagahi juga mendekati rumpun serai bunga berkenaan. Dia tidak bimbang apa - apa selagi mengingatkan pesan Lebai Minin bahawa tidak ada makhluk yang berkuasa selain daripada Allah.
Sebaik sahaja beliau mendekati lembaga berjubah kuning itu, segera Andak Bucin membacakan : " wa-'indahu mafatihol-ghaibi laya'lamuha illa-huwa, waya-lamu mafilbarri wal-bahri, wamatasquthu minw waraqotin illa ya'lamuha wala hobbatin fi-zulumatil ardhi wala rath-bim walaya birin-illa fi-kitabimmubin ".
Tersenyum lembaga berjubah kuning itu tetapi tetap tidak berganjak dari rumpun serai tersebut. Apabila Andak Bucin  hentakkan tumit 3 kali ke tanah, dia sekadar memberikan isyarat supaya Andak Bucin tidak memusuhi dirinya. Kemudian dia kibaskan jubahnya hingga terpelanting beberapa ketul kemenyan sebesar ibu jari.
" Andak dah jemput kami ke sini, kenapa pula tak suka? " tutur orang tua berjubah kuning itu dengan ramah mesra.
" Aku tak kenal siapa awak! " sahut Andak Bucin  sambil mengibas - ngibaskan bajunya yang tersandang di bahu itu. Sekali pun angin malam mengelus sejuk, tetapi dia merasakan badannya panas laksana tercegat di bawah silau matahari.
" Tak kenal tu, eloklah kita berkenal - kenal " ujarnya perlahan di dalam kesamaran malam di bawah bulan pucat dilindungi awan menipis.
" Kalau tujuan jahat, tak payahlah nak kenal! " tegas Andak Bucin  memberi amaran kerana tidak mahu terpedaya dengan jelmaan yang mahu memujuknya itu.
" Jahat atau baik terletak pada hati sanubari " beritahu orang tua itu lantas memperkenalkan dirinya Tok Kuning yang menanam serai bunga berkenaan di tengah hutan.
Manalah Andak Bucin  tahu mengenai Tok Kuning  yang menanam serai bunga berkenaan hingga tumbuh merimbun di tengah hutan. Bertahun - tahun Tok Kuning tidak diketahui setelah hilang sewaktu berkebun, hinggalah penduduk - penduduk kampung menyedari ada rumpun serai di tengah kebunnya. Asal sahaja rumpun perdu berkenaan dipupuk dengan tanah hitam, penduduk - penduduk kampung percaya Tok Kuning  telah datang membersihkan kebunnya.
Setiap kali Tok Kuning  membersihkan kebun dengan memupuk rumpun serainya, nescaya sawah padi di sekeliling kampung berkenaan akan menhasilkan hasil yang melimpah ruah. Tetapi setelah perkampungan mereka dilanda kemarau hingga tanah sawah menjadi gersang, penduduk - penduduk kampung di situ telah berpindah jauh. Sebab itulah tempat berkenaan menjadi hutan belukar tidak ditempuh sesiapa pun.
Mengeluh panjang Andak Bucin tatkala Tok Kuning memberitahu mengenai perkampungan tinggal itu menjadi gersang akibat kemarau berterusan apabila ada orang melanggar pantang larang. Memang Tok Kuning melarang sesiapa pun membakar jerami padi selepas musim menuai setelah bertahun - tahun dia meneroka kawasan berkenaan.
Ketika meneroka bersama isterinya, Tok Oyam di kawasan paya di pinggir bukit, tidak ada sesiapa pun yang mahu ikut menebang tebas. Setelah padi Tok Kuning  subur menghijau, mereka mula bertumpu ke situ. Tatkala padi masak, mereka akan kagum melihat sawah Tok Kuning  akan berkilau kekuningan disilau cahaya matahari lantas berombak - ombak ditiup angin bukit.
Tetapi Tok Kuning tidak membantah apa - apa sekiranya orang - orang kampung yang lain bertumpu di kawasan yang diterokainya. Apalah salahnya mereka sama - sama meneroka setelah paya di situ sesuai dijadikan sawah padi. Biarlah dia berseorangan sahaja mencebak tanah membuat parit sampai paya berkenaan boleh dijadikan kawasan menanam padi.
Setelah ramai orang bertumpu meneroka di perkampungannya, Tok Kuning  terkejut apabila melihat sawah padinya bercahaya laksana api menyala tatkala tengah malam. Bimbang juga padinya telah diunggun orang disebabkan irihati padinya menjadi sangat. Lantas Tok Kuning pun turun ke sawah dengan tanpa memberitahu kepada isterinya, Tok Oyam .
Sebaik sahaja beliau sampai ke tengah sawah, dia terserempak dengan 2 ekor ular sawa yang berkelahi sehingga berbelit - belit. Dia menyuluh ular berkenaan dengan api jamung ditangannya. Disebabkan bimbangkan ular sawa tersebut akan memusnahkan ternakan, cepat - cepat Tok Kuning balik ke rumah lalu mencapai lembingnya yang terselit pada dinding. Dia akan tusukkan mata lembing itu ke kepala ular berkenaan biar mati terkejang.
Tatkala Tok Kuning menyerbu semula ke tengah sawah, hanya tinggal seekor sahaja lagi ular sawa yang berlingkar dengan ekor terkotek - kotek. sudah tentu ular berkenaan telah kalah berkelahi hingga tenat tidak boleh bergerak melarikan diri. Berdebar juga hati Tok Kuning kerana bimbangkan ular yang menang berkelahi tadi akan datang menerpa ke arahnya lantas membelit tidak bertangguh.
Cepat - cepat Tok Kuning  menyuluh di sekeliling dengan api jamung, tetapi ular yang menang tadi sudah tentu menyusup larikan diri. Dia hanya melihat denai ular tersebut berlorong di tengah rumpun padi hingga berlondar laksana bekas batang kelapa diheret. Ketika dia berbalik semula melihat ular yang kalah tadi, kasihan pula Tok Kuning mahu tusukkan mata lembingnya ke kepala ular tersebut.
Memang ular tersebut parah akibat mengalami luka kalah berkelahi. Disebabkan kasihan dengan keadaan ular sawa itu, segera Tok Kuning  pupukkan luka - luka di badan ular itu dengan pucuk senduduk yang dikunyah. Hingga santak subuh Tok Kuning  barulah Tok Kuning mendapati ular sawa berkenaan mulai mengangkat kepala.
" Kalau kau boleh menjalar, larilah dari sini " tutur Tok Kuning  seolah - olah ular sawa itu memahami sangat kata - katanya. " nanti jika orang di sini terserempak, tentu kau dibunuhnya " dia ingatkan ular tersebut. Selepas itu Tok Kuning terus balik ke rumah.
Tatkala orang - orang kampung turun ke sawah sebaik matahari naik ke sepenggalah, mereka menjadi gempar apabila melihat lopak sawah mereka berlorong seperti batang kelapa diheret. lantas mereka menuduh tentu ular sawa telah mengheret ternakan mereka merempuh sawah padi. Tetapi tiada sesiapa pun yang mengadu mengenai ternakan mereka hilang di dalam reban direntap oleh ular sawa. Sekiranya kambing atau pun ayam ternak yang dibelit, sudah tentu menjadi gempar dengan mengembek atau berkiok sepanjang malam.
Apabila diberitahu kepada Tok Kuning  mengenai kejadian tersebut, dia sekadar mencebekkan bibir sahaja. Sewaktu dia menjengah tempat ular berkelahi itu, dia mendapati ular sawa yang kalah itu tidak berlingkar lagi di situ. Tok Kuning  percaya tentu ular berkenaan sudah menyusup ke mana - mana untuk selamatkan dirinya.
Tidak lama selepas kejadian itu, Tok Kuning  tidak bimbang apa - apa lagi akan hal gangguan tikus di sawahnya. Dalam masa penduduk - penduduk kampung merungut rumpun padi mereka rosak digigit tikus - tikus, memang sawah Tok Kuning  tak diganggu langsung. Terpaksa pula orang - orang kampung membakar sabut di atas permatang setiap petang biar tikus - tikus tidak menyerbu datang.
Beberapa kali juga penduduk - penduduk kampung terserempak dengan ular sawa menangkap tikus - tikus di atas permatang sawah Tok Kuning tatkala mereka membakar sabut setiap senja. Sebab itu mereka mengagak tentu Tok Kuning  memelihara ular sawa berkenaan yang seolah - olah menjaga sawah padi Tok Kuning dari gangguan tikus - tikus.
Ketika Tok Kuning membersihkan parit tali air sewaktu musim turun ke sawah, tiba - tiba sahaja seisi kampung menyedari yang bahawa dia telah hilang. Mulanya mereka hanya ternampak Tok Kuning bersandar pada perdu pokok dedalu sewaktu matahari tengah tegak di atas kepala untuk berehat setelah penat membersihkan parit tali air dengan bergotong royong.
Di dalam sekelip mata sahaja Tok Kuning  sudah tidak kelihatan di mana - mana. Sebab itulah mereka menyangka tentu Tok Kuning  sudah balik ke rumah secara tiba - tiba. Tetapi sehingga santak petang, Tok Oyam memberitahu mereka bahawa Tok Kuning  masih belum pulang ke rumah tatkala bergotong royong membersihkan parit tali air.
Setelah lama Tok Kuning hilang di perdu pokok dedali di tengah sawah, Tok Oyam telah bermimpi dikunjungi suaminya yang menjelma dengan berpakaian jubah kuning laksana padi tengah masak. Tok Kuning  ingatkan dia supaya anak cucunya tidak membakar jerami padi selepas habis musim menuai. Dia juga mengaku tidak dapat lagi menemui Tok Oyam semula setelah mengembara jauh di kawasan bendang yang luas.
Tetapi penduduk kampung tidak peduli sangat dengan pantang larang yang telah diberitahu Tok Kuning  di dalam mimpi Tok Oyam itu. Apalah sangat mimpi tatkala nyenyak tidur kalau dibandingkan dengan kesukaran mereka mencebak tanah sawah setelah habis musim menuai. Jerami padi harus dibakar juga biar mudah mencebak tatkala air mula masuk ke dalam lopak.
Marah juga Tok Oyam apabila mereka tetap berdegil mahu melanggar pantang larang membakar jerami padi di tengah sawah. Sebab itu Tok Oyam ingatkan mereka setiap kali musim turun ke sawah, nescaya hasil padi akan menjadi sekiranya parit tali air mereka mengalir air keruh masuk ke lopak. Tok Oyam tahu memang Tok Kuning  yang bersihkan parit tali air berkenaan, sekali pun tiada sesiapa pun yang melihat dia terbongkok - bongkok di situ mencebak tanah.
Tok Oyam sekadar cam, air di dalam parit tali air itu akan keruh berkeladak sahaja sebagai tanda Tok Kuning turun bersihkan parit berkenaan. sekiranya air tidak keruh, tahu sangat Tok Oyam memang padi tidak akan menjadi sepanjang tahun berkenaan. kalau tidak dijangkiti penyakit sambar pun, burung ciak atau tikus akan berkeliaran menggetis rumpun padi. mereka semua akan mengeluh panjang akibat padi tidak menjadi itu.
Tidak lama selepas kejadian Tok Kuning  hilang tatkala bersihkan parit tali air, Tok Oyam bermimpi lagi mengenai rumpun serai bunga telah tumbuh di hujung halaman rumahnya. Sebaik sahaja bangun pagi, segera Tok Oyam menjengah ke hujung halaman. memang terkejut dia apabila melihat rumpun serai bunga segar tumbuh merimbun.
Hinggalah Tok Oyam meninggal dunia, rumpun serai bunga itu tetap merimbun tidak diganggu sesiapa pun. Kadang kala anak - anaknya terserempak juga dengan ular sawa berlingkar di tengah belukar rumpun serai berkenaan dengan sisiknya berkilau laksana kaca disilau dengan cahaya matahari.
Disebabkan mereka berdegil juga membakar jerami padi, tiba - tiba sahaja musim kemarau yang berterusan telah melanda hingga tanah sawah menjadi gersang. Tumbuh - tumbuhan juga menjadi layu laksana dibakar api yang marak menyala. Setelah tidak lagi boleh bercucuk tanam, lantas sahaja penduduk - penduduk kampung itu berpindah meninggalkan perkampungan yang diteroka oleh Tok Kuning  itu.
Lama kelamaan perkampungan berkenaan telah terbiar menjadi hutan hingga bertahun - tahun. Tetapi rumpun serai bunga itu tidak lagi ditemui oleh Andak Bucin apabila dia masuk semula ke hutan bersama dengan Lebai Minin untuk mencari rotan. Puas dia berlegar - legar di kawasan rumpun serai bunga ditemui itu, namun tetap tidak kelihatan apa - apa di situ selain daripada belukar bemban yang tumbuh meliar.
Kalaulah dia tidak merentap rumpun serai bunga berkenaan tatkala mula - mula terserempak, nescaya dia tidak akan menemui lagi tumbuhan berkenaan. Tetapi Lebai Minin tidak peduli sangat fasal Andak Bucin yang berbangga sangat dengan rumpun serai bunga yang ditemui di hutan itu. Apa lagi setelah Andak Bucin mengakui pernah terserempak dengan kubur lama di tengah hutan yang berpagar dengan ruyung nibung. Hinggakan nesan yang tercancang juga diperbuat daripada ruyung nibung juga.
LAntas Andak Bucin pun menetak anak - anak kayu untuk dijadikan tanda lalu dicancang di situ biar mudah cam tempat kubur lama itu ditemui. Apabila dia mahu tunjukkan kepada Lebai Minin keesokkan harinya, mereka hanya sekadar melihat anak - anak kayu dipangkas yang dicancangkan oleh Andak Bucin . Kubur lama yang berpagar dengan ruyung nibung itu sekadar busut yang ditumbuhi dengan belukar rotan sahaja.
" Ah perkara kecil aje fasal andak temui kubur lama tu " ujar Lebai Minin yang tidak berasa hairan apa - apa. " Allah jadikan langit tak bertiang, laut tak bergali, matahari memancar di ufuk timur lebih menakjubkan dari kubur yang hilang tu " perlahan dia menjelaskan setelah Andak Bucin  merasa hairan dengan kejadian sedemikian.
memang Andak Bucin  bermimpi juga fasal kubur yang ditemuinya itu memang kubur Tok Kuning . Tetapi Andak Bucin  tidaklah peduli sangat dengan mimpi demikian. Hinggalah beliau terserempak dengan jelmaan lelaki berjubah kuning yang mengakui dirinya Tok Kuning berjejak pada rumpun serai bunga di hujung halaman itu.
Terkejut juga Andak Bucin  apabila Tok Kuning memberitahu yang dirinya juga berketurunan Tok Oyam . Lantas Tok Kuning  menyuruh dia tadahkan minyak yang memancut di perdu rumpun serai bunga dengan tempurung. Setelah Tok Kuning  hilang bagaikan asap yang ditiup angin, segera Andak Bucin menyuluh ke perdu rumpun serai bunga berkenaan. Tetapi tiada setitik pun minyak yang memancut di situ.
Apabila bangun pagi sebaik sahaja matahari naik sepenggalah, segera Andak Bucin  jengah semula ke rumpun serai bunga itu. memang hatinya tidak puas kalau tidak melihat apa - apa di situ. Ketika ini barulah dia melihat perdu serai itu berlendir tetapi berbau harum. Setelah dikuis - kuis lendir yang berbuih pada perdu rumpun serai bunga itu, barulah ternampak minyak memancut bagaikan mata air di dasar telaga.
Tidak bertangguh Andak Bucin pun tadahkan dengan tempurung, tetapi hanya dapat sekadar beberapa titik sahaja. Lalu dibubuh di dalam botol yang sebesar ibu jari pun sekadar acup dasar sahaja. Disebabkan bau minyak berkenaan harum, lantas sahaja disimpan baik - baik oleh Andak Bucin . Semenjak dia menemui minyak wangi pada perdu serai bunga itulah, terasa sangat pada Andak Bucin  rezekinya mencurah masuk. Kalau bertukang rumah pun cepat sahaja orang sudah membuat janji dengannya hingga Andak Bucin serba salah mahu menerima tempahan.
" Minyak ini tidak ada kuasa apa - apa " beritahu Andak Bucin  tatkala menunjukkan botol minyak senyonyong itu kepada Haji Basar .
" Yang pentingnya usaha kita sendiri " dia menjelaskan supaya menantunya tidak bergantung sangat pada minyak berkenaan.
Dia sekadar tadah minyak berkenaan apabila memancut di celah rumpun perdu serai bunga. Kemudian asapkan dengan kemenyan setiap kali bulan mengambang penuh hingga minyak berkenaan penuh sebotol. Apabila bulan menurun nescaya minyak di dalam botol berkenaan juga susut sampai setengah botol.
Minyak senyonyong berkenaan yang bukan sahaja membuatkan Andak Bucin  merasakan rezekinya bertambah, juga boleh digunakan untuk memikat sesiapa pun. Memang Andak Bucin  berkahwin lagi selepas minyak senyonyong itu di tadahkan di dalam tempurung.
Selepas minyak berkenaan disimpan baik - baik, tidak ada lagi kelihatan minyak yang memancut pada perdu serai bunga berkenaan. Disebabkan isterinya merasa marah sangat apabila Andak Bucin  berkahwin lain, lantas dia mengambil keputusan mahu menebas rumpun serai berkenaan. Isteri Andak Bucin  menuduh tentu disebabkan rumpun serai berkenaan, suaminya mudah sahaja memikat perempuan akibat minyak senyonyong yang memancut di situ.
Tatkala dia menghayunkan parang panjang, sekali gus matanya bersilau hingga beliau tergamam. Parang di tangannya juga tercampak ke tanah. Sewaktu dia membongkok mahu mencapai parang, tiba - tiba sahaja isteri Andak Bucin  ternampak batu berwarna warni berlonggok di perdu serai bunga itu. Apabila dikutip batu - batu berkenaan, isteri Andak Bucin pun jatuh asyik. kemarahannya terhadap Andak Bucin  mulai luntur serta - merta.
Isteri Andak Bucin  mulai berubah. Biarlah Andak Bucin berahwin lain asalkan dia dapat mengutip batu berwarna warni di perdu serai bunga berkenaan. Siapa sahaja yang inginkan batu itu dijadikan batu cincin, bila bila sahaja dia akan jualkan. Isteri Andak Bucin lah satu - satunya yang tahu waktu yang sesuai untuk mengutip batu yang berwarna - warni itu. Kalau takat berniat mahu membolot sendiri, sampai bila pun mereka tidak akan dapat melihat batu berkenaan berlonggok macam pasir berserak.
" Kamu simpan lah minyak ini " ujar Andak Bucin  ikhlas menyerahkan kepada menantunya, Haji Basar .
Sengaja Haji Basar simpan botol minyak berkenaan di dalam kabinet di dipejabatnya, supaya tidak ditemui oleh Hajah Rusijah jika di simpan di rumah. Biarlah isterinya tidak tahu apa - apa mengenai minyak senyonyong itu. Andak Bucin  sendiri ingatkannya supaya rahsiakan daripada pengetahuan anak - anaknya yang lain setelah dia serahkan kepada Haji Basar .
Apabila dia mengalami masalah kesempitan berniaga, Haji Basar sudah tidak harapkan apa - apa lagi pada minyak berkenaan. Apa sangat minyak senyonyong di dalam botol itu boleh lakukan sekiranya dia sendiri tidak berusaha. Tetapi setelah menemui Ucu Semali, tiba - tiba sahaja dia diganggu dengan kereta jenazah yang bergerak sendiri dengan tidak ada pemandu.
Bukan dia sahaja yang mengalami kejadian sedemikian, Ucu Semali  juga berturut - turut 3 pagi nampak kereta jenazah di tengah halaman rumahnya. Manalah di kawasan Felda berkenaan pernah ada kereta jenazah melintas.
" Macam mana pandangan ustaz dengan kereta jenazah itu? " Haji Basar mendesak setelah Ucu Semali  juga berasa hairan dengan kemunculan kereta jenazah berkenaan di halaman rumahnya.
" Agaknya arwah Andak Bucin  terkilan, kerana tak ada kereta jenazah nak bawa mayatnya balik ke rumah! " lantas sahaja Mat Sutin membuat andaian. Tersengih - sengih sahaja dia menatap muka saya.
" Tapi, saya nampak dinding pejabat Haji Basar bagaikan ada mata air macam tebing telaga " jelas Ucu Semali  apabila kenangkan melihat bayangan mengenai keadaan sekitar pejabat Haji Basar .
Lama saya beristighfar setelah menyuruh Haji Basar lekapkan tapak tangan kanannya pada dada kiri. Sewaktu dibacakan surah al fatihah sebanyak 41 kali, memang jelmaan Tok Kuning  seolah - olah terconggok di sisinya. Memang Haji Basar tidak tahu apa - apa mengenai Tok Kuning , disebabkan arwah bapa mertuanya tetap rahsiakan mengenai kejadian dia terserempak dengan lelaki tua berjubah kuning itu.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®