05 Julai, 2000

DENDAM KHADAM MINYAK SENYONYONG

MEMANG USIANYA Hampir 100 tahun ketika Aki Lagah meninggal dunia. Tetapi seisi kampung telah menganggap Aki Lagahhseolah - olah telah bertukar nyawa dengan Mat Senik yang sudah disangkakan mati, tetapi bingkas bangun tatkala tengah dimandikan. Dalam masa orang - orang kampung mahu mengambuskan tanah kubur yang digali digantikan dengan batang pisang, tiba - tiba sahaja pula mereka telah diberitahu mengenai kematian Aki Lagah.
Lantas Siak Deraman telah mengingatkan mereka semua bahawa perkara bertukar nyawa sekadar anggapan mereka sahaja. Masakan sesiapa boleh menentukan perkara yang hanya ada di dalam pengetahuan Allah Azzawajala. Tentu abangnya, Mat Senik masih belum mati semasa mereka bujurkan tubuhnya semacam mayat terkejang tetapi sekadar keadaannya seolah - olah sudah meninggal dunia.
Manakala Aki Lagah pula sudah lama benar terlantar akibat usianya sudah terlalu tua. tatkala usianya sudah 90 tahun pun, Aki Lagah tetap berkeras juga mahu berkahwin lain disebabkan isterinya Uda Selibah sudah bertahun - tahun meninggal dunia. Sepi sangat dia tinggal berseorangan setelah anak - anak jarang menjengahnya di rumah. Mat Senik lah satu - satunya yang mahu bantu dia apabila dia mahu berkahwin dengan Tikmah yang sudah lama menjanda itu.
Tidak membantah pun Tikmah apabila dia dilamar oleh Aki Lagah sekali pun dia tahu jarak umur mereka terlalu jauh berbeza. Apalah sangat Tikmah peduli dengan umur Aki Lagah yang sudah menjangkau 90 tahun, kalau dibandingkan dengan tubuhnya yang masih gagah mencebak tanah di kebun. Kulit lengannya juga masih belum kendur bagaikan lelaki yang perkasa. Sebab itu Tikmah percaya Aki Lagah mampu melindungi dirinya yang baru berumur dalam 30 an itu.
" Tak siapa nak jengah aku kalau sakit pening, Senik " ujar Aki Lagah yang meluahkan rasa sepi dihatinya tatkala memberitahu Mat Senik hasratnya mahu meminang Tikmah.
" Aki berkenan dengan budak Tikmah ke? " sengaja Mat Senik mahu menduga hati orang tua itu.
" Kamu nampak tak ke muda sangat kalau dibandingkan dengan aku? " tersengih - sengih Aki Lagah kerana bimbang Mat Senik akan mengejeknya.
" Perkara jodoh bukan boleh banding dengan umur, Aki " beritahu Mat Senik seolah - olah bersetuju dengan keputusan Aki Lagah itu.
" Sudikah Tikmah tu menerima, kalau aku minta dia? " bimbang juga Aki Lagah sekiranya janda berkenaan menolak lamarannya.
Malu juga Aki Lagah sekiranya Tikmah menolak disebabkan belum pernah lamaran dia ditolak oleh sesiapa pun. Setelah beberapa kali menduda, memang hampir 20 kali juga Aki Lagah berkahwin lain sekali pun jodohnya tidaklah berpanjangan. Tetapi anaknya tidaklah ramai sangat setelah beberapa kali berkahwin.
Tersenyum Mat Senik apabila Aki Lagah sengaja merendahkan diri tatkala berhasrat mahu meminang Tikmah. Tahu sangat dia mengenai kebolehan Aki Lagah apabila hatinya mula terpikat dengan seorang perempuan dimana - mana pun. Kadangkala diketuknya sahaja jari pada bendul, nescaya perempuan berkenaan akan mengerling ke arahnya. Asal sahaja perempuan itu melirik senyum, nescaya Aki Lagah sudah dapat membaca isi hatinya.
Masakan Tikmah mahu membantah sekiranya Aki Lagah sudah membuka mulut mahu melamarnya. memang Mat Senik tahu mengenai minyak senyonyong yang disimpan oleh Aki Lagah akan diasap dengan kemenyan apabila dia terpikat dengan anak gadis sekali pun. Tatkala botol minyak diasap dengan kemenyan, dia akan bacakan sebanyak 7 kali : " Hai insan wahdi insan, hai wahdi mani maknikam, aku tahu asal kau jadi si anu, rusuk kiriku asal kau jadi, masuk kau ke batang tubuh aku, kembali kepada si anu, berkat huuu.... ".
Sekiranya minyak di dalam botol berbuih bagaikan dipusar angin, Aki Lagah tahu jiwa perempuan berkenaan tengah bergelora. KetIka ini dia akan menepuk bantal 3 kali, kemudian akan dilambungkan ke udara 7 kali berturut - turut. Dia akan memerhatikan bantal berkenaan jatuh, sama ada menjunam atau tidak berpusing langsung. Memang Aki Lagah dapat mengagak perempuan yang dipikat akan segera menjengah datang sekiranya bantal berkenaan jatuh menjunam.
Apabila bantal yang ditepuk tidak memberikan kesan, dia akan gosokkan minyak senyonyong pada alis mata hingga pada atas bibir. Dia akan membayangkan perempuan berkenaan datang menjelma di depannya hingga jelas tercegat di situ. Kemudian dia akan memicit lambungan rusuk sebelah kiri lantas menyeru :
" Aku tahu asal kau jadi, wahni wahdi mani maknikam asal kau jadi, masuk kau ke lambungan kiri aku, di situ tempat asal kau jadi, berkat huuu.... ".
Aki Lagah akan menunggu hingga terasa pada rusuknya senak bagaikan tersengkang ditampan kayu yang mencodak. Setelah ditepuk sebanyak 3 kali, nescaya rasa senak itu akan hilang secara serta merta. ketika ini dia tahu perempuan berkenaan tidak akan mampu bertahan menunggu waktu pagi cerah. Bila - bila sahaja perempuan berkenaan akan terjun ke tanah menyerbu ke rumah Aki Lagah.
" Orang macam aki, takkan Tikmah menolak? " terkekeh - kekeh Mat Senik ketawa mengusik orang tua itu apabila dia bimbang sangat Tikmah akan menolak lamarannya. Apa lagi Mat Senik sendiri yang diharapkan oleh Aki Lagah untuk merisik ke rumah keluarga Tikmah.
" Belum tahu lagi, Senik " ujar Aki Lagah sambil tersenyum apabila kenang bukan mudah mahu memujuk perempuan itu.
" Ah, Aki jangan nak sembunyikan kuku pula! " sengaja Mat Senik mengejek. " Uda Salbiah dulu pun Aki boleh dapat " tuturnya sambil mencebekkan bibir apabila kenangkan bagaimana orang tua itu boleh memikat Uda Salbiah.
Siapa yang akan berani mengusik Uda Salbiah kalau melintas tatkala berjalan turun ke sawah? Cubalah mengganggu Uda Salbiah, tentu akan diserbu oleh ayahnya Wak Gabah! Asal sahaja Wak Gabah mendengar anak gadisnya telah diusik, nescaya dia akan menghunuskan parang. Lantas sahaja Wak Gabah akan mencekak leher dengan mata parang menghiris telinga.
Memang Uda Salbiah mempunyai rupa paras yang memikat hati ramai orang lelaki yang menyebabkan dia lah yang satu - satunya menjadi tumpuan di dalam kampung. Bukan sahaja rupa paras yang cantik, Uda Salbiah juga ramah asal sahaja bersua muka. Tetapi tidak ada sesiapa pun yang berani mengusiknya apabila kenangkan Wak Gabah dengan misainya yang melentik itu.
Tidak ada sesiapa pun yang berani menentang muka Wak Gabah apabila dia sudah membentak marah. Seisi kampung telah melihat sendiri bagaimana kejadian Usup Tibai cuba menunjukkan keras kepala dengan menjerkah isteri Wak Gabah disebabkan permatang sawahnya telah terpokah. Tatkala Siah Uban telah memasukkan air ke dalam lopak, memang dia telah memokah permatang di sempadan sawahnya. Siah Uban mengaku dia bersalah kerana tidak meminta kebenaran Usup Tibai terlebih dahulu sebelum memokah permatang tersebut yang menyebabkan sawah Usup Tibai telah kekurangan air.
Tetapi Usup Tibai tidak peduli lagi sama ada Siah Uban ada meminta maaf atau tidak. Lantas sahaja dia telah mencekak rambut Siah Uban sekali pun perempuan itu berkali - kali meminta maaf. Memang dia tidak menyangka Usup Tibai akan marah menyinga hingga sebegitu sekali walaupun sekadar permatang sawahnya dipokah lantas menyebabkan anak padi tidak cukup air.
Lagi pun bersempadan sawah apa sangat mahu berkira hingga tidak boleh terlebih kurang langsung! Tersinggung sangat Usup Tibai apabila permatang sawahnya dipokah Siah Uban seolah - olah mahu mencabar dirinya. Mentang – mentang lah seisi kampung tidak berani mengangkat muka di depan Wak Gabah, sengaja pula Siah Uban mahu memperolok - olokkan dirinya.
" Kita bersempadan sawah, eloklah bertolak ansur, Sup " pujuk Mat Tera apabila melihat sepupunya berkeras sangat mahu menunjukkan keras kepala sampai mencekak rambut Siah Uban .
" Tolak ansur apa? Kalau nak pijak kepala aku! " sahut Usup Tibai yang tidak dapat menahan sabar lagi.
" Siapa pijak kepala engkau? "....
Tiba - tiba sahaja Usup Tibai merasakan pipinya telah ditampar keras. Dia tercampak ke tepi permatang lantas kepalanya pun dipijak. Dia pun menyedari bahawa kepalanya telah dipijak oleh Wak Gabah hingga mukanya tertumus ke lumpur. Hairan juga Mat Tera bagaimana tiba - tiba sahaja Wak Gabah terjongol di situ. Siapa pun tidak dapat menyedari bagaimana kelibat Wak Gabah terpacul sekali gus pada masa isterinya dicekak rambut oleh Usup Tibai.
Apa lagi, sebaik sahaja Usup Tibai bangun segera sahaja dia menghunuskan parang di pinggang. Dia pun menetak Wak Gabah hingga mata parang pun singgah pada lengan. Tetapi mata parang Usup Tibai menggelebek sampai sumbing mata laksana ditetakkan pada besi yang melintang.
Kalau tidak disebabkan Aki Lagah yang memujuk, belum tentu lagi Wak Gabah akan mahu mengalah. Mahu sahaja dia mencekak leher Usup Tibai setelah lelaki itu berkeras sangat mahu mencederakan dirinya. Masakan Usup Tibai tidak tahu bahawa buaya yang berada di tengah arus pun lari berdecau - decau asal sahaja Wak Gabah terjun ke dalam air. Asal sahaja dapat dicekak ekor buaya itu, nescaya akan diheretnya naik ke tebing macam menarik aur songsang di tengah belukar.
Buaya yang diheret naik itu sekadar menepuk - nepuk air dengan tidak melawan apa - apa. Kalau buaya di tengah arus pun tidak berani menunjukkan bisa taring, kenapa Usup Tibai sengaja mahu berkeras melawan? Dia seolah - olah sengaja mahu mencari geruh apabila berani mencekak rambut Siah Uban disebabkan semata - mata permatang sawah di sempadan terpokah.
Lagi pun Siah Uban tu adalah sepupunya yang tidak sepatutnya dilawan berkasar. Tapi tiba - tiba sahaja hati Usup Tibai memberang tidak menentu tatkala melihat anak padinya di tengah lopak tidak mempunayi air yang cukup. Sebab itulah dia menyerbu Siah Uban semasa perempuan itu sedang terbongkok - bongkok mencebak rumput di tepi permatang.
" Sabar Wak, buat apa lawan dengan Usup Tibai? " satu - satunya yang berani memujuk Wak Gabah yang tengah memberang itu memang Aki Lagah sahaja.
" Dia nak tunjuk keras kepala dengan aku!! " bentak Wak Gabah yang masih tidak puas hati dengan sikap sepupu isterinya itu.
" Ah, Usup Tibai ni Wak terikat tangan pun dia tak boleh lawan " sengaja Aki Lagah mengusik biar lelaki itu mengendur.
Tersenyum Wak Gabah apabila Aki Lagah bandingkan dirinya tidak setanding dengan Usup Tibai. Kalau Aki Lagah tidak ungkit pun, seisi kampung sudah tahu masakan Usup Tibai boleh mengalahkan Wak Gabah. Bukan takat boleh cekak buaya yang di tengah arus sahaja, malah ditimpa pokok 5 - 6 pemeluk pun Wak Gabah tidak mengalami kecederaan apa - apa.
Sebab itu seisi kampung tidak berani mengangkatkan muka sekiranya Wak Gabah sudah membentak marah. Tetapi dia tidak akan berkeras apabila Aki Lagah yang memujuknya. Mudah sahaja dia akan mengalah asal sahaja sudah bertentangan mata dengan Aki Lagah. Dalam masa mereka di kampung tidak berani mengusik Uda Salbiah, dia satu - satunya yang memberanikan diri datang melamar. Wak Gabah sendiri tidak membantah apa - apa sebaik sahaj Aki Lagah sudah masuk meminang.
Memang Mat Senik tahu sangat rahsia disebalik keberanian Aki Lagah. Asal sahaja dia sudah menyapukan minyak senyonyong pada alis matanya, nescaya harimau yang garang di tengah hutan juga akan menjadi lemah tidak bertenaga. Tentu harimau berkenaan tidak akan dapat melompat menerkam ke arahnya sampai mengerkah tengkuk.
Apa sangatlah dengan Wak Gabah tengah memberang jikalau dibandingkan dengan harimau mengaum garang yang mahu menerkam mangsa. Mat Senik sendiri melihat Aki Lagah tidak berundur tatkala terserempak dengan harimau di tengah hutan. semasa mereka berjalan masuk ke hutan mencari rotan sengaja Aki Lagah yang berjalan di hadapan.
Memang mereka berdua bersama - sama ke hutan sekiranya mencari rotan. Tambahan pula Aki Lagah akan mencari akar kayu untuk dibuat ramuan ubat. Kadangkala orang - orang kampung akan meminta Aki Lagah mencarikan ubat akar kayu disebabkan mujarab sangat diminum perempuan yang baru lepas bersalin.
Sewaktu melalui lorong yang dikelilingi pohon renek, tiba - tiba sahaja harimau belang muncul menjongolkan kepala. Cepat - cepat pula Mat Senik berundur mahu mencari pokok untuk berlindung. tetapi dia terpegun apabila Aki Lagah terus tercegat tidak bergerak sebaik sahaja berhadapan dengan harimau berkenaan.
" Hei orang tua, pergilah cari makan tempat lain! " ujar Aki Lagah yang masih tidak berganjak sambil merenung harimau tersebut yang mara ke arahnya.
Lama harimau tersebut mencakar - cakar tanah, kemudian terus menghambur ke tengah belukar. Memang Mat Senik nampak harimau berkenaan seolah - olah tidak mampu mahu menerkam Aki Lagah. Sebab itu Mat Senik tahu Aki Lagah tidak akan diterkam oleh harimau asal sahaja minyak senyonyong sudah disapu ke mukanya. Bila - bila sahaja harimau garang akan tunduk tidak membuka taring jikalau sudah berdepan dengan Aki Lagah.
Perkara minyak senyonyong itu tidak sama dengan minyak dagu kerana Aki Lagah akan tampung didalam tempurung setelah masak santan nyiur hijau. Dia sanggup memanjat pokok kelapa hijau pada tengah malam lalu memetik buah dan digantungkan pada lehernya supaya tidak jatuh terhempas ke tanah. Setelah diparut, dia akan perah santan lalu dibuat minyak.
7 jenis bunga berbau harum akan dijadikan ramuan dengan 7 helai akar serai bunga. Dia akan tapakan ramuan itu 7 malam di atas bumbung rumah biar dihurung oleh serangga atau pun burung. Aki Lagah akan hayunkan limau pada asap kemenyan dengan dibungkus kain putih yang diikat dengan benang 7 warna semasa minyak berkenaan ditapakan sampai 7 malam.
Dia tahu minyak berkenaan akan dijengah oleh 7 puteri yang turun dari udara. Tatkala 7 puteri ini melayang turun, lembaga besar belakang berbonggol akan datang mengganggu. Apabila dia hentakkan kakinya ke tanah, sekali gus kawasan berkenaan akan menjadi gelap seperti diserkup dengan hutan buluh yang luas.
Tetapi 7 puteri ini tidak akan mengalah sebaik sahaja sudah tercium bau 7 jenis bunga yang ditapa oleh Aki Lagah pada bumbung rumah itu. Lantas puteri 7 akan kibaskan kain layang yang dipakainya lalu menyebabkan hutan buluh itu musnah terbakar dijilat api. Marah benar lembaga bertubuh besar itu apabila api telah mengancamnya dari segenap penjuru.
Lembaga bertubuh besar itu pun tertunduk malu sebaik sahaja puteri 7 akan ungkitkan pasal dirinya yang disumpah hingga menjelma dengan belakang berbonggol. Kalau tidak disebabkan dia gunakan minyak dagu untuk memikat perempuan, memang puteri 7 tidak akan menyumpah sedemikian.
Tahu sangat puteri 7 bagaimana lelaki berkenaan sengaja menunggu berita kematian gadis sunti, kemudian beliau akan menggali kuburnya pada waktu tengah malam. Sanggup sahaja dia melangkah ke kawasan tanah perkuburan dengan membuang semua pakaiannya. biarlah angin kencang bersama petir berdentam, lelaki itu tetap berkeras meranduk kegelapan malam. terus sahaja dia menggali kubur gadis sunti itu yang baru sahaja dikebumikan pada siang harinya.
Sebaik sahaja mayat gadis sunti di dalam liang lahad tu ditarik keluar, dia akan membakar dagu mayat itu dengan api lilin sehingga minyak mula menitik. segera ditadah dengan tempurung minyak yang mengalir pada dagu mayat itu. Ketika ini lelaki berkenaan akan mendegar jeritan kesakitan sayup - sayup di udara, tetapi dia tetap berdegil. Dia tetap bertahan sekali pun lembaga besar muncul menjelma di depannya.
Tersengih - sengih lembaga besar itu tatkala melihat lelaki berkenaan melayur dagu mayat tersebut semata - mata mahu mendapatkan minyaknya. Setelah siap dilayur, dia akan memasukkan kembali mayat berkenaan ke dalam liang lahad. memang lembaga bertubuh besar itu akan menjilat minyak dagu yang ditadah di dalam tempurung itu.
Tetapi minyak senyonyong Aki Lagah tidak sama dengan minyak dagu berkenaan. Apabila lelaki itu disumpah menjadi lembaga besar dengan belakang berbonggol, ia sentiasa memusuhi puteri 7.
" Kamu nak perdaya orang dengan minyak dagu!! " puteri 7 mengejek lembaga bertubuh besar yang bersatu dengan lelaki berkenaan.
" Apa kurangnya kamu nak perdaya orang dengan minyak senyonyong!! " lembaga bertubuh besar itu pulak berkata sambil mencemikkan muka.
" Tapi, kami tidak menyuruh orang menggali mayat! " sahut puteri 7 mempertahankan amalan minyak senyonyong berkenaan.
" Minyak kamu ditapa dulu di atas bumbung rumah " terus sahaja lembaga bertubuh besar itu mengejek puteri 7.
" Kami tak menyusahkan orang, kalau mereka tak salah gunakan! " beritahu puteri 7 mengenai amalan minyak senyonyong yang ditapakan di atas bumbung rumah itu.
Tetapi Aki Lagah tidak akan membiarkan lembaga bertubuh besar itu mendekati dirinya disebabkan mahu mencuri botol minyak senyonyong berkenaan. Sebab itulah dia menyeru puteri 7 supaya sentiiasa mengawasi minyak senyonyong yang disimpannya itu. Bau harum minyak senyonyong akan menjadi lebih semerbak setiap kali puteri 7 menjelma sambil membawakan 7 jenis bunga yang berbau wangi.
Setiap kali turun dari rumah, Aki Lagah akan tuangkan minyak berkenaan pada jari manis kemudian akan disapukan pada alis mata. Jikalau beliau bercakap dengan sesiapa pun lantas minyak itu akan disapukan pada bibirnya. Bila - bila sahaja tutur katanya akan sentiasa dituruti orang selepas menggunakana amalan minyak senyonyong itu. Sebab itu puteri 7 telah mengingatkannya supaya tidak menyalahgunakan minyak berkenaan hingga boleh memudaratkan orang lain.
Memang Aki Lagah patuhi mengenai amalan berkenaan tatkala puteri 7 menjelma disisinya. Jikalau harimau garang mahu menerkam, cukuplah sahaja dia mengisarkan tumit ke tanah nescaya harimau gagah itu akan menjadi lemah tidak bertenaga. Sekiranya tidak dipulihkan nescaya berbulan - bulan harimau tersebut tidak akan mampu mengerkah mangsa hingga kebuluran tidak boleh menjamah makanan.
Lama kelamaan harimau tersebut akan terkejang mati akibat tidak dapat menjamah makanan. Sebab itu Aki Lagah mesti pulihkan semula bisa taring harimau tersebut setelah binatang itu melompat lari meninggalkan dirinya. Dia mesti kuis tanah di kaki dengan ibu jari biar bisa taring harimau tersebut pulih semula.
Apa lagi dengan Wak Gabah yang tengah membentak marah, setelah dipujuk memang Aki Lagah akan pulihkan semula tenaganya. Kalau Wak Gabah menjadi lemah, lambat laun dia akan melihat Aki Lagah sama macam puteri 7 juga. Nescaya dia akan memburu Aki Lagah macam merayu - rayu di depan puteri 7. Tentu seisi kampung menjadi gempar sekiranya Wak Gabah sudah berubah hati hingga tidak senang duduk akibat kenangkan Aki Lagah.
Tahu sangat Aki Lagah mengenai mujarab minyak senyonyong jikalau disalahgunakan. Lainlah kalau berdepan dengan binatang liar di hutan. Binatang berkenaan akan menjadi bingung hingga tidak dapat mencari makanan. Tetapi manusia apabila bingung tidak menentu akan pergi menyerbu ke rumah Aki Lagah.
Semasa Aki Lagah mengusik - ngusik Uda Salbiah, memang mudah sangat gadis itu terpikat apabila bertentang mata. Sebaik sahaja Wak Gabah mendapat tahu Aki Lagah memikat anak gadisnya, lantas sahaja hatinya menjadi berang. Apalagi tatkala beliau kenangkan Aki Lagah sudah beristeri dengan anak - anak yang sudah hampir sebaya dengan Uda Salbiah.
Lantas sahaja Wak Gabah pun pergi menyerbu ke rumah Aki Lagah dengan menghunuskan parang. Dia akan kelar telinga Aki Lagah kerana berani memikat anak gadisnya. Tetapi Aki Lagah tidak ada di rumah sewaktu Wak Gabah datang menyerbu. Hanya isteri Aki Lagah yang terkebil - kebil mata di kepala tangga apabila melihat Wak Gabah tercegat di tengah halaman dengan menghunuskan parang di tangan.
" Jaga suami kamu tu, Misah ! " jerkah Wak Gabah membentak marah kerana tidak mahu anak gadisnya dimadukan.
" Nak jaga macam mana, Wak? " ujar Misah yang serba salah apabila beliau dipersalahkan akibat perbuatan suaminya yang memikat Uda Salbiah. Kalau mahu dikira terluka, memang hatinya sendiri yang menderita dengan perbuatan Aki Lagah itu.
Ketika inilah dia terdengar serunai batang padi ditiup mendayu - dayu di tengah sawah. Lantas sahaja Wak Gabah dapat mengagak tentu Aki Lagah lah yang meniup serunai batang padi tersebut. Seisi kampung memang tahu sangat mengenai kemahiran Aki Lagah yang meniup serunai batang padi asal sahaja habis musim menuai.
Misah yang sudah bertunang pun sanggup menjadi isteri Aki Lagah sebaik sahaja mendengar bunyi serunai batang padi yang ditiupkan mendayu - dayu. Terpaksa pula dia minta putuskan tunang semata - mata terpikat dengan tiupan serunai batang padi Aki Lagah. Sebab itu Wak Gabah dapat mengagak tentu Aki Lagah mahu memikat anak gadisnya Uda Salbiah dengan meniup serunai batang padi juga.
Dia tidak akan lepaskan Aki Lagah asal sahaja dapat dicekak lehernya. Telinga lelaki itu akan dikelarnya dengan mata parang supaya sedar mengenai kesilapan sendiri. Kalau sudah beristeri, kenapa mahu memikat anak gadisnya dengan menggunakan serunai batang padi. sia - sia sahaja dia digeruni seisi kampung jikalau beliau tidak dapat menundukkan Aki Lagah.
" Lagah, kamu jangan nak tunjuk biadap dengan aku! " bentak Wak Gabah sebaik sahaja beliau menjejakkan kaki ke tengah sawah. Dia nampak Aki Lagah sedang tersandar pada perdu pokok dedali sedang meniup serunai batang padi.
Beberapa orang yang sedang tercegat di tengah sawah merasa berdebar hati juga tatkala melihat Wak Gabah sedang mara menghampiri Aki Lagah. Tetapi Aki Lagah tetap tidak mempedulikan apa - apa sambil terus sahaja dia meniup serunai batang padi. Tatkala Wak Gabah menghayunkan mata parang ke sisinya, beliau tetap tidak berganjak.
Tiba - tiba sahaja Wak Gabah menjadi terpegun apabila beliau melihat puteri 7 yang sedang meniup serunai batang padi di perdu pokok dedali itu. Ketika ini, Aki Lagah sekadar terbaring bagaikan tengah tidur nyenyak. Sebab itu mata parang yang dipangkas tidak menyinggahi dada Aki Lagah. Seolah - olah Wak Gabah menetak angin sahaja.
Lantas puteri 7 memberi isyarat kepada Wak Gabah supaya tidak mengganggu Aki Lagah yang tengah nyenyak tidur itu. Apabila Wak Gabah mahu berundur, dia merasakan bahawa tanah yang dipijaknya menjadi lumpur selut. Kakinya telah terlekat tidak boleh diangkat dari lumpur selut yang mencengkam kuat itu.
Saat ini Wak Gabah dapat merasakan bahawa kegagahannya seolah - olah tidak berguna apa - apa tatkala berhadapan dengan puteri 7 yang lemah lembut itu. Hatinya menjadi terharu apabila mendegar bunyi tiupan serunai batang padi yang mendayu - dayu menusuk telinga itu. Cepat - cepat pula Wak Gabah meminta puteri 7 supaya berhenti meniup seruling batang padi berkenaan akibat perasaannya menjadi terharu sangat asal sahaja bunyi tiupan serunai terus mendayu - dayu.
Segera puteri 7 memberi isyarat supaya beliau membangunkan Aki Lagah yang tengah nyenyak tidur itu. Sewaktu Wak Gabah mengejutkan Aki Lagah, mereka yang tercegat di tengah sawah hanya nampak Wak Gabahmenepuk - nepuk bahu Aki Lagah. apabila dia sisipkan semula parangnya ke dalam sarung di pinggang, lantas sahaja Aki Lagah pun berhenti meniup serunai batang padi.
Tidak lama selepas kejadian itulah, Aki Lagah pun berkahwin dengan Uda Salbiah. Hairan juga orang kampung disebabkan Wak Gabah tidak membantah apa - apa apabila anak gadisnya berkahwin dengan lelaki yang sudah berumur lebih 40 tahun dalam masa Uda Salbiah baru sahaja berumur 18 tahun.
Memang Misah juga tidak melarang suaminya berkahwin lain setelah Wak Gabah juga tidak membantah perkahwinan tersebut. tetapi Mat Senik tahu Aki Lagah memang amalkan amalan minyak senyonyong. sudah beberapa kali Aki Lagah memberitahunya jika inginkan minyak senyonyong tersebut, tetapi Mat Senik tidak pernah terpengaruh.
Perkara minyak senyonyong itu tidak sama dengan impian ayahnya yang menghantar dia belajar pondok sehingga sampai ke pattani. Sia - sia sahaja usaha ayahnya yang harapkan dia belajar di pondok kalau beliau terpengaruh dengan minyak senyonyong Aki Lagah tersebut. Apa sangatlah dengan minyak senyonyong kalau segalanya tidak diredhai oleh Allah swt.
Apabila Aki Lagah mendesaknya mahu meminang Tikmah, memang Mat Senik bersetuju mahu menjadi orang tengah. Sudah lama dia berkawan dengan Aki Lagah disebabkan sama - sama ke hutan mencari rotan, apalah salahnya dia membantu orang tua itu. Lagi pun dia tahu Aki Lagah mampu melindungi Tikmah, janda muda berkenaan.
" Kalau Aki nak meminang Tikmah, jangan gunakan minyak senyonyong! " sengaja Mat Senik mengusik Aki Lagah tetapi jauh di dalam lubuk hatinya memang dia tidak akan membenarkan orang tua itu melakukan sedemikian.
" Ah, dah lama aku buang amalan tu " beritahu Aki Lagah yang mengakui bahawa dia sudah pun menyeru puteri 7 lantas menyerahkan semula minyak berkenaan.
" Sebab itu Aki bimbang Tikmah menolak peminangan? " tanya Mat Senik sambil mencebikkan bibir.
Dia menggangguk perlahan, tetapi beliau mengesatkkan pelupuk matanya apabila Mat Senik memberitahu bahawa jodoh pertemuan dan ajal maut adalah ditentukan oleh Allah. Terasa juga malu Aki Lagah apabila beliau terpikat kepada perempuan muda seperti Tikmah dalam masa usianya sudah mencecah 90 tahun.
Kalau dia tidak amalkan minyak senyonyong pun, tentu seisi kampung tetap akan menuduh dia menggunakan minyak berkenaan untuk memikat Tikmah. Masakan orang boleh percaya bahawa Tikmah menerima lamarannya jikalau tidak dikenakan dengan minyak senyonyong.
Sewaktu Mat Senik merisik Tikmah, dia sentiasa berdoa agar lamarannya tidak ditolak. Bimbang juga dia sekiranya Tikmah akan menyindirnya disebabkan mahu menjodohkannya dengan lelaki tua seperti Aki Lagah. Disebabkan itulah Mat Senik membacakan : ' yuhibbu nahum kahubbillahi wallazina amanu asyaddu hubbanlillahi, zuiyyina linnasi hubbusysyahawati minannisa -i walbanina wal-qona thiril muqontharathi " .
Memang serba salah juga Mat Senik mahu uruskan lamaran Aki Lagah kerana bimbang dia akan dituduh sebagai bersubahat dengan lelaki tua yang dianggap miang itu, tetapi dia tahu niat Aki Lagah memang baik. Kalau Aki Lagah memilih perempuan yang sudah berumur sebagai isteri, tentu mereka akan sama - sama uzur. Jadi, sia - sia sajalah Aki Lagah berkahwin apabila isterinya terlalu uzur untuk menjaga dirinya.
Tentu Aki Lagah amat mengharapkan Tikmah agar dapat menjaganya apabila dalam keadaan uzur nanti. Setidak - tidaknya dia mempunyai tanah kebun yang cukup setakat untuk menyara Tikmah seorang. Kalau pun dia menutup mata, Aki Lagah sudah bersedia untuk menyerahkan tanah kebun dan sawah kepada Tikmah yang bersusah payah menjaganya. Sebab itulah Mat Senik sanggup membantu agar Aki Lagah dapat berkahwin dengan Tikmah.
Semasa seisi kampung gempar akan hal Mat Senik ditimpa dengan runtuhan kayu, memang Tikmah melihat Aki Lagah sentiasa dalam keadaan resah. Berkali - kali Aki Lagah menggertapkan bibir seakan - akan mahu melepaskan Mat Senik yang sedang terhimpit itu. Tetapi suara Aki Lagah hanya tenggelam jauh dikerengkungnya. Sekali sekala Tikmah mendengar suaminya semacam mencabar lembaga yang bertubuh besar itu berdepan dengannya sambil melepaskan semula Mat Senik.
" Aki semacam meracau - racau marahkan lembaga bertubuh besar, ustaz " ujar Tikmah menjelaskan tatkala saya sama - sama mengunjungi Mat Senik. " masa itulah Aki menyuruh lembaga besar itu supaya melepaskan Abang Senik " tutur Tikmah yang tetap kenangkan kejadian semasa Mat Senik sudah dikatakan meninggal dunia itu.
Dalam masa Aki Lagah merungut - rungut itulah, Tikmah telah pergi memberitahu kepada jiran - jiran. Ketika itu kebanyakkan jiran - jiran sedang berkumpul di rumah Mat Senik mahu menguruskan pengebumiannya. Sebaik sahaja seisi kampung sudah diberitahu mengenai Mat Senik yang sudah terbujur mati itu tiba - tiba bingkas bangun, mereka yang sedang membacakan surah yassin mengadap Aki Lagah mendapati orang tua itu sudah menutupkan matanya rapat - rapat.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®