06 Julai, 2000

GODAAN HANTU RIMBA

Dekat sempadan negeri Kelantan, tidak jauh juga dari pekan Munduk di mana kaki judi sabung ayam membawa ayam jaguhnya ke gelanggang sabungan, ada terdapat sebuah kampung bernama Kampung Lalang.
Penghuni Kampung Lalang ini asalnya adalah orang Melayu sebelah Kelantan. Tapi mereka menyeberang sempadan dan meneroka di sana hingga mereka jadi rakyat Thai. Kebanyakan orang tua-tua di kampung ini tidak pandai cakap Thai.
Di kampung inilah terdapat seorang anak muda yang bernama Ismail yang ketika itu berusia 22 tahun.
Setelah enam bulan Ismail berkahwin dengan sepupunya bernama Salamah, ayahnya meninggal dunia. Jadi tanah yang diteroka oleh ayahnya, terpaksalah diteruskan oleh Ismail bersendirian. Kalau dulu dia hanyalah pembantu ayahnya meneroka tanah bukit untuk dijadikan kebun getah, kini dialah sendirian meneroka.
Kadangkala berminggu-minggu Ismail hidup dalam hutan di sebuah bangsal yang diperbuat dari kayu-kayu bulat dan beberapa kulit kayu. Bila malam, unggun api sentiasa dinyalakan menghambat nyamuk pembawa kuman malaria.
Tapi minggu pertama sendirian di hutan belukar yang mula ditebang tebas itu, Ismail merasa sesuatu yang menyeramkan. Bau bunga melur semerbak. Menyucuk-nyucuk hidungnya. Sedangkan dia tahu tak ada sepohon pun pohon bunga melur disekitar itu.
Bau itu boleh dikatakan berterusan. Walaupun Ismail rasa gentar juga, namun dia tidak boleh bersifat pengecut. Dia teringat kata-kata arwah ayahnya, hidup ini meniti maut. Sesiapa yang tak sanggup berdepan dengan maut, akan mati sebelum ajal.
Dicapai kelewangnya, lalu dia turun mengintai kalau ada apa-apa. Lagipun dia selalu mengendap kalau-kalau ada binatang buas di sekitar bangsalnya itu. Ismail tidak pasti apa-apa. Malah tidak ada sesuatu pun yang menjelma.
Ketika Ismail pulang setelah dua minggu di hutan terokaannya, dia tidak menceritakan hal ganjil itu kepada sesiapa.
Seperti biasa, apabila genap seminggu di rumah, Ismail datang lagi ke tempat tanah penerokaannya. Kali ini bulan cerah. Dan Ismail sangat senang kalau bulan cerah begitu.
Suatu hari, ketika malam sambil meninjau kalau-kalau ada binatang buas, dia ternampak nun di kejauhan lembaga manusia sedang berdiri di situ. Ismail tak syak lagi bahawa lembaga itu adalah hantu. Namun Ismail yang cuba memberanikan diri melangkah mendekati lembaga itu. Ismail melihat wanita itu paling cantik. Dan rasanya tak gadis secantik itu. Dia memakai pakaian jarang yang agak-agak Ismail dibuat dari sutera.
Dari sinat bulan itu, jelas kelihatan bentuk badannya yang indah bagai patung ukiran. Kepala wanita itu seperti mendongak bulan. Rambutnya mengerbang panjang. Wanita itu tidak bergeraj-gerak.
Kemudian setelah lembaga itu berdiri sambil mendongak bulan tidak bergerak-gerak, lalu kemuudian dia berpaling ke arah Ismail yang sedang mengintainya. Kemudian lembaga itu melangkah pergi ke hujung sana memasuki hutan yang belum diteroka.
Setiap malam lembaga itu ke tempat biasa sambil berdiri tidak bergerak-gerak seperti berdoa. Kemudian melangkah pergi.
Ismail semacam sudah lupa daratan, walaupun dia tahu makhluk itu bukan manusia, namun dia semacam gila bayang terhadap makhluk jelita itu.
Ketika sedang baring menunggu lelap, dia berfikir untuk mengikut jejak makhluk jelita itu. Supaya dia tahu dimana makhluk jelita itu tinggal. Ismail terfikir juga, mungkin jika dia mengikuti jejak makhluk itu, dia akan tersesat nanti dan akan mati di hutan dicekah beruang atau harimau.
Tapi sifat ingin tahu  dan tidak mahu mengalah pada ketakutan, menyebabkan Ismail cuba juga mencari helah. Dia merancang untuk membawa seberkas kayu kecil menanda. Dia akan cicirkan seputung kayu itu dalam kira-kira empat lima depa mengikut jejak wanita itu.
Memang betul-betul tekad itu ditunaikan keesokan malamnya. Dia ragu-ragu apakah wanita itu hantu atau manusia penghuni hutan. Wanita itu berjalan melalui hutan seperti wanita biasa. Dia tidak menghilangkan diri.
Tapi alangkah terkejutnya, ketika dia mengikuti jejal wanita itu hingga 50 depa, dia menemui sebuah rumah yang cantik. Rumah itu dicahayakan oleh sinar lilin aneka warna. Di hadapannya ada sebuah kolam yamg juga dikelilingi nyalaan lilin.
Ismail mengintai kalau-kalau ada orang lain selain dari wanita yang diekorinya itu. Ternyata tida ada sesiapapun, kecuali wanita itu seorang saja. Ketika melihat wanita itu meluluhkan pakaiannya kemudian turun ke kolam itu, dia bagaikan putus nafas menahan keghairahannya melihat tubuh itu tanpa pakaian.
Kewarasanya bagai terbenam dalam kegahirahan. Ismail seperti tidak bileh berfikir sepertimana dia lakukan di bangsal semalam. Dia tidak dapat berfikir lagi bahawa lembaga itu hantuatau bunian yang menggodanya. Kini dia berada dalam kemabukan nafsu bergelojak.
Ismail menunggu hingga wanita itu selesai mandi dan melangkah memasuki rumahnya Kemudian Ismail melangkah berhati-hati mengikuti wanita itu.
Pintu tidak berkunci dari dalam. Dia memasuki rumah penuh cahaya lilin, Dilihatnya sekitarnya tidak ada hiasan apa-apa. Rumah itu berdinding putih seluruhnya,seperti batu dinding. Dan alangkah terkejutnya dia, ketika didapati dirinya berhadapan dengan wanita itu. Sepasang matanya bening.Mulutnya menguntum senyum.
Kemudian wanita itu berpaling lagi, lalu melangkah menuju sebuah bilik khas. Ismail tidak lagi dapat menahan nafsunya. Ditariknya wanita itu ke dadanya dan ketika berlaga mata dengan wanita itu smail melihat mata itu seperti membenarkan apa yang dilakukannya.
Nafsu Ismail bernyala semakin marak. Dia tidak lagi dapat mempertimbangkan padahnya. Ismail bercengkerama dengan wanita itu hinga keletihan dan tertidur. Keesokkannya Ismail mendapati dirinya berada di tepi humanya, tidak jauh dari bangsalnya. Dia bingkas dari baringnya dan fikirannya masih mengenangi peristiwa malam tadi.
Setelah 2 minggu dihumanya, Ismail pulang lagi. Tapi dia mendapati sesuatu yang pelik pada dirinya. Ismail tidak berupaya bergaul dengan Isterinya sebagai suami isteri. Kelakiannya hilang.Dia seperti tidak ada nafsu langsung. Pulang kali pertama isterinya Salamah tidak begitu perasan. Tapi dua tiga kali suaminya tidak bergaul dengannnya sebagi suami isteri, mulailah datang rasa syak dan wasangka di hati Salamah.
Mengapa tiba-tiba suaminya tumpul kelakiannya. Apakah yang telah berlaku. Mengapakah suaminya jadi begini? Mengapakah Ismail yang gagah sebagai seorang suami dulu, kini tidak berdaya untuk memuaskan isterinya. Itulah persoalan yang bermain dalam kepala Salamah. Berbulan-bulan lamanya dia tidak lagi mengecapi kenikmatan sebagai seorang isteri. Tak hairan kalau Salamah mulai kelihatan murung dan termenung.
Akhirnya atas desakan ibunya, Salamah terpaksa juga berterus-terang bagaimana hubungannya dengan Ismail akir-akhir ini.
Masaalah hilang kelakian yang dihinggapi Ismail kini jadi masaalah keluarga. Mertua Ismail berbincang dengan ibu Ismail apakah tindakan yang harus diambil. Baik mertua Ismail maupun orang tuanya sendiri, syak Ismail kena “keteguran” sewaktu berhuma. Perkara begini sering terjadi.
Apa yang menghariankan tiba-tiba, apabila pulang dari huma terus tidak bercakap, jadi bisu. Sehingga terpaksa dipanggil bomoh atau dukun. Memang meneroka hutan, membuat huma, bukan saja bermusuh dengan berbagai penunggu dan makhluk halus.
Ismail kelihatan tidak sakit. Tubuhnya segar bugar. Bila pulang dari huma, Ismail seperti gelisah. Dia tak sabar untuk ke huma semula. Baik Salamah, orang tua Salamah dan juga ibu Ismail cuba menahan Ismail supaya tidak ke huma buat sementara waktu. Mereka mahu berikhtiar, menelek pada bomoh apa yang terjadi
Tapi Ismail bersifat keras kepala itu tidak mahu ditahan-tahan. “Banyak kerja di huma” katanya. Pokok-pokok hutan yang ditebang-tebas belum dibersih. Kalau sudah dibersih, hendak dibakar lagi.
Dan Ismail pulang juga ke huma. Pulang juga ke bukit. Tidak tertanggung meninggal gadis rimba itu., walaupun selama perhubungan sulit yang misteri, tidak sepatah pun wanita itu berkata-kata. Ismail seperti berkasih dengan perempuan bisu yang tidak tahu menuturkan kata.
Tidak ada yang difikirkan oleh Ismail kini, kecuali bercengkerama dengan wanita aneh itu. Tarikan isterinya tidak ada sedikit hama pun pada pandangan Ismail sekarang, jika dibandingkan dengan wanita di rimba itu. Berkali-kali sudah Ismail pulang dari huma, Salamah hampa juga sebagai seorang isteri untuk mendapatkan haknya untuk meneguk kenikmatan sebagai seorang isteri.
Malah sepulangnya Ismail dari bukit itu, mereka suami isteri bertengkar. Hinggalah terlucut kata-kata “ aku tak suka kau lagi. Kalau kau tak mahu jadi isteri, minta saja cerai.”
Salamah jadi kerakutan . Bagaimana kalau Ismail bersungguh-sungguh mencerainya ? Bagaimana kalau terlucut perkataan ‘talak tiga’?
Pertengkaran itu lebih membimbangkan keluarga. Keadaan Ismail rupanya sudah lebih parah. Perlu diikhtiarkan segera. Kalau tidak, rumah tangga yang direstui keluarga itu akan binasa.
Setelah mengetahui ada bomoh di kampung Cenak, ayah Salamah, Pak Muin segera ke sana menjemput bomoh yang dikatakan terkenal boleh menyelesaikan berbagai penyakit aneh.
Seminggu kemudian barulah bomoh itu datang. Setelah diasapkan kemenyan, dan dibacakannya mentera jampi sambil memejamkan matanya, tubuh bomoh itu gementar seperti tiba-tiba diserang demam malaria.
Dan setelah tubuhnya menhgigil kira-kira sepuluh minit, bomoh itu ketawa, “Yaaa, sekarang kau dah datang. Cakap asal usulmu !”
“Aku penunggu bukit Bebal,” kedengar suara perempuan dari bomoh itu sendiri.
“Kenapakah kau merampas suami orang ? Kau pecahkan rumahtagga orang. Kau sakitkan hati perempuan lain ?” tanya bomoh itu lagi.
Kedengaran lagi suara perempuan yang terbit dari bibir bomoh itu, “Ismail yang datang ke tempatku dan menjadikan aku isterinya.”
“Sekarang aku perintahkan kau serahkan Ismail padaku,” perintah bomoh itu. Badannya mengigil lebih hebat lagi. Sehinggalah rumah itu seperti bergegar sama.
“Tidak ! Dia telah menjadi kepunyaanku. Tak siapa pun boleh mengambilnya. Tak ada siapa boleh perintah aku. Sekarang aku akan balik,” begitulah bunyi kata-kata penunggu bukit itu melalui bibir bomoh itu.
Salamah, Pak Muin dan isterinya serta ibi Ismail saling pandang memandang antara satu dengan lain. Wajah mereka kelihatan risau.
Sekejap kemudian bomoh itu pun sedar. Bomoh itu menyapu mukanya dengan kedua belah tangan. Kemudian dia mengeluh dan mengelengkan kepala.
“Pada pandangan saya, memang susah untuk memulihkan Ismail. Kalau sekiranya dihalau penunggu itu, Ismail akan terus dengan penyakitnya sekarang. Saya tidak berjaya menyuruhnya menyerah Ismail balik”
Bomoh itu hanya mengambil wang untuk tambang pergi balik saja, sebab katanya dia tidak boleh mengambil pengeras sebab ushanya tidak berjaya.
Pak Muin tidak mahu putus harapan. Dicarinya bomoh lain. Bersama bomoh itu, Pak Muin pergi ke huma Ismail kemudian adakan upacara menghalau hantu dan memberikan perlindungan kepada Ismail supaya tidak didekati oleh gadis penunggu bukit itu lagi.
Rupanya usaha itu menyebabkan berlakunya tragedi. Ismail lebih murung selepas upacara menghalau wanita misteri penunggu bukit itu.
Dan suatu hari dia mendengar ada suara memanggilnya. Tidak ada sesiapa pun di rumah waktu itu. Ismail mencari arah suara itu. Kemudian melangkah turun dari rumah.
Orang nampak Ismail berjalan seperti biasa saja. Tapi Ismail sebenarnya mengikut panggilan suara itu. Dia menuju hutan. Kemudian meredah hutan dan terus Ismail hilang.
Ketika orang-orang kampung mencarinya bertemulah dengan cebisan pakaian Ismail. Terdapat kesan darah. Ismail sudah dicekik harimau.
“Kata bomoh dari Cenak yang mula-mula cuba mengubat Ismail, sepatutnya Ismail dibiarkan begitu hingga penunggu itu mulai bosan dengan Ismail dan melepaskannya. Kalau sekirnya dipisahkan secara paksa akibatnya memanglah menyedihkan. Pak Cik tak tahu hal ini. Tapi apa boleh buat, sudah ditakdirkan begitu, ” begitulah kata Pak Muin, mentua Ismail.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®