06 Julai, 2000

AIR DAGU MAYAT ANAK DARA

PERJALANAN balik mengikut lebuh raya Karak itu terlalu letih menyebabkan saya tertidur sebentar. Malam sudah larut kira-kira jam 2 pagi. Kadir Misai terus memandu walaupun sekali sekala dia terkuap-kuap mmengantuk.
“Kalau mengantuk berhenti dulu..” saya mengingatkan dia.
“Tak apalah ustaz,” sahutnya masih yakin.
“Kita berhenti di tepi jalan dan tidur untuk hilangkan mengantuk,”saya menyuruhnya supaya tidak terkuap-kuap sepanjang jalan.
“Ah, saya dah biasa ustaz” beritahu Kadir Misai berkeras mahu meneruskan perjalanan. “ Kadangkala sampai pagi pun saya tahan memandu kereta ni ...” katanya tidak mahu juga berhenti untuk merihatkan badan sebentar.
Saya tidaklah berkeras sangat menyuruh dia berhenti. Kalau dia masih mampu meneruskan perjalanan, apa salahnya. Cuma saya bimbang kerana dia sudah berkali-kali menguap. Mana tahu terlalai sesaat akibat mengantuk, boleh menyebabkan buruk padahnya.
Disebabkan Kadir Misai tidak mahu berhenti untuk menghilangkan mengantuk, saya terus merebahkan kepala ke sandar kereta. Memang saya tidak tertahan mengantuk lagi.
Semasa dalam perjalanan ke Jerantut, Kadir Misai ada menceritakan kepada saya, mengenai kisah hidupnya ketika bujang. Dia terlalu berminat belajar ilmu pengasih sampai sanggup mengambil air dagu anak dara mati. Kerjanya kata Kadir Misai bukanlah mudah. Tetapi disebabkan terlalu nakal dia sanggup juga melakukan.
Kebetulan ketika itu dia di Kelantan mengikut bapa saudaranya. Di situ dia berkenalan dengan seorang pemuda yang mengajaknya untuk mencari air dagu. Mula-mulanya keberatan juga Kadir Misai mahu mengikut pelawaan kawannya itu, tetapi disebabkan galakan kawannya itu dia menurut juga akhirnya.
Memang Kadir Misai suka menuntut ilmu-ilmu kebatinan. Pernah juga dia belajar dengan seorang Tok Batin di Pahang. Apa yang dipelajarinya dari Tok Batin itu sudahlah sampai kepada peringkat boleh menggunakan ilmu tuju. Disebabkan kebolehannya itu dia sudah dipikat oleh seorang gadis Orang Asli. Akibatnya lelaki lain yang menyintai gadis tersebut telah menggunakan ilmu tuju kepada Kadir Misai, sehinggalah dinding rumah tempat Kadir Misai bersandar itu kopak akibat terkena tuju lelaki Orang Asli yang berdendam kepadanya.
Menyedari ancaman itu Kadir Misai terpaksa membalas serangan ilmu tuju tersebut. Bila diserangnya lelaki berkenaan tujunya tidak mengenai sasaran. Terkena pada sebatang pokok durian menyebabkan pokok durian itu mati. Dengan ini dapatlah difahami oleh kedua-dua pihak bahawa mereka mempunyai guru yang sama.
Bagi mengelakkan keadaan lebih buruk Kadir Misai pun mengikut bapa saudaranya ke Kelantan. Dengan tindakan Kadir Misai itu gadis Orang Asli itu pun melupakan dia, dan kemudiannya berkahwin dengan lelaki yang menyintainya itu. Berakhirlah kisah cinta tiga segi itu di situ.
“Orang muda mesti banyak ilmu di dada.” Beritahu Che’ Soh pada Kadir Misai. “Sebab orang muda banyak cabaran, sebab itu kita mesti mengisi dada bagi menghadapi cabaran,” kata Che’ Mat Soh berkeras mengajak Kadir Misai menemui Pak Mat Kelih.
Kadir Misai bersetuju dengan kata-kata Che’ Soh itu. Pada sangkaannya sebagai anak muda dia harus menuntut apa saja ilmu. Dia tidak memikirkan sama ada ilmu itu untuk kebaikan atau keburukan.
Tetapi setelah dia berkawan rapat dengan saya, selalu saya ingatkan Kadir Misai supaya mencari ilmu yang diredahi Allah di dunia dan di akhirat. Nampaknya dia bersetuju dengan pendapat saya. Malah sejak ayahnya, Lebai Man memarahi dia kerana terlalu terpengaruh dengan ilmu-ilmu kebatinan yang tidak berfungsi, Kadir Misai sudah mula membuangkan tabiatnya sedikit demi sedikit.
Dia menyedari kebanyakan ilmu kebatinan yang dipelajarinya semua mendekatkan diri kepada syaitan. Semuanya menuju kepada syirik, kerana sebagai mukmin kita mesti mendekati Allah. Mengapa pula mendekati diri kepada syaitan untuk menyampaikan sesuatu hajat?.
“Kau akan digilai oleh gasis-gadis cantik bila kita dapat minyak dagu,” jelas Che’ Soh memberi perangsang.
Tertarik hati juga Kadir Misai dengan cerita kawannya itu. Dia mula menggambarkan kehidupannya yang akan diuliti oleh anak-anak gadis di sekeliling pinggang. Semua gadis-gadis cantik akan terpesona melihat dia. Siapa yang cuba menolak dia akan gunakan minyak dagu sampai gadis berkenaan tunduk kepadanya.
Gambaran indah inilah yang membuatkan Kadir Msai terpengaruh dengan ajakan kawannya itu. Dia pun mengikut saja Che’ Soh menemui Pak Mat Kelih untuk menyatakan tujuannya.
“Kamu mesti buat sendiri....” kata Pak Mat Kelih menerangkan kepadanya bahawa hanya orang berhajat itu saja mesti melakukannya. Tidak boleh orang lain melakukannya. Kalau orang lain yang melakukannya maka orang itulah yang memperolehi kegunaan minyak dagu tersebut.
Terkebil-kebil juga mata Kadir Misai bila mendengar penerangan Pak Mat Kelih . Pada sangkanya minyak itu boleh didapati dari Pak Mat Kelih saja, kemudian digunakan kepada mangsanya. Bila memikirkan mahu mengambil sendiri di kubur anak dara baru meninggal dunia, Kadir Misai mula terasa seram sejuk.
“Beranikah kamu memanggilnya pada tengah malam pukul  12.....?” tanya Pak Mat Kelih.
“Berani...” sahut Che’ Soh.
Kadir Misai terkejut dengan pengakuan Che’ Soh. Disebabkan malu kepada Che Soh, dia pun memberi pengakuan sanggup melakukannya.
“Kamu carilah kubur anak dara, dan beritahu aku,” ujar Pak Mat Kelih.
Mereka berdua menganggok.
Lama juga mereka berdua mendengarkan kalau-kalau ada berita anak dara meninggal dunia, kerana permintaan Pak Mat Kelih hanya anak dara yang baru saja meninggal dunia. Tentulah sukar untuk mendapatkan anak dara meninggal dunia. Kerana sekiranya ada pun orang meninggal dunia, bukanlah anak dara.
Kira-kira lima bulan lepas itu barulah Che’ Soh memberitahu Kadir Misai mengenai seorang gadis berumur 14 tahun di kampungnya baru meninggal dunia. Mereka berdua bukan tergesa-gesa pergi melawat jenazah gadis berkenaan, sebaliknya mereka memberi perkhabaran tersebut kepada Pak Mat Kelih.
Seperti yang dijanjikan mereka bertiga pun pergilah ke kubur gadis berkenaan pada sebelah malamnya kira-kira jam 12. Syarat yang dikenakan pada mulanya ialah menanggalkan semua pakaian. Kadir Misai mengikut saja arahan yang disuruh oleh Pak Mat Kelih.
Mereka bertiga terpaksa menanggalkan semua pakaian sebaik sahaja masuk ke kawasan perkuburan. Ketika sampai di tanah perkuburan ribut kencang telah bertiup dari segenap arah.
Kilat juga sabung menyabung. Memang suasananya mengerunkan kepada mereka yang berfikiran waras. Tetapi ketika ini Kadir Miai hanya mahukan sesuatu yang dihajatinya. Dia tidak peduli apa pun yang akan berlaku. Dia hanya mengikut apa saja diarahkan oleh Pal Mat Kelih.
Hujan turun dengan lebat dengan kilat sabung menyabung. Angin bertiup kencang menderu-deru. Sebenarnya semua itu adalah perasaan mereka saja. Kerana keesokkan harinya kata Kadir Misai , tidak ada kesan pun hujan turun atau ribut kencang di situ.
Pak Mat Kelih kumat kamit mulutnya membaca serapah. Kemudian dia menghentakkan kakinya di bahagian kepala kubur. Selepas itu dia menyuruh Kadir Misai dan Che Soh menggali kubur tersebut. Walaupun terasa takut dan seram, namun Kadir Misai keraskan semangat. Dia terus menggali kubur tersebut bersama Che’ Soh.
Setelah dapat digali Pak Mat Kelih memerintahkan supaya mayat berkenaan dibawa naik ke atas. Kadir Misai terpaksa juga melakukannya sekalipun perasaan seram mulai mengganggui dia.
“Jangan takut, orang dah mati....” dia terdengar Pak Mat Kelih bersuara dari atas tebing kubur.
Apabila mayat itu sudah dinaikkan ke atas tebing, Pak Mat Kelih menyuruh Che Soh dan Kadir Misai berundur jauh sedikit. Ketika itu hujan ribut dan kilat sabung menyabung masih belum reda. Kadir Misai menunggu juga apakah kesudahannya dengan hati berdebar-debar cemas.
Dia tidak tahu apa yang dilakukan oleh Pak Mat Kelih selanjutnya. Hanya dia nampak Pak Mat Kelih dapat menghidupkan bara api sekalipun hujan ribut begitu kencang. Bara api itu dipasangnya di tempat membakar kemenyan. Setelah dibakar kemenyan dia menelangkupkan mayat itu sambil mengurut-ngurut bahagian dagu mayat pada asap kemenyan.
Ketika itu Kadir Misai dapat mendengar jeritan halus di udara suara seorang gadis menangis kesakitan. Jeritan itu sayup-sayup menusuk perasaan. Tetapi Kadir Misai tetap menahan gelora perasaannya semata-mata mahukan minyak dagu yang dikatakan mempunyai khasiat besar sebagai ilmu pengasih.
Kira-kira setengah jam Pak Mat Kelih mengambil air dagu yang ditadah dengan botol yang disediakan, barulah dia memanggil Kadir Misai dan Che Soh supaya mayat tersebut ditanamkan semula. Dua botol kecil saja disediakan oleh Pak Mat Kelih untuk menadahkan air dagu tersebut, satu untuk Che Soh dan satu lagi untuk Kadir Misai sendiri.
Mereka berdua menanam semula mayat berkenaan. Mereka melakukan semuanya hingga tidak ada kesan langsung kubur tersebut sudah digali. Keadaan mereka tetap bertelanjang bogel semasa melakukan kerja-kerja tadi.
Setelah semuanya siap Pak Mat Kelih tidak membenarkan mereka berdua menemuinya selama seminggu. Cukup seminggu barulah mereka bertemu semula dengan Pak Mat Kelih. Botol berisi minyak dagu itu diserahkan oleh Pak Mat Kelih pada mereka berdua.
Kadir Misai menjadi resah selama tinggal di rumah bapa saudaranya di Kelantan sejak mendapat botol minyak dagu itu. Setiap malam dia mendengar tangisan anak gadis merintih-rintih. Akibatnya dia mengambil keputusan untuk balik saja ke Pahang.
Di kampung keadaan Kadir Misai bertambah gelisah. Kadangkala menjadi panas menyebabkan tengah –tengah malam dia melenging tidak berbaju. Ini disebabkan minyak dagu yang disimpannya tidak tertahan kerana ayahnya Lebai Man seorang yang warak. Ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan syaitan memang tidak boleh bertahan dengan orang-orang yang kuat mengamalkan kan ilmu agama.
Setiap malam suara tangisan gadis itu jelas kedengaran. Lebai Man sendiri dapat mendengarkan tangisan tersebut. Hanya membacakan Ayatul Kursi saja syaitan saja syaitan yang mengawal botol minyak itu tidak boleh bertahan. Inilah yang menyebabkan tangisan berkenaan boleh didengari. Hingga akhirnya botol yang diletakkan oleh Kadir Misai di kepala tiang itu jatuh ke tanah. Mujurlah tidak tidak pecah dan tumpah.
Bila tempatnya beralih semakin kuatlah terdengar bunyi tangisan tersebut. Lebai Man mengesyaki sesuatu lalu mencarinya dari mana punca tangisan berkenaan . Akhirnya terjumpalah olehnya botol yang berisi minyak dagu itu.
“Apa ni Kadir ?” bentak Lebai Man meradang sangat dengan perbuatan anak mudanya sambil menunjukkan botol tersebut.
Tergagap-gagap Kadir Misai mahu menerangkan kepada ayahnya. Takut juga dia kalau-kalau rahsianya selama ini di Kelantan terbongkar.
“Cakap...!” jergahnya geram. “Kalau kau nak nikah aku boleh carikan. Tak payah pakai ilmu pengasih” ujarnya mengenggam erat-erat botol berkenaan.
Mahu tidak mahu terpaksa juga Kadir Misai menceritakan kepada ayahnya bagaimana dia mendapatkan minyak dagu itu. Bukan kepalang marahnya Lebai Man kerana Kadir Misai sudah terpesong dari ajaran Islam. Perbuatannya menggunakan minyak dagu itu sama juga dengan menyekutukan Allah.
“Aku mahu ke Kelantan. Pulangkan balik minyak ni pada guru kau !” katanya tegas.
Esoknya juga Kadir Misai terpaksa membawa ayahnya berjumpa dengan Pak Mat Kelih di Kelantan. Lebai Man meminta Pak Mat Kelih lepaskan Kadir Misai dari ikatan syarat menyimpan minyak dagu berkenaan . Barulah Kadir Misai tahu minyak berkenaan mesti diisi dengan darahnya sendiri setiap kali bulan mengambang. Apabila tidak diisi dengan darah, itulah yang menyebabkan tangisan gadis itu kedengaran meminta-mintanya.
Melalui Pak Mat Kelih dipulangkan semula minyak tersebut. Kadir Misai juga tidaklah perlu lagi memenuhi syarat untuk menjamu darah setiap kali bulan mengambang. Sejak itu Kadir Misai disuruh oleh ayahnya menetap di Pahang saja. Dia pun tidak tahu bagaimana kesudahan dengan kawannya Che Soh. Selepas itu dia tidak lagi mendengar Che Soh , mungkin sudah pulang ke Patani.
Sebenarnya menarik juga kepada saya pengalaman Kadir Misai ini dalam mengejar cita-citanya. Semasa dia mula-mula bertemu saya dulu pernah juga saya mengatakan mungkin kesan-kesan menuntut ilmu kebatinan dulu, masih ada pada dirinya.
“Boleh jadi juga ustaz...” katanya tersengih-sengih. “Fasal saya ni selalu juga panas baran. Mudah sangat nak marah,” ujarnya macam menyesali sikapnya selama ini.
Saya terkejut bila kita yang dipandu Kadir Misai hampir terbabas. Cepat-cepat saya menegakkan badan.
“Mengapa ustaz, mimpi ke ?” Kadir Misai mula mengusik.
“Tergamang....” jelas saya perlahan. Hanya perasaan saya saja kereta itu terbabas. Pada hal ianya meluncur laju membelah lebuh raya karak itu.
Memang jarang saya mahu tertidur kalau dalam perjalanan dengan kereta. Sebahagiannya saya mudah tergamang terutama bila kereta membelok pada selekoh. Bagi mengelak dari tergamang inilah saya tidak mahu tidur. Tetapi entah mengapa balik saja dari Jerantut dengan Kadir Misai saya berasa terlalu mengantuk. Puas saya cuba melawan rasa mengantuk itu, tetapi tidak juga berjaya.
Hinggalah saya tergamang sebentar tadi. Selepas tergamang itu tidaklah saya tidur lagi.
“Saya ingat ustaz tidur tadi...” ujar Kadir Misai.
“Hemmm, terlelap juga sekejap,” beritahu saya terkeap-kuap.
“Mimpi ?” dia mengusik saya.
“Iya...” jelas saya ketawa kecil. “Mimpi pasal kau simpan minyak dagu...” kata saya menyebabkan Kadir Misai tertawa terbahak-bahak.
Geli benar hatinya bila saya timbulkan kisah minyak dagu itu. Memang Kadir Misai tidak dapat melupakan bagaimana dia mendapatkan minyak dagu tersebut. Kalaulah tidak disebabkan ayahnya masuk campur tentu dia terperangkap dengan ilmu-ilmu demikian. Dia terpaksa memberi darah setiap kali bulan mengambang. Takdirnya terlupa memberi darah maka datangnya suara tangisan yang mengerunkan di tengah malam.
“Sepatutnya kita mendoakan roh muslimin muslimat supaya diberi rahmat oleh Allah...” ujar saya perlahan bila mengenangkan perbuatan Kadir Misai. “Tetapi, kau menyeru roh mereka beserta dengan syaitan,” saya menyindirnya.
“Ah, itu kisah lama ustaz” jelas Kadir Misai menyesali perbuatannya di masa lalu. “Saya pun dah lupakan kisah-kisah lama tu...” katanya.
Saya percaya dengan kata-kata Kadir Misai. Sebab itu dia lebih suka berkawan dengan saya, kerana pada pendapatnya saya lebih banyak mendorong dia supaya mendalami ilmu agama. Selalu juga dia mengikiut saya ke Rawang atau ke Kajang, mengikuti pengajian agama dari beberapa orang guru tariqat. Kadangkala kalau saya ke Melaka, ke Segamat atau ke Sungai Besar pun dia akan ikut sama. Sebenarnya saya suka bertukar-tukar fikiran dengan guru-guru agama di situ.
Kisah Kadir Misai ketika umur belasan tahunnya, bukanlah dia saja. Memang anak-anak muda demikian satu masa dulu gemar menuntut ilmu –ilmu demikian. Saya sendiri teringin juga mahu melakukannya, mujurlah nenek saya dulu memarahinya. Dia tidak mahu saya menuntut kepada orang yang tidak bertanggung jawab.
Apa lagi Tok Aji membawa saya belajar di madrasahnya. Tok Aji tidaklah mengawal sangat tindak tanduk saya ketika itu, tetapi entah mengapa saya terlalu takut kepadanya. Saya tidak berani membuat sesuatu kalau tidak meminta izin darinya terlebih dulu.
Sebab itu Tok Aji juga terlalu sayang kepada saya. Dia mengingatkan saya bahawa di dalam Quran itu sudah lengkap, hanya manusia saja tidak memahami apa yang dikatakan sudah lengkap itu.
Tetapi sepanjang ingatan saya memang Tok Aji ketika hayatnya tidak pernah berubat di hospital. Dia pun tidak pernah sakit, kecuali demam biasa. Hanya pada akhir hayatnya dia jatuh sakit selama empat hari. Sehari semalam dia tidak sedarkan diri. Ketika inilah ayah saya merapatkan mulut ke telinganya, kemudian melekapkan telinga ke pusat Tok Aji . Beberapa saat kemudian Tok Aji pun meninggal dunia.
Jadi, berdasarkan Quran yang sudah lengkap itu apakah perlunya kita menuntut ilmu yang lain dari ajaran Quran? Mengapa kita sanggup mendapatkan air dagu mayat seorang gadis semata-mata untuk mendapatkan ilmu pengasih? Sedangkan ilmu pengasih itu terletak di hati kita sekiranya pandai mengambil hati dan bersedia mengalah dalam beberapa hal nescaya orang akan kasih kepada kita.
“Pernahkah ustaz masuk hospital? “ tiba-tiba saja Kadir Misai bertanya.
“Pernah....” jawab saya ringkas.
“Ustaz kena sakit apa ?” tanya lagi.
“Saya tak sakit apa pun, saya melawat orang sakit aje...” beritahu saya tersenyum.
“Hus, ustaz ni bergurau pula,” Kadir Misai mendengus mendengar jawapan say aitu. “Maksud saya ustaz masuk hospital kerana sakit...” tegasnya macam mahu mengetahui samada pernahkah saya mengalami sakit sampai masuk ke hospital.
“Saya tak pernah sakit teruk, jadi tak pernahlah masuk hospital...” ujar saya perlahan.
“Kalau takdirnya kena sakit teruk ?” Kadir Misai menduga.
“Itu belum tahu lagi,” jelas saya sudah dapat menduga maksudnya. “ Masa akan datang hanya Allah saja mengetahui...” kata saya lagi.
Saya sudah duga bahawa Kadir Misai hendak tahu sama ada saya akan berubat ke hospital kalau mengalami sakit, pada hal saya sering menyatakan padanya bahawa di dalam Quran juga sudah lengkap ubat-ubatnya. Memang saya tidak dapat memberi jaminan apa yang terjadi di masa akan datang, tetapi tidak mustahil penyakit yang banyak didengar zaman moden ini boleh diubati dengan menggunakan ayat-ayat Quran.
Pernah juga saya mendengar seorang pesakit jantung berlubang boleh diubat melalui pengubatan menggunakan ayat-ayat Quran ini, sehingga pernah mengkagumkan pakar di hospital. Apabila saya ditanyakan perkara ini saya hanya tersenyum.
Mengapa orang bertanya demikian ? Adakah dia ragu-ragu akan kekuatan AlQuran ?
Saya diberitahu mengenai sahabat yang mengubat pesakit jantung berlubang seorang kanak-kanak. Sahabat ini pun bukanlah seorang bomoh, tetapi dia memang mendalam pengajian agamanya . Saya tidak pernah lagi bertemu dengan sahabat yang diceritakan oleh seorang kawan saya ini, tetapi saya yakin dengan apa yang telah dilakukannya.
Satu hari seorang kawan sepejabatnya datang membawa anaknya yang kecil berumur dua tahun. Anak ini kelihatan kurus, pucat dan kukunya sudah lebam biru. Kebetulan sahabat ini bertemu dengan kawan sepejabatnya itu lalu bertanya mengenai anak kecil itu.
Rakannya itu memberitahu bahawa dia baru saja datang dari hospital membawa anaknya. Dia dinasihatkan oleh dokter supaya anaknya yang mengidap jantung berlubang itu dibedah di London. Jadi sebelum sampai tarikh untuk dibawa ke London itu dia dikehendaki membuat check-up setiap dua mingggu sekali.
Kebetulan hari itu dia singgah sebentar ke pejabat sekembalinya dari hospital dengan membawa anaknya bersama. Disebabkan rakan itu perempuan dan datang bersama suaminya ke pejabat berkenaan sahabat tadi lalu menawarkan diri mahu merawat kanak-kanak itu mengikut cara pengubatan ayat-ayat Quran. Suami perempuan itu lantas bersetuju , kerana dia sendiri lebih yakin dengan perubatan secara demikian.
Sahabat ini telah melakukan pengubatan secara tidur dengan menggunakan seorang kawannya yang telah diberi latihan. Memang dia dapati kanak-kanak berkenaan mengidapi jantung berlubang. Tiga hari dia merawat kanak-kanak berkenaan, kedua suami isteri sudah dapat melihat perubahannya.
Biru lebam pada kuku anaknya sudah tidak kelihatan lagi. Kanak-kanak itu juga sudah boleh bernafas dengan tenang. Dua minggu kemudian apabila dibuat check-up di hospital doktor mendapati jantung berlubang itu sudah bertaup semula. Doktor juga merasa heran lalu bertanya kepada suami isteri itu apakah yang telah dilakukannya.
Disebabkan terlalu gembira kedua suami isteri itu terlupa akan janjinya pada sahabat tadi, iaitu tidak mahu menceritakan telah berubat kepadanya, sebaliknya dia telah menerangkan kapada doktor berkenaan, mengenai diri sahabat tadi. Doktor itu tertarik hati dan berharap untuk bertemu dengan sahabat itu. Bagaimanapun sahabat itu tidak mahu menemui doktor berkenaan, kerana dia tidak bertujuan mahu mencari publisiti.
Saya setuju dengan sikap sahabat itu. Dan saya yakin dengan cara pengubatan yang dilakukannya itu. Muga-muga lebih ramai lagi orang yang dapat memahami pengubatan demikian, kerana ianya bukanlah seperti pengubatan tradisional yang disalah ertikan oleh kebanyakan orang.
“Ustaz tak yakin dengan ubat hospital ?” tanya Kadir Misai seterusnya.
“Siapa kata saya tak yakin...?” saya berpaling pada Kadir Misai. Tidak saya sangka dia bertanya demikian pula. “Sebaik-baiknya kita mencegah penyakit, bukannya berubat kerana sakit,” kata saya mengingatkan dia.
“Iya, hospital juga tak berjaya mengubati penyakit,” Kadir Misai terangguk –angguk.
“Hospital juga mahu mencegah penyakit saja, kalau sudah menjadi wabak, hospital juga tidak jamin boleh menyembuhkan,” ujarnya.
“Sembuh atau tidak sembuh adalah kuasa Allah , manusia hanya berikhtiar..” tegas saya perlahan. “Hospital juga berikhtiar, bomoh juga berikhtiar, siapa juga berikhtiar....” kata saya. Sebenarnya saya tidak berniat mahu persoalkan perkara ini, tetapi Kadir Misai seolah-olah mahu menguji saya.
Saya fikir untuk mengelakkan dari Kadir Misai terus bertanya adalah lebih baik saya tidur saja. Setidak-tidaknya saya berpura-pura tidur agar dia tidak dapat berbual-bual.
Beberapa minit saya melelapkan mata, tiba-tiba kereta tersengguk-sengguk. Cepat-cepat saya bingkas apabila enjin kereta mati.
“Kenapa?” tanya saya keheranan.
“Minyak habis...” beritahu Kadir Misai lemah.
“Kenapa tak diisi cukup-cukup...” saya kesal dengan kejadian minyak kereta habis di tengah jalan. Sepatutnya Kadir Misai mestilah mempastikan minyaknya cukup. Tetapi itu adalah urusan dia, kerana keretanya sendiri tentulah dia mesti menguruskan.
“Tak perasan pula saya ,” keluhnya kerana tidak mempastikan minyak cukup untuk balik. “Huh, kacau kita macam ni...” katanya bercampur bimbang.
Kemudian terpaksalah kami menolak kereta itu ke tepi jalan. Sambil itu menunggu kalau ada kereta yang lalu untuk meminta pertolongan. Tetapi puas tersadai di tepi jalan tidak ada pula kereta melintas. Selalunya lebuh raya Karak ini sampai ke subuh pun ada kereta lalu lalang. Setidak-tidaknya lori juga banyak lalu di situ.
Jam sudah hampir 3.00 pagi. Saya tidak bercakap apa lantas merebahkan badan ke kosyen. Biarlah Kadir Misai memerhatikan kereta lalu untuk mendapatkan bantuan. Di tengah malam begini bagaimana mahu mendapatkan pertolongan orang. Pemandu kereta mungkin tidak berani berhenti kerana menyangka orang yang menahannya mahu berlaku tidak baik. Rumah orang pula tidak ada di situ, kerana kawasan tersebut bukannya kampung.
Puas menunggu di tepi, akhirnya Kadir Misai pun masuk semula ke dalam kereta.
“Macam mana ni ustaz.....? keluhnya sambil mengetuk jari ke stering kereta.
Saya mendiamkan diri saja. Kerana saya sendiri tak tahu apa yang mahu dilakukan. Kelalaian Kadir Misai tidak memeriksa samada minyak kereta mencukupi atau tidak, menyebabkan kesulitan itu timbul. Kelalaianlah menyebabkan manusia sering menghadapi kesulitan.
“Agaknya fasal saya banyak bertanya pada ustaz mengenai ubat hospital tadi tak...?” ujarnya macam menyesali kerana membangkitkan perkara berubat di hospital dengan tidak berubat di hospital tadi.
“Hah, kau yang lalai tak periksa minyak kereta ...” saya menafikan sangkaannya yang karut. Perkara kereta kehabisan minyak tidak ada kena mengena dengan membangkitkan  perkara pengubatan yang saya sebutkan.
“Dan-dan saya cakap tadi, kereta ni habis minyak,” Kadir Misai mengeluh lagi.
Ketika itu sebuah kereta meluncur laju di jalan. Tidak sempat Kadir Misai mahu keluar memanggilnya, kereta itu sudah bergerak pantas.
“Huh, malangnya nasib,” dia menghela nafas. “kita tunggu di luar tak ada kereta lalu, kita masuk dalam kereta, top-top aje ada. Itu pun lari macam pelecut...” katanya menyumpah-nyumpah.
“Di lebuh raya mana ada kereta lari perlahan,” kata saya menenangkan perasaan Kadir Misai.
Dia terdiam. Terbayang kegelisahan pada wajahnya. Tidak disangkanya minyak kereta boleh kehabisan, pada hal selalunya memang mencukupi sebanyak itu untuk pergi balik.
“Doalah sikit ustaz..” dia macam merayu.
“His, doa apa!” geli pula hati saya dengan sikap Kadir Misai itu. Soal berdoa ini memang sepanjang masa wajib kita berdoa meminta perlindungan dan pertolongan Allah. Bukan untuk mendapatkan minyak kereta. Itu kerja orang suruhan untuk mengadakan itu dan ini. Sebaliknya yang hamba adalah kita, bukannya Dia.
Lama saya dan Kadir Misai terkebil-kebil mata mengharapkan ada kereta lalu untuk meminta bantuan. Tidak selepas itu nampaklah sebuah kereta dari hadapan. Apabila ditahan kereta itu berhenti. Sayangnya dia juga tidak memberikan pertolongan kerana dia mahu ke Kuantan. Dia bimbang akan kehabisan minyak pula kalau minyak di dalam tangkinya disedut.
Harapan yang ada ialah kalau lori lalu. Mungkin lori ada membawa minyak simpanan. Tetapi puas menunggu tidak juga ada lori.
Terfikir juga di hati saya mungkin ada gangguan. Kerana ayah saya juga pernah diganggu semasa balik ke rumah jam 2.00 pagi . Tiba-tiba saja lampu basikalnya padam. Kemudian dia memerhati ke atas ternampak olehnya satu lembaga hitam berdiri di hadapannya terlalu tinggi. Kepalanya seolah-olah mencecah awan.
Oleh itu cepat-cepat saya keluar dari kereta . Saya mendongak ke langit memerhati kalau-kalau ternampak lembaga demikian. Alhamdulillah, tidak ada pula apa-apa yang saya lihat, selain dari awan yang lebam. Melihatkan saya keluar dari kereta Kadir Misai juga keluar.
Masa inilah saya ternampak lembaga orang sedang mengayuh basikal mendaki bukit di situ. Setelah dekat saya dapati seorang lelaki tua berseluar hitam dan berbaju hitam tidak berkatup butang, serta lilit kepala hitam. Dia turun dari basikalnya apabila nampak kami di situ.
“Hah, kenapa awak?” tanya orang tua itu dalam loghat Pahang.
“Kereta habis minyak aki...” sahut Kadir Misai.
“Macam mana boleh habis minyak...?” dia keheranan kerana perjalanan jauh selalunya orang memeriksa tangki minyak . “Kawan agak awak ni lalai” katanya macam menyindir.
“Aki tinggal di mana?” tanya saya pula kerana saya tidak nampak pun kawasan kampung di situ.
“Jauh lagi di depan tu....” dia memuncungkan bibir.
“Dari mana?” tanya saya lagi.
“Hai, dari rumah anak di Bukit Tinggi...” jelasnya.
Memang Bukit Tinggi tidak jauh lagi dari situ. Tetapi mengapa pula pukul 3.00 pagi dia melalui di situ dengan basikal. Di mana pula rumahnya.
“Macam mana awak ni nak balik?” dia tersengih-sengih memerhatikan kami berdua.
“Kalau boleh biar kawan pinjam basikal aki,” Kadir Misai merapati orang tua itu.
“Buat apa ..?” tanyanya.
“Nak cari minyak...” sahut Kadir Misai berharap.
“Mana ada kedai minyak di sini “ dia mengeluh pendek.
Lama kami terdiam mencari akal bagaimana mahu mengatasi masaalah. Tiba-tiba saya lihat orang tua itu turun ke bawah tanah. Kemudian dia datang semula membawa air dari anak sungai di bawah lurah di dalam daun keladi. Dia menyuruh Kadir Misai membuka tangki minyak, lalu dimasukkannya air tersebut.
“Hah, baliklah . Insya Allah” dia tersenyum lalu menepuk bahu Kadir Misai. “Tapi jangan awak buka lagi tangki minyak tu...” ujarnya mengingatkan kami berdua.
Setelah bersalaman dan mengucapkan terima kasih, kami pun balik semula ke Kuala Lumpur. Kadir Misai melihat pada meternya memang minyaknya sudah penuh semula.
Seminggu kemudian Kadir Misai menelefon saya, katanya sudah seminggu dia tidak mengisi minyak kereta kerana minyaknya masih ada. Dia juga tidak berani membuka tangki untuk memeriksanya.
Dua minggu selepas itu Kadir Misai bersama isterinya datang ke rumah saya, dia memberitahu mengena minyak keretanya yang masih belum habis. Isterinya tidak percaya dengan kejadian yang diceritakan oleh Kadir Misai. Sebab itulah isterinya mahu mendengar dari saya pula.
“Cubalah tengok dalam sebulan lagi.......” saya memberi keyakinan kepada isteri Kadir Misai mengena kejadian yang kami berdua alami itu
Setelah sebulan sekali lagi Kadir Misai datang ke rumah saya bersama isterinya. Katanya sudah sebulan dia tidak mengisi minyak kereta. Sementara isterinya tidak percaya. Dia percaya Kadir Misai telah mengisi minyak kereta semasa dia tak ada.
“Kalau begitu tengoklah tangki kereta sekarang.....” ujar saya.
Kami pun sama-sama membuka tangki kereta Kadir Misai. Dia hulurkan tali kedalam tangki ternyata kering kontang tidak ada minyak. Dia masuk ke dalam kereta lalu memeriksa meter, didapati jarum meter menunjukkan tangki minyak kosong. Isteri Kadir Misai tidak terkatakan apa, kerana semasa dia datang memang meter itu menunjukkan minyaknya masih penuh di dalam tangki.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®