04 Julai, 2000

TULANG KAKI BERTABURAN DI BILIK

BERPELUH-PELUH seluruh badan akibat menebas di kebun pisang hingga santak senja. Tetapi Ucu Mahali tidak peduli apa-apa kalau sudah turun ke kebun. Dia tidak boleh duduk diam semenjak masuk ke felda, disebabkan terpaksa bekerja keras sepanjang hari.

Harapkan menoreh getah masakan boleh menampung hidup keluargangya, kalau tidak ditambah dengan berkebun pisang. Dalam tempoh seminggu Ucu Mahali boleh dapat RM70.00 apabila banyak pisang yang ditebang. Biarlah jiran-jiran menuduh dia tamakkan harta dunia disebabkan turun ke kebun sampai santak senja. Dia masih mengibas-ngibas mata parang ke tengah belukar sekalipun Kak Banun sudah mendesaknya balik. Takkan menunggu azan berkumandang di surau baru mahu tinggalkan kebun pisang hingga tergesa-gesa mandi di bilik air. Tentu tergesa-gesa pula ambil wuduk lantas terburu-buru mencapai sejadah. Memang Ucu Mahali jarang berjemaah ke surau, disebabkan tidak sempat mahu terburu-buru ke surau di seberang pejabat kesihatan di dalam felda berkenaan.

Marah juga Kak Banun disebabkan suaminya mandi tatkala badan tengah panas berpeluh-peluh. Apa salahnya kering dahulu peluh supaya badan terasa sejuk baru curahkan air ke seluruh badan? Tetapi Ucu Mahali bukan boleh ditegur kalau mahu menentukan cara hidupnya. Sebab itulah Kak Banun tidak peduli sangat sekiranya Ucu Mahali berkeras  juga mahu mandi tatkala badan tengah panas berpeluh-peluh. "His, cukuplah tu dulu, bang," Kak Banun mendesak suaminya balik disebabkan senja sudah semakin samar sekalipun azan di surau belum berkumandang. Ucu Mahali mendengus. Belum sempat dia mahu menyahut, tiba-tiba terdengar kereta berhenti jauh di hadapan rumahnya, diikuti dengan namanya dipanggil berulang kali. Dia tidak perlu tergesa-gesa memastikan siapa yang datang ke rumahnya. Tahu sangat Ucu Mahali asal sahaja orang datang jejak kaki ke rumah dia tentulah fasal berubat. Apa lagi tujuan mereka kalau bukan berubat minta dijampikan?

Sejak dia berpindah ke felda itu memang ramai tahu fasal dia menjadi bomoh. Sekalipun Ucu Mahali tidak mahu dia dikenali sebagai bomoh, tetapi dia tidak dapat menghalang apabila ada orang datang jejak kaki ke rumahnya minta dijampikan. Sampaikan suami lari meninggalkan rumah pun, mereka meminta bantuan Ucu Mahali. Tidak boleh tiga hari, Ucu Mahali akan cuba sampai tujuh hari nescaya lelaki yang lari meninggalkan rumah isterinya, akan datang semula mencari isteri yang ditinggalkan. Tentu hati lelaki itu tidak tenteram apakala namanya seringkali disebut-sebut oleh Ucu Mahali dalam jampinya. Tetapi mereka yang pernah menemui Ucu Mahali tahu, bukan disebabkan jampi mentera Ucu Mahali boleh memaksa orang yang lari balik semula dengan pasangannya. Mereka tahu Ucu Mahali akam kirimkan jin-jin yang bersahabat dengannya mengganggu sesiapa sahaja yang cuba melawan kemahuannya. Mereka tidak marah apa-apa kepada Ucu Mahali, kerana dia tidak mengganggu sesiapapun. Dia sekadar gunakan jin-jin yang bersahabat dengannya untuk tujuan membantu mereka yang diganggu kesusahan. Memang Ucu Mahali tidak akan gunakan jin-jin berkenaan untuk melakukan kejahatan.

Sewaktu dia mengajak Kak Banun balik, terjengket-jengket Mat Junoh melompat anak-anak kayu mendapatkan dia. Tersengih-sengih Mat Junoh melihat Ucu Mahali berpeluh-peluh memegang parang panjang di bawah perdu rumpun pisang. "Ah, Abang Junoh rupanya!" gerutu Ucu Mahali sebaik sahaja Mat Junoh mendekati dia. "Encik Kiman ajak awak ke Kuala Lumpur." beriahu Mat Junoh setelah mereka bersalaman. "Bila?" perlahan sahaja Ucu Mahali bertanya sekalipun hatinya serba salah juga apakala diminta oleh Kiman ke Kuala Lumpur. Kalau Kiman mengajak ke Kuala Lumpur tentulah Kak Banun juga ikut sama. Masakan dia mahu tinggalkan isterinya di rumah apabila ke Kuala Lumpur sampai bermalam di rumah Kiman. Sekiranya Kiman hantar balik pun selepas tengah malam tentu hampir Subuh baru sampai ke rumah. Dia tahu sekiranya Kiman datang menjemput memang lelaki itu sanggup hantar dia balik malam itu juga. Apalagi kalau dia mendesak fasal mahu menoreh getah. Tinggal dalam kawasan felda dia tidak boleh berdalih sekiranya tidak pergi menoreh.

"Encik Kiman akan hantar balik malam ni juga," terus sahaja Mat Junoh menerangkan supaya Ucu Mahali tidak was-was mahu ikut ke Kuala Lumpur. Lagi pun Mat Junoh akan ikut sama disebabkan malamnya dia tidak bertugas. Memang tugas Mat Junoh menjadi pengawal di stor kilang getah buku akan off tiap-tiap dua malam sekali. Selepas pencen jadi buruh di jabatan, mujur benar nasib Mat Junoh dipelawa bertugas menjadi pengawal di stor kilang getah buku itu. Masuk sahaja jam 6.00 petang dia akan mula bertugas sampai ke pagi. Apa salahnya bertugas sebelah malam, bukannya dia bercekang mata tidak tidur hingga ke Subuh. Sebab itu Mat Junoh sanggup ikut Kiman ke Kuala Lumpur sebaik sahaja lelaki itu memintanya mengajak Ucu Mahali. Dia sendiri yang perkenalkan Ucu Mahali kepada Kiman, disebabkan lelaki itu pernah menjadi ketua jabatannya sebelum bertukar ke Kuala Lumpur.

Asal sahaja ada masalah memang Kiman akan bertumpu kepada Mat Junoh. Tidak tergamak pula Mat Junoh membiarkan Kiman gelabah sepanjang masa semenjak rumahnya diserbu rama-rama hitam sepanjang malam. Kadangkala sampai lampu di dalam rumah tertutup akibat terlalu banyak rama-rama hitam hinggap. Apabila rama-rama hitam gugur ke lantai akibat mati terbakar pada kaca lampu, isteri Kiman akan mula diserang sakit kepala. Kemudian hidungnya keluar darah macam selsema dihinguskan. Lama juga isterinya Seridah menanggung sakit, barulah sakit di kepalanya mulai reda. Sudah berkali-kali juga Kiman membawa isterinya menemui doktor, tetapi tidak dapat diagakkan penyakitnya. Kalau mahu dituduh darah tinggi keadaan Seridah tidak pula mempunyai tekanan darah yang membimbangkan. Doktor juga tidak syak kalau ada ketumbuhan di kepala, kerana tanda-tandanya tidak ada langsung.

Sebab itu Kiman hubungi Mat Junoh sekiranya boleh membantu dapatkan bomoh untuk mencuba rawatan tradisional. Sudah dua kali Ucu Mahali mencuba apakala Mat Junoh membawa Kiman dan isterinya ke rumah itu. Mula-mula sahaja dia melihat Seridah, perempuan itu bagaikan enggan naik ke rumahnya. Kalau tidak didesak oleh Kiman memang Seridah tidak mahu naik disebabkan terasa seluruh badannya seram sejuk. Semakin digagahi juga naik dadanya berdebar kencang mengombak-ombak tidak menentu. Ketika itu Ucu Mahali merasakan dirinya dikelilingi oleh lembaga-lembaga berjubah putih yang ramai di tengah rumahnya, dia dapat melihat seolah-olah di ubun-ubun Seridah terletak tengkorak kepala dengan lidah terjelir panjang. Tengkorak kepala itu bergoyang-goyang laksana kapas ditiup angin setiap kali lembaga-lembaga berjubah putih mengibaskan tangan. Marah benar tengkorak berkenaan kepada lembaga-lembaga berjubah putih itu kerana membawa Ucu Mahali ke situ hingga dia tidak dapat berlindung ke mana pun. Memang lembaga-lembaga berjubah putih itu yang tunjukkan kepada Ucu Mahali mengenai tengkorak di atas ubun-ubun Seridah. Lidah yang terjulur dari tengkorak itu terus menjilat-jilat darah dari ubun-ubun macam kucing menjilat susu tumpah di lantai.

"Hah, tengkorak apa pula atas ubun-ubun Seridah ni?" keras suara Ucu Mahali membentak sambil menuding ke kepala perempuan itu. Terkejut juga Kiman apabila diberitahu mengenai tengkorak di atas ubun-ubun isterinya. Dia tidak melihat apa-apa  pun kecuali tudung yang melingkupi rambut. "Buangkan aje, Ucu," sahut Mat Junoh seolah-olah dia sendiri dapat melihat tengkorak yang disebutkan oleh Ucu Mahali. Lantas Ucu Mahali menjuruskan tangan ke arah ubun-ubun Seridah dengan membacakan: Qola Musa maji'tum bihissihira innallahha sayubthiluhu innallahha layuslihu 'amalal mufsidin, wali-ilafin quraisy, abthil sihraka kullahu wayubthilhu, Allahhumma abthilis sihrallazi bainazzar'i wafi jami'il mukhta-fiati kulliha. Kemudian dia merentap kuat hingga terasa tengkorak di atas ubun-ubun Seridah tertanggal habis. Tetapi tengkorak itu hanya seperti bayang-bayang sahaja yang hilang sementara terlindung oleh silauan cahaya. Dalam masa beberapa saat sahaja bayangan tengkorak itu kembali bertenggek di ubun-ubun Seridah bagaikan terus berdegil sekalipun diancam oleh Ucu Mahali.

"Hah, nak tunjuk keras kepala ye!" bentak Ucu Mahali lantas memberi isyarat kepada lembaga-lembaga berjubah putih segera menyerbu. Tatkala lembaga-lembaga berjubah putih itu menyerbu, terasa pada Seridah kepalanya sejuk laksana dicurahkan ais di ubun-ubunnya. Dia tidak melihat apa-apa kecuali merasakan elusan angin di keliling tubuhnya yang duduk berlunjur kaki di hadapan Ucu Mahali. Tetapi Ucu Mahali tahu elusan angin itu memang lembaga-lembaga berjubah putih itu menyerbu lantas merentap tengkorak yang melekap di atas ubun-ubun Seridah. Masakan tenaga manusia mampu merentapkan bayang-bayang tengkorak itu, kecuali lembaga-lembaga berjubah putih itu sama seperti bayang-bayang tercegat di sisinya. Bila-bila lembaga-lembaga berjubah putih bersedia mematuhi perintah Ucu Mahali asal sahaja dikerah dalam saat demikian. Mereka akan mematuhi apa sahaja perintah Ucu Mahali tatkala dia terus berzikir mengulangi sampai 500 kali: Ya haiyun ya qaiyum ya latiff ya zaljalali wal ikram.

Setelah dua kali Kiman membawa isterinya Seridah berubat ke felda sebaik sahaja diperkenalkan oleh Mat Junoh, memang isterinya mengakui sakit kepalanya semakin berkurangan. Dia juga tidak lepaskan kain putih yang dituliskan oleh Ucu Mahali dengan: Waja'alna min baini aidihim saddan wamin khalfihim saddan fa aghsyainahum fahum layubsirun, menutup ubun-ubun macam kain selindang diikat ke kepala. Disebabkan sakit kepala Seridah semakin sembuh itulah, Kiman mengajak Ucu Mahali ke Kuala Lumpur supaya lihat sendiri keadaan rumahnya. Manalah tahu tapak rumah itu tidak sesuai menyebabkan penyakit silih berganti mengganggu keluarganya. Memang Ucu Mahali sendiri mengakui apabila diminta Kiman melihat dari jauh keadaan rumah berkenaan, berkali-kali terbersin seolah-olah terhidu bau busuk yang menusuk-nusuk. Kali kedua Seridah datang jejak kaki ke rumahnya berubat, Mat Junoh mencadangkan supaya Ucu Mahali melihat keadaan di keliling rumah Kiman di Kuala Lumpur. Tetapi Mat Junoh tahu masakan Ucu Mahali boleh ke Kuala Lumpur kalau masih tercongok di tengah rumahnya di kawasan felda itu. Ucu Mahali sekadar memerintahkan lembaga-lembaga berjubah putih yang menjelma setiap kali dia menyeru. Sebaik sahaja lembaga-lembaga berjubah putih itu melayang ke udara, dia akan mendengar apa sahaja yang dibisikkan ke telinganya oleh lembaga-lembaga berkenaan.

Apabila diberitahu mengenai bau busuk yang terhidu di keliling rumah Kiman jauh di Kuala Lumpur, tiba-tiba sahaja bau busuk itu menusuk ke hidungnya. Sekaligus pula Ucu Mahali terbersin kuat menahan rasa loya yang membuak-buak ke kerengkung akibat bau yang busuk tengit itu. "Apa pula yang bau busuk ni?" gerutu Ucu Mahali berlenggok-lenggok kepala di tengah rumahnya yang sengaja dipadamkan lampu. Memang dia tidak akan memasang lampu setiap kali mengubati sesiapa sahaja. "Carilah punca busuk tu, Ucu," ujar Mat Junoh tersengih-sengih memerhati Ucu Mahali terlenggok-lenggok kepala di tengah rumah. Beberapa kali Ucu Mahali mendehem bagaikan kerengkungnya tersekat akibat loya membuak-buak. Kalau tidak dapat dikawal nescaya dia akan menyerbu ke jendela terjeluih muntah. Memang termengah-mengah dia menahan senak perut akibat memual-mual ketika itu.

Sebab itu Ucu Mahali tidak sanggup mengubati sesiapa pun sekiranya tidak terpaksa melakukannya. Dia sendiri akan menanggung segala apa yang dilihatnya setelah menyeru semua lembaga-lembaga berjubah putih itu menjelma. Sekalipun Ucu Mahali sekadar memberitahu lembaga-lembaga berkenaan hanya sahabatnya, tetapi Mat Junoh tahu memang Ucu Mahali menyeru jin-jin khadamnya. Kadangkala dia akan termengah-mengah sesak nafas sekiranya lembaga-lembaga berjubah putih dipusar angin kencang sewaktu merempuh ke tempat yang menjadi sasaran. Ucu Mahali juga akan terdampar ke dinding apabila lembaga-lembaga berjubah putih itu terpelanting tidak dapat mengawal diri. Memang dia mengakui tubuhnya juga lenguh-lenguh kalau lembaga-lembaga berjubah putih itu berdepan dengan lembaga besar yang terpaksa dilawannya. Bukan mudah Ucu Mahali mahu mengubati sesiapa pun kalau tidak kena gayanya. Sebab itulah Kiman memujuk Mat Junoh supaya Ucu Mahali bersedia mengubati Seridah.

"His, apa ni..?" geli geleman Ucu Mahali apabila dibisikkan ke telinganya lembaga-lembaga berjubah putih itu melihat tulang kaki manusia bersepah-sepah di merata tempat dalam rumah Kiman. "Kenapa Ucu?" lantas sahaja Mat Junoh bertanya macam berasa hairan. "Banyak benar tulang kaki manusia ni!" beritahu Ucu Mahali menggeleng-geleng kepala hingga terpaksa mengusap-usap lengan akibat bulu roma tegak meremang. "Mana datangnya tulang kaki manusia tu?" hairan juga Kiman apabila diberitahu mengenai taburan tulang kaki manusia di dalam rumahnya. "Bukanlah betul-betul tulang kaki manusia berserak di rumah encik," lantas Mat Junoh mengingatkan bekas ketua pejabatnya itu. "Ucu nampak macam tulang kaki manusia, tapi itulah sihir yang digunakan orang!" dia menjelaskan supaya Kiman tidak terkeliru dengan apa yang disebut oleh Ucu Mahali. Kalau tidak diterangkan tentu Kiman menyangka di rumahnya penuh dengan tulang-tulang kaki manusia berserakan. Disebabkan Mat Junoh sudah kerapkali melihat Ucu Mahali mengubati orang, dia tahu apa yang dilihat oleh Ucu Mahali sekadar bayangan sahaja. Tetapi demikianlah bentuk penyakit yang mengganggu mangsa akibat sihir ilmu syaitan itu.

Memang mereka yang amalkan ilmu syaitan boleh menggunakan apa sahaja kelengkapan yang sesuai untuk melepaskan marah terhadap seseorang yang dibencinya. Apabila tulang kaki mayat dipuja dengan menyeru syaitan, maka bayangan itulah dapat dilihat oleh lembaga-lembaga berjubah putih yang menjadi sahabat Ucu Mahali.

Tahu sangat Mat Junoh fasal amalan ilmu syaitan yang digunakan orang untuk mengganggu sesiapa sahaja. Mereka sanggup menggali kubur lama semata-mata mahu dapatkan tengkorak kepala supaya boleh dipuja tengah malam tatkala bulan mengambang penuh. Apabila sudah dikuasai ilmu syaitan memang mereka tidak pernah takut apa-apa pun lagi, asal sahaja niat buruknya tercapai. Bukan takat kubur lama sahaja digali, kadangkala kubur orang mati kemalangan jalan raya yang dianggap mereka mati terbunuh juga digali. Apa sahaja bahagian anggota mayat yang sudah ditanam baik-baik itu digunakan mereka untuk tujuan-tujuan yang sengaja untuk memuaskan hati sendiri. Apalagi kalau kubur anak gadis sunti yang belum disentuh mana-mana lelaki, mereka sanggup menggali dengan tidak berpakaian langsung. Mereka tidak bimbang sekalipun dihalang dengan berbagai-bagai bayangan yang mengerikan dalam saat menggali kubur tersebut. Hati mereka sudah nekad melakukan apa sahaja, asalkan hasrat di hati dapat ditunaikan. Biarlah terpaksa menarik mayat tersebut ke atas kubur, kemudian melayur dagu mayat dengan api lilin sampai menitik airnya. Mereka akan tadah air dagu berkenaan dengan tempurung yang sudah disediakan. Gembira sangat mereka apabila usaha tersebut dapat dilaksanakan sekalipun perbuatan tersebut memang dilaknati sesiapa sahaja.

"Ah, manusia ni macam-macam kepandaian!" Kak Banun menyampuk sambil ingatkan Kiman supaya tidak gelabah apakala mendengar tulang kaki manusia bersepah-sepah di lantai rumahnya. "Ilmu jahat memang mudah nak amalkan," gerutu Mat Junoh selanjutnya dengan mencebek bibir. Marah benar dia perbuatan mereka yang gunakan sihir untuk menganiaya orang lain. Kalau tidak puas hati apa salahnya bersemuka biar sama-sama dapat menilai siapa di pihak benar dan siapa di pihak yang salah. Kadangkala disebabkan mereka gunakan sihir inilah, orang seperti Ucu Mahali juga dituduh amalkan perkara yang tidak baik. Sampaikan Imam Labim juga nasihatkan Ucu Mahali supaya tidak amalkan ilmu-ilmu yang bertentangan. Tetapi Ucu Mahali tidak membantah apa-apa. Perkara amalan dia tidak pernah tumjukkan kepada sesiapa pun. Belum pernah dia meminta mereka datang jejak kaki ke rumahnya kalau diganggu syaitan sama ada pelesit, polong atau sihir. Dia juga tidak mengajak sesiapa pun di felda itu amalkan zikir sepanjang malam. Bila-bila Ucu Mahali akan jengah ke surau asal sahaja dijemput menghadiri ceramah agama. Imam Labim boleh jemput siapa sahaja guru-guru agama mengajar di surau, dia tetap memberikan sokongan.

Sebab itu dia tidak bantah apa-apa kalau Imam Labim ingatkan supaya tidak menjadi bomoh. Imam Labim sendiri diberitahu mengenai Ucu Mahali akan berjamu ayam panggang dengan tujuh piring nasi kunyit apabila seseorang itu sembuh penyakitnya. Marah benar Imam Labim apabila diberitahu sudah beberapa kali Ucu Mahali buat berjamu ayam panggang itu. Hinggakan Imam Labim menanggung derita sakit gigi sampai membengkak pipi pun mereka tuduh disebabkan Ucu Mahali. Mereka yang tinggal di kawasan felda percaya memang Ucu Mahali gunakan sihir menyebabkan Imam Labim menanggung kesakitan bengkak pipi berminggu-minggu. Sudah beberapa kali Imam Labim ke hospital mendapatkan rawatan tetapi bengkak pipi akibat sakit gigi tidak juga seruh. Apabila doktor cadangkan supaya dibedah, berdebar juga hati Imam Labim. Kalau takat sakit gigi kenapa pipinya yang membengkak perlu dibedah juga?

Tetapi bengkak pipi Imam Labim tidak seruh hingga berminggu-minggu. Sakit giginya juga berdenyut-denyut asal sahaja senja menjelang sampai dia tidak mampu ke surau untuk solat Maghrib berjemaah. Berdetak juga hatinya mahu menuduh perbuatan Ucu Mahali gunakan sihir menyebabkan pipinya membengkak berminggu-minggu. Bimbang juga dia mahu berterus-terang di hadapan Ucu Mahali. Kalau dia percaya penyakit bengkak pipinya disebabkan sihir Ucu Mahali dan bukannya dari Allah Subhanahu Wata'ala, tentulah dia sendiri yang mempercayai perkara tahyol. Seisi felda itu tahu memang dia tidak percayakan perkara tahyol demikian. Tentu orang-orangnya di felda akan menuduhnya iri hati dengan Ucu Mahali sekiranya percaya penyakitnya disebabkan sihir. Tetapi Imam Labim hairan bagaimana penyakitnya berlanjutan setelah berterus terang menegur perbuatan Ucu Mahali menjadi bomoh di situ. Kalau Ucu Mahali tidak menberitahu dirinya bomoh pun, penduduk-penduduk kampung itu akan bertumpu juga ke rumahnya.

Tersengih-sengih Ucu Mahali apabila naik ke rumah Imam Labim sebaik sahaja diberitahu oleh isteri imam itu mengenai penyakit bengkak pipi yang ditanggung suaminya. Tidak tersinggung pun Ucu Mahali apakala dituduh gunakan sihir untuk menganiaya Imam Labim. Mereka percaya Ucu Mahali berkecil hati apabila ditegur oleh Imam Labim mengenai amalannya. Sebab itulah dia sanggup gunakan lembaga-lembaga berjubah putih yang menjadi sahabatnya menganiaya Imam Labim sampai sakit gigi berdenyut-denyut. "Imam pun tahu, sakit datang dari Allah, ubatnya juga dari Allah," ujar Ucu Mahali perlahan dengan penuh ikhlas. Tersinggung juga hati Imam Labim kerana menyangka Ucu Mahali sengaja mahu menyindir dia. Tidak patut lelaki itu menyindir dia dalam saat bengkak pipinya masih juga belum seruh. "Ubat hanya sebagai ikhtiar saja, yang pentingnya: iyya kana'budu wa iyya kanas ta'in," Ucu Mahali menegaskan lantas meletakkan tapak tangannya ke pipi Imam Labim yang membengkak. Tersengih-sengih Imam Labim dengan penjelasan Ucu Mahali. Dia sendiri tidak tahu sangat mengenai amalan Ucu Mahali kecuali mendengar laporan beberapa orang sahaja. Imam Labim tidak pernah bertanyakan apa-apa pun mengenai cara pengubatan yang diamalkan oleh Ucu Mahali semenjak mereka sama-sama berpindah ke kawasan felda.

Imam Labim sendiri mendengar Ucu Mahali membacakan doa tatkala tapak tangan diletakkan ke pipinya yang membengkak: Alif lam mim sad, kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim kof, uskun aiyuhal waji' billazi in yasya yuskinir riho fayazlalna rawakido 'ala zohrihi, inna fi zalika la-ayatin likulli sobbarin syakur. Terasa pada Imam Labim daging pipinya bagaikan disentap semasa tapak tangan Ucu Mahali melekap di situ. Tiga kali diulangi oleh Ucu Mahali, memang Imam Labim berasa lega juga. "Musibah macam ni, ujian kepada kita Imam," tutur Ucu Mahali sewaktu turun meninggalkan rumah Imam Labim. Seminggu selepas itu talkala bertemu di surau, Imam Labim tunjukkan kepada Ucu Mahali bengkak di pipinya mengecut. Sakit giginya yang berdenyut-denyut juga tidak lagi mengganggu. Tidak pula Imam Labim mengagak sama ada ubat yang diambilnya di hospital atau doa Ucu Mahali yang menyembuhkan. "Semuanya kuasa Allah, Imam," tersengih-sengih Ucu Mahali ingatkan dia, apabila Imam Labim ungkit mengenai kesudian Ucu Mahali jejak kaki ke rumahnya menjengah dia mengidap bengkak pipi berminggu-minggu. Dia juga percaya kuasa Allah yang menyembuhkan apa jua penyakit, tetapi manusia wajib berikhtiar mendapatkan ubat. Cara mana ubat itu diperolehi tidak penting sangat, asal sahaja ikhlas mendapatkan di mana-mana.

Sebab itu Ucu Mahali tidak mengelak sangat tatkala dijemput oleh Kiman ke Kuala Lumpur dalam saat dia baru sahaja selesai menebas di kebun. Keletihannya akibat tidak cukup berehat sejak pagi lagi menoreh getah, kemudian menebas di kebun pisang di sebelah petang, cuba disembunyikan oleh Ucu Mahali. Selesai sahaja solat Maghrib, tidak bertangguh dia mengajak Kak Banun masuk sama ke kereta Kiman. Sewaktu turun dari rumah memang Ucu Mahali tidak mengunci mangga rumah. Dia sekadar gantungkan sahaja mangga itu di pintu seolah-olah rumahnya terkunci rapat. Sudah menjadi amalan Ucu Mahali tidak akan mengunci rumahnya apabila dia berjalan ke mana-mana. Biarlah rumahnya digantungkan mangga sahaja dengan tidak dikunci apa-apa. Tahu sangat Kak Banun petua suaminya apabila keluar rumah dengan tidak menguncikan mangga. Kadangkala sampai berhari-hari dia meninggalkan rumah, Ucu Mahali tidak bimbang apa-apa pun mengenai keadaan rumahnya. "Tak masuk pencuri ke, Ucu?" sengaja Mat Junoh menduga sebaik sahaja kereta bergerak meninggalkan kawasan rumah. "Ah, bukannya ada apa dalam rumah, kalau mereka nak curi pun," sahut Ucu Mahali tersengih-sengih lantas menyandarkan belakang kukuh-kukuh. "Kalau TV dilarikan orang, macam mana?" Kiman pula bertanya seolah-olah mengingatkan lelaki itu. "Kalau mereka nak ambil, dikunci pun mereka dapat pecahkan," tegas Ucu Mahali tidak bimbang apa-apa meninggalkan rumahnya dengan tidak berkunci.

Tetapi Kak Banun juga tahu mengenai keistimewaan suaminya meninggalkan rumah dengan tidak berkunci. Memang dia sendiri bimbang tatkala mula-mula berkahwin dengan Ucu Mahali yang sudah duda itu, apabila meninggalkan rumah dengan tidak berkunci langsung. Merungut juga Kak Banun disebabkan mahu menghadiri majlis kahwin sampai santak malam, sengaja Ucu Mahali tidak mengunci rumah. Mangga tergantung di pintu sekadar terlekat sahaja dengan tidak digunakan. Ketika balik dari kenduri majlis kahwin, tiba-tiba sahaja Kak Banun terkejut melihat dua orang pemuda tercangkung di dalam rumah seolah-olah tangan mereka diikat ke belakang. Sewaktu lampu dipasang dua orang pemuda itu terkebil-kebil mata meminta ampun. Dua orang pemuda itu sendiri mengaku mahu masuk mencuri ke dalam rumah, tetapi mereka dikejutkan oleh bayangan Ucu Mahali terlalu banyak di keliling rumah. Ke mana sahaja mereka berpaling bayangan Ucu Mahali tercegat di situ. Tidak sempat mereka melarikan diri, bayangan Ucu Mahali yang terlalu banyak menerkam ke arah mereka. Lantas sahaja tangan mereka diikat ke belakang. Di dalam gelap itu mereka melihat terlalu banyak bayangan Ucu Mahali tercegat di mana-mana. Hinggalah lampu dipasang dan mereka melihat sendiri Ucu Mahali baru sahaja balik bersama Kak Banun, dua orang pemuda itu menyedari sia-sia sahaja menyusup masuk ke rumah itu semasa Ucu Mahali tidak ada di rumah. Tetapi Ucu Mahali sekadar memberitahu dua orang pemuda itu ketakutan sahaja sehingga melihat bayangannya tercegat di mana-mana, bukan disebabkan melhat bayangan dia di tengah rumah. Sekalipun Kak Banun beritahu mengenai kejadian itu, namun Ucu Mahali tetap merahsiakan juga daripada Kiman.

Hampir jam 11.00 malam mereka sampai di rumah Kiman, terasa lapar juga Ucu Mahali disebabkan belum menjamah nasi sewaktu turun meninggalkan rumah. Memang Kiman mahu berhenti juga di gerai makan sewaktu dalam perjalanan, tetapi tidak ada gerai makan di sepanjang jalan. Apabila masuk ke Kuala Lumpur, Ucu Mahali sendiri cadangkan biar terus sahaja ke rumah Kiman. Apalah gunanya makan di gerai makan di Kuala Lumpur kalau sudah sampai di rumah Kiman. Lebih baik mereka makan sahaja di rumah Kiman. Tentu Seridah sudah bersiap-siap menyediakan hidangan disebabkan dia tahu Kiman ke felda menjemput Ucu Mahali. Alangkah membazirnya Seridah menyediakan hidangan, kalau mereka semua makan di gerai sebelum jejak kaki di rumah! Sewaktu menghadapi hidangan di meja makan, memang Ucu Mahali tidak bercakap apa-apa. Mat Junoh sudah mengagak tentu Ucu Mahali terlalu letih kerana tidak sempat berehat ketika Kiman datang menjemput. Tetapi Kak Banun tetap galak berbual dengan Seridah sewaktu menyediakan hidangan di dapur. Kalau Ucu Mahali keletihan tentu Kak Banun juga keletihan akibat sama-sama menebas di kebun pisang hingga santak senja. Tetapi Kiman melihat Kak Banun masih segar berbual.

Tidak bercakap apa-apa. Ucu Mahali terus sahaja solat Isya' selepas selesai makan. Kemudian dia menyuruh padamkan sahaja lampu di tengah rumah dengan membiarkan lampu di luar sahaja terpasang. Dalam masa setengah jam sahaja Ucu Mahali tercongok di penjuru rumah dengan melenggok-lenggok kepala, tiba-tiba dia mendongakkan kepala dengan keadaan geli-geleman. "Semua tentera Islam sahaja datang, yang lain tak mahu!" Ucu Mahali menuding tangannya ke siling. Ketika ini mereka semua terdiam melihat Ucu Mahali tercongok di penjuru rumah. Tubuhnya semakin galak melenggok-lenggok seolah-olah tidak lagi lesu akibat keletihan bekerja sepanjang hari. Dia semakin gagah merapatkan sila dengan membacakan: Wa-in yamsaskallahu bidhurin kasyifa lahu illahhuwa wa-in yuridka bkharin fala radda lifadhlihi, yusibu bihi man yasya-u min 'ibadihi wahuwal ghafurrur rahim. Serentak dengan ini terlalu banyak rama-rama hitam berterbangan di tengah rumah, menyebabkan Kiman segera memasang kipas angin. Rama-rama hitam itu tertampan ke dinding apakala kipas angin berputar ligat hingga berserakan ke lantai. Tiba-tiba pula Ucu Mahali terjeluih, menyebabkan dia berlari ke dapur. Lantas sahaja dia muntah ke dalam sink dengan tidak bersebab. Sampai merah muka Ucu Mahali menahan loya tekak hingga perut memual-mual termuntah tidak tertahan.

"Hah, kenapa Ucu?" gementar juga Mat Junoh dengan keadaan Ucu Mahali yang termuntah-muntah menahan loya tekak. "Abang Junoh cuba tengok di bilik tidur Encik Kiman ni," ujar Ucu Mahali mengurut-ngurut dadanya setelah dapat bertenang semula lantas duduk bersila rapat. Tidak bertangguh Mat Junoh mengajak Kiman naik ke bilik tidur di tingkat atas. Sebaik sahaja pintu bilik terbuka, Kiman dengan Mat Junoh beristighfar beberapa kali apakala melihat bersepah-sepah tulang kaki manusia di atas karpet. "His, mana datangnya Abang Junoh?" Kiman tidak jadi melangkah masuk ke dalam bilik. "Entahlah Encik Kiman," keluh Mat Junoh terasa seram sejuk hingga bulu roma tegak meremang. "Mari kita panggil Ucu naik," lantas dia menarik bahu kanan Kiman mengajak turun semula ke tingkat bawah.

"Ada nampak apa-apa Abang Junoh?" segera Ucu Mahali bertanya sebaik sahaja Mat Junoh dan Kiman bergegas-gegas turun. Mat Junoh tidak menyahut. Dia segera menarik tangan Ucu Mahali supaya naik ke tingkat atas. Terpaksa Ucu Mahali ikut naik sama setelah digesa oleh Kiman. Ketika ini dua orang anak Kiman di biliknya juga terjerit memanggil emaknya kerana terkejut dengan tulang kaki manusia berselerak di bilik tidurnya. Termengah-mengah pula Seridah dan Kak Banun berkejar naik ke bilik tidur anaknya. Memang mereka terkejut melihat tulang kaki manusia berselerak dengan bau busuk yang menusuk-nusuk. "Semua tentera Islam masuk, buangkan apa sahaja sihir dalam runah ni!" seru Ucu Mahali dengan berlegar-legar di sekeliling bilik tidur Kiman. Kemudian dia menyuruh memadamkan semua lampu di dalam rumah dengan membiarkan lampu di luar sahaja terpasang di garaj kereta. Sedikit demi sedikit bau busuk yang menusuk-nusuk ke hidung hilang. Ketika ini mereka mendengar Ucu Mahali berzikir dengan: Ya zaljalali wal ikram, hingga suaranya bertukar menjadi parau macam tersedak akibat sendawa. Setelah bau busuk itu hilang barulah Ucu Mahali benarkan memasang lampu di dalam bilik tidur.

Ketika ini mereka melihat tidak ada lagi tulang-tulang kaki manusia berselerak di atas karpet. Tidak bertangguh pula Ucu Mahali mengajak turun semula ke tingkat bawah. Dua orang anak Kiman juga turun ke tingkat bawah disebabkan tidak berani lagi masuk semula ke dalam bilik tidur mereka. Memang tidak pernah mereka mengalami kejadian demikian, apalagi baru sahaja balik dari belajar di luar negeri. Apabila turun ke ruang tamu, mereka tidak melihat lagi bangkai rama-rama hitam yang berselerak banyak di atas karpet. Kalau mahu dikatakan rama-rama hitam mati setelah tertampan ke dinding akibat ditolak kipas angin berputar ligat, tentu kepaknya bertaburan di mana-mana. Seridah akan sapu juga bangkai rama-rama hitam kalau masih berselerak di atas lantai. Tetapi kesan bangkai rama-rama hitam yang banyak berselerak sebelum itu tidak kelihatan di mana pun. Macam tidak percaya pula dia dengan apa yang dilihatnya. Masakan Ucu Mahali sengaja gunakan silap mata dalam saat demikian. "Kalau sakit, cukuplah berubat," ujar Ucu Mahali setelah suasana reda. "Perkara dari mana puncanya penyakit tu, tak perlu kita ingatkan sangat," dia mengingatkan lantas menyuruh Kiman sediakan garam dan lada hitam.

Disebabkan tidak sempat mahu mencari garam kasar dan lada hitam ketika hampir jam 12.00 tengah malam, Ucu Mahali sekadar memberikan petua supaya dua jenis bahan itu digaulkan sahaja. Kemudian Kiman boleh bacakan sendiri Ayatul Kursi sebanyak 313 kali selepas solat Maghrib. Dia menyuruh Kiman serakkan garam kasar  digaul lada hitam itu di sekeliling rumah. Tidak perlu lagi Kiman terburu-buru mendapatkan Ucu Mahali, kalau bacaan Ayatul Kursi itu diamalkan sepanjang masa. Apalah salahnya bacakan Ayatul Kursi itu sampai 313 kali setiap kali mahu masuk tidur, ataupun bangun tengah malam dirikan solat Tahajud. Tetapi Kiman sendiri bukan ambil peduli sangat mengenai solat Tahajud. Malah solat lima waktu juga seringkali tertinggal disebabkan banyak urusan di pejabat. Berkali-kali juga Seridah mendesak supaya tidak lupakan solat, tetapi Kiman sendiri banyak berdalih. "Dah jadi perkara macam ni, baru nak ingat Allah," sengaja Seridah menyindir tatkala mereka berdua datang ke rumah saya, disebabkan menemui isteri saya. "Bukan macam tu," sahut Kiman terkilan dengan tuduhan isterinya itu. "Tapi solat ni bukannya nak menunjuk-nunjuk pada orang, solat tu satu tanggungjawab kita," katanya mengingatkan Seridah.

Sudah lama juga isteri saya tidak bertemu dengan anak saudaranya itu, semenjak Seridah berpindah ke Kuala Lumpur. Apalagi Kiman sudah membeli rumah di sana, tentulah tidak ada masa lapang. Kadangkala bersua semasa menyambut Hari Raya sahaja, itu pun kebetulan terserempak di masjid. Kalau mahu jejak kaki ke rumah semata-mata mahu bersua, memang sukar mahu dirancang. Kadangkala mereka pula terkilan mahu jejak kaki ke rumah apabila saya jarang di rumah. "Ustaz ni bukannya lekat di rumah," isteri saya pula mengusik apabila diberitahu oleh Kiman sudah beberapa kali menghubungi dengan telefon. Kalau tidak didesak oleh Ucu Mahali memang Kiman serba salah juga mahu berkunjung ke rumah saya. Tetapi Ucu Mahali desak juga sekiranya keadaan  di rumah mereka masih juga diganggu. Memang semenjak amalkan Ayatul Kursi itu, Seridah terasa sakit kepalanya tidak lagi mengganggu, tetapi sekali-sekala bau busuk itu meruap-ruap juga tatkala tengah malam. Sekalipun mereka ada hubungan keluarga dengan isteri saya, tetapi jarang bertemu untuk mengeratkan tali persaudaraan. Lagipun Seridah sendiri malu berkunjung disebabkan sikap suaminya yang tidak gemar ke masjid. Bimbang juga dia sekiranya diingatkan oleh isteri saya demikian, apabila bersua muka.

"Banyak saya belajar dari ustaz ni," beritahu Ucu Mahali semasa dibawa berkunjung ke rumah saya oleh Kiman. "Bolehlah dikatakan guru saya juga," tersengih-sengih dia memeluk leher saya. Serba salah juga saya dengan pengakuan Ucu Mahali itu. Tidak pernah pula saya memberikan petua pengubatan kepadanya, kerana saya tidak tahu menahu langsung mengenai perubatan cara mana pun. Apa yang saya lakukan sekadar berdoa sahaja dengan menyerah diri semata-mata kerana Allah. "Jalan sama, cuma caranya berlainan," segera Ucu Mahali menjelaskan apabila disedarinya saya dalam keadaan serba salah.  Memang gementar juga hati saya apabila orang seperti Ucu Mahali yang banyak pengalaman itu tiba-tiba sahaja mengakui saya menjadi gurunya. Lainlah kalau saya yang berguru kepadanya, sekalipun usia saya memang lebih tua daripadanya.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®