18 Mei, 2015

UNITV - portal berasaskan web untuk pelajar dan pendidik dilancar

Satu platform komunikasi digital dikenali sebagai UNITV, yang menggunakan video, audio dan bahan cetak meliputi kandungan pendidikan dan fiksyen, akan dibangunkan secara berterusan untuk memberi manfaat kepada pelajar universiti, pendidik serta orang ramai, yang berpotensi mencapai hingga enam juta pengguna.

UNITV, yang dibangunkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan syarikat penerbitan OrangeTree Production, disasarkan menjadi pusat sehenti bagi pengguna untuk mengakses dan berkongsi bahan, pengetahuan serta maklumat.

"Impak daripada kewujudan UNITV ialah terhasilnya satu platform dinamik untuk para belia kita," kata Naib Canselor UUM Datuk Wira Dr Mohamed Mustafa Ishak dalam kenyataan dikeluarkan selepas pelancaran UNITV dan upacara memeterai meorandum persefahaman (MoU) antara UUM dan OrangeTree di Sintok pada Jumaat.

Projek UNITV ini akan mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk disiapkan.

Dr Mohamed Mustafa berkata UNITV menyediakan akses mudah untuk pelajar kepada rakaman tutorial, kegiatan memuat naik dan memuat turun tugasan serta dokumentari dan mendokumentasikan bahan pendidikan, di samping penstriman program motivasi.

Mereka juga akan mempunyai akses kepada drama dan program realiti serta boleh menonton forum, menulis blog dan memuat naik video yang memberi kesan positif terhadap masyarakat.

Pada majlis memeterai MoU itu, UUM diwakili Dr Mohamed Mustafa, manakala OrangeTree oleh penerbitnya, Datuk Jaspal Singh, dengan disaksikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Asma Ismail.

"Ia mencerminkan pengiktirafan dan kesedaran kami mengenai keperluan mereka serta hasrat kami untuk mempelawa mereka mengambil bahagian, mengamalkan dan menerima hakikat mengenai kepelbagaian mereka, di samping menonjolkan keunikannya serta nilai yang wujud dalam budaya kita, sambil menghormati perbezaan dan memupuk kesaksamaan untuk semua," kata Jaspal.

Beliau berkata, oleh kerana bahan yang disiarkan dalam laman sesawang itu adalah berbentuk pendidikan dan fiksyen yang berkaitan dengan hal ehwal semasa, maka manfaatnya adalah tidak terbatas. - BERNAMA
Copyright © dunia rasasayang ®