KUALA LUMPUR: Pencapaian golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) harus dikagumi dan diteladani seluruh rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata ramai daripada golongan itu telah membuktikan kemampuan masing-masing di sebalik cabaran fizikal dan mental yang dihadapi setiap hari.
-klik butang papar untuk meneruskan bacaan-
Dalam entri terbarunya di laman Facebook sempena sambutan Hari Orang Kelainan Upaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini Najib berkata, "Pencapaian dan ketabahan hati anda harus dikagumi dan diteladani oleh semua rakyat Malaysia termasuk saya sendiri.
"Sebagai contoh, kejayaan atlet elit Paralimpik negara Hasihin Sanawi dan Muhamad Ziyad Zolkefli yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa pada temasya Sukan Paralimpik 2012 baru-baru ini, jelas membuktikan yang golongan OKU mampu melakukan apa sahaja dengan cemerlang sekiranya diberi peluang," katanya.
Sambil meminta golongan OKU tidak merasa terasing dalam masyarakat, Najib berkata mereka harus terus diberi peluang untuk sama-sama terlibat dalam pembangunan negara dan masyarakat madani.
Bagi tujuan tersebut, Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa mengambil berat akan kebajikan golongan OKU termasuk menyediakan peluang pekerjaan serta mempermudah cara hidup mereka terutama dari aspek pengangkutan dan kemudahan-kemudahan lain.
"Saya harap, bersempena dengan Hari Orang Kelainan Upaya ini, kita yang dikurniakan sifat fizikal dan mental yang sempurna dapat memberi pengiktirafan sewajarnya kepada golongan OKU sebagai penyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat," katanya.