26 Ogos, 2008

Pelangi petang siri 08

Tamat alam persekolahan, aku mula resah menanti keputusan SPM. Setiap hari aku berdoa agar dianugerahkan keputusan yang baik.
Namun jauh disudut hati aku menaruh harapan dan keyakinan yang tinggi yang aku akan dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Mendengar cakap-cakap rakan, perbelanjaan ke universiti menelan belanja yang besar. Maklumlah, pendapatan keluargaku tidaklah sebesar mana. Keluargaku bukan keluarga kaya yang dapat menyediakan segalanya apa yang aku mahukan. Aku mengambil keputusan untuk bekerja di kilang berhampiran rumahku. Sekali lagi timbul masalah kerana aku kurang nampak dan Siapakah yang mahu ambil aku bekerja dan apakah kerja yang aku akan buat bersesuaian dengan kecacatanku.






Mujurlah pengurus di kilang itu merupakan kenalan rapat kakakku yang juga turut bekerja di situ. Maka pada sekitar penghujung tahun 1996 aku telah bekerja di kilang itu yang memberikan gaji RM380 sebulan.

Aku bukan mahu bermewah mewahan dengan duit gaji itu tetapi aku ingin mengumpul wang itu untuk permulaan masuk ke universiti kelak. Aku bekerja sebagai seorang penjaga stor. Kerjaku membersihkan barang-barang stor dan membuat akaun mudah keluar masuk barang stor ke dalam bahagian operasi kilang. Aku bekerja di bawah seorang pekerja berbangsa india yang bernama Encik Siva.

Pada permulaannya dia kelihatan tidak menyukaiku kerana aku akan memberi beban kerana keadaan mataku yang tidak nampak. Aku selalu disuruh membuat kerja mudah seperti membersihkan barang dan menyapu sampah di stor itu.

Aku terkadang terasa terhina dan ingin berhenti kerja, tetapi mengenangkan manalah datangnya duit jika aku tidak bekerja kelak. Hancurlah harapanku untuk masuk ke universiti nanti. Tidak seperti hari ini, pinjaman di mana-mana dan sumbangan pelajar cemerlang terlalu banyak.

Aku kuatkan hati dan selalu cuba untuk berborak dengan En Siva. Aku menceritakan sedikit demi sedikit khisahku. Bukan menarik simpati ttetapi cuba untuk memahamkan Encik Siva agar lebih memahami kesulitanku.

Duit yang ku terima aku kumpulkan dan tidak mengusiknya. Aku membawa bekal ke tempat kerjaku agar aku dapat menjimatkan wang perbelanjaanku. Di sana aku mempunyai rakan karib yang tinggal berhampiran dengan rumahku yang bernama Sahrul Hisyam. Kami selalu ke tempat kerja bersama-sama menaiki bas kilang.

Empat bulan berlalu dan keputusan SPM pun di umumkan. Pada hari itu aku bekerja di kilang seperti biasa dan aku tahu rakan-rakanku yang lain telah berkumpul di sekolah untuk mengambil keputusan masing-masing. Aku tidak bercuti hari itu dan berdebar menanti keputusan peperiksaanku.

Pada waktu rehat kilang aku dengan pantas menuju ke pondok telefon untuk menelefon Cikgu Rahayu yang merupakan “kakak angkatku” yang tlah banyak memberi dorongan dan bimbingan kepadaku.

“Hallo, assalamualaikum cikgu” kataku memulakan bicara

“waalaikumusalam,siapa ni” jawab cikgu Rahayu. Waktu itu manalah ada telefon bimbit dan kemajuan teknologi telefon bimbit tidaklah secanggih hari ini.

“Saya Azhar, saya di kilang ni. Macam mana keputusan SPM saya cikgu?” tanyaku dengan penuh debaran.

“kamu dapat pangkat dua” jawab cikgu Rahayu selamba

“Betulkah cikgu, berapa agregat saya dapat cikgu?” tanyaku lagi ingin kepastian.

“pangkat dua dengan agregat 26” jawab cikgu Rahayu lagi.

“Rakan-rakan yang lain macam ana, siapa dapat best student?” tanyaku tidak berpuas hati dengan keputusanku. Aku mula sebak dan ingin mengalirkan air mata kerana aku tidak dapat keputusan yang aku idamkan.

“Best student dapat kepada Zairina dengan 11 agregat dan rakan kamu yang lain ok belaka” jawab cikgu Rahayu.

“Tak apalah, dah nasib saya cikgu” lontaraku lemah.

“Azhar, tahniah..kamu dapat 13 agregat pangkat satu. Cikgu saja nak tengok reaksi kamu!!” teriak cikgu Rahayu dihujung corong telefon. Sebak serta merta bercampur kesyukuran yang tidak terhingga singgah dihatiku……

bersambung.....

Copyright © dunia rasasayang ®