USUNGAN MAYAT DI TENGAH MALAM
Ketika ini usungan mayat itu sahaja bergerak seolah-olah dipikul oleh orang ke merata-rata tempat. Cepat-cepat usin pakau bersembunyi di tengah belukar di bawah pokok jejawi sebaik saja usungan mayat itu bergerak semula menuju ke tengah kampung. Tentu siapa pun tuduh dia berbohong sekiranya diberitahu mengenai usungan mayat merayau-rayau tidak menentu.
Bukan usin pakau saja pernah terserempak, utih deraoh juga tergamam tatkala balik memasang lukah disungai apabila melihat usungan mayat jauh dihadapan nya. Segera disuluh dengan nya dengan lampu ubat sambung enam hingga memancar terang benderang. Memang dia melihat beberapa orang lelaki tidak berkepala mengusung usungan mayat itu dengan tidak menghiraukan dia menyuluh dibelakang.
Berdebar benar hati utih deraoh apabila terserempak kejadian tersebut. Kalau dia melaung memanggil lelaki-lelaki tidak berkepala itu, manalah tahu usungan mayat itu akan memburunya. Tentu dia akan berlari keliling kampung mahu menyelamatkan diri. Bila-bila dia akan terperosok ke dalam usungan mayat sekiranya tidak dapat bersembunyi tatkala diserbu usungan mayat.
Memang malim tekih juga terserempak usungan mayat berkenaan melintasi halaman rumahnya hingga berbau busuk. Sebaik saja terdengar bunyi tapak kaki melintasi halaman rumah, segera malim tekih membuka pintu hadapan. Tatkala pintu terbuka dia nampak usungan mayat itu diusung cepat oleh beberapa orang lelaki tidak berkepala.
“ His, kamu setan nak menakut-nakutkan aku”, lantas malim tekih melompat ke tanah mahu menghambat, tetapi segera ditegah oleh anaknya mat kanun.
“ Jangan terburu-buru ayah”, bisik mat kanun mengingatkan ayahnya mengenai bayangan yang mereka lihat bukanlah perkara yang boleh dicekak macam menangkap keli didalam lubang.
“ Aku nak tahu setan punya permainan”, gerutu malim tekih menggertap bibir apabila kenang dirinya seolah-olah diperolok-olokkan.
“ Ilmu setan terbatas, tapi ilmu manusia meliputi tujuh petala bumi dan tujuh petala langit”, beritahu mat kanun tersengih-sengih memujuk ayahnya.
“ Tapi kau bimbang manusia akan terpengaruh”, ujar malim tekih setelah seisi kampung semakin bimbang dengan jelmaan usungan mayat merayau-rayau tatkala malam menjelang.
Dia diberitahu usin pakau sudah bersiap-siap membuat ancak untuk menjamu puaka di batu bertimpuh di pinggir hutan. Usin pakau ingatkan orang-orang kampung, mengenai batu bertimpuh yang tersergam di alur air di kaki bukit seolah-olah gadis tengah duduk bertimpuh.
Tentu puaka batu bertimpuh itu menjadi berang setelah tidak diberi makan ancak semenjak kematian pawang lamid. Satu-satunya yang tahu mengenai memberi makan ancak di tepi batu bertimpuh itu memang pawang lamid yang sudah ditugaskan menjaganya sejak bertahun-tahun.
Pawang lamid tahu mengenai asal-usul batu bertimpuh yang tersergam pada alur anak air berkenaan. Sebab itu dia desak orang-orang kampung berjamu ancak dengan menyediakan ayam panggang mentah seekor, telur rebus tujuh bij, bertih tujuh piring, darah sembelihan ayam satu tempurung dan pulut kuning tiga piring.
Setiap tahun pawang lamid akan menjamu ancak biar puaka di batu berkenaan tidak menganggu penduduk. Mereka akan dililit lengan dengan kain kuning sebagai tanda dibawah perlindungan pawang lamid biar puaka batu bertimpuh itu surut kebelakang. Sudah tentu puaka berkenaan akan gementar sebaik saja melihat kain kuning yang ditangkal pawang lamid terikat pada lengan.
Lain lah kalau puaka itu tidak dijamu ancak, memang menjadi kesalahan pawang lamid. Tetapi setelah dijamu ancak puaka tersebut tidak boleh lagi menganggu mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh moyang labang. Memang moyang labang akan memarahi pawang lamid sekiranya tidak berjamu ancak biar puaka dibatu bertimpuh itu tidak menganggu sesiapa.
Setelah bertahun-tahun pawang lamid meninggal dunia, tiada siapa pun yang berjamu ancak. Sebab itu usin pakau bersetuju buat jamu ancak asal saja jelmaan orang tidak berkepala mengusung usungan mayat di tengah kampung tidak menganggu sesiapa. Tentu usin pakau bertanggungjawab meneruskan usaha arwah datuknya pawang lamid menjaga puaka yang berkeliaran.
Di batu bertimpuh itu pawang lamid menghambat siapa saja puaka yang mengganggu biar sendang dikawal. Apabila dikurung disitu semua puaka akan dijamu ancak setiap tahun. Demikian syarat yang ditetapkan oleh moyang labang apabila pawang lamid menyeru tercegat disisinya.
Ketika jembalang tanah merasuk anjang tiamah, memang pawang lamid melihat perempuan hodoh dengan tubuh memanjang laksana ular melingkar disisinya. Kalau berkeras dia menyambar anjang tiamah sudah tentu jembalang tanah akan mencerut kuat sampai sesak nafas.
Sebab itu pawang lamid sediakan jamu ancak pada batu bertimpuh, biar jembalang tanah menjalar bagaikan ular mencari mangsa. Sebaik saja jembalang tanah menjamah jamu ancak nescaya ia terkurung disitu dengan dikawal ketat oleh moyang labang. Cubalah jembalang tanah melawan setelah diberi jamu ancak, Bila-bila tubuhnya akan disiat moyang labang laksana helang mencengkam tengkuk ayam.
“ Tak perlu berjamu ancak, abang usin”, lantas mat kanun mengingatkan sepupunya supaya tidak mematuhi peraturan arwah datuk mereka pawang lamid mahu berjamu ancak apabila kampung di landa mala petaka.
“ Ayah kamu malim tekih pun nampak usungan mayat itu”, jelas usin pakau merasa tersinggung apabila dibantah oleh mat kanun.
“ Perkara usungan mayat tak sama dengan berjamu ancak”, sahut mat kanun mencebek bibir macam mengejek sepupunya itu.
“ Kalau begitu terpulang pada kamu”, gerutu usin pakau bagaikan merajuk dengan keputusan mat kanun tidak mahu berjamu ancak.
Sekiranya orang-orang kampung berterusan gembar dengan jelmaan usungan mayat merayau-rayau di dalam kampung, dia tidak bertanggung jawab apa-apa. Biar lah seisi kampung menyalahkan mat kanun kerana membantah keputusan dia. Apa lah salahnya mereka berjamu ancak hantarkan seekor ayam panggang mentah, tujuh piring bertih, tiga piring pulut kuning, tujuh biji telur rebus dan satu tempurung darah ayam.
Setelah dijamu ancak sudah tentu jelmaan usungan mayat lelaki tidak berkepala itu tidak menganggu lagi. Mereka tidak terserempak tatkala berjalan malam hingga termengah-mengah ketakutan. Apa lagi kalau balik dari surau selepas isya sudah tentu bertambah kecut perut tidak menentu.
Tetapi mat kanun tidak mahu mengalah. Semenjak balik mengaji pondok dari tanah seberang, mat kanun mengingatkan orang-orang kampung supaya tidak meneruskan ketetapan arwah datuknya supaya berjamu ancak pada batu bertimpuh. Biarlah seisi kampung banyak terhutan budi pada arwah datunya sampai mematuhi segala ketetapan yang dibuat nya sebelum itu.
Asal saja ribut kencang menyerbu ke tengah kampung mereka diingatkan supaya segera membakar lada kering bersama garam. Pawang lamid sudah menetapkan pengikutnya biar mematuhi peraturan demikian kerana ribut kencang yang menyerbu memang bersama hantu tinggi yang dijaga oleh moyang labang.
Sekaligus sahaja ribut kencang berhenti sebaik mereka membakar lada kering dan garam. Siapa pun tidak mematuhi tetapan demikian sudah tentu diganggu hantu tinggi sampai terjeluih muntah lumut. Mangsa akan menggelepar laksana ayam disembelih terus terkejang mati akibat dilangkah hantu tinggi disebabkan tidak memberi isyarat dengan membakar lada kering dan garam itu.
Sekiranya lada kering dan garam dibakar serentak nescaya hantu tinggi itu menyedari rumah berkenaan kepunyaan anak cucu moyang labang. Sampai bila pun hantu tinggi tidak akan mengganggu anak cucu moyang labang setelah bersahabat sejak bertahun-tahun.
Memang pawang lamid mengakui neneknya moyang labang bersahabat dengan hantu tinggi, hingga kadangkala orang-orang kampung melihat dia berdiri sampai kepala cecah ke awan. Tidak ada satu puaka pun berani mengganggu moyang labang setelah dia bersahabat dengan hantu tinggi.
“ Perkara yang ghaib tak sama dengan yang nyata”, tutur usin pakau masih terkilan disebabkan mat kanun tidak bersetuju amalan arwah datunya diteruskan oleh sesiapa pun.
Manalah mat kanun tahu mengenai arwah datunya pawang lamid mengangkat pokok kelapa tumbang menimpa rumah hasan debeng, disebabkan mat kanun lama mengajar mengaji pondok di tanah seberang. Kalau tidak diangkat batang kelapa tumbang itu oleh pawang lamid sudah tentu mereka didalam rumah ditindih habis.
Tatkala ribut kencang tiba-tiba sahaja pokok kelapa terbongkar akar menimpa rumah hasan debeng. Bumbung rumah patah tetapi pokok kelapa berkenaan masih lagi tertampan disitu. Dalam masa angin kencang bertiup kuat hasam debeng sekeluarga tidak berani keluar dari rumah. Kalau terus bertahan didalam rumah nescaya pokok kelapa tumbuh akan menindih sekiranya bumbung tidak boleh lagi bertahan.
Ketika ini hasan debeng nampak pawang lamid terjun dari rumah nya terus mengangkat pokok kelapa tumbang laksana mencekak tiang pagar buluh sedepa tercancang. Mudah saja diheretnya batang kelapa, malah kerbau tengah naik minyak juga menggelepar apabila dicekak tanduknya oleh pawang lamid.
Memang mat kanun tidak banyak mengetahui mengenai arwah datuknya pawang lamid kalau dibandingkan dengan sepupunya usin pakau. Lagi pun mat kanun tidak lah rapat sangat dengan arwah datuknya setelah dihantar ayahnya malim tekih belajar agama ditanah seberang sejak umur belasan lagi. Tatkala arwah datunya menutup mata pun memang mat kanun tidak dapat menatap sama.
Tetapi sebelum meninggalkan kampung halaman untuk belajar pondok di tanah seberang, memang mat kanun terserempak datuknya pawang lamid diserbu jaaman gila dengan parang terhunus. Tiba-tiba saja jaaman gila terlepas pasungan terus mencapai parang yang terselit di dinding.
Lantas jiran-jiran memekin memberitahu supaya sesiapa saja mencari perlindungan setelah jaaman gila mengamuk. Siapa lagi boleh diharap memujuk jaaman gila kalau bukan pawang lamid yang merawatnya sejak beberapa tahun. Tidak pernah jaaman gila menjadi berang hingga mengamuk mahu memangkas mangsa.
Mereka tahu jaaman gila terlanggar pantang setelah pawang lamid berjamu ancak pada batu bertimpuh. Tiga hari berturut-turut tidak dibernarkan menjamah makanan berdarah sebaik saja pawang lamid menjamu ancak. Tetapi jaaman gila berdegil juga mendesak isterinya memasak gulai semilang asam pedas.
Menyiang ikan semilang sama juga dengan melapah daging memercik darah. Hanyir darah sudah dipantangkan oleh pawang lamid setelah berjamu ancak selama tiga hari berturut-turut. Apa salahnya setakat menjamah sayur mayur saja dalam tempoh tiga hari yang dipantangkan oleh pawang hamid.
Tetapi jaaman gila seolah-olah mahu menguji pantang larang yang ditetapkan oleh pawang lamid. Tidak lama selepas menjamah masak ikan semilang gulai asam pedas itulah jaaman gila mengidap sakit kepala berdenyut-denyut. Puas dipupuk pisang muda biar sejuk menyusup ke kepala, namun sakit berdenyut-denyut itu berterusan juga.
Sengaja jaaman gila mahu isterinya memberitahu pawang lamid, disebabkan sejak bertahun-tahun tidak pernah diharapkan lelaki itu membantu. Bukan pawang lamid saja dukun dikampung berkenaan hingga seisi kampung terlalu berharap pada lelaki tersebut.
Apabila sakit kepala menyerang, jaaman gila sendiri bacakan jampi serapah dan letakkan kapur pada daun sireh. Kemudian dia bacakan perlahan:Entak-entah ngat-ngat sarang buku buluh, daging jangan merengat urat jangan mengetak, tulang jangan luluh kabul, aku mengubat sakit kepala, berkat hu. . .
Setelah ditampalkan daun sireh bersama kapur pada kepalanya, jaaman gila terasa denyut kesakitan beransur hilang. Tetapi sakitnya akan berulang lagi setelah beberapa jam sahaja dia tidak mengalami sakit kepala. Hinggalah tengah malam tatkala dia merasa kepalanya bagaikan ditusuk pahat, barulah isterinya senah termengah-mengah berkejar ke rumah pawang lamid memberitahu keadaan suaminya.
Memang pawang lamid tidak berdendam apa-apa, sekali pun dia menyedari jaaman gila seringkali mengejeknya. Biarlah jaaman gila menuduh dia mematuhi perintah puaka, tetapi bukan mudah mahu menerangkan perkara yang tidak boleh dilihat mata kasar. Manalah jaaman gila tahu mengenai nenek moyang keturunannya moyang labah bersahabat dengan jelmaan puaka hantu tinggi itu.
Kalau jaaman gila tidak mahu menerima dia menjadi dukun di kampung berkenaan, pawang lamid tidak memaksa apa-apa. Dia juga tahu mengenai jaaman gila sudah kerap kali dijemput orang untuk mengubati sesiapa saja terkejang sakit. Asal saja diganggu pelesit mereka akan meminta bantuan jaamn gila, biar pelesit yang merasuk cepat-cepat berundur.
Cubalah pelesit merasuk penduduk kampung nescaya jaaman gila akan tenyeh dengan lada hitam sampai mangsa terjerit-jerit kesakitan. Mereka percaya ketika itu bukan mangsa yang dirasuk terjerit-jerit tetapi pelesit yang masuk terkial-kial mahu melepaskan diri. Apabila jaaman gila menghembuskan ubun-ubun mangsa lantas dia membacakan : Sonsang tapak songsang hati jantung engkau, patah sendi patah layang patah alih-alih, ambil besi petua akan pemarak hati jantung hempedu rawan engkau, datang engkau terlentang, pulang engkau tertangkup, jenjang lama engkau balik, berkat hu. . .
Sebaik sahaja asal usulnya diungkit nescaya pelesit tidak boleh bertahan. Malu sangat hantu puaka apabila asal usulnya diungkit menyebabkan ia cepat berundur melarikan diri. Tetapi selepas seisi kampung tertumpu pada jaaman gila, dia mula mengumpat pawang lamid.
Hingalah dia mengerang-ngerang sakit kepala tengah malam, pawang lamid datang juga menjengah setelah diberitahu senah. Terpaksa pawang lamid minta sediakan tujuh geluk air di bubuh bunga tujuh warna. Jaaman gila mesti diubat dengan menyeru moyang labang menjelma serta merta.
Memang pawang lamid tidak mampu memulihkan jaaman gila, hingga berterusan menjadi tidak siuman. Lama jaaman gila tidak siuman, tiba saja dia mengamuk sebaik sahaja terlepas pasungan. Dia mencapai parang didinding terus menyerbu menghambat mangsa yang melintas.
Mujur juga senah sempat memberitahu jiran-jiran supaya berlindung setelah jaaman gila mengamuk tidak ketahuan. Ketika inilah pawang lamid menghalang jaaman gila supaya campakkan parang ke tanah. Sebaik saja melihat kelibat pawang lamid tidak bertangguh jaaman gila menyerbu mahu memangkas pantas.
Tatkala jaaman gila mahu menetakkan mata parang dia tiba-tiba sahaja terkaku tidak boleh bergerak. Jaaman gila terketar-ketar dengan mata meliar bagaikan ketakutan tidak menentu. Masakan orang tidak siuman tahu mengalami ketakutan hingga tidak tertangguh membuangkan parang yang tergenggam di tangan.
Setelah dipujuk baik-baik oleh pawang lamid, barulah jaaman gila dapat ditenteramkan. Tahu sangat mat kanun mengenai keberanian arwah datuknya pawang lamid menghalan jaaman gila tengah mengamuk. Tetapi setelah dihantar oleh ayahnya belajar pondok ke tanah seberang, mat kanun sekadar diberitahu mengenai kematian datuknya.
“ Kalau arwah aki ada tentu tak ada mala petaka macam ni”, gerutu usin pakau disebabkan orang-orang bersetuju dengan keputusan mat kanun supaya tidak berjamu ancak.
“ Tahhukah kamu nak berjamu ancak?”, sengaja hasan debeng menguji keberanian anak saudara isterinya itu.
“ Kita cubalah dulu”, sahut usin pakau serba salah juga sekiranya seisi kampung desak dia buat berjamu ancak.
Bukan mudah berjamu ancak kalau sekadar mahu terikut-ikut sahaja. Perkara siapkan sedulang jambar perkakas ramuan ancak, tidak sama dengan menyeru jelmaan moyang labang. Manalah tahu yang menjelma didepan mereka bukan moyang labang tetapi puaka jembalang yang sengaja mencari kesempatan.
Sebab itu usin pakau tidak boleh beranikan hati mahu berjamu ancak kalau tidak memahami syarat dan petua aturan. Lainlah pawang lamid memang mahir mengenai jelmaan yang tercegat didepannya. Kalau bukan moyang labang yang menjelma nescaya akan diserbu pawang lamid hingga tengkuk puaka jembalang dicekak sampai tercungap-cungap.
Tahu sangat pawang lamid tidak satu pun puaka jembalang mampu bertahan sekiranya berdepan dengan manusia.
“ Ilmu setan terbatas”, tutur mat kanun ingat kan jiran-jiran nya supaya sama-sama solat hajat berjemaah disurau tatkala berdepan dengan mala petaka. “ Hanya allah yang maha berilmu, sebab itu kita berserah kepadanya”, perlahan dia harapkan mereka semua tidak terpengaruh dengan kejadian usungan mayat bergerak tengah malam itu.
“ Sebab itu kami jemput uztaz ke surau”, ujar malim tekih setelah seisi kampung berkumpul disurau.
terkejut juga saya apabila diberitahu malim tekih mengenai kejadian usungan mayat bergerak tengah malam, lantas menjemput saya ke surau mereka. Memang saya tidak menduga apa-apa semasa mat kanun meminta jengah ke kampungnya disebabkan lama sangat tidak bersua dengan malim tekih.
Apalagi semasa saya menetap dikampung mereka, memang keluarga malim tekih menjadi tempat saya bertumpu.
Seringkali juga malim tekih beritahu saya mengenai anaknya mat kanun berlajar pondok di tanah seberang. Apabila mat kanun beritahu mengenai dirinya anak malim tekih tatkala menemui saya mengajak ke surau dikampungnya, terasa juga bangga dihati saya. Apa lagi keramahannya serta budi bahasa yang meruntun perasaan.
Sebaik sahaja diberitahu mengenai kejadian usungan mayat bergerak tengah malam mengganggu penduduk kampung, saya sendiri menjadi serba salah. Disebabkan mat kanun mengajak dirikan solat hajat berjemaah memohon dihindarkan mala petaka, memang saya bersetuju.
Siapa lagi boleh diharapkan apabila mala petaka demikian mengganggu?Seminggu selepas penduduk kampung buat solat hajat berjemaah, memang tidak pernah lagi mereka terserempak usungan mayat diusung beberapa orang lelaki tidak berkepala itu. Hinggalah sebulan berlalu baru hasan gebeng terserempak tatkala balik dari menjala ikan disungai.
Cepat-cepat dia bersembunyi menyusup di perdu belukar senduduk sebaik saja ternampak kelibat dari jauh usungan mayat itu diusung. Ketika usungan itu melintas didepannya tercium bau busuk menusuk ke hidung hingga terasa meloyakan tekak. Disebabkan gangguan itu berterusan juga, terpaksa malim tekih mendesak saya ikhtiarkan supaya jelmaan usungan mayat itu dapat diusir jauh.
“ Saya akan bersama dengan ustaz”, ujar mat kanun mencemik muka menahan perasaan kecewa dengan kejadian yang menimpa kampungnya.
“ Lebih baik mat yang mulakan, saya akan membantu”, sahut saya memberi jaminan mahu membantunya sekalipun belum diketahui lagi punca gangguan berkenaan.
Ketiak saya bangun solat sunat maghrib, tiba-tiba saja mat kanun tidak kelihatan di mana. Malim tekih juga tidak menyedari bila anaknya turun meninggalkan kami dia atas surau setelah sama-sama berjemaah maghrib.
Tetapi saya tidak pedulikan sangat kemana mat kanun menghilang, lantas saya membaca al-fatihah tiga kali diikuti dengan surah al-ikhlas, surah al-falaq dan surah an-nas. Tatkala saya merasakan diri saya melambung tinggi ke udara, sekaligus saya melihat mat kanun mengekori usungan mayat yang diusung beberapa orang lelaki tidak berkepala.
Tiga kali mat kanun hentakkan tumit ke tanah, tiba-tiba sahaja lelaki-lelaki berkenaan tersentak. Cepat-cepat mereka campakkan usungan mayat berkenaan, tetapi usungan mayat itu terapung-apung diudara tidak jatuh terhumban. Lantas mat kanun membacakan tiga kali : Wala tad'u ma'allahi illahan akhoro la-ilahi illa huwa kullu syai-in halikun illa wajhahu, lahulhukmu wa'ilaihi turja'un,
BERSAMBUNG KE TAJUK: JANDA BERSUAMI TUJUH