PUKUL CUCU UNTUK MATIKAN DATUK
Mat Joi menantunya yang tua duduk di hulu kepalanya mencecahkan air yang sudah dibacakan Yassin ke mulutnya. Tetapi mulutnya tidak bergerak-gerak lagi sekalipun Mat Joi menggunakan hujung daun sirih untuk menyudukan air ke mulut orang tua berkenaan. Lambat air yang tergenang di bibirnya itu masuk ke dalam mulut melalui rekahan bibirnya yang terbuka sedikit. "Emmm, susahnya dia nak pergi" keluh Mat Joi sambil menyudukan air yang didoakan dengan bacaan Yassin itu ke mulutnya menggunakan hujung daun sirih."Mengucap Tok" cucunya Tahrim membongkok membisikkan ke telinganya. "Ingatkan Allah, Allah... Allah, ingatkan Allah Tok" Tahrim membisikkan kuat sedikit. Tetapi Tok Sagak tetap terpejam tidak bergerak apa-apa. Nafasnya kencang turun naik tercungap-cungap. Dia tidak lagi mengerang-ngerang sakit seperti tiga hari sebelumnya. Tidak lagi menggeliat-geliat meminta picitkan betis, paha, lengan, kepala dan dada. Dia sudah nazak menunggu panggilan Ilahi pada saat yang ditetapkan. Memang siapa pun tidak mengetahui masa yang tidak diundurkan dan tidak didahulukan walau sesaat pun itu.
"Ingatkan Allah, Tok. Allah, Allah, Allah..." Tahrim tidak lekang bibir dari telinga datuknya. Dia berdoa biarlah datuknya sentiasa mengingati Allah dalam perjalanannya yang demikian. Tiga hari sebelumnya Tok Sagak mengerang-ngerang sakit di seluruh badannya. Kaki, betis, paha, lengan dan kepala semuanya berdenyut-denyut. Merintih-rintih dia minta dipicitkan. Anak-anak dan cucu-cucunya tidak lekang duduk menjaga disisinya bertukar ganti. Tahrim yang bertugas dengan askar pun diberitahu mengenai datuknya yang sakit, terpaksa balik tergesa-gesa. Tetapi Tahrim tidak dapat lagi bercakap-cakap dengan datuknya. Dia sampai di kampung Tok Sagak sudah sehari semalam tidak dapat bercakap lagi. Tubuhnya terkejang saja tidak bergerak-gerak. Hanya nafasnya saja kencang turun naik tercungap-cungap. Semua sanak saudaranya tahu Tahrim memang cucu kesayangan Tok Sagak. Sepanjang masa dia mengerang-ngerang tiga hari sebelumnya sempat juga dia menyebut nama Tahrim berulang kali.
"Cubalah panggilkan sesiapa yang tau" tiba-tiba saja Pak Sidi adik Tok Sagak bangun dari hujung serambi. Gelisah juga dia melihat keadaan abangnya yang tercungap-cungap nazak sejak tiga hari tiga malam. "Cuba-cuba bolehlah..." sahut Mat Joi mendongak ke pintu tengah memerhatikan Pak Sidi berjalan ke tengah rumah. "Di Kampung Hilir tu, Bilal tu...cuba-cubalah tanyakan..." ujarnya memberitahu mengenai ayah saya. "Haa, dia tu...anak Tok Aji" Pak Sidi lantas terangguk-angguk bersetuju dengan cadangan Mat Joi. Tidak bertangguh lagi dia menyuruh Tahrim ke Kampung Hilir menjemput ayah saya. Malam itu juga ayah saya ke rumah Tok Sagak. Ketika ayah saya sampai keadaan Tok Sagak masih tidak berubah, tetapi mulutnya sudah berbuih putih. Mungkin juga buih itu berpunca dari Surah Yassin yang tidak turun ke kerongkongnya.
"Dah baca Yassin?" soal ayah saya sebaik saja dia melepaskan lelah. "Sudah tiga malam berturut-turut, Bilal...." sahut Pak Sidi menghela nafas. "Cubalah Bilal tengok-tengokkan, di mana lagi silapnya" ujarnya tidak sabar lagi melihat keadaan abangnya yang tercungap-cungap. "Takat tengok-tengokkan, awak pun boleh tengokkan!" ujar ayah saya berjenaka. Memang sikap ayah saya suka berjenaka sekalipun dalam keadaan orang-orang disitu semuanya resah gelisah. "Ustaz, tak ada balik Tok Bilal?" tanya Mat Joi pula, kerana dia tahu anaknya Tahrim memang berkawan baik dengan saya. "Minggu ni tak balik pula..." beritahu ayah saya tersengih-sengih. Setelah duduk beberapa minit, barulah ayah saya merapati Tok Sagak yang sudah nazak itu. Dia membongkok melekapkan telinganya ke dada orang tua berkenaan sambil mulutnya terkumat-kamit membacakan: Allahhu yaptafilan-fusihina mautiha-wallati lamtamut-fimanamiha fayum-saqullati qadaalihalmaut, wayarsilauhra illa-ajalun masammim inna-fizalikaliayatun likulli-yatafaqarun...
Nafas Tok Sagak yang kencang mula beransur kendur, tetapi dia menghelanya panjang sambil menghembuskan pula satu-satu. "Siapa anak atau cucunya yang paling dia sayang?" soal ayah saya memerhati Pak Sidi. Menggeleng-geleng kepala Pak Sidi, kerana dia tidak dapat mempastikan siapakah di antara anak-anak atau cucu-cucunya yang menjadi kesayangan Tok Sagak. Sepanjang ingatan Pak Sidi semua cucu-cucu dan anak-anaknya mendapat kasih sayang yang sama dari Tok Sagak. "Selalunya kalau ada apa-apa hal hendak dicakapkannya..." kata anak perempuannya yang tua Ulung Mahawa, "Dia cakap pada Tahrim saja. Memang Tahrim pun yang rapat sangat dengan dia...!" ujarnya memuncungkan bibir pada anaknya Tahrim. "Kalau macam tu, Tahrim ke mari" ayah saya menggamitnya. Tahrim mendekati ayah saya dengan menginsut punggung. "Duduk disitu, dan letakkan mulut kau ke telinganya" ayah saya macam memberi perintah. Tahrim mengikut saja perintah ayah saya lantas duduk di sisi kepala datuknya membongkok meletakkan mulutnya ke telinga orang tua itu. "Ikut apa yang aku cakap" ayah saya menepuk bahunya. Tahrim mengangguk memberi isyarat sudah bersedia melakukan apa saja yang dikehendaki oleh ayah saya. "Atuk, pulanglah dulu. Segala yang tinggal ini terletak atas bahu aku..." kata ayah saya menyuruh Tahrim membisikkan ke telinga Tok Sagak. Tahrim membisikkan seperti yang diajarkan oleh ayah saya itu.
Beberapa saat Tok Sagak membuka matanya, tetapi kemudian dipejamkan semula. Nafasnya satu-satu memanjang membayangkan betapa payahnya dia mahu bernafas dalam keadaan demikian. Kepayahan inilah yang menyebabkan sanak-saudaranya tidak sanggup lagi membiarkan dia lebih lama menanggung penderitaan tersebut. "Sekarang, kau cium pusatnya" perintah ayah saya selanjutnya. Tahrim beredar dari sisi kepala datuknya menginsut punggung ke sebelah rusuk datuknya pula. Dia membongkok mengucup pusat datuknya sambil menunggu arahan ayah saya seterusnya. Tetapi ayah saya tidak menyuruh apa-apa lagi. Dia membiarkan Tahrim membongkok mencium pusat datuknya. Kemudian dia mengisar-ngisar tangannya membaca doa lantas dihembuskannya perlahan-lahan ke kepala Tahrim. Selepas itu dia bangun membuka ikat tali pinggangnya. Dengan tidak diduga oleh sesiapa pun ayah saya memukulkan tali pinggang itu ke belakang Tahrim. Dua kali ayah saya memukulnya sebagai isyarat saja, tiba-tiba saja Tok Sagak menghembuskan nafasnya yang terakhir.
"Alhamdulillah" ayah saya tersenyum setelah diberitahu mengenai Tok Sagak sudah pun menghembuskan nafasnya. "Kalau tidak sampai beratus kali pun kau kena tahanlah kena pukul Tahrim" katanya mengusik anak muda itu. Tahrim tersengih-sengih. Dia tahu ayah saya memang suka berjenaka. Dia tidak peduli sama ada suasana gembira atau suasana muram dia tetap suka berjenaka. "Kalau sampai pengsan kena pukul pun, atuk punya fasal tak apa Tok Bilal...." ujar Tahrim terharu. Dia tidak sedih lagi dengan kehilangan datuknya, tetapi terharu dengan kejadian yang dialami oleh datuknya itu. Sejak balik ke kampung setelah diberitahu mengenai datuknya sakit tenat, Tahrim sentiasa gelisah dengan keadaan orang tua itu. Dia sudah melakukan segala nasihat datuk saudaranya Pak Sidi, membukakan sekeping atap, sekeping lantai dan membuangkan anak tangga bongsu. Masing-masing mengagak tentulah Tok Sagak mengamalkan ilmu 'sangka bunuh' menyebabkan terlalu sukar baginya mahu menghembuskan nafas. Tetapi setelah dilakukan petua-petua menghapuskan ilmu 'sangka bunuh' dengan membukakan atap sekeping, lantai sekeping dan membuang anak tangga bongsu, ternyata Tok Sagak tidak mengamalkan ilmu tersebut. Dia terus nazak dengan mengharapkan pertolongan bagi melepaskan dirinya dari kepayahan tersebut. Setelah Tok Sagak meninggal dunia jenazahnya dibujurkan sementara menunggu hari siang. Ayah saya pun balik ke rumah selepas tugasnya disitu selesai. Semasa ayah saya sampai di rumah, saya sudah pun balik ke kampung. Dia terus memberitahu saya mengenai kematian Tok Sagak. Disebabkan sudah pukul 1.30 pagi ayah saya balik ke rumah menyampaikan khabar kematian Tok Sagak tidak dapatlah saya menziarahinya pada malam itu.
Esoknya barulah saya menziarahi jenazah Tok Sagak bersama ayah saya. Ketika kami sampai pukul 10.00 pagi, sanak saudaranya sedang memandikan jenazah kerana mahu segera dikebumikan. Tahrim memberitahu saya bau jenazah itu sudah mula mengganggu, walaupun kebiasaannya jenazah tidak akan berbau kalau satu malam saja ditangguhkan pengkebumiannya. Keadaan di atas rumah juga menjadi gempar kerana sewaktu dimandikan daging jenazah pula menjadi reput bila digosok hingga terlekat pada sabun. "Macam mana ni...?" Ulung Mahawa mula tersengguk-sengguk melihat daging jenazah mudah saja terlekang bila digosok kuat sedikit. Melihat keadaan tersebut ayah saya menasihatkan supaya jenazah dimandikan dengan tidak payah digosok. Hanya disiramkan saja air mengikut ala kadar saja bagi mengelakkan daging jenazah habis luruh. Bau busuk juga meruap-ruap sekali sekala bila angin bertiup, seolah-olah jenazah itu sudah tiga hari meninggal dunia.
Atas sebab-sebab demikianlah pengurusan mengkebumikan jenazah dilakukan dengan segera. Memandikan jenazah pun tidak memakan masa yang lama, hanya cukup sekadar dapat dibersihkan saja. Selepas itu dikapan dengan dibubuh banyak sedikit kapur barus. Setelah selesai disembahyangkan, kami sama-sama menghantarkannya ke kubur. Tahrim disuruh oleh ayah saya memikul usungan dengan tidak digilir-gilir hingga sampai ke kubur. Dia juga menyambut jenazah dari lubang kubur untuk dimasukkan ke liang lahad. Semua yang disuruh oleh ayah saya dipatuhi oleh Tahrim. Saya juga ikut sama memikul usungan Tok Sagak, tetapi kami memikulnya secara bergilir-gilir. Pada malam selepas Tok Sagak dikebumikan, Mat Joi datang ke rumah ayah saya kira-kira jam 12.30 malam memberitahu Tahrim tidak sedarkan diri secara tiba-tiba. Tubuhnya menggeletar seperti orang dalam ketakutan, matanya meliar memerhati sekeliling kasau atap, sambil bibirnya kumat-kamit merungut tidak tentu biji butir.
Disebabkan saya masih berada di kampung, saya pun ikut menemankan ayah saya ke rumah Mat Joi setelah diberitahu mengenai kejadian yang menimpa diri Tahrim. Kebimbangan yang bersarang di hati Mat Joi selepas kematian mertuanya, bertambah lagi dengan keadaan Tahrim. Apa lagi cuti Tahrim juga sudah tamat tempohnya. Ketika saya bersama ayah saya sampai, saya dapati Tahrim menyorokkan mukanya di bawah bantal. Dia terketar-ketar bagaikan menghadapi ancaman yang amat mengerikan. Tidak ada sepatah kata pun terluah dari mulutnya kecuali rungutan yang tidak difahami biji butirnya. "Tok Bilal tengokkan laa Tahrim ni...." ujar Ulung Mahawa terharu setelah mempersilakan kami duduk. "Tolong laa....tengokkan Ustaz, apa kenanya Tahrim ni...besok nak balik kerja dia tu" jelasnya bercampur bimbang sekiranya Tahrim tidak dapat balik bertugas semula setelah cutinya berakhir.
"Hah, tengokkanlah Angah" ayah saya menepuk paha saya. Serba salah juga saya apabila ayah saya sudah melepaskan tanggungjawab yang diharapkan oleh Mat Joi darinya itu, kepada saya pula. Kadangkala berdetak juga hati saya tidak mahu menziarahi teman-teman yang menghadapi gangguan seperti dialami oleh Tahrim. Tetapi sekali sekala saya balik ke kampung hati saya merasa macam bersalah kalau tidak menziarahi jiran-jiran atau kawan-kawan yang sakit demikian. Tujuan saya untuk menziarahi sudah bertukar pula dengan harapan keluarga berkenaan meminta diubati si sakit. Sewaktu Mat Joi datang menjemput ayah saya, tujuan saya mengikutnya semata-mata untuk menziarahi Tahrim yang dikatakan sakit. Tetapi ayah saya sendiri yang menyuruh saya mengubati Tahrim.
"Tengokkanlah Ustaz, Tahrim ni.." desak Ulung Mahawa lagi. Saya tidak menyahut. Saya mendekati Tahrim yang menyembunyikan mukanya di bawah bantal. "Apa kena kau Tahrim?" soal saya menepuk-nepuk bahunya. Dia menggeleng-gelengkan kepala sambil mulutnya merungut-rungut. Tidak dapat saya fahami langsung biji butirnya. "Apa yang kau nampak?" soal saya lagi. Tahrim merungut-rungut juga, sambil jari telunjuknya menuding ke ceruk pintu. "Tak ada apa pun di situ..." beritahu saya tersengih-sengih. "Bukalah muka kau, tak ada siapa pun di situ" kata saya merenung ke ceruk pintu yang ditudingnya. Lama saya merenung ke situ barulah saya nampak berbayang-bayang Tok Sagak berdiri melambai-lambai. Saya terus bangun mendapatkan Tok Sagak lantas berjabat tangan. Kemudian saya mengajak ke serambi duduk disitu, sambil saya memarahi dia kerana datang mengganggu Tahrim.
"Tok, bukan nak ganggu dia...tok nak jaga dia.." ujar Tok Sagak perlahan. "Tak perlu tok jaga dia" jelas saya memujuknya. "Allah lebih baik melindungi dia dari tok sendiri" kata saya mengingatkan dia. "Tok sayangkan dia..." balasnya menunduk. "Allah lebih sayangkan dia dari tok" saya masih berkeras tidak membenarkan dia mengganggu Tahrim. Dia terdiam bila saya bacakan Surah Al-Ikhlas di depannya 11 kali, menyebabkan dia menangis tersedu-sedu. "Tok jangan menangis, janganlah tok bimbangkan dia. Allah lebih sempurna pemeliharaanNya dari tok" ujar saya tegas. "Sedangkan tok sendiri pun mengharapkan perlindungan Allah, macam mana tok nak melindungkan orang lain. Tok pun makhluk yang lemah..." kata saya menepuk-nepuk bahunya berulang kali. Dia mengangguk-angguk mempersetujui nasihat saya. "Baliklah tok dulu..Tahrim pun nak balik bekerja besok. Nanti kalau Tahrim dibuang kerja, tentu tok juga tak sukakan?" ujar saya memujuknya. Bayangan Tok Sagak mengangguk. Dia bangun lemah dari tempat duduknya meminta diri untuk meninggalkan rumah tersebut. Sebelum dia menuruni tangga sempat dia masuk ke dalam mengucup dahi Tamrin. Kemudian dia berjabat salam dengan saya sebelum meninggalkan rumah tersebut dengan linangan air matanya.
Kira-kira setengah jam selepas itu saya merasa bahu saya ditepuk. Apabila saya berpaling saya dapati ayah saya tersenyum gembira. "Alhamdulillah.." kata saya memberi isyarat dengan ekor matanya menunjukkan Tahrim sudah mula sedarkan diri sekalipun tubuhnya masih lemah lagi. "Apa kena kau Tahrim?" tanya ayah saya tersengih-sengih mengusiknya. "Entahlah, Tok Bilal" sahutnya menggeleng-geleng lemah. "Apa kenanya Ustaz?" Ulung Mahawa pula mendesak saya. "Entahlah Ulung" beritahu saya serba salah mahu menerangkan sesuatu yang tidak dapat hendak digambarkan kepadanya. "Tahrim dah sembuh, syukurlah" ujar saya supaya tidak didesak lagi oleh Ulung Mahawa. Bagaimanapun Ulung Mahawa tidak puas hati dengan jawapan saya itu, tetapi dia tidaklah berani mendesak sangat. Jauh di sudut hati Ulung Mahawa dia menuduh ada di antara saudara-maranya yang irihati kepada anaknya Tahrim, disebabkan dia merupakan cucu kesayangan aruah Tok Sagak. Sebab itulah mereka melakukan apa saja untuk memusnahkan Tahrim. Namun saya tetap menafikan anggapan Ulung Mahawa itu. Inilah menyebabkan dia tidak berpuas hati dengan penjelasan saya.
Hanya beberapa bulan selepas itulah baru Tahrim menceritakan kepada emaknya, dia ketakutan sewaktu dikatakan tidak sedarkan diri itu, kerana aruah datuknya Tok Sagak datang mengajaknya pergi. Puas Tok Sagak menghulur tangan meminta Tahrim memautnya, tetapi Tahrim ketakutan untuk menyambut tangan aruah datuknya. Entah mengapa Tahrim dapat berfikir bahawa datuknya baru saja meninggal dunia sebelah siangnya. Sebab itulah dia tidak mahu menyambut tangan yang dihulurkan oleh Tok Sagak mengajaknya pergi dari situ. Dia seolah-olah nampak datuknya berbual-bual dengan saya di serambi. Pada mulanya dia nampak datuknya bercakap dengan suara lantang tidak puas hati kerana saya menghalang dia dari membawa cucunya. Tetapi suaranya lama kelamaan merendah hingga menangis teresak-esak. Tahrim pula tidak tahu apa yang saya cakapkan bersama datuknya. Tidak lama setelah datuknya bercakap-cakap dengan saya, Tahrim dapat melihat dengan jelas datuknya mencium dahinya sebelum pergi menuruni tangga. Selepas itu tiba-tiba saja sekitar rumah menjadi gelap gelita beberapa minit, hingga dia terkejut bangun dari tidurnya. Hairan juga dia bila didapatinya saya dan ayah saya beserta beberapa orang jiran lain ada di sisinya.
Tetapi cerita Tahrim tidak habis disitu saja. Sehingga dia berhenti askar pun saya mendengar cerita mengenai keistimewaan dirinya, sedangkan dia sendiri tidak mengetahui dari mana datangnya keistimewaan tersebut. Saya mendengar cerita Tahrim menolong sepupunya menebang pokok rambai berhampiran dengan rumahnya. Semasa pokok rambai tumbang, Tahrim tidak dapat mengelakkan diri lantas dihempapnya. Sepupunya Mat Derih menjadi panik, lantas melaung memanggil jiran-jiran datang membantu. Sewaktu jiran-jiran sampai, Tahrim merangkak-rangkak keluar dari bawah dahan dan ranting-ranting rambai yang menimpanya. Hanya bahu dan belakangnya saja calar-calar ringan, sedangkan seluruh anggota badannya tidak terjejas langsung. Bila ditanyakan oleh Mat Derih mengenai peristiwa tersebut, Tahrim hanya menggeleng-geleng kepala saja, kerana dia sendiri pun tidak tahu apa yang telah terjadi.
Semasa masih berkhidmat dalam askar pun, Tahrim pernah mengalami kejadian yang tidak disangka-sangkanya. Pasukannya telah membuat operasi jauh ke hutan. Apabila berkhemah di satu kawasan Tahrim ditugaskan berkawal hingga tengah malamnya. Dengan tidak disedarinya Tahrim merasai tersangat mengantuk lantas tertidur waktu berkawal ini. Kira-kira jam 2.00 pagi seorang anggota lain yang ditugaskan menggantikan tempat Tahrim berkawal datang ke tempat dia berkawal. Alangkah terkejutnya kawan itu apabila dilihatnya Tahrim tidur nyenyak di atas perut seekor harimau yang berbaring di sisinya. Keesokan harinya Tahrim disoal oleh ketuanya mengapa tidak mahu digantikan berkawal oleh rakannya, dia sendiri terpinga-pinga tidak tahu apa yang telah berlaku ke atas dirinya. Apabila diberitahu oleh kawannya dia tertidur di atas perut harimau yang mengambil alih tugasnya berkawal, Tahrim hanya menerangkan semuanya itu cerita karut.
Setelah bersara dari askar Tahrim menetap semula di kampung. Setiap kali saya balik ke kampung, saya akan singgah minum kopi di warung kecil yang dibukanya. "Beginilah Ustaz" kata Tahrim tersengih-sengih bila saya singgah minum kopi di warungnya. "Masa muda jadi askar, dah tua jadi jaga" ujarnya berjenaka. "Tapi jadi jaga di warung ni bagus, Rim" sahut saya tersenyum. "Bukannya jadi jaga berdiri depan bank perhatikan orang keluar masuk bawa duit. Tapi jadi jaga di warung ni, sendiri memerhatikan duit keluar masuk" saya sengaja mengusiknya. Bagaimanapun setiap kali saya mahu membayar duit kopinya, Tahrim tetap menolak. "Bukan selalu Ustaz minum di warung ni, sekali-sekala aje" katanya memasukkan semula wang yang saya berikan ke poket saya.
TAMAT