04 Julai, 2000

POKOK PETAI MENCABAR BERTARUNG

BARU saja mahu melelapkan mata isteri saya menggerakkan kerana ada orang memanggil dari tengah halaman. Dalam keadaan terkuap-kuap itulah saya memetik lampu lalu membuka pintu hadapan. Seorang lelaki separuh umur terkial-kial menupang motorsikal hondanya. "Maaflah ustaz saya mengganggu..." cepat-cepat dia bersuara sebaik saja pintu terbuka. Saya tersengih-sengih sambil terkuap-kuap. Mata memang sudah mengantuk walau pun baru pukul 10 lebih. Tetapi sudah menjadi kelaziman saya tidur awal sedikit kerana akan bangun semula pada tengah malam. Bangun tengah malam ini pun bukanlah dilakukan setiap malam, cuma saya lakukan apabila malam Jumaat. Saya akan melakukan Sunat Tahjud diikuti dengan Sunat Tasbih juga.

"Maaflah ustaz" ulangi lelaki berkenaan. "Tak apa, silalah masuk..." saya mempelawanya. "Tak payahlah ustaz" sahutnya terus mara ke pintu rumah saya. "Saya nak minta tolong pada ustaz. Aki Sahak yang suruh panggil ustaz" katanya. "Rumahnya di mana?" tanya saya mahu mempastikan. Saya sendiri tidak berapa kenal dengan lelaki berkenaan, tetapi rasanya dia lebih tua dari saya. "Saya Sonok dari Kampung Simpang" jelasnya menghulurkan tangan kepada saya. "Petang tadi saya pergi ambil Aki Sahak di Mancis rumah anaknya. Aki Sahak ada di rumah saya, tapi dia suruh panggil ustaz juga" dia tersengih-sengih. Berdebar juga hati saya bila Aki Sahak meminta saya datang. Tentulah perkaranya besar juga, kalau tidak masakan dia menyuruh Sonok mencari saya. Mujur juga Sonok dapat mencari rumah saya di situ. Kalau sekadar gangguan syaitan Aki Sahak tidak pernah memanggil saya. Dia sendiri boleh menghadapinya kalau ada orang sakit diganggu syaitan.

Bagaimanapun saya tidaklah mahu bertanya kepada sesiapa pun mengenai tujuan mereka memanggil saya. Memang sudah saya duga biasanya kalau orang mencari saya pada tengah-tengah malam tentulah perkaranya ada pesakit yang memerlukan rawatan. Heran juga saya selama datang ke kampung itu, mereka sudah menganggap saya macam bomoh. Berkali-kali saya memberitahu mereka saya bukanlah bomoh. Disebabkan yang meminta saya datang itu Aki Sahak membuatkan saya serba salah. Nampaknya saya mesti memikirkan perkara mahu bertukar dari situ, kerana bimbang orang akan salah anggap. Nanti mereka menyangka saya seorang bomoh, sedangkan saya tidak tahu apa-apa mengenai ilmu bomoh. Kalau saya tidak mahu datang apa pula kata Aki Sahak. Sejak saya bertukar ke daerah itu, kerapkali sangat Aki Sahak meminta saya membantu dia. Ingin juga saya membantah tetapi cepat-cepat dia mengingatkan, "Kerja ni semua buat kerana Allah saja....".

Selepas bersiap-siap memakai baju, saya pun terus membonceng motorsikal Sonok. Malam gelap gelita tidak ada bintang-bintang di langit. Saya sampai di rumah Sonok kira-kira jam 11 lebih. Aki Sahak sudah ada di situ duduk di hujung serambi. Beberapa orang jiran Sonok juga ada di situ. Saya memberi salam ketika menaiki tangga rumah. Kemudian bersalaman dengan mereka yang duduk di serambi. "Terus ke hujung ustaz, terus ke hujung" seorang lelaki tua menyuruh saya duduk di hujung serambi dengan Aki Sahak. Kampung ini kira-kira empat batu jauhnya dari tempat Aki Sahak tinggal. Semasa saya sampai itu mereka sudah bercerita fasal anak Abang Amud yang tenggelam dalam lombong. Aki Sahak memberitahu sayalah yang telah membantunya mencarikan mayat itu yang tenggelam di dalam lombong.

Akhirnya perhatian mereka sudah beralih kepada saya, bukanlah kepada Aki Sahak. Sebenarnya Aki Sahak cuba mengelak-ngelak juga apabila dipanggil orang merawat pesakit, tetapi kadangkala serba salah juga. Tidak heranlah mengapa bomoh-bomoh terpaksa mengenakan bayaran kerana penat lelah mereka terpaksa berjaga hingga jauh malam. Malah ada kalanya tidak cukup tidur sekiranya dipanggil orang. Bagaimana kalau sampai pagi baru selesai kerjanya? Tentulah esoknya menjadi letih dan mereka tidak dapat bekerja mencari rezeki nafkah hidup? Tetapi kebanyakan orang menuduh bomoh-bomoh itu mementingkan wang semata-mata apabila mengubat pesakit.

Bagaimana kalau kami lakukan secara sukarela seperti Aki Sahak ini? Nampaknya senang saja iaitu duduk sambil berdoa. Tetapi ketika berdoa ini mestilah dengan khusyuk atau istilah moden 'kosentrasi', kadangkala terasa kepala bagaikan mahu pitam kalau 'khusyuk' ini dilakukan sampai hampir satu jam. Inilah yang tidak difahami oleh kebanyakan orang. Apabila saya bertukar ke daerah kecil ini Aki Sahak terus meminta saya membantu dia. Bagi penduduk-penduduk di daerah ini pula asal saja mendapat tahu tentang seorang bomoh mereka akan segera mendapatkannya kalau menghadapi kesakitan. Kadangkala diserang demam panas pun segera mencari bomoh, pada hal penyakit demikian lebih baik dibawa ke hospital.

Kesihan juga saya melihatkan Aki Sahak. Tidak pernah dia boleh duduk diam di rumah untuk beribadat dan sebagainya. Ada saja orang menjemputnya. Kadangkala sampai ke Karak di Pahang, ke Segamat di Johor, ke Tampin juga. Kadangkala dia sengaja melarikan diri ke rumah anaknya di Mancis, namun dapat juga dicari orang.

"Anak Sonok ni hilang dari rumah" beritahu Aki Sahak berpaling kepada saya. "Jadi, itulah nak minta kau sama-sama bantu" jelasnya meleret senyum. "Eh, Aki sorang pun boleh....." ujar saya tersengih-sengih. "Tidak..." sahutnya tegas. "Aku tak kemampuan, sebab itulah perlu sangat kau membantu. Ini bukan kerja manusia......" dia mula serius. "Dah bagi tau polis?" soal saya. "Tak lagi, tapi ketua kampung dah beritahu..." sahut Sonok perlahan. "Bila hilangnya?" saya memerhatikan Sonok tersandar pada jenang pintu induk rumah. "Hari ni tadilah" jelasnya bertambah gelisah. "Tengahari tadi dia mengembala kambing ke tepi kebun getah nun, top...top....kambing aje balik petang tadi. Dia entah ke mana" Sonok menerangkan.

Berita kehilangan anak Sonok yang berumur 10 tahun itu segera diberitahu kepada jiran-jiran. Biasanya petang-petang selepas balik dari sekolah, Tamin mengembala kambing di hujung kampung. Dia bukanlah penuntut di sekolah tempat saya mengajar. Sebab itulah saya tidak mengenali sangat keluarganya. Kebanyakan penjaga murid di sekolah saya mengajar memang saya kenali. Lagi pun sekolah yang jauh di kampung pedalaman ini, bukanlah ramai sangat muridnya. Jadi, cepatlah dapat bermesra dengan penjaga-penjaga mereka. Lagi pun mereka mulai mengenali saya, sejak peristiwa anak Abang Amud.

Ketika ini penduduk kampung tempat Aki Sahak tinggal itu pun masih belum tenteram akibat gangguan bunyi air disedut lubang bergaung dari lombong tersebut. Terutamanya bila tengah malam ornag-orang yang tinggal berhampiran dengan lombong dapat mendengarnya dengan jelas. Ada juga Tonel memberitahu Sali dia ternampak dari jauh satu benda melintang di tengah lombong. Tidak lama kemudian benda itu tenggelam semula ke dalam air. Mungkinkah ular besar yang dikatakan oleh orang-orang kampung selama ini?

"Saya minta ustaz cuba-cubalah sikit" pinta isteri Sonok tiba-tiba muncul di pintu induk rumah itu. Matanya bengkak bekas menangis. "Cubalah ustaz, kalau mati nak tengok juga mayatnya" dia mula terisak-isak menahan kesedihan yang menusuk. "Hisss, jangan cakap macam tu" Sonok mendongak sambil menguis paha Siti dengan sikunya. "Tak ada apa-apa tu, boleh jadi Tamin sesat. Sabarlah sikit......" katanya macam menasihatkan isterinya. Sedangkan dia sendiri pun saya lihat resah gelisah sejak datang menjemput saya tadi. "Cubalah ustaz" pinta Siti lagi merayu-rayu. "Saya dah dengar fasal ustaz di Kampung Hulu bila anak Amud jatuh ke lombong. Saya harap benar dengan ustaz ni" ujarnya tidak menghiraukan suaminya yang tersandar pada jenang pintu induk rumah. "Sabarlah kak...." saya pula meminta dia bertenang. "Kita tengok dulu macam mana, jangan tergopoh-gopoh. Kalau kita sudah yakin Allah saja memberi perlindungan dan tempat meminta pertolongan, bertenanglah" kata saya mengingatkan.

Selalunya demikianlah ibu-ibu menghadapi dugaan apabila anak-anaknya menghadapi masalah. Tetapi saya tidak dapat salahkan mereka, kerana perasaan manusia selalunya mudah digoda. Mereka mudah hilang pertimbangan dan segera meminta pertolongan dari siapa saja, pada hal tempat meminta pertolongan hanya semata-mata kepada Allah. Ketika meminta pertolongan inilah syaitan menjanjikan pertolongan. Orang yang tidak sabar akan segera meminta pertolongan pada syaitan tadi. Akhirnya terpedayalah dengan perangkap syaitan mahu menggoda manusia menukar aqidah, dengan meminta pertolongan kepadanya.

"Kita tunggu dulu apa kata Aki Sahak" saya menepuk bahu Aki Sahak yang duduk mrnyandar pada dinding. "Tak ada apa kita boleh buat, sebab budaknya tak ada di sini" Aki Sahak tersenyum penuh makna. "Nak dicari tak tahu di mana, sebab pancaindera kita hanya untuk melihat benda yang nyata" ujarnya tersengih-sengih. "Jadi macam mana ni Aki. Anak saya Aki, macam mana" Siti terus meraung tidak dapat menahan perasaan sebak yang menumpu di dadanya.

Kemudian Aki Sahak meminta saya melakukan tidur seperti pernah dilakukan ketika mencari anak Abang Amud di dalam lombong. Setelah berbincang dengan Aki Sahak saya bersetuju tidur sendiri dengan tidak payah dikawal oleh Aki Sahak. Seperti yang telah saya jelaskan cara pengubatan tidur samalah seperti bomoh-bomoh gunakan semasa mereka 'menurun', tetapi caranya saja berlainan. Bomoh-bomoh selalu menggunakan 'akuan' tertentu sebagai sahabat, manakala cara tidur yang saya lakukan hanya satu penyerahan kepada Allah.

Cara memulakannya tidaklah memerlukan menyeru berbagai-bagai nama, tetapi memudahi dengan berastaghfar kepada Allah Yang Maha Pengampun, kemudian membaca A'uzubillah meminta dilindungkan dari syaitan, Bismillahhirrahmannirrahim, Selawat kepada Rasullullah dan tasbih mensucikan keagungan Allah. Para ahli sufi tidaklah perlu cara tidur seperti yang saya lakukan, baginya memadai merenung saja ke dalam makrifat dan mereka akan mengetahuinya. Tetapi pengajian kita belum sampai kepada tingkat ahli sufi, maka cara tidur inilah untuk merenung secara makrifat. Itulah saya katakan amat sukar mahu menerangkannya di sini, kerana hanya orang-orang yang mengetahui saja tahu apakah yang saya gambarkan ini.

"Kau tidur dulu dan cari di mana budak tu sekarang" bisik Aki Sahak. "Tak payah beritahu apa-apa pada Aki. Lepas tu nanti baru kita sama-sama mencari di mana dia" katanya lagi. Saya mengangguk. Saya pun memulakan tidur saya. Tidak lama kemudian saya merasa diri saya sudah berada di satu kawasan paya. Saya terus menyeberangi paya hingga sampai ke seberangnya yang dipenuhi oleh belukar rotan. Puas saya memerhati sekelilingnya tidak ternampak pun anak lelaki Sonok yang hilang itu. Dalam pada itu yang mesti saya ingatkan ialah lorong-lorong jalan serta pedoman yang terdapat di situ untuk membolehkan orang-orang kampung mencarinya nanti. Sebab cara yang saya lakukan ini tidak dapat membawa Tamin balik ke rumah, kecuali kalau dipandu oleh Aki Sahak. Kalau tidur bersendirian ini hanya untuk melihat saja, bukan untuk melepaskan dia sekiranya dikawal oleh syaitan yang terdiri dari makhluk-makhluk halus.

Saya menyusup di bawah duri-duri rotan itu memerhatikan kalau-kalau dia disorokkan di situ, tetapi tidak juga kelihatan. Biasanya yang melarikan budak demikian ialah bunian. Tempat yang demikianlah selalunya disukai oleh bunian. Bagaimanapun Tamin tidak ditemui di situ. Hampir saja saya putus asa kerana tidak dapat mencari Tamin. Dalam keadaan demikianlah saya membacakan Surah Waddhuha untuk membuka jalan  supaya pandangan saya tidak dilindungi oleh makhluk-makhluk halus. Bagi memudahkan lagi saya terus membesarkan diri hingga melangkaui pokok-pokok besar yang tinggi. Ketika inilah saya nampak seorang budak lelaki terselit di celah dahan pokok petai. Saya camkan betul-betul memang benar itulah budak yang sedang dicari. Dari segi akal memang mustahil bagaimana Tamin yang baru berumur 10 tahun itu boleh memanjat pokok yang dianggarkan lima pemeluk. Pokok itu pula terlalu tinggi yang dahannya yang paling bawah sekali sama tingginya dengan pucuk kelapa saka. Bayangkanlah bagaimana budak tersebut boleh sampai di celah dahan pokok petai itu, yang saya anggarkan kira-kira lebih 30 kaki tingginya.

Setelah saya cam semua pedoman di kawasan pokok petai itu, saya pun balik semula. Apabila saya terjaga Sonok suami isteri sudah duduk berdepan dengan saya. Tidak sabar-sabar lagi dia mahu mengetahui sama ada saya sudah berjumpa atau belum anaknya. Beberapa kali saya menggelengkan kepala. Saya bagaikan tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Bagaimanapun saya terus memberitahu mereka apa yang telah saya lihat.

"Dah kau pagar tempat tu?" tanya Aki Sahak. Saya menganggukkan kepala. "Budak tu dia tak dapat ambil lagi" Aki Sahak menghela nafas. "Jadi, kalau mahu malam ni juga kita cari, kalau tunggu besok takut terjatuh pula budak tu. Maklumlah penjaga tak dapat masuk dekat lagi" kata Aki Sahak merenung muka Sonok. "Eloklah malam ni juga kita ke situ" sahut Pak Jeli lelaki tua yang mula-mula menegur tatkala saya sampai tadi. Dia ialah ayah Siti iaitu bapa mertua Sonok. Rupanya dia ini seorang bomoh juga di kampung itu. Walaupun dia seorang bomoh tetapi tidaklah dia merasa irihati dengan usaha-usaha yang kami buat. Memang ada cerita mengatakan seseorang bomoh itu akan marah apabila ada orang lain mahu menunjukkan kepandaian melebihi dia. Tetapi itu adalah tanggapan saja. Seorang bomoh yang bertanggungjawab tidak akan menghalang orang lain melakukan sesuatu untuk menolong pesakitnya, malah dia sendiri akan sama-sama membantu mengikut kemampuannya. Pak Jeli sendiri mengakui ilmu bomohnya tidak sampai kepada kekuatan doa-doa yang menggunakan ayat-ayat Quran ini. Selama ini dia sendiri memang mengakui akan kebolehan Aki Sahak.

Kira-kira 10 orang jiran ikut sama dengan Sonok menuju ke tempat yang saya katakan seperti yang dapat saya lihat tadi. Di antaranya ialah Tapa Sungkur yang biasa memanjat pokok petai. Sengaja Tapa Sungkur menawarkan diri setelah mendengar keterangan saya bahawa Tamin dibawa ke atas pokok yang tinggi. Saya dan Aki Sahak juga ikut sama. Malah Pak Jeli sendiri sanggup ikut sama. Maklumlah Tamin itu cucu kesayangannya. Kami masuk ke hutan melalui kebun getah di hujung kampung dengan membawa suluh andang dari daun nyiur kering. Pak Jeli membawa lampu suluh enam sambung yang digunakan untuk menyuluh musang. Disebabkan Tapa Sungkur yang selalu masuk ke hutan dialah yang berjalan di hadapan sekali. Manakala saya berjalan di belakang sedikit tetapi tidaklah jauh dari Tapa Sungkur, kerana pedoman sebenarnya menuju ke tempat yang hendak dicari ialah di dalam ingatan saya.

Apabila masuk ke kawasan hutan saya seolah-olah hilang pedoman. Tidak dapat hendak dicari tempat yang saya lihat melalui tidur tadi. Mungkin keadaan malam terlalu gelap menyebabkan kami tidak dapat mencari arah. Tapa Sungkur juga sudah berpusing membawa kami sampai ke pinggir anak air, tetapi paya yang dicari tidak juga bertemu. "Kalau paya bukan di sini agaknya" Pak Jeli bersuara di belakang. "Yang aku tau kawasan paya di sebelah baruh kebun getah tadi. Nampaknya kena berpatah balik kita....." ujarnya meragui jalan yang dibawa oleh Tapa Sungkur. "Di situ mana ada pokok petai" laung Tapa Sungkur meyakinkan Pak Jeli jalan yang dituju sekarang adalah betul. "Di situ pun tak ada belukar rotan......" katanya menambah. "Eloklah kita tengok dulu....." sahut Pak Jeli mencadangkan. "Jangan gopoh-gopoh" Aki Sahak cepat-cepat mencelah. Dalam usaha demikian tidak boleh berbantah-bantah. Kerja berbantah-bantah itu memang kerja syaitan untuk melalaikan insan sehingga kerja-kerja yang mahu dilakukan tidak berhasil. "Kita tak boleh gopoh-gopoh, semuanya mesti bersabar. Ikut dulu ke mana hala yang diingatkan oleh ustaz tu tadi" ujarnya keras sedikit.

Pak Jeli tidak menyahut. Tapa Sungkur juga diam. Mereka tidak mahu menyinggung perasaan Aki Sahak. Selama ini memang Aki Sahak menjadi tumpuan penduduk-penduduk kampung berhampiran di daerah itu. Kadangkala mereka kecewa mahu mendapatkan khidmat Aki Sahak kalau ada orang-orang dari Karak di Pahang memanggilnya. Atau orang-orang dari Segamat dan Tampin juga. "Saya cuma agak-agakkan aje Aki" tiba-tiba Pak Jeli menjelaskan dari belakang. Bimbang juga dia kalau-kalau Aki Sahak tersinggung dengan sikapnya cepat sangat menyalahkan Tapa Sungkur menunjukkan jalan. "Tak baik berbantah-bantah" ujar Aki Sahak mengingatkan sambil berdehem-dehem macam kahak tersangkut di tekak. "Dengar dulu apa cakap ustaz, dia yang dapat mengagak jalannya" katanya termengah-mengah menyusur lereng bukit. Pak Jeli terus mendiamkan diri. Dia juga termengah-mengah menyusur lereng bukit kerana banyak akar-akar pokok besar menungkal. Malam bertambah gelap di dalam hutan demikian. Ketika ini sudah lebih pukul 12 malam. Bunyi kuang sayup-sayup di balik bukit diselang-seli bunyi ngiang-ngiang cengkerik bersahutan. Saya berhenti sejenak di atas akar kayu menungkal sambil mendongak ke atas. Melihatkan saya berhenti mereka semua pun ikut sama berhenti. Aki Sahak pun sudah sampai di belakang saya.

"Nanti dulu Tapa..." Aki Sahak memanggil apabila Tapa Sungkur yang di depan mahu meneruskan perjalanan. Tapa Sungkur berpatah balik ke belakang mendapatkan saya. Perlahan-lahan saya membaca Surah Waddhuha bagi mendapatkan semula pedoman jalan menuju ke pokok besar yang kami cari. Selepas membaca tiga kali Surah Waddhuha saya dapat melihat dengan jelas paya di bawah lereng bukit. Paya itulah tidaklah buyau, tetapi cuma tanah pamah yang ditumbuhi pucuk-pucuk paku. "Cuba ikut ke bawah ni Tapa" saya memuncungkan bibir ke bawah lereng bukit. Tapa Sungkur terus melompat mencari jalan untuk ke seberang tanah pamah tadi. Sonok mengekorinya dari belakang. Manakala saya berjalan di belakang Sonok dan diikuti oleh Aki Sahak serta Pak Jeli. Jiran-jiran yang lain semuanya berjalan di belakang. Memang betul sebaik melepasi saja kawasan tanah pamah itu kami menemui belukar rotan yang padat. Tidak ada lorong mahu menembusi belukar ini. Kami terpaksa berlegar-legar mencari jalan untuk naik ke bukit di sebelahnya.

"Bangsat...!" saya terdengar Pak Jeli merungut. "Orang di sini nak cari geruh rupanya. Tahulah aku! Tahulah aku! Ustaz ni akan ajar kau. Aku bawa ustaz ni untuk ajar kau...!" dia menggertap bibir. Sebaik saja ke kawasan di situ Pak Jeli sudah dapat menangkap gangguan tersebut, kerana dia memang pun seorang bomoh. "Dia nak merasa penangan Aki Sahak dengan ustaz dengan Pak Jeli, biarkan!" gerutu Tapa Sungkur terkial-kial mahu mencari jalan melepasi belukar rotan yang padat. "Jangan gempur dia dulu Jeli..." kata Aki Sahak mengingatkan. "Kita jumpa anak Sonok dulu dan kita bawa balik, lepas tu baru gempur" ujar Aki Sahak selanjutnya. Dia bimbang Pak Jeli tidak sabar bila menghadapi suasana demikian. Disebabkan dia seorang bomoh tentulah dia tidak peduli apa lagi bila mahu menentang makhluk-makhluk halus demikian. Kadangkala tindakan demikian boleh membahayakan orang yang sedang diganggu oleh syaitan tersebut. Orang demikian sudah tidak ada semangat lagi, kerana sudah dikuasai oleh makhluk-makhluk halus. Kalau tersilap langkah sukar untuk memulihkan semula semangatnya.

"Jangan gempur dulu Jeli!" ulangi Aki Sahak. "Iyalah Aki..." sahut Pak Jeli. "Saya serahkan pada Aki dan ustaz saja. Saya bantu dari belakang" jelasnya. Puas berlegar-legar  kami sampai ke kawsan belukar bemban. Dari sanalah Tapa Sungkur membelok ke kanan mencari pokok besar  seakan-akan pokok petai yang saya sebutkan itu. Sebaik saja melepasi belukar bemban itu barulah kami bertemu sebatang pokok besar terpencil dari pokok-pokok yang lain. "Aki..." Pak Jeli menarik bahu Aki Sahak. Tangannya menyuluh ke atas dengan lampu picit sambung enam. "Itu Aki, tengok tu, tengok" katanya bergetar menggertap bibir.

Kami semua nampak Tamin di atas pokok tersebut. Bagaimanakah cara mahu memanjat ke atas sedangkan pokok itu terpencil di situ. Kalau ada anak-anak kayu bolehlah memanjat mengikut anak-anak kayu. Manakala Tamin pula berpaut pada dahan yang di atas sekali. Bagaimanakah Tamin boleh sampai ke atas pokok demikian besar? Sedangkan orang-orang dewasa pun tidak tahu bagaimanakah caranya mahu naik memanjat memandangkan pokok itu tidak dapat dipeluk. Demikianlah perlakuan mahkluk-makhluk halus yang tidak dapat kita lihat melalui pancaindera biasa, kecuali melalui makrifat. Tentulah kerjanya membawa Tamin ke atas pokok tersebut.

Disebabkan kami sudah tahu bahwa Tamin berada di atas pokok yang tinggi, maka kami memang sudah membawa persediaan yang cukup seperti tali serta kapak. Dengan perkakas-perkakas demikian mudahlah Tapa Sungkur mahu memanjatnya. Mula-mula Tapa Sungkur menakik pokok itu dibuat bertangga bagi memudahkan kakinya berpijak. Tali dililitkan sekeliling pokok dan dengan ini boleh memautkan pinggangnya di celah tali tersebut. Sedikit demi sedikit dia menakik pokok dengan kapak, sedikit demi sedikit dia naik ke atas. Sehinggalah Tapa Sungkur berjaya memanjat naik, timbul juga masalah bagaimana mahu menurunkan Tamin. Dia tidaklah pengsan atau tidak sedar diri. Tetapi seperti orang kebingungan tidak tahu apa-apa pun berlaku ke atas dirinya. Bila dipanggil namanya dia menyahut. Sebaliknya kalau ditanya yang lain-lain dia hanya menggeleng kepala atau mengangguk saja.

Tali yang dibawa pula tidak cukup panjang untuk membolehkan Tapa Sungkur menbawa Tamin turun. Kami semua menjadi hilang akal. Adalah satu perkara mustahil untuk membawa seorang kanak-kanak berumur 10 tahun turun dari pokok demikian tinggi. Kalau silap-silap berpaut mungkin dua-dua sekali terjun ke bumi. Setelah puas memikirkan cara untuk menurunkan Tamin, akhirnya Pak Jeli sudah tidak sabar lagi. Saya lihat dia menggertap bibir menahan perasaan marahnya. "Aki, sekarang biar giliran saya dulu" katanya memandang Aki Sahak. "Silakan..." sahut Aki Sahak perlahan. "Ustaz, tadi giliran ustaz. Sekarang biar saya pula" Pak Jeli menoleh kepada saya pula. "Silakan Pak Jeli" kata saya. Itulah baiknya bila kita ramai. Mungkin salah seorang dari kita mempunyai kelebihan dari satu segi, dan lemah dari segi lain. Manakala dari segi yang lemah itu, orang lain pula mempunyai kelebihan. Demikianlah antara saya, Pak Jeli dan Aki Sahak ketika ini. Aki Sahak dan Pak Jeli memerlukan saya untuk mencari di manakah Tamin dilarikan oleh syaitan. Tetapi dalam kelam kabut untuk membawa Tamin turun dari pokok mungkin Pak Jeli lebih berpengalaman dari Aki Sahak dan saya sendiri. Di sinilah pentingnya kami semua berpadu tenaga.

"Tapa..." laung Pak Jeli di dalam gelap malam yang sepi itu. Suaranya bergaung ke balik bukit. "Tapa, turun dulu. Biarkan dia di situ. Turun kau dulu..." dia menyeru Tapa Sungkur supaya turun. "Turun dulu Tapa" Aki Sahak juga memanggilnya. "Biar Jeli pula naik. Jeli sendiri nak naik" laungnya dari bawah. Terpaksalah Tapa Sungkur turun dengan hampa. Ketika ini sudah lebih pukul tiga pagi. Tamin masih juga belum dapat dibawa turun. "Setahu saya kawasan ni tak ada pokok petai" keluh Tapa Sungkur sebaik saja dia sampai ke bawah. Hairan juga dia dari mana datangya pokok petai di situ. Kawasan hutan di situ semuanya sudah dalam kepala Tapa Sungkur. Dia sudah mahir di mana selekohnya, di mana pokok petainya, di mana rotannya. Cuma dia satu-satunya yang selalu mencari petai di situ.

Sebaik saja Tapa Sungkur sudah turun, Pak Jeli terus mengelilingi pokok petai berkenaan. Kemudian dia menampar perdunya tiga kali. Ketika ini Aki Sahak membisikkan kepada saya supaya membantu Pak Jeli. Apabila saya dan Aki Sahak sudah terpaksa mengambil keputusan menggempur bersama Pak Jeli, cuma kami bertiga sajalah dapat berhubung antara satu sama lain. Saya dengan Aki Sahak memang mempunyai cara yang sama, tetapi Pak Jeli berlainan sedikit. Bagaimanapun kami masih dapat bekerjasama. Sementara jiran-jiran yang sama ada di situ hanya melihat kami bertiga dari mata kasar saja. Oleh itu mereka melihat hanya Pak Jeli berkeliling pokok, sementara saya dan Aki Sahak berdiri memejamkan mata. Pokok petai yang tersergam di depan kami sudah bertukar menjadi lembaga hitam yang tinggi. Pak Jeli juga sudah berdiri sama tinggi dengan lembaga hitam berkenaan.

"Awak rupanya ye!" jerkah Pak Jeli lalu menampar muka lembaga hitam itu tiga kali. "Awak tak tau ke, bukankah cucu kawan yang awak larikan tu" dia bercekak pinggang mencabar lembaga hitam itu seterusnya. Lembaga hitam itu cuba menyiku Pak Jeli, tetapi dengan pantas kakinya menyepak pada bahagian dada. Tamin masih juga dikepitnya di celah ketiak. "Sekarang serahkan cucu aku!" suara Pak Jeli keras mengancam lembaga hitam tersebut. "Aku tahu asal kau jadi, orang memburu sesat di hutan asal kau jadi" bentak Pak Jeli bertambah marah. "Awak jangan cari geruh Jeli..." jerkah lembaga hitam itu. "Awak dapat sahabat baru, sahabat lama dah lupa. Tak mengenang budi awak ni Jeli!" katanya menyindir. "Kawan tak peduli." sahut Pak Jeli. "Kalau awak tak serahkan cucu kawan, bertempurlah kita. Belum tentu siapa yang geruh" Pak Jeli teru menyepak dagu lembaga hitam itu. DIa tetap berkeras tidak mahu melepaskan Tamin yang dikeleknya.

Seperti yang saya katakan Pak Jeli mempunyai cara bomohnya. Dia terpaksa menentang lembaga hitam setinggi 30 kaki dengan kekuatan tenaganya sendiri. Manakala saya dan Aki Sahak tidak menentang dengan kekuatan secara makrifat, tetapi dengan ayat-ayat Quran saja. "Wallauanna Quranna Suyirat bihhil jibalu.." saya membaca doa lalu menghembuskan dari jauh. Serta merta terpancar kilat dengan petir memukulo kepala lembaga hitam itu. Saya lihat Aki Sahak menghembuskan ayat, "Lanarjumannakum..." sekaligus memancar panah api menyinggahi tubuh lembaga hitam itu.

"Ampun.." teriaknya merintih. "Belum pernah kawan jumpa ilmu macam ni tinggi. Ampun...Jeli, minta sahabat baru awak tu, jangan seksa kawan macam ni. Kita bersahabat lagi Jeli" ujarnya merayu-rayu meminta belas kasihan. "Baru awak tau, siapa sahabat kawan!" ejek Pak Jeli sambil menampar muka lembaga itu tiga kali lagi. "Cukuplah Jeli, cukuplah" rayu lembaga itu lagi. "Sekarang, serahkan cucu aku!" bentak Pak Jeli menyepak betis lembaga itu pula. "Kalau awak nak berlawan, satu sama satu Jeli..." dia mencabar Pak Jeli setelah panah api tidak mengancamnya lagi. "Awak pun kalau nak berlawan, serahkan cucu kawan dulu" sahut Pak Jeli semakin berang. "Kalau awak berani, dengan kawan, jangan dengan cucu kawan" Pak Jeli terus menyerbu menyiku rusuknya. Lenbaga hitam itu terhuyung-hayang akibat disiku oleh Pak Jeli. Tetapi dengan pantas dia cuba membalas dengan menampar Pak Jeli. Bagaimanapun Pak Jeli sempat mengelak. Sekali lagi Pak Jeli menendang dada lembaga hitam berkenaan. "Bukankah kawan dah cakap, awak tak dapat mengalahkan kawan, bangsat puaka hutan jembalang tanah" Pak Jeli menggertap bibir. "Sekarang lepaskan cucu aku!" jerkahnya.

Lembaga itu mengejek dengan ketawa. Dia tetap tidak melepaskan Tamin dari keleknya. Ketika ini orang-orang yang ada di bawah pokok hanya mendengar Pak Jeli berbantah-bantah dengan Tamin di atas pokok. Suara Tamin bergaung sampai ke bawah. "Lepaskan cucu aku!" bentak Pak Jeli lagi. "Awak kata kuat, cubalah ambil sendiri..." lembaga hitam itu tertawa mengejek. Kemudian saya lihat Pak Jeli menerkam garang mahu merampas Tamin dari kelekan lembaga hitam itu. Mereka bergomol menunjukkan kehandalan masing-masing. Ketika ini juga Aki Sahak membcakan sesuatu doa lalu menghembuskan ke arah lembaga hitam tersebut. Sekaligus api dari segenap penjuru menyerbu ke arah lembaga hitam. Terjerit-jerit dia menahan kesakitan. Tetapi Aki terus meniup ke arahnya. Saya juga mengulangi beberapa ayat lain bagi membantu Pak Jeli yang membuat serangan. "Hazihi jahannamullati kuntum tu'adun..." saya menghembuskan ke arahnya. Serentak dengan itu petir dan kilat memancar menerkam ke kepala lembaga hitam. "Jeli, kau berani kerana sahabat-sahabat kau membantu" rintih lembaga hitam itu gementar. "Ilmu sahabat-sahabat kau terlalu tinggi. Belum pernah aku menentang ilmu yang demikian tinggi..." katanya merayu supaya tidak diserang lagi.

Bagaimanapun Aki Sahak tetap tidak mempedulikan rayuan lembaga hitam ini. Memandangkan Aki Sahak terus menentang, saya juga tidak berhenti dari meneruskan serangan. Asap berkepul-kepul meliputi lembaga hitam setinggi 30 kaki itu akibat tubuhnya terbakar. Dengan yang demikian dapatlah Pak Jeli merampas semula Tamin dari bawah kelek lembaga itu. Sebaik saja Tamin berada dalam tangan Pak Jeli, lembaga hitam itu terpelanting jauh dihembus oleh Aki Sahak. Dia menjerit-jerit kesakitan ketika melayang ke udara ditiup oleh Aki Sahak. Apabila keadaan pulih semula kami pun baliklah membawa Tamin yang masih dalam kebingungan. Kira-kira hampir jam 6.00 pagi barulah kami semua sampai di rumah Sonok. Terasa mengantuk betul mata akibat keletihan dan tidak tidur semalaman.

Semasa dalam perjalanan balik itu sempat Tapa Sungkur bercerita mengenai apa yang dilihatnya. Katanya dia hairan bagaimana Pak Jeli yang sudah berumur itu boleh memanjat pokok petai yang tinggi macam beruang memanjat pokok saja. Dia tidak perlu menggunakan apa-apa, seolah-olah kaki dan tangannya melekat pada pokok berkenaan. Semasa dia membawa Tamin turun dari pokok mudah saja kepadanya seperti menjinjing kapas. Inilah yang menghairankan jiran-jiran yang menyaksikan Pak Jeli menyelamatkan cucunya Tamin. "Kalau macam tu bolehlah ajak Pak Jeli cari petai ke hutan" Tapa Sungkur mengusik. "Bukan selalu boleh buat macam tu..." cepat-cepat Sonok mencelah bila mengenangkan bapa mertuanya boleh memanjat pokok setinggi 30 kaki macam berjalan di atas tanah saja. "Hanya masa-masa tertentu saja dia boleh lakukan macam tu. Kalau saja-saja nak tunjuk mampus tak dapat" katanya menerangkan. "Iya, ini bukan barang permainan..." Aki Sahak pula bersuara keras. "Jangan heboh-hebohkan sangat apa yang kamu lihat tadi. Kalau boleh perkara di pokok tadi, biar habis di pokok saja" dia mengingatkan supaya keanehan yang dilihat sebentar tadi tidak diceritakan kepada orang-orang kampung yang tidak ikut sama.

Saya juga setuju dengan Aki Sahak. Perkara yang berlaku ke atas Pak Jeli yang dilihat boleh memanjat pokok setinggi 30 kaki seperti berjalan di atas tanah, bukanlah satu pertunjukkan sarkas. Ianya digunakan pada masa yang diperlukan saja. Walaupun Tamin dapat dibawa balik tetapi keadaannya masih belum pulih. Semangatnya masih dikuasai oleh lembaga hitam yang melarikannya. Sebab itu dia masih dalam keadaan kebingungan, tidak tahu apa yang terjadi ke atas dirinya. Disebabkan saya tidak boleh lagi menunggu lama di rumah Sonok, saya pun segera balik ke rumah. Lagi pun saya terpaksa bertugas. Bayangkan bagaimana mahu bertugas dalam masa mata terlalu mengantuk tidak tidur semalaman. Perkara mengubati Tamin saya serahkan pada Aki Sahak dan Pak Jeli saja.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®