05 Februari, 2016

Rakyat Berpuas Hati Dengan Kelajuan Internet Di Malaysia benarkah?

Tinjauan Pengguna Mudah Alih Global 2015 edisi Asia Tenggara mendapati 51 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan kelajuan internet pada telefon pintar mereka.

Firma antarabangsa Deloitte mengendalikan tinjauan itu ke atas 5,000 responden dari lima negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, dan Thailand.

Sebanyak 51 soalan mengenai peranti dan perkhidmatan mudah alih dikemukakan kepada responden, dari kawasan bandar dan luar bandar, yang berusia di antara 16 hingga 44 tahun.

Kami mahu lebih data Walaupun rakyat Malaysia rata-rata berpuas hati dengan kelajuan internet, hanya 31 peratus yang berpuas hati dengan jumlah data yang dibekalkan.

Hal ini sekaligus menghantar isyarat kepada syarikat telekomunikasi untuk terus melabur dalam infrastruktur rangkaian bagi meningkatkan kepuasan pelanggan.

WhatsApp paling popular

80 peratus pengguna aplikasi pemesejan segera atau Instant Messaging (IM) di Malaysia memilih WhatsApp sebagai aplikasi IM.

Hal ini berbeza dengan para pengguna IM di Thailand yang memilih LINE, Indonesia (BlackBerry Messenger), dan Filipina (Facebook Messenger).

Sistem bayaran atas talian

Tinjauan ini turut mendapati 78 peratus pengguna teknologi mudah alih Malaysia sanggup menggunakan sistem bayaran dalam talian yang disediakan oleh peniaga, jumlah tertinggi berbanding negara lain seperti Indonesia (68%), Filipina (62 peratus), Thailand (55 peratus), dan Singapura (51 peratus).

Zaman media sosial

Rantau Asia Tenggara juga menyaksikan penggunaan media sosial yang meluas. Dalam 15 minit pertama selepas bangun tidur, lebih separuh pengguna rantau ini telah selesai menyemak telefon pintar dan jumlah ini mencecah 80 peratus di Indonesia dan Filipina.

46 peratus pengguna Singapura pula dilaporkan melihat skrin telefon mereka lebih 50 kali sehari.

Tinjauan kendalian Deloitte ini diadakan secara tahunan dan sudah memasuki tahun kelima.
Copyright © dunia rasasayang ®