05 Mei, 2014

Pengambilan pekerja OKU masih rendah

Sebelum kita membaca petikan akhbar berkaitan kesediaan majikan mengambil pekerja OKU di tempat kerja, elok juga kalau kita fikir-fikirkan beberapa soalan berikut:

  1. Sehingga Mei 2014, berapa peratuskah kerajaan telah memberi peluang kepada golongan OKU bekerja? Untuk rekod, kerajaan telah membuat kenyataan 1% daripada jumlah kakitangan awam terdiri dari golongan OKU.
  2. Benarkah kerajaan melalui kementerian dan jabatan mengamalkan dasar prihatin dengan memberi latihan dan pemulihan yang secukupnya kepada kakitangan awam yang menjadi OKU?
  3. Apakah syarikat-syarikat multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan memberi ruang dan peluang kepada golongan OKU dalam mengisi jawatan di syarikat mereka?

Sekarang mari kita baca petikan akhbar berkaitan ..
KOTA KINABALU 5 Mei - Keyakinan dan kesediaan majikan mengambil Orang Kelainan Upaya (OKU) terlatih sebagai tenaga pekerja masih pada tahap rendah, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Justeru, kata Jainab, majikan perlu mengubah tanggapan kurang sihat itu, dan seterusnya sedia mengambil OKU berasaskan kemahiran mereka.

"Golongan OKU juga mampu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pekerjaan mereka, malahan majikan juga akan mendapat pelbagai keistimewaan seperti potongan cukai pendapatan syarikat," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis penyampaian Sijil Asas Kemahiran Pastri Cheshire di Dewan Serbaguna, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, di sini hari ini.

Katanya, majikan juga harus mewujudkan persekitaran tempat kerja yang mesra OKU.

Bagi kementeriannya, kata Jainab, pihaknya sentiasa memberi bantuan kepada golongan itu untuk memulakan perniagaan dan memberi elaun insentif bagi mereka yang mendapat pekerjaan melalui Skim Geran Pelancaran. - BERNAMA

Sudah acapkali saya menulis, OKU di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain. Panduan sudah ada cuma taring belum ada. Jadilah ia hanya bahan untuk tengok-tengok sahaja.


Copyright © dunia rasasayang ®