29 April, 2014

Pengayuh cacat penglihatan mula kayuhan pecah rekod

Pertamanya saya ingin merakamkan rasa gembira dan tahniah kepada cikgu Shamsul yang bersungguh-sungguh untuk mencipta rekod kebangsaan dalam acara mengayuh basikal yang turut ditemani oleh pembantu.

Cikgu Shamsul yang saya kenali memang seorang yang berjiwa besar. Dia merupakan seorang guru cemerlang (kaunseling) dan terlibat dengan Kementerian secara aktif.

Pertemuan kami kali pertama ketika di MAB dua tahun lepas jika tidak silap. Ketika itu kami berkongsi idea untuk membantu kumpulan guru-guru cacat penglihatan seluruh Malaysia. Tujuan pertemuan kami untuk mencari pencerahan bagaimana untuk terus memajukan kumpulan kecil ini, terutama guru cacat penglihatan yang berada di aliran arus perdana.

Baru-baru ini saya ada ke Negeri Sembilan untuk bercuti, cumanya saya tidak dapat berjumpa dengan cikgu Shamsul ketika itu. Melalui telefon dia menyatakan yang beliau baru selesai sesi latihan mengayuh basikal di tempat lain.

Sekali lagi kita ucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada cikgu Shamsul.

REMBAU 29 April - Tiga Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dan tiga pembantu memulakan kayuhan mereka dari sini ke Putrajaya hari ini untuk mencatat rekod dalam The Malaysia Book Of Records (MBR) bagi kayuhan basikal tandem dengan jarak paling jauh oleh satu kumpulan (cacat penglihatan).

Tiga peserta OKU yang menyertai acara kayuhan basikal tandem selama dua hari dari Rembau ke Putrajaya sejauh 190 kilometer itu ialah Presiden Persatuan Sukan Rekreasi OKU Penglihatan Negeri Sembilan Shamsul Anuar Amat Kasi, 43, Shaharuddin Sidek, 53, dan Mohd Shahir Ramli, 24.

Para peserta dilepaskan oleh Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman di kediaman rasminya di sini. Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr. Awaludin Said serta Pengarah Belia dan Sukan negeri Azura Sarbin.

Acara itu adalah anjuran Persatuan Sukan Rekreasi OKU Penglihatan Negeri Sembilan dengan kerjasama Ghombau Cycling Community Club, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan serta Jabatan Penjara.

Shamsul Anuar berkata acara itu diadakan selepas kejayaan mereka disenaraikan dalam MBR bagi kayuhan basikal tandem dari Rembau ke Rantau sejauh 110 kilometer oleh satu kumpulan (cacat penglihatan) pada Disember 2013. - BERNAMA


Copyright © dunia rasasayang ®