14 November, 2011

60 OKU penglihatan panjat Menara Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Meskipun cacat penglihatan, 60 Orang Kelainan Upaya (OKU) dapat menamatkan cabaran mendaki 2,058 anak tangga Menara Kuala Lumpur di sini dalam masa hanya 45 minit.

Mereka yang berusia antara 18 dan 64 tahun itu menyertai acara anjuran Persatuan bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dengan kerjasama Menara Kuala Lumpur bagi meraikan ulang tahun ke-60 MAB.

(klik butang papar untuk meneruskan bacaan)





Presiden MAB, Prof Datuk Dr Abdullah Malim Baginda, berkata acara hari ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keupayaan golongan itu dalam melakukan aktiviti seperti golongan normal.

"Masyarakat perlu didedahkan tentang kemampuan OKU cacat penglihatan supaya mereka dapat mengubah persepsi terhadap golongan ini," katanya ketika merasmikan penutupan acara itu.

Sementara itu, Yusaini Yusof, 33, adalah peserta pertama yang menamatkan cabaran itu dalam masa 20 minit diikuti Tan Tok Shiong, 53, dan Lee Teik Koon, 49.

Yusaini ketika ditemui berkata, beliau sangat gembira dengan pencapaian itu dan berharap masyarakat dapat menilai kemampuan golongan itu yang mampu menandingi golongan normal.

Sementara itu, peserta paling tua acara itu Goh Kaw Kia, 64, turut gembira dan bangga dengan kejayaannya menamatkan pendakian kurang daripada masa jangkaannya.

"Saya tidak menyangka dapat menghabiskan pendakian hanya dalam masa 30 minit dan ini membuktikan kami golongan OKU penglihatan juga boleh seperti orang lain," katanya.

Setiap peserta menerima pingat dan sijil penyertaan daripada MAB. - BERNAMA

dipetik dari:

berita harian online




0 Ulasan:

+

Artikel Terkini

Copyright © dunia rasasayang ®