10 Ogos, 2011

Kanak-kanak cacat mata petah, pintar

Aliya Izati, 4 tahun tak ENDAU: Aliya Izati baru berusia empat tahun tetapi beliau petah bercakap dan dianggap pintar walaupun tidak mendapat pendidikan khas secara formal selepas kedua-dua matanya cacat sejak dilahirkan.

Namun budak perempuan comel ini yang mempunyai keinginan sama dengan kanak-kanak lain yang seusianya, menunjukkan semangat kuat untuk terus berusaha belajar membaca dengan kekurangan penglihatan. Ibunya, Norzura Abdul Rahman, 29, yang tinggal di Kampung Air Tawar, dekat sini, yang membantu suaminya, Yusri Yunus, 30, selepas berhijrah dari Batu Pahat hampir setahun lalu

(klik butang papar untuk meneruskan bacaan)




khuatir dengan nasib dan masa depan anak keduanya. “Selepas melahirkan Aliya, saya tidak dapat melihatnya selama tiga hari kerana beliau perlu mendapatkan rawatan lanjut dan ketika itu ramai mengatakan anak saya cacat. Ibu mana yang tidak sedih, namun saya terima ketentuan ini kerana Aliya juga mempunyai keistimewaan tersendiri, " katanya.

Katanya, pada peringkat awal doktor mengesahkan anaknya tidak dapat melihat, namun ketika Aliya berusia setahun, beliau bersyukur dan terharu apabila Aliya mula menunjukkan perubahan dengan boleh membezakan keadaan gelap dan terang.

“Saya bersyukur kerana beliau masih dikurniakan sedikit penglihatan pada mata kanan meskipun pada jarak terbatas dan saya sedar lebih ramai lagi kanak-kanak bernasib lebih malang daripada beliau.

“Sejak itu, saya menguatkan iltizam untuk mengadakan latihan berterusan atas nasihat doktor dan hasilnya Aliya mampu berdikari dan belajar lebih cepat daripada kanak-kanak sebaya dengannya. Cuma saya perlukan sokongan seperti mesin Braille untuk sesi pembelajaran beliau, ” katanya.
Norzura berkata, beliau menanggung kos tinggi berulang-alik ke hospital setiap tiga bulan sekali dan tidak mampu menyediakan mesin berkenaan yang dianggarkan bernilai RM5,000 serta rawatan pakar mata selain pemeriksaan kemajuan penglihatan anaknya itu.

“Mungkin ramai pakar yang boleh merawat mata Aliya, namun saya tidak mampu menyediakan kos rawatan yang mungkin mencecah ribuan ringgit selain membeli mesin berkenaan seperti disyorkan oleh bekas guru Pendidikan Khas ketika Aliya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bertam, Batu Pahat dulu.

“Hati saya juga berbelah bahagi ketika mula-mula berhijrah ke sini kerana tiada sekolah khusus untuk Aliya, namun demi mencari rezeki kami sekeluarga terpaksa akur, ” katanya yang bekerja sebagai tukang masak.

Selain menumpangkan Aliya belajar di Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) KEMAS di Kampung Sungai Mengkuang, Norzura juga mengajar dan mengasuh Aliya secara tidak formal di rumah bagi menguatkan lagi ingatannya.

“Bekas gurunya pernah berpesan jangan berhentikan beliau dari sekolah dan terus mendidiknya di rumah kerana mungkin sukar untuk mendapatkan pendidikan formal di tempat tinggal yang baru. Saya juga beberapa kali berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendaftarkan Aliya sebagai kanak-kanak kelainan upaya (OKU) dan hasilnya kini dia didaftarkan sebagai OKU.

“Bagaimanapun Aliya perlu mendaftar dengan Pusat Dalam Komuniti (PDK) atau bersekolah dalam Pendidikan Khas untuk melayakkannya menerima elaun OKU, ” katanya.

Mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh menemui keluarga itu di Kampung Air Tawar, Batu 2, Jalan Mersing-Endau dekat Mersing atau menghubungi 012-768881

petikan Berita Harian



  • kongsikan pandangan anda dengan menggunakan akaun facebook


Copyright © dunia rasasayang ®