15 Ogos, 2011

Dilema penjual tisu orang buta

Baru -baru ini dalam akhbar harian metro terdapat satu tajuk panas yang menjadi topik perbualan terutama dikalangan orang cacat penglihatan.

Bagi yanng terlepas artikel tersebut boleh rujuk sini

Namun apakah kesalahan tersebut harus diletakkan pada golongan OKU itu sendiri?

(klik butang papar di bawah untuk meneruskan bacaan)




Saya tidak mahu memihak kepada mana-mana pihak. Tapi sebagai golongan senasib, saya tercuit menulis untuk kita fikir bersama.

Saya mula mengenali golongan OKU penglihatan pada tahun 2008 apabila saya menyertai Pertubuhan Orang Buta Malaysia (SBM). Di situ saya berjumpa dengan pelbagai lapisan peringkat. Ada yang memegang Doktor falsafah sehinggalah yang bekerja sendiri sebagai penjual tisu. Atau lebih mudah dilihat orang ramai sebagai peminta sedekah.

Bagi saya, nasib kita tidak sama. Saya bernasib baik kerana menjadi seorang guru walaupun cacat penglihatan. Namun cuba tengok rakan-rakan lain yang lebih tua dari saya. Ada yang tidak bersekolah, ada yang tidak tahu membaca dan tidak pula mempunyai kemahiran bekerja. Namun semangat mereka cekal untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan.

Mereka berdaftar dengan JKM namun berapakah bantuan sara hidup yang mereka terima sebulan? RM3000 atau RM300 atau RM150? Namun setakat info yang saya terima mereka yang tidak bekerja hanya menerima sara hidup atau bantuan ehsan RM300 ke bawah.

Mari kita ukur pula dengan keperluan hidup sekarang. Kita ambil kira keperluan asas. Sewa rumah, pakaian dan makanan. Apakah cukup dengan RM300 itu?

Bekerja.

Apakah pekerjaan sesuai yang boleh mereka lakukan tanpa kemahiran dan akademik?

Saya tidak akan membuat kesimpulan namun tuan-tuan dan puan-puan fikirlah sejenak. Saya suka berkongsi pandangan yang dilontarkan oleh rakan-rakan melalui perbincangan dalam kumpulan seperti berikut:


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya pun amat bersetuju dan sependapat dengan Shafiq, kak Ros dan saudara kita Eu Khoon. Sayangnya saya tak berkesempatan mendengar berita tersebut sama ada bahagian satu mahupun bahagian dua. Namun pokok persoalan di sini adalah perbuatan meminta sedekah oleh orang buta yang dengan kerjasama warga asing atau rakyat Malaysia sendiri. Sebenarnya perbuatan meminta sedekah tu bukan melibatkan orang buta saja tapi orang awam
selain warga asing pun ramai yang melakukan pekerjaan tersebut di seluruh negara Malaysia.

Di Sabah sendiri ada orang awam yang sanggup menipu orang ramai dengan meminta sedekah demi mencari pendapatan harian. Yang kesian anak-anak yang naif dan masih mentah pun turut diheret ke sana ke mari untuk mendapat
simpati orang ramai. Tak cukup meminta sedekah di tempat awam seperti restoran, kaki lima kedai dan ruang legar pasaraya dan tempat membeli-belah, tapi tak segan-segan naik ke pejabat kerajaan dan swasta untuk meminta sedekah.

Ada yang suka menggunakan nama orang tertentu seperti di Sabah, mengaku diri
sebagai saudara sipulan dan sipulan orang kenamaan bila datang meminta di pejabat. Ada lagi yang kata bapa saya baru meninggal dunia, jadi saya perlukan duit untuk berbelanja. Ada yang kata, anak buah saya kemalangan, sekarang ada di rumah tapi saya tak ada duit nak ke hospital. Itu bukan orang buta, orang muda, lelaki dan sihat walafiat lagi. Kalau sorang bagi seringgit saja pun, dia boleh memperolehi beratus ringgit dalam sehari jika banyak pejabat dan orang awam dikunjungi dan ditemuinya untuk meminta sedekah.

Sebenarnya orang buta sendiri dah cuba membaiki keadaan masing-masing dari semasa ke semasa kerana berasa kurang senang jika asyik bekerja meminta sedekah saja. Jika dulu ada di kalangan rakan-rakan buta kita bekerja "menembak" dari rumah ke rumah atau dari pejabat ke pejabat, selang beberapa tahun keadaan itu dihentikan dan digantikan dengan menjual
tisu. Ada juga yang bermain muzik di kaki lima dan sebagainya, ada yang "hello encik" macam yang saya sendiri pernah lakukan. Bagi orang ramai biarpun
kita membawa barangan untuk dijual atau "Hello Encik", mereka tetap pandang kita sebagai meminta sedekah. Saya tak pernah memandang hina dan serong terhadap para peminta sedekah, malah saya sendiri mengajar anak-anak saya untuk memberi berapa saja duit yang mereka mampu sedekah jika bertemu para peminta sedekah di mana-mana. Jadi walau ada dua puluh sen dalam tangan, anak saya akan memasukkannya ke dalam tabung orang yang berkenaan.

Kalau kebetulan anak saya
tak ada duit, dia akan meminta seringgit daripada saya lalu memberitahu bahawa ada orang sedang duduk di kaki lima dengan biola, harmonica atau duduk-duduk
saja dengan tabungnya.

Menyedari betapa seriusnya masalah ini di kalangan kita, maka itu sebabnya adanya inisiatif rakan-rakan kita untuk menubuhkan persatuan seperti Persatuan Bekerja Sendiri dan Pertubuhan Pembangunan OKU Buta Malaysia. Keadaan sekarang bertambah teruk bila khidmat sebagai operator telefon
dan jurutrengkas tidak lagi diperlukan memandangkan adanya kemudahan teknologi seperti komputer dan answering machine.

Mahu tidak mahu pekerjaan sebagai Juru Urut menjadi pilihan untuk diceburi atau guru bagi mereka yang berkelayakan. Namun perniagaan reflekslogi dan mengurut pun semakin banyak mendapat saingan dengan tukang-tukang urut persendirian dari Filipina dan Indonesia terutamanya dan juga beberapa lagi negara lain. Rumah urut di kotaraya tumbuh bak cendawan lepas hujan hinggakan pendapatan rakan-rakan kita dalam bidang urut dan reflekslogi semakin merosot.

Graduan-graduan di kalangan kita pun dah ramai dan mahu tak mahu profesyen perguruan saja lah terpaksa menjadi pilihan atau pensyarah kerana bidang lain amat sukar untuk kita tembusi akibat tanggapan dan stigma orang ramai terhadap kebolehan dan kemampuan pekerja OKU.

Malah seorang profesor cacat penglihatan sendiri pernah mengakui bahawa sebuah uuniversiti tempatan mengambil masa sepuluh bulan untuk mempertimbangkan permohonannya untuk menjadi pensyarah di fakulti universiti tersebut. Dalam tempoh sepuluh bulan itu profesor itu bukan berdiam diri menunggu jawatan datang menggolek untuknya tapi berusaha sehabis daya untuk membuktikan kemampuan, kebolehan dan kelayakan yang ada padanya kepada pihak berkuasauniversiti itu. Tengoklah persepsi rakyat Malaysia.

Banyak duit sendiri perlu kita keluarkan untuk ke sana ke mari untuk mencari pekerjaan. Permohonan orang buta kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia biasanya ditolak tanpa alasan konkrit bila mengetahui pemohonnya adalah orang buta. Masihkah kita boleh salahkan orang buta yang terpaksa meminta sedekah dan bekerja sendiri itu? Mungkin ada segelintir yang bersikap pasif dalam mencari pekerjaan tetap dan lebih selesa hidup sebagai peminta sedekah, namun itulah lumrah alam, bukan semua insan mempunyai tahap pemikiran dan keintelektualan yang serupa.

Orang awam yang memberi pun ada yang ikhlas, simpati dan baik terhadap mereka yang bekerja sendiri itu, ada juga yang bersikap selamba dan memandang hina terhadap rakan-rakan
kita yang berkenaan. Namun rata-rata rakyat Malaysia memang pemurah dan bersikap perihatin terhadap para peminta sedekah.

Benar kata Shafiq, pekerjaan meminta sedekah atau bekerja sendiri tu dilakukan dengan menggunakan titik peluh mereka sendiri, bukannya duduk menunggu setempat sambil menadah tangan atau tabung mengharapkan simpati orang ramai.
Mereka perlu berjalan ke sana ke mari dan perlu bercakap bila melakukan hal tersebut. Naik turun kenderaan awam pula perlu belanja juga. Jadi sebahagian daripada pendapatan harian itu digunakan untuk tambang perjalanan. Sekurang-kkurangnya pendapatan pemandu
teksi akan naik bila ramai orang buta menggunakan teksi sebagai kenderaan untuk bergerak ke sana ke mari. Bukankah selain menerima mereka pun turut menyumbangkan pendapatan kepada para pemandu teksi dan penjaja kecil seperti di kawasan Brickfields tu! Selebihnya adalah untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Itulah pendapat saya yang tulus ikhlas tentang isu bekerja sendiri di kalangan orang buta. Bagi kita yang mempunyai pekerjaan seadanya, sepatutnyalah kita bersyukur dengan nikmat Allah dan ringan-ringan kan lah hati dan tangan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang lebih susah nasibnya berbanding diri kita.
Hari ini hari mereka, hari esok mungkin giliran kita ditimpa musibah kerana diberhentikan kerja dan sebagainya, maka janganlah memandang hina kepada mereka
yang bekerja sendiri itu. Terima kasih kepada yang sudi membaca email saya dari awal hingga akhir. Maaf atas segala keterlanjuran dalam berbicara atau
kekasaran bahasa yang tak disedari ketika mengeluarkan pendapat peribadi ini. Salam Ramadhan Al-Mubarak . Wallahu Alam Bissawab,
WWassalam.




Kita tak mengalami keadaan tu kita tak boleh menyalahkan mereka. Ada sebab mengapa mereka berbuat demikian. Semua orang termasuk saya tidak mahu dipandang hina. Tak semua orang bernasib baik seperti kita bahkan kita pun tak kan bernasib baik sepanjang masa. Atas desakan hidup kadang-kala kita
terpaksa melakukan sesuatu yang kita sendiri tidak suka atau rela. Namun saya pasti apa yang mereka lakukan tidak menyalahi kerana sekurangnya mereka
berusaha dan tidak hanya memeluk tubuh menunggu sahaja apa yang datang pada mereka. Banyak atau sedikit bukan soalnya, soalnya sekarang apakah kita selama ini telah cuba membantu mereka keluar dari kepompong itu?? Kita tidak boleh hanya menunding jari pada mereka bila berlaku perkara sebegini sedangkan kita sendiri selama ini tidak sedikit pun mengambil tahu, membantu dan cuba membawa mereka keluar dari masalah itu.

Semua orang boleh bersuara dan menyatakan itu dan ini sedangkan jalan penyelesaiannya masih kabur.
Jika benar ada jalan penyelesaiannya, saya menyeru agar sesiapa yang tidak suka, tidak mahu dan tidak rela membiarkan mereka terus berada dalam situasi sedemikian memberikan bantuan yang sewajarnya untuk mereka meneruskan kehidupan seperti kita.

Semua orang boleh bersuara dengan menyatakan ketidakpuasan hati masing-masing tetapi sedarkah kita, kita berada dalam komuniti yang sama dan ia sedikit
sebanyak memberikan gambaran yang tidak baik sedangkan kita sebenarnya perlu memberikan sekurang-kurangnya pendapat bagaimana untuk menyelesaikannya dan bukannya hanya mencari kesalahan semata-mata.




  • kongsikan pandangan anda dengan menggunakan akaun facebook



Copyright © dunia rasasayang ®