15 Mei, 2011

Berita gembira buat guru esok!

Semalam saya ada memuatkan petikan akhbar mengenai keluh kesah guru (rujuk sini) mengenai skim perkhidmatan mereka. Namun siapa sangka, mungkin esok ada khabar berita untuk semua guru.

Itulah yang dilaporkan dalam Utusan hari ini. Tan Sri Muhyiddin bakal mengumumkan khabar gembira buat guru sempena sambutan Hari Guru esok. Bagi saya, langkah ini disambut baik namun siapakah yang bakal menikmati khabar gembira tersebut? Semua guru atau golongan tertentu? Sama-sama kita nantikan esok.

Bagi anda yang terlepas petikan akhbar hari ini, sila klik butang papar:



KUANTAN 14 Mei - Para guru bakal menerima berita gembira apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu beliau akan mengumumkan
sesuatu untuk mereka sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengumuman tersebut akan menyuntik semangat para guru yang sanggup berkorban demi mendidik anak bangsa.

"Insya-Allah ada berita baik akan diumumkan kerana peranan guru amat penting bukan sahaja mendidik tetapi membangunkan negara dalam semua bidang.

"Paling utama ialah soal menyediakan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan sasaran menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020,"
katanya pada sidang akhbar di majlis bersama warga pendidik, pertubuhan bukan kerajaan dan penduduk mukim Beserah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Muhyiddin memberitahu, kerajaan telah menggariskan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang akan menyediakan peluang pekerjaan serta tenaga kerja terlatih
dalam semua bidang.

Katanya, terdapat 12 sektor ekonomi perlu diisi dengan tenaga kerja terlatih yang merupakan cabaran besar untuk disediakan dalam tempoh 10 tahun akan datang
dan menuntut komitmen padu daripada warga pendidik.

Tambahnya, tugas guru bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi menerapkan sifat baik, berakhlak dan berbudi pekerti kepada pelajar.

Justeru katanya, dalam tempoh akan datang, Kementerian Pelajaran akan membantu warga pendidik daripada segi kebajikan guru, perjawatan, peralatan dan infrastruktur
bagi membantu meningkatkan kecekapan guru dalam pengajaran.

*Apakah agaknya berita gembira itu?

utusan online, 15/5/2011

Copyright © dunia rasasayang ®