Goalball permainan mencabar bagi orang buta
DENGAN mata yang ditutup gogal hitam, keadaan sekeliling bagi Jesper Blomqvist dan Dominic Matteo menjadi gelap gelita. Tiada langsung cahaya yang dapat
dilihat. Kaki yang sebelum itu pantas melangkah, mula menapak perlahan.
Kedua-dua pemain bola sepak legenda dari Manchester United (MU) dan Liverpool itu kemudian dipimpin ke hadapan tiang gol masing-masing. Tiang gol sepanjang
sembilan meter itu adalah ukuran penuh sisi lebar gelanggang yang seluas 162 meter persegi.
klik butang "papar" untuk meneruskan bacaan dan menonton perlawanan goalball
Sedia menanti mereka adalah empat pelajar yang turut memakai penutup mata dan akan berganding bahu untuk beraksi dalam permainan goalball iaitu sejenis
sukan berkaitan bola yang direka khas untuk golongan cacat penglihatan.
Sukan itu memerlukan tiga pemain untuk dua pasukan yang beraksi. Setiap pasukan akan cuba untuk menjaringkan gol dengan cara melontar bola khas yang mempunyai
loceng di dalamnya ke gawang lawan.
Walaupun ia kelihatan mudah, namun apabila seorang yang baik penglihatan bertukar menjadi si buta, segala-galanya berubah.
** video di atas adalah contoh demo perlawanan goalball.
Kelincahan Blomqvist dan Matteo ketika beraksi di padang tidak lagi wujud sebaliknya apa yang dapat dilihat hanyalah pergerakan sangat perlahan dan teraba-raba
walaupun cuma untuk bergerak satu kaki ke hadapan.
DALAM permainan goalball penonton perlu sentiasa senyap kerana pemain bergerak berpandukan bunyi loceng yang diletakkan di dalam bola.
“Permainan ini terlalu sukar. Pertama kali mencubanya membuatkan saya bersyukur apabila mempunyai penglihatan sempurna. Meskipun hanya beraksi kurang 20
minit, tetapi ia sangat mencabar.
“Pelajar-pelajar ini sungguh hebat. Di sebalik kekurangan yang dialami (cacat penglihatan), tetapi mereka mampu bermain dengan begitu baik,” kata Blomqvist
yang berjaya menyumbang beberapa gol untuk pasukannya.
Dalam perlawanan goalball yang berlangsung di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, Kuala Lumpur itu, pasukan Blomqvist (MU) berjaya
menewaskan Matteo (Liverpool) dengan keputusan 8-2.
Sukan mencabar
Sementara itu, Matteo yang baru ‘menggantung but’ daripada arena bola sepak Liga Perdana England (EPL) tahun lalu, mengakui betapa sukarnya menjadi orang
buta.
‘Kehilangan’ pancaindera penglihatan dalam tempoh yang sesingkat itu juga telah membuatkan dia berasa tidak tentu arah hingga membataskan pergerakan.
“Mula-mula nampak mudah, tetapi apabila mata sudah ditutup semuanya menjadi tidak keruan. Namun, kerjasama yang diberikan ahli pasukan saya sangat dihargai.
Meskipun kami tewas tetapi ia satu pengalaman yang cukup bermakna bagi saya,” tutur Matteo yang kini berusia 36 tahun.
Kehadiran Blomqvist dan Matteo ke sekolah tersebut merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Standard Chartered Bank Malaysia (Standard
Chartered).
Ia bertujuan bagi mempromosikan projek mereka yang menyasarkan untuk menangani kebutaan yang boleh dicegah atau dipanggil Seeing is Believing (SIB).
PERMAINAN ini mengajar Matteo betapa hidup tanpa daya penglihatan bukanlah mudah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Standard Chartered, Arif Siddiqui, kekurangan diri tidak boleh menjadi alasan untuk manusia gagal mencapai potensi
diri dengan sebaik mungkin.
“Justeru, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menguatkan dan membolehkan mereka menjadi yang terbaik yang mereka dapat. Ini boleh dilakukan dengan melengkapkan
mereka dengan peralatan yang diperlukan sekali gus menjadi individu bermaklumat dan sempurna,” ujar Ariff.
Dalam pada itu, Pengetua SM Pendidikan Khas Cacat Penglihatan Setapak, Che’ Fatimah Che’ Abdullah, 57, melahirkan rasa gembira di atas kesudian pihak Standard
Chartered membawa dua pemain bola sepak legenda EPL menjejakkan kaki ke sekolah mereka.
“Melalui acara sebegini, ia mampu memberi motivasi kepada pelajar-pelajar agar tidak berasa rendah diri dengan kekurangan yang ada. Malah, ia juga membuatkan
para pelajar rasa dihargai dan disayangi masyarakat,” kata Che’ Fatimah.
Selain perlawanan persahabatan goalball, pihak sekolah turut menyediakan beberapa persembahan istimewa yang dipersembahkan oleh pelajar yang berbakat seperti
nyanyian, dikir barat dan persembahan muzik.
BAKAR SEMANGAT. Barangkali itu yang dibisikkan bekas pemain tersohor MU, Blomqvist kepada salah seorang pemainnya dari SM Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan).
Lawatan dan kehadiran Blomqvist dan Matteo ke sekolah tersebut diadakan bersempena Kejohanan Bola Sepak Piala EPL Masters Malaysia 2011 tajaan Standard
Chartered yang akan berlangsung pada 13 Mac ini di Stadium Putra Bukit Jalil.
Sebanyak empat pasukan akan bertanding bagi merebut piala tersebut iaitu Liverpool Masters, MU Masters, EPL All Stars Masters dan Malaysian Masters. Semua
pemain merupakan bekas-bekas pemain yang pernah beraksi bersama pasukan masing-masing dalam saingan EPL.
Tiket-tiket berharga RM33 untuk menyaksikan perlawanan boleh dibeli secara dalam talian melalui Fatdeal Ticketing di www.fatdeal.com.my dan Fatdeal Outlets
di Victoria Music Centre (Sungei Wang, Amcorp Mall, Tropicana City Mall dan Bangsar Shopping Complex).
"klik sini untuk jadi rakan facebook saya"
Artikel Terdekat