14 Disember, 2010

Iktiraf peranan OKU

CABARAN paling besar golongan orang kurang upaya (OKU) di Malaysia pada hari ini adalah mendapat peluang pekerjaan. Faktor yang menghalang OKU di Malaysia mendapatkan pekerjaan termasuklah sikap negatif dan diskriminasi ekoran kurangnya kesedaran mengenai keupayaan golongan tersebut.








CABARAN paling besar golongan orang kurang upaya (OKU) di Malaysia pada hari ini adalah mendapat peluang pekerjaan. Faktor yang menghalang OKU di Malaysia mendapatkan pekerjaan termasuklah sikap negatif dan diskriminasi ekoran kurangnya kesedaran mengenai keupayaan golongan tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, masalah lain yang dihadapi golongan OKU di Malaysia adalah peluang yang terhad untuk mendapatkan latihan, maklumat dan perkhidmatan sokongan seperti alat sokong bantu serta khidmat panduan kerjaya.

''Masyarakat khususnya golongan majikan perlu merubah sikap dengan memberikan fokus kepada keupayaan golongan OKU dan bukannya kekurangan atau ketidakupayaan mereka. Bagi membantu warga OKU Malaysia memiliki pekerjaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat giat melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran dan kepekaan majikan berhubung pekerjaan bagi golongan tersebut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Hari Kurang Upaya 2010.

Antara langkah yang diambil untuk memastikan golongan OKU tidak ketinggalan adalah menetapkan semua kementerian dan agensi kerajaan supaya mencapai dasar satu peratus peluang pekerjaan kepada OKU dalam sektor awam. Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan Job Coach bertujuan membantu suai padan pihak majikan dan OKU yang memerlukan pekerjaan. Job Coaching turut melibatkan latihan dan sokongan kepada pekerja OKU untuk membantu mereka menjalankan tugasan dan diterima oleh komuniti tempat kerja.

Tambah Shahrizat, satu lagi cabaran yang menjadi halangan kepada golongan OKU untuk mendapatkan pekerjaan adalah kekurangan bangunan dan pengangkutan awam yang mesra kepada golongan berkenaan. Terdapat pelbagai halangan fizikal kepada golongan OKU baik di dalam atau di luar sesebuah bangunan, di perhentian bas dan teksi. ''Keadaan tersebut menghalang OKU daripada menjalankan aktiviti harian dan berulang-alik ke tempat kerja. Semua masalah ini perlu ditangani secara serius jika kita benar-benar tidak mahu meminggirkan OKU dalam masyarakat dan arus pembangunan negara," jelasnya.

Bagi meningkatkan aksesibiliti golongan OKU di bangunan-bangunan, tambah beliau, Majlis Kebangsaan Bagi OKU menganjurkan seminar aksesibiliti kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) semua negeri dan menyediakan indeks rekaan sejagat untuk para arkitek. Antara tindakan yang dilaksanakan supaya sistem pengangkutan negara lebih mesra OKU termasuklah penyediaan garis panduan untuk pengangkutan bas mesra OKU serta penggunaan bas yang mesra OKU oleh Rapid KL mulai tahun depan.

Kata Shahrizat, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan 10 peratus penduduk sesebuah negara adalah terdiri daripada OKU. Berdasarkan anggaran ini, Malaysia dianggap mempunyai 2.8 juta OKU. ''Bagaimanapun statistik pendaftaran OKU sehingga Ogos 2010 hanya mempunyai 313,685 OKU yang berdaftar dengan JKM. Ia nyata jauh lebih rendah daripada anggaran WHO. Ini bermakna masih ramai rakyat Malaysia yang kurang upaya dan belum berdaftar dengan JKM," jelasnya.

Tambah beliau, kempen pendaftaran OKU bertujuan membolehkan warga OKU Malaysia diambil kira dalam perancangan program dan perkhidmatan bagi pembangunan OKU. '' Kerajaan perlu mengetahui bilangan OKU sebenar, kategori tidak upaya mereka dan lokasi tempat tinggal mereka. Semua ini adalah penting dalam merancang program dan menyediakan kemudahan yang sesuai dan bertepatan dengan keperluan OKU.

''OKU yang berdaftar boleh menikmati pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan sektor swasta. Kemudahan yang boleh dinikmati oleh OKU berdaftar adalah bantuan alat tiruan dan alat sokong bantu, elaun pekerja cacat, dokumen perjalanan percuma, rawatan percuma di hospital kerajaan, pengecualian duti eksais untuk kenderaan nasional, pengecualian cukai jalan dan konsesi tambang pengangkutan awam," katanya.

Hari OKU mula disambut di Malaysia pada 1981 sebagai Sambutan Antarabangsa Orang Cacat. Ia disambut bersama negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lain. Pada 1992, PBB mengisytiharkan 3 Disember sebagai Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa. Mulai 3 Disember 1994, Malaysia mengadakan sambutan Hari OKU peringkat kebangsaan setiap tahun. Tema sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Kebangsaan 2010 adalah 1Malaysia: Aksesibiliti dan Pekerjaan Untuk OKU. Tema berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan untuk melibatkan penyertaan semua golongan masyarakat termasuk OKU dalam pembangunan negara melalui aksesibiliti dan pekerjaan.

Melalui kemudahan pekerjaan, golongan OKU dapat menyumbang kepada ekonomi negara, tidak terpinggir dan ketinggalan dalam masyarakat. Ini merupakan kali pertama sambutan hari orang kurang upaya diadakan di luar Kuala Lumpur bagi membawa sambutan lebih dekat dengan rakyat. Melaka dipilih pada kali ini bersesuaian dengan sambutan Melaka Maju 2010. Infrastruktur dan prasarana terbaik yang disediakan di negeri Melaka perlu memberikan perhatian kepada golongan OKU. Sambutan Hari OKU mungkin akan diadakan di negeri-negeri lain pada tahun berikutnya.

Antara program dan aktiviti yang berlangsung sempena sambutan tersebut termasuklah pameran, persembahan warga OKU, penyampaian anugerah usahawan OKU dan pelajar OKU cemerlang, temuduga pekerjaan untuk OKU serta kempen pendaftaran OKU.

Sambutan Hari OKU Kebangsaan memberi makna yang besar kepada golongan OKU di Malaysia kerana ia membuat mereka berasa dihargai, dihormati dan meningkatkan kesedaran masyarakat supaya memberi lebih perhatian kepada isu-isu berkaitan golongan tersebut. Ia juga merupakan satu bentuk pengiktirafan kerajaan bahawa golongan OKU merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat. Diharapkan sambutan pada kali ini mencapai objektif.

sumber: Utusan-rencana





Copyright © dunia rasasayang ®