16 September, 2008

Pelangi Petang siri 09

“Betul ke ni cikgu? Saya tak percayalah saya dapat 13 agregat” soalku ingin kepastian

“Betul Azhar, kamu dapat 13 agregat.. tapi bukan kamu best student” jelas cikgu Ayu

“Cikgu rasa bangga sangat sebab kamu dah pecahkan rekod sekolah ni” tambah cikgu Ayu semangat dengan nada ceria.







“pecah rekod? Saya tak fahamlah cikgu” tanyaku lagi

“Macam ni, kamu datang sekolah ambil keputusan sekarang .. bila kamu nak datang?” tanya cikgu Ayu

“Mungkin esok cikgu .. sekarang ni saya tengah kerja la cikgu.. mungkin esok pagi kot” terangku pada cikgu Ayu.

“Okeylah, esok kamu tengok sendiri keputusan kamu” balas cikgu Ayu menutup bicara

Aku akhiri perbualan itu dengan perasaan yang sungguh gembira. Aku jadi serba tak kena nak buat kerja. Aku masuk ke pejabat stor semula untuk meneruskan kerjaku. Aku berkata kepada encik Siva mengenai hasratku untuk bercuti esok hari. Aku katakan yang aku mahu ambil keputusan SPM. Dia tidak membantah tetapi ada juga bercakap selamat berjaya kepadaku. Aku tidak memberitahunya kerana aku masih mahu menentukan sama ada keputusan itu sahih atau tidak. Aku akan memberitahunya jika dia bertanya akan perkara itu.

Hubungan aku dengan encik Siva kini semakin baik. Aku mula mengetahui, encik Siva ni juga orang susah. Gajinya bukan besar mana walau dah lama kerja di situ. Mungkin minggu ketiga aku bekerja, encik Siva sudah boleh menerima aku . Lagipun dia bukanberpangkat besar sangat. Sama saja seperti aku.

Aku dan Shahrul Hisyam sama-sama mengambil cuti hari keesokkannya. Pagi itu aku bangun awal dan berkata kepada ibuku yang aku ingin mengambil keputusan peperiksaanku. Ketika itu ibuku sedang sibuk menguruskan persediaan masakan pagi di kedai makan milik ayahku.

Ayahku telah membuka kedai makan itu kira-kira dua tahun yang lalu. Dari segi pelanggan, kira okeylah tapi tidaklah seramai pelanggan di bandar besar. Kedai kampung sahaja. Antara makanan yang dijual dan mendapat sambutan adalah pulut ikan kering, nasi lemak rendang daging, bihun dan mi goreng serta kuih muih. Manakala ayahku akan pergi menoreh seperti biasa.

Aku akui, ibuku memang pandai memasak kerana ibuku selalu dijemput untuk menjadi ketua masakan apabila ada kenduri kendara. Orang tak akan mula masak kalau mak aku tak ada. Kata orang mak aku pandai menentukan rasa. Dari ceritanya, dia dah belajar hidup berdikari seawal umur 7 tahun. Sewaktu zaman dulu, hidup susah dan anak perempuan wajib tahu memasak. Tidak macam sekarang, semuanya “ready made”

Aku bukan nak memuji sebab dia ibuku tapi aku bercakap dari pemerhatian dan apa yang aku dengar dari orang tua di kampung aku.

“mak, saya tak pergi kerja hari ini”

Aku memulakan bicara di pagi itu ketika ibu aku sedang sibuk menyusun barang. Aku membantu mengangkat masakan dan barang-barang dari rumah ke kedai makan ayahku. Kedai makan itu hanya terletak di depan rumahku. Itulah rutin setiap hari. Bangun seawal jam 6 pagi dan mengangkat barang-barang itu sebelum pergi ke sekolah mahupun ke tempat kerja selepas aku tamat alam persekolahan.

“kenapa hang tak pi kerja” tanya ibuku.

“Mak dah siapkan bekal hang tu” bicara ibuku lagi. Aku tengok dia amat sibuk dan sangat memberi tumpuan pada kerjanya. Dia memang bertungkus lumus untuk membesarkan kami.

“saya nak pi ambil keputusan periksa la mak”

“dah keluar ke keputusan periksa hang.. mak tak tau pun” tambah ibuku

“dah mak . semalam, tapi hari ni baru saya nak ambik.. semalam kan kerja”aku memberi penjelasan kepada ibuku. Memanglah ibuku tak tau sebab dia bukan ada masa nak tengok tv sangat, sibuk dengan kuih muihdanpersediaan masakan dia setiap awal malam hinggalah larut malam. Kemudian awal pagi dah bangun. Sungguh besar pengorbananmu ibu.

“mak doakan hang dapat keputusan yang baik, ini sajalah yang dapat membantu masa depan hang.. mak tak mau hang susah bila mak dah tak ada nanti” bicara ibuku dengan nada yang sebak.. aku tahu dia sudah menangis dalam diam.

“insyaallah mak .. tapi mak, saya minta maaf kalau tak dapat keputusan yang baik”

“ saya dah buat sebaik mungkin” tambahku. Aku sengaja tidak mahu memberitahu ibuku lagi kerana ingin membuat kejutan kepada keluargaku. Lagipun itu bukanlah keputusan yang sangat baik kerana aku mensasarkan untuk mendapat 10 agregat.

Bukan niatku untuk bangga diri dengan keputusan yang aku terima, Cuma sekadar berkongsi pengalaman ini dengan pembaca, Aku sedar .. apalah yang hendak dibanggakan dengan keputusan ini. Keputusan orang lain lebih baik dariku.

Aku sampai ke sekolah pagi itu seorang diri. Pada waktu itu terdapat beberapa orang pelajar lain sedang mengambil keputusan masing-masing. Terdapat beberapa orang guru yang sedang bertugas untuk memberikan slip peperiksaan kepada pelajar atau ibu bapa yang datang. Aku meninjau cikgu Ayu di bilik guru dan ternyata dia ada di situ. Aku menhampirinya dan memberi salam. Cikgu Ayu meminta aku duduk dan memberi slip peperiksaan kepadaku. Aku membelek-belek dengan dekat slip itu. Sah! Aku dapat 13 agregat.

“tahniah Azhar, kamu dah buktikan kepada semua” lontaran suara cikgu Ayu memecah kosentrasi aku membelek slip itu.

“Kamu dah pecah rekod sekolah ini dalam dua matapelajaran” tambah cikgu Ayu

“subjek geografi kamu dapat A2 dan tidak ada pelajar sebelum ini pernah dapat gred itu”

“lagipun kamu baru belajar 8 bulan sahaja kan subjek ini?”. Aku mengangguk tanda bersetuju.

Memang benar aku hanya belajar lapan bulan sahaja subjek ini kerana disebabkan peristiwa aku terpaksa tukar dari aliran sains ke aliran sastera.

“Kamu juga dapat A1 dalam subjekEkonomi Asas .. sudahtentu cikgu Hadi akan bangga dengan kamu. Sebelum ni tiada siapa yang pernah dapat A1” cikgu Ayu berkata lagi.

“Terima kasih cikgu, berkat doa dan didikan cikgu dan semua waraga guru di sekolah ini.. saya tidak akan lupakan” Ya, aku tidak akan pernah lupa kepada guru-guru yang telah banyak mencurah bakti dan tenaga agar kami berjaya. Aku juga dapat A2 dalam matapelajaran sastera yang baru aku ambil itu.

Barisan guru-guru yang telah mengorbankan masa dan tenaga untuk mendidik kami. Aku akan kenang mereka. CikguRahayu, Cikgu Rezana, Cikgu Hadi, Cikgu Nasir, Cikgu Mokhtar, Cikgu Aziz, Cikgu Rohani, Ustazah Salmah danbanyak lagi… semuanya aku tidak akan lupa sampai akhir hayatku.

“lepas ni kamu isi borang masuk universiti bila borang UPU dah keluar” pesan cikgu Ayu sebelum aku meninggalkan bilik guru itu.

“Baiklah cikgu, saya tidak akan lupa itu” “Nanti saya telefon cikgu ya.. “

“Okey.. “ jawab cikgu ringkas

Aku pulang dengan sekulimit senyuman dan terus memberitahu ibuku mengenai berita gembira ini. Ibuku tidak terkejut kerana dia yakin aku akan mendapat keputusan yang baik. Begitu juga ayahku, dia hanya tenang sahaja. Tiada sambutan atau hadiah besar, tiada majlis keraian sekadar berlalu seperti detik jam berlalu. Cuma ayah dan ibuku bersyukur kerana aku telah melepasi satu halangan dalam hidupku. Mereka masih risau kerana banyak lagi cabaran dunia yang akan aku tempuhi.

Hari-hari yang berlalu, aku masih lagi bekerja kilang sehingga hujung bulan. Aku akan berhenti kerja kilang hujung bulan kerana aku akan bersedia untuk dipanggil mendaftar diri di mana-mana pusat pengajian tinggi. Itupun sekadar ramalan sahaja dan aku yakin aku akan dapat masuk ke universiti nanti.

Seperti pelajar lain, masing-masing akan sibuk mengisi borang permohonan kemasukan ke universiti. Aku pun mengisi borang itu dengan berhati-hati agar tidak membuat kesilapan. Aku masih ingat aku sentiasa memriksa dan memeriksa borang yang aku isi itu berkali-kali .

Minggu-minggu yang seterusnya setelah aku berhenti kerja, aku hanya menunggu seperti buah yang tak jatuh. Setiap hari aku akan bertanya kepada mak sama ada posmen dah masuk ke belum? Aku cukup bimbang jika aku tidak ditawarkan ke universiti.

Saat tidak melakukan apa-apa pekerjaan cukup membosankan. Aku sekadar menolong ayah di kebun dan menolong mak menyiapkan rutin harian beliau. Aku menunggu dan terus menunggu. Waktu itu, aku dan rakan –rakan yang lain seperti Rizal, Madi, Azam dan Shah sering berbual mengenai masa depan apabila tiba waktu petang.

Keputusan permohonan sudah tiba, aku ditawarkan untuk menyambung pelajaran di bidang Diploma Pengurusan Perniagaan di ITM Segamat. Tetapi bukan itu yang aku tunggu. Aku masih menunggu keputusan untuk belajar dalam bidang ijazah.

Rakan-rakan yang lain sudah mendapat tahu keputusan masing-masing dan aku masih terus menanti. Aku semakin resah kerana tarikh akhir untuk mengetahui keputusan semakin hampir. Maknanya jika tiada jawapan dalam tempoh terdekat maka mahu tidak mahu aku terpaksa menerima sahaja keputusan masuk ke ITM itu.

Detik semakin pantas berlalu dan aku semakin gelisah. Akhirnya di suatu petang ketika aku duduk di halaman rumah, berita gembira itu datang juga. Sememangnya aku duduk di halaman rumah di bawah pokok itu menunggu kedatangan posmen.

Aku telah ditawarkan ke matrikulasi Universiti Utara Malaysia.

Bersambung. :-)

0 Ulasan:

+

Terbaru ...

Copyright © dunia rasasayang ®