06 Julai, 2000

PEREMPUAN MEMBASUH DI TENGAH MALAM

Selalu orang bertanya mengapa makhluk-makhluk halus selalunya muncul pada waktu malam, kenapa tidak pada siang hari? Perkara ini mudah dijawab sekiranya orang-orang ini memahami surah Al Falaq. Hanya pada malam harilah manusia mudah terlalai, dan ketika inilah syaitan mencari kesempatan dari kelalaian manusia. Sebab itulah Allah mengingatkan manusia supaya bertasbih di sebelah malam hari dan kurangkanlah tidur.
Hal tidak percaya ujudnya syaitan inilah menyebabkan Cikgu Salim kelu tidak dapat bercakap ketika ke sungai pada sebelah malam hari. Dia ke sungai berdekatan dengan surau kampung untuk mengambil wuduk. Memang di sungai itulah orang-orang kampung yang berjemaah di surau mengambil wuduk.
Cikgu Salim memang tidak percaya sekiranya Usup tukang kebun sekolah bercerita mengenai hantu. Dia tetap berpendapat adalah karut dan tahyol mempercayainya. Pernah juga dia bertanyakan kepada saya samaada percaya adanya hantu. Mula-mulanya malas juga saya mahu melayan dia, tetapi kemudiannya saya menyuruh dia memahami akan maksud:
‘auzubillahi minasy syaitan nir rajim.
“Apabila ayat itu diturunkan oleh Allah, maka bererti makhluk itu ada” jelas saya.
Tetapi Cikgu salim tetap berkeras mengatakan tidak ada. Dia menganggap bahawa maksud ayat itu sebagai perumpamaan saja. Disebabkan Cikgu Salim seorang yang berpendidikan Inggeris, maka dia sangat menentang perkara-perkara yang dianggapnya karut dan tahyol. Jadi saya tidak mahulah berhujah lebih jauh dengannya.
Kampung kecil di satu tempat di Jerantut ini mempunyai surau yang  terletak di pinggir sungai. Disebabkan kemudahan asa belum sampai lagi ke situ ketka itu, maka tidaklah ada paip air. Mereka akan mengambil wuduk untuk sembahyang di surau hanya ke sungai sahaja.
Kami ikut sama dengan penduduk-penduduk kampung berjemaah di surau. Usup tukang kebun sekolah yang memang penduduk di kampung itu juga berjemaah sama. Kira-kira masuk waktu isya, Bilal Mat Kitang terus azan. Mereka yang tidak ada wuduk cepat-cepat turun ke sungai untuk mengambil wuduk.
Saya dan Usup juga turut mengambil wuduk kerana sudah terkentut semasa duduk berbual-bual sebelumnya. Selepas selesai mengambil wuduk baru saya nampak Cikgu Salim turun ke sungai.
“Hai Cikgu pun dah habis wuduk?” tegur saya semasa dia menuruni tangga surau.
“Puas tahan-tahn terkentut pula dia “ katanya tersengih-sengih. “Ni pukulan makan pengat pisanglah ni “ ujarnya mengusik Usup yang menjamu kami dengan pengan pisang selepas maghrib.
“Cikgu nak melepas pula ke?” tanya Usup mengusik.
“Tengoklah dulu, kalau nak melepas, kena jugalah melepas” sahutnya ketawa kecil.
Kami terus naik ke surau. Cikgu Salim bergegas-gegas ke surau untuk mengambil wuduk. Cahaya lamu gasilin yang tergantung pada alang tengah memang sampai ke tepi sungai. Kalau tidak membawa lampu picit pun masih boleh jelas nampak jalan.
Cikgu Salim masuk ke air sungai separas lutut itu, kebetulan semua orang sudah naik ke atas surau. Baru dia membongkok mahu mencepuk air dengan tangan, dia terdengar air berkocak tidak jauh ke hulu sedikit. Mula-mulanya dia tidak menghiraukan sangat. Tetapi bila kocak air itu kuat sedikit dia terpaksa juga mengangkat muka memerhati ke arah air berkocak itu. Dia tahu tidak ada jalan orang ke sungai di sebelah hulu sungai tersebut.
Diperdu pokok kelepung ke hulu sedikit dia ternampak dari bayang silauan lampu gasilin di atas surau seperti ada orang duduk menjuntaikan kaki ke air. Di situ hanya belukar tebrau,, tidak ada lorong orang ke sungai. Dia cuba mendekati pokok kelepung itu untuk mempastikan siapakah yang duduk di situ.
Apabila dekat sedikit dia ternampak seorang perempuan muda sedang berkemban duduk di situ. Berhampirannya ada segendong kain untuk dibasuh. Heran juga Cikgu Salim menhapa perempuan itu membasuh kain pada waktu malam. Dari mana pula perempuan itu datang.
“Kenapa awak membasuh kain malam hari?” tanya Cikgu Salim keheranan.
Perempuan itu tidak menyahut. Dia menundukkan kepala sambil mengincah-ngincah kain ke air. Cikgu Salim nampak kesan darah pada kain yang dikincah-kincah itu kerana air yang menaglir ke hilir itu berwarna merah.
“Awak tak takut kah seorang diri di situ?” tanyanya lagi sambil mara perlahan-lahan.
Baru beberapa langkah dia mara ke depan tiba-tiba perempuan yang dudukdi perdu pokok kelepung itu melayang ke atas. Sekelip mata saja dia hilang di tengah rimbunan daun pokok kelepung itu. Cikgu Salim tiba-tiba bertukar jadi gementar.
Cepat-cepat Cikgu Salim menerpa naik ke tebing sungai. Termengah-mengah dia berlari naik ke tangga surau lantas melemparkan badan ke tengah surau. Dia termengah-mengah tidak bercakap apa-apa pun, tetapi tangannya menunjuk-nunjukkan ke arah sungai.
“Mengapa Cikgu?” Bilal Mat Kitang merapatinya.
Cikgu Salim ternganga-nganga macam mahu bercakap, tetapi suaranya tersekat di kerengkung. Imam Leh yang sudah berdiri tegak mahu memulakan sembahyang tidak jadi meneruskannya. Kami semua mengelilingi Cik Gu Salim yang kelu lidah tidak dapat berkata-kata.
Mukanya pucat lesi ketakutan. Badannya mengigil terketar-ketar seperti orang hilang pedoman.
“Mengapa Cikgu?” tanya Bilal Mat Kitang keheranan.
“Apa lagi, tentulah orang dihulu tu agaknya ...” sahut Usup menjuihkan bibir. “Biar saya panggilkan Dukun Hun” kata Usup dalam kecemasan.
“Nanti dulu” Imam leh menahan.”Jangan kita terburu-buru, sabar dulu dan bertenang” ujurnya duduk bertumit di kepala Cikgu Salim.
Saya dapat merasakan pada jiwa Imam Leh tidak mahu Usup memanggil Dukun Hun di saat demikian. Sepatutnya Usup tidak perlu terburu-buru memanggil sahabatnya Dukun Hun, kerana seorang yang berilmu masakan tidak mahu berjemaah di surau. Mungkin dia boleh menunaikan sembahyang di rumah saja, tetapi orang berilmu tidak akan memencilkan diri dari orang ramai.
Kerana itulh Imam Leh tidak mahu memanggil Dukun Hun datang ke surau itu ketka menghadapi saat cemas seperti ini. Kalau di rumah masing-masing mungkin Imam Leh tidak akan menegah sesiapa pun mahu memanggil Dukun Hun. Sikap Imam Leh ini menherankan Usup sendiri. Selama ini orang-orang kampung akan memanggil Dukun Hun kalau keluarga mereka menghadapi masaalah seperti Cikgu Salim sekarang.
“Tak kan kita nak biarkan Cigu Sali macam ni” Usup masih mendesak supaya segera dipangil Dukun Hun.
“Jangan cepat hilang punca” ujar Imam Leh berkeras tidak mahu dipanggil Dukun Hun. “Bertenang dulu dan sabar. Kalau sudah terpaksa barulah kita jemput Dukun Hun tu” jelasnya tegas.
“Sakit macam ni tak boleh biarkan Tok Imam” kata Usup.
“Tengoklah dulu Bang Usup” saya mencelah sambil menepuk lutut Usup. “Kita serahkan saja pada Tok Imam dulu, saya fikir elok juga jangan susah-susahkan Dukun Hun tu....”kata saya berpaling ke arahnya.
Usup terdiam. Imam Leh mengerling ke arah Bilal Mat Kitang, kemudian berpalking memerhati muka saya.
“Macam mana ustaz ?” tanyanya perlahan.
Saya mengelengkan kepala. Kemudian Imam Leh berbisik sesuatu kepada Bilal Mat Kitang. Saya tidak tahu apa yang dikatakannya, tetapi saya lihat Bilal Mat Kitang mengangguk-anggukan kepala.
Tidak bercakap sepatah apa pun Bilal Mat Kitang membongkok mendekatkan mulut ke telinga kanan Cikgu Salim. Kemudian dia azan di telinga Cikgu Salim tiga kali. Kemudian kelihatan Cik Gu Salim mengeliat-ngeliatkan badan seperti kesakitan disebat dengan rotan.
“Azankan lagi” perintah Imam Leh menyuruh Bilal Mat Kitang.
Bilala Mat Kitang azan di telinga kanan Cikgu Salim menyebabkan Cikgu Salim menggeletar seperti ayam kena sembelih. Dia meronta-ronta mahu melepaskan diri, tetapi segera dipegang oleh beberapa orang yang ada di surau.
“Hem, dia terkejut aje” kata Imam Leh sambil berdiri bangun. “Kita solat dulu, biarkanlah Cikgu tu di situ..tak apa” ujarnya mengajak semua jemaah menyempurnakan solat isya dulu.
Semua orang yang ada di surau lebih kurang 12 orang mengikut saja ajakan Imam Leh. Apabila saya bangun untuk sama-sama berjemaah, Imam Leh menegah saya.
“Ustaz tengokkan cikgu dulu. Lepas kami solat nanti, ustaz pula solat” dia meminta saya supaya solat bersendirian selepas mereka semua solat.
Saya fikir betul juga kata Imam Leh. Kalau semua menyempurnakan solat siapa pula mahu menjaga Cikgu Salim dalam keadaan demikian. Tentulah tidak patut membiarkan dia terlantar dengan tidak dipedulikan.
Semasa orang-orang menunaikan solat Cikgu Salim terlantar saja di tengah surau. Dia tidak bercakap apa-apa kecuali jarinya menuding-nuding ke arah sungai. Mulutnya ternganga-nganga macam mahu bercakap tetapi suaranya tidak terkeluar. Serba salah juga saya melihat keadaan Cikgu Salim dalam keadaan demikian.
Selesai semua orang berjemaah isya, barulah saya pula menunaikan fardhu isya bersendirian. Ketika saya memberi salam terdengar Cikgu Salim merungut-rungut tidak tentu biji butir. Selesai saja saya menunaikan isya, cepat-cepat saya mendapatkan Cikgu Salim semula.
Imam Leh kelihatan duduk di kepala Cikgu Salim sambil membaca ayat Kursi. Hingga selesai dia membaca 113 kali, saya nampak Cikgu Salim semakin lemah. Dia tidak lagi meronta-ronta seperti mula-mula Imam Leh membacakan ayat-ayat Kursi tadi. Lama kelamaan Cikgu Salim pun tertidur sebentar.
Kira-kira setengah jam saja Cikgu Salim tertidur dia sedar semula. Dia tercengang keheranan kerana dihadap oleh semua orang yang ada di surau.
“Ada apa halnya ni?” tanyanya lemah.
“Tak ada apa-apa cikgu” sahut Imam Leh. “Balik ni nanti cikgu tidur sajalah. Berihat aje, jangan banyak fikir lagi” katanya mengingatkan.
Peristiwa ke atas dirinya pada malam itu mula menyedarkan Cikgu Salim mengenai kejadian dari Allah SWT. Dia sendiri yang menceritakan kepada Imam Leh apa yang dilihatnya ketiak mahu mengambil wuduk. Inilah pertama kali dia mengahadapi keadaan yang menganggunya itu.
Dari Usup Tukang Kebun saya dapat ceritanya mengenai apa yang dilihat oleh Cikgu Salim itu. Kata Usup baru beberapa tahun saja jelmaan perempuan membasuh kain di perdu pokok kelepung dilihat oleh orang-orang kampung. Mula-mulanya ramai juga yang tidak percaya, tetapi sudah beberapa orang ternampak jelmaan tersebut.
Menurut cerita Usup diperdu pokok kelepung itulah tempat Milah gadis baru berumur 16 tahun selalu membasuh kain. Milah seorang gadis pingitan yang cantik ketika itu. Kejadian ini berlaku tidak sampai pun 50 tahun dulu. Biasanya kira-kira pukul 10 pagi, Milah akan datang ke situ membasuh. Kadangkala dia membantu emaknya ke sawah terlebih dahulu di sebelah pagi, tetapi dia cepat-cepat balik dan berhenti membasuh kain dulu di perdu pokok kelepung itu.
Di perdu pokok kelepung itu senang meletakkan papan membasuh, dan dia boleh menghempaskan kain ke papan tersebut. Lajak anak ketua kampung selalu memerhatikan Milah membasuh kain di situ. Lajak pun masih teruna berumur 20 tahun. Keinginan Lajak untuk mendampingi Milah rupanya tidaklah bertepuk sebelah tangan.
Selalulah Lajak secara bersembunyi-sembunyi menemui Milah di perdu pokok kelepung itu. Kalau ada orang melintas di situ Lajak akan pura-pura mandi ke hilir sedikit. Mila akan pura-pura membasuh kain.
Hubungan teruna dara ini semakin erat, hingga sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Akibat terlalu kerap bertemu secar bersembunyi-sembunyi akhirnya Mila mendapati dirinya mengandung. Belum sempat dia memberitahu mengenai dirinya mengandung, Lajak pula jatuh sakit diserang demam kepialu. Penyakit demam kepialu itu membawa kepada kematian Lajak.
Kematian Lajak itu meninggalkan kepahitan yang tidak terhapus dari jiwa Milah. Bagaimanakah dia mahu menghadapi kedua ibu bapanya dengan keadaan perutnya yang mula berisi. Dia tahu ayahnya tidak akan memaafkan perbuatan dia kerana memberi malu keluarga. Lajak tempat dia menaruh harapan sudah pergi buat selama-lamanya.
Dia percaya Lajak tidak akan menganiaya dirinya, kerana pemuda itu benar-benar kasih kepadanya. Sebab itu Milah rela menurutkan kemahuan Lajak sehingga dia menanggung beban penderitaan yang memalukan. Itulah nasib yang menimpa dirinya bila demam kepialu meragut nyawa Lajak. Tinggallah Milah terumbang ambing dalam keadaan sudah mengandung.
Hinggalah pada satu padi dia pergi membasuh ke sungai dengan tidak membantu emaknya ke sawah terlebih dulu. Mak Embun pun tidaklah hiraukan sangat samaada Milah datang membantunya di sawah atau pun tidak. Dia pun tidaklah mengharapkan sangat Milah membantnya di sawah, kerana gadis itu masih muda benar. Malah Mak Embun sendiri tidaklah perasan sangat Milah sering termenung sejak kematian Lajak.
‘”Lajak tu budak baik.....” kata Mak Embun berbual dengan Milah semasa memasak di dapur seminggu selepas kematian Lajak. “Tapi umurnya pendek. Apa nak cakap, sudah kehendak Allah” ujarnya tidak mengesyaki apa-apa.
Memang Mak Embun tidak tahu akan perhubungan Milah dengan Lajak. Ketika ini masyarakat Melayu memang menganggap sumbang kalau teruna dan dara bebas bercampur gaul. Sebab itulah mereka yang dilamun oleh cinta terpaksa bertemu secara bersembunyi-sembunyi. Ibu bapa mereka juga tidak mengesyaki apa-apa, kerana pertemuan antara mereka terlalu amat rahsia.
“Dia ramah mesra dengan aku, selalu menegur aku kalau berselisih dekat sawah” beritahu Mak Embun mengingat-ingat kembali Lajak anak ketua kampung yang sudah kembali ke rahmatullah itu. Hanya sepuluh hari saja dia menanggung demam kepialu itu, langsung membawa kepada kematiannya.
Inilah yang menyedihkan orang-orang kampung, kerana mereka tahu Lajak memang seorang pemuda yang berbudi bahasa.
Tetapi Milah tetap mendiamkan diri apbila emaknya menyebut – nyebut tentang kebaikan Lajak. Hanya dia seorang saja yangtahu betapa hancurnya hati dengan kematian Lajak meninggalkan dirinya yang sedang mengandung zuriat Lajak. Mungkin orang-orang kampung akan mengutuknya disebabkan kejadian tersebut. Ketua kampung juga tidak akan percaya dengan cakap-cakapnya sekiranya membabitkan nama Lajak.
Semua orang kampung percaya Lajak seorang budak baik. Sebab itu orang tidak akan percaya Lajak melakukannya menyebabkan dia mengandung. Kalaulah Lajak masih hidup hatinya tidaklah rusuh sangat. Lajak berjanji akan masuk meminang, sekali pun dia tidak mempunyai pekerjaan tetap bagi menyara anak gadis orang.
Ketika emaknya turun ke sawah pada satu pagi, Milah ikut sama. Tapi sampai di perdu kelepung dia tidak terus menyeberangi sungai untuk ke sawah, sebaliknya hendak membasuh kain saja di situ. Mak Embun hanya mengangguk kepala saja sebelum menggalas rimbas menuju ke sawah.
Kira-kira setengah jam Mak Embun bertekun merimbas di sawah, Uda Latip adiknya memanggil balik. Tercungap-cungap Uda Latip sampai di depannya. Tergagap dia menyuruh Mak Embun balik segera. Kebetulan Uda Latip juga hendak menyeberang sungai untuk ke sawah apabila dia dipanggil oleh ketua kampung yang sudah tercegat di tebing sungai.
“Apa halnya?” tanya Mak Embun heran.
“Hai, jangan tanya halnya, moh cepat balik” desak Uda Latip tidak menghiraukan kakaknya yang tercengang-cengang disuruh balik tidak bersebab.
“Abang kau ke ?” Mak Embun mahu tahu samada suaminya Bakar Tenjot yang menyuruh balik. Kadangkala suaminya itu memang ada kepala angin, silap sikit saja cepat saja menghunuskan parang mengajak orang beradu kuat. Cuma dia saja dapat menyejukkan hati suaminya.
Bakar Tenjot akan jadi bacul kalau Mak Embun sudah menjerit-jerit sampai menyingkap-nyingkap kain di tengah orang ramai. Sebab itulah Bakar Tenjot mengalah. Dia tidak akan berkeras lagi mengajak sesiapa pun beradu tenaga kalau Mak Embun sudah menjerit-jerit menyingkap kain.
“Abang kau ke ?” ulangi Mak Embun.
“Moh aje balik. Jangan tanya banyak lagi” kata Uda Latip menarik tangannya.
Terpaksalah Mak Embun mengikut sahaja kemahuan Uda Latip. Biarlah apa pun terjadi dia tidak perlu lagi bertanya. Dia sendiri mahu melihat apakah sebabnya bersungguh-sungguh sangat Uda Latip menyuruh dia balik.
Ketika sampai di tebing sungai untuk balik ke seberang kampung didapatinya orang-orang kampung ramai di tebing sungai sebelahnya. Suaminya Bakar Tenjot duduk di atas tebing dengan wajah sugul. Barulah disedari oleh Mak Embun orang ramai berkerumundi situ mengelilingi anaknya Milah.
Cepat-cepat Mak Embun menerpa ke arah Milah. Dia meraung sekuat-kuat hatinya melihat Milah terbujur di pangkuan isteri Uda Latip denga lidahnya terjelir. Sempat juga dia mengerling pada kain selimut yang tergantung pada dahan pokok kelepung berbuai-buai di tiup angin.
“Aku jumpa dia dah tergantung di situ” Jibah isteri Uda Latip memberitahu sambil memujuk Mak Embun supaya bertenang.
Pak Tua Akop, ketua kampung menyuruh Uda Latip dan beberapa orang lagi mengusung jenazah Milah balik ke rumah.
Itulah kisah Milah membunuh diri dengan menggantung diri di pokok kelepung tepi sungai yang diceritakan oleh Usup Tukang kebun.
Kejadian yang menimpa nasib keluarga Bakar Tenjot ini diketahui juga puncanya. Pak Tua Akop sendiri menerangkan kepada Bakar Tenjot mengenai Milah yang sudah mengandung dua bulan itu. Sebelum meninggal dunia Lajak sempat memberitahu ayahnya mengenai pengaduan Milah, tentang dirinya sudah dua bulan tidak datang kotor. Lajak meminta ayahnya menyelamatkan Milah.
Tetapi niat suci Lajak itu tidak terkabul kerana dia telah meninggal dunia terlebih dulu. Sementara Mila yang terasa dirinya terumbang ambing mengambil keputusan yang dikutuk oleh Islam itu. Semuanya sudah terjadi kerana mengikutkan gelora nafsu muda. Walaupun niat di hati baik, tetapi Allah menentukan segalanya.
“Ini tauladan pada anak muda-muda” keluh saya setelah mendengar penerangan Usup. “Kematian tidak akan bertangguh, kita akan menerima akibatnya kalau ajal sampai sebelum noda yang kita lakukan belum dapat dibersihkan “ kata saya mengenang kembali peristiwa Lajak dan Milah ini.
Sejak kematian Milah mengantung diri di pokok kelepung itulah, sudah beberapa kali orang bertemu dengan perempuan muda membasuh kain di situ. Kadangkala terdengar ada orang menangis terisak-isak menyayukan. Hal inilah yang ditemui oleh Cikgu Salim yang tidak percaya perkara-perkara demikian.
Bagaimana semua hal demikian terjadi sukarlah bagi kita mahu menjawab kerana Allah sendiri mengingatkan kita:
Wayassalu naka anirroh kolarohhu min amri rabbi wamma autitum minalilmi illakalillan.
Apa yan terlihat oleh beberapa orang kampung mengenai jelamaan perempuan di tepi sungai pada perdu pokok kelepung itu, mungkin sebahagian dari pengertian tersebut.. wallahualam.
Hanya Cikgu Salim selepas kejadian pada malam ini, masih seperti orang hilang semangat. Dia sering termenung di jendela bilik rumahnya. Kadangkala menagis terisak-isak tidak bersebab. Isteri Cikgu Salim yang juga seorang guru mengajar di tempat yang sama terlalu rusuh dengan perubahan Cikgu Salim ini.
“Cikgu kena panggil Dkun Han juga” Usup mengingatkan isteri Cikgu Salim.
“Macam mana ustaz?” tanya Cikgu Milah mengerling sya yang berdiri bersandar ke tiang. Selalunya Cikgu Miah meminta fikiran saya juga dalam apa apa hal, kerana kami tinggal bersebelahan.
“Terpulangah pada cikgu” sahut saya perlahan.
“Janganlah begitu..” dia semakin rusuh bila mengenangkan keadaan suaminya. “Elok jugalah ustaz beri pandangan sikit’ katanya macam sudah putus asa.
Serba salah juga saya mahu memberi kata putus. Kalau saya menyuruh panggil Imam Leh boleh jadi Usup berkecil hati kerana enggan menerima pertolongannya memanggil Dukun Hun. Boleh jadi juga Dukun Hun juga berkecil hati kerana kami menolak kebolehannya sebagia seorang dukun di dalam kampung.
Sebenarnya saya tidaklah menghalang kalau Cikgu Miah mahu memanggil Dukun Hun. Hanya masyarakat saja salah anggap akan kedudukan seorang dukun setelah ada tohmah mengatakan dukun mencari kesempatan. Kadangkala perkara mengambil kesempatan ini bukan dukun-dukun yang tidak amanah saja, malah dokter yang diyakini orang pun melakukan juga.
Ini tabiat manusia. Tetapi dukun yang jujur dan ikhlas memang dapat melaksanakan tugasnya dengan baik. Apa yang orang tidak tahu, orang yang menjadi dukun itu, apabila mengubati pesakitnya terpaksa memusatkan fikirannya, hingga kadangkala boleh jadi pitam. Malah kadangkala sedang lina tidur pada wktu malam hari, terpaksa bangun juga bila dijemput orang.
Bagaimana pun anggapan rendah terhadap dukun ini dibuat, semata-mata setelah datang rawatan moden yang diperkenalkan oleh penjajah. Sebenarnya cara mana perubatan dibuat adalah bertujuan baik belaka. Kita tidak seharusnya menganggap rendah satu-satu pihak.
“Saya bimbang Cikgu Salim tak setuju” ujar saya mengingatkan Cikgu Miah kerana selama ini Cikgu Salim bukanlah percaya sangat dengan perubahan cara dukun ini.
“Dia yang sakit, dia pa tau” Cikgu Miah mendengus.
“Kalau macam itu eloklah panggilkan” beritahu saya.
Semasa Dukun Hun sampai dijemput Usup, saya baru mahu melelapkan mata selepas makan tengah hari. Cepat-cepat isteri saya menyuruh saya bangun kerana Cikgu Miah juga tidak tahu apa yang harus dibuat.
Apabila Dukun Hun terpandangkan saya dia bangun mendapatkan saya. Cepat-cepat dia memeluk leher saya. Heran juga saya mengapa Dukun Hun melakukan demikian kepada saya. Sebenarnya saya memanglah baru di situ, hanya baru penggal pertama persekolahan saja, setelah ditukarkan di kampung pendalaman ini.
“Saya ustaz sudah mengajr disini’ bisiknya membayangkan kegembiraan. “Memang saya berhajat juga nak jumpa ustaz, tapi masa tak mengizinkan” katanya melepaskan saya dari pelukannya.
“Saya dengar juga nama pak cik, tapi hari ini baru jumpa” sahut saya.
“Buat apa susah-susah panggil saya, ustaz ini pun ada “ Dukun Hun duduk semula sambil mengerling Cikgu Miah.
Heran juga Cikgu Miah mendengar kata-kata Dukun Hun itu.
“Ustaz ini lagi tau dari saya, cikgu” ujar Dukun Hun.
Rupa-rupanya Dukun Hun ini pernah berguru dengan Tok Aji iaitu datuk saya. Tok Aji memberitahunya mengenai diri saya yang sudah ditukarkan ke situ. Tetapi dia masih segan mahu mencari saya, kalau tidak ada sebab-sebab tertentu. Orang kampung memang begitu, mereka cepat merasa rendah diri mahu berjumpa orang-orang yang bekerja dengan kerajaan.
“Tolonglah tengokkan Cikgu Salim ni pak cik “ saya menepuk pahanya.
“Sila ustaz......” dia menyuruh saya pula.
“Eh, orang berhajat dengan pak cik, silalah pak cik mulakan” ujar saya tersengih-sengih.
Dukun Hun tersenyum. Dia tidak dapat berdalih lagi. Mahu tidak mahu dia menginsut ke depan sedikit merapati Cikgu Salim. Semasa Cikgu Miah bertanya pada Usup sama ada memerlukan tempat membakar kemenyan, Usup memberitahu Dukun Hun tidak pernah menggunakan kemenyan. Saya hanya tersenyum dengan penjelasan Usup itu.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®