06 Julai, 2000

PADAH POLONG TURUN TEMURUN

Rumah papan yang disewa tidaklah mahal sangat apabila Derih Bauk berpindah ke Kluang di Johor. Manalah ada pilihan lain mahu menyewa rumah, melainkan berdekatan dengan kem. Mudahlah berulang alik ke tempat kerja sekalipun ditugaskan sebelah malam.
Apalagi masa perintah orang putih, memang selalu masuk ke hutan hingga jarang balik ke rumah. Kalau ikutkan hatinya Derih Bauk tidak mahu membawa keluarga ke Kluang, biarlah mereka semua di kampung sahaja. Dia boleh balik ke kampung apabila cuti panjang selepas dikerah masuk hutan.
Masuk ke hutan berbulan-bulan manalah ada masa mahu bermesra dengan anak-anak dan isteri. Mizah pula hanya tinggal bersama anak kecil apabila Derik Bauk masuk ke hutan. Tetapi Mizah sendiri yang mahu ikut dia berpindah ke Kluang.
Kalau masuk ke hutan pun bukannya Derih Bauk sepanjang waktu. Mereka bergilir-gilir masuk ke hutan sekiranya mendapat lapuran dari orang-orang kampung mereka ternampak gerombolan komunis. Apabila Derih Bauk tidak masuk ke hutan, dia akan bertugas di dalam kem sahaja. Tentu Derih Bauk memerlukan dia untuk memasak nasi atau mencuci pakaian sekiranya tidak masuk ke hutan.
Sebab itu Mizan berkeras juga mahu ikut ke Kluang. Lagi pun dia tidak percaya sangat dengan suaminya setelah kerap kali mendengar perangai askar yang mudah berkahwin lain setiap kali berpindah kem. Bimbang juga Mizah kalau-kalau Derih Bauk tidak melepaskan peluang memikat gadis lain setelah berpindah ke Kluang itu.
“Abang balik makan tengah hari ni,” beritahu Derih Bauk sewaktu meninggalkan rumah di sebelah pagi. Lebih baik dia balik makan tengah hari daripada beratur bersama budak-budak bujang menunggu nasi di dalam kem.
Sewaktu sibuk memasak di dapur inilah Kak Jiyah jiran di sebelah rumah mengajaknya menjenguk Hajah Besah, tuan rumah yang sudah seminggu kejang sakit sampai tidak dapat keluar rumah. Tetapi tidak ada masa mahu menjengah disebabkan sibuk menguruskan rumah.
“Kalau kamu nak pergi biarlah kakak tengokkan anak kamu,” ujar Kak Jiyah menawarkan diri. Apalah salahnya dia tengokkan anak kecil itu sementara Mizah menjengok Hajah Besah yang terkejang sakit. Lagi pun dia sudah berulang kali menjengah disebabkan anak-anaknya sudah besar belaka.
Memang suami Kak Jiyah juga sama-sama bertugas  di kem sekalipun waktu mereka bertugas tidak sama. Kadangkala suami Kak Jiyah masih di kem, Derih Bauk sudah balik ke rumah. Ada masanya suami Kak Jiyah balik Derih Bauk baru mahu pergi ke kem.
“Kalau Kak Jiyah nak tengokkan apa salahnya,” lega juga hati Mizah disebabkan Kak Jiyah sanggup menawarkan diri. Bila lagi dia mahu menjengah tuan rumah yang terkejang sakit, kalau mahu menunggu Derih Bauk balik.
Lagipun dia sudah siapkan nasi gula di dapur. Tidaklah terburu-buru sangat dia mahu menghidangkan apakala Derih Bauk balik makan tengah hari. Menjengah Hajah Besah pun bukanlah lama sangat sampai berjam-jam, memadai dia jengahkan muka sahaja sebagai budi bahasa orang datang merantau ke tempat orang.
Apa pula kata Haji Yusar suami Hajah Besah kalau dia tidak mahu jengahkan muka tatkala isterinya terkejang sakit. Memang dalam seminggu itulah Hajah Besah tidak keluar rumah lagi. Biasanya mereka sama-sama menunggu Ah Seng mengayuh basikal membawa raga berisi sayur-sayur kerana mereka tidak ada masa mahu ke pasar.
Kalau Ah Seng tidak menjengah muka, memang tidak bersayurlah rumah mereka untuk memasak gulai. Biarlah Ah Seng jual dengan harga mahal, mereka terpaksa juga berlanggan.
“Ah, sekejap kamu nak ke sana, apa salahnya,” Kak Jiyah semakin menggalakkan.
“Kalau Derih balik, kakak tolong beritahu ye,” Mizahmengingatkan setelah dia tinggalkan anak kecilnya kepada Kak Jiyah.
Sebaik sahaja Mizah masuk ke rumah Hajah Besah terkejut benar dia apakala dilihatnya perempuan itu terlalu kurus hingga mukanya cengkung. Masakan dalam tempoh seminggu sahaja tubuh Hajah Besah boleh susut demikian.
Tetapi Hajah Besah masih mampu tersenyum sebaik sahaja melihat dia duduk di sisi. Hanya tenaga Hajah Besah sahaja lemah tidak boleh bergerak kuat. Apabla berbual dia masih rancak bercerita dengan tangannya rancak mengibas-ngibas macam mahu bingkas bangun.
“Baru seminggu sakit, dah susut benar badannya,” beritahu Haji Yusar macam tidak percaya dengan perubahan diri isterinya.
“Kenapa tak bawa mak aji ni ke hospital,” lantas sahaja Mizah mengesyurkan disebabkan tidak tergamak melihat keadaan Hajah Besah yang terlalu kurus
“Dia tak mahu ke hospital,” sahut Haji Yusar serba salah juga kerana isterinya terlalu marah jika disebut mahu bawa ke hospital.
“Sikit, sikit hospital, bolehkah hospital tu beri nyawa,” merungut benar Hajah Besah bagaikan tersinggung dengan cadangan Mizah.
“Hanya ikhtiar kita, mak aji,” sengaja Mizah memujuk dengan harapan orang tua itu bersetuju.
“Pantang tok nenek aku berubat di hospital,” gerutu Hajah Besah benar-benar marah dengan sikap Mizah.
Cepat-cepat Haji Yusar memberi isyarat supaya tidak ulangi lagi fasal mendesak berubat ke hospital itu, Manalah tahu isterinya akan bertambah marah sampai menyergah Mizah pula.
Belum sempat Mizah mengangguk setuju dengan isyarat Haji Yusar, tiba-tiba Badin anak Kak Jiyah memanggilnya. Cepat-cepat pula Mizah minta diri daripada Haji Yusar kerana menjangka Derik Bauk sudah balik. Tentu suaminya mahu segera makan untuk balik semula ke kem meneruskan tugas di sebelah petang.
Tatkala sampai di rumah memang Derih Bauk belum balik ke rumah. Belum pun jam 12.30 tengah hari masakan suamainya sudah jejak kaki ke rumah kalau tidak bersebab. Tetapi berdebar benar hati Mizah kerana anak kecilnya menangis kuat sampai serak suara.
Puas dipujuk Kak Jiyah tangisan anak kecilnya kian melansingkan bagaikan lapar susu sepanjang hari. Sebaik sahaja Mizah memeluk anak kecilnya, tangisan anak kecilnya masih juga tidak boleh dipujuk. Tidak bertangguh Kak Jiyah meminta Mizah panggilkan sahaja dukun ke situ dengan tidak perlu menunggu Derih bauk balik.
“Terpulanglah pada kakak, saya ikut aje,” bisik Mizah dalam keadaan terdesak. Biarlah Kak Jiyah usruskan segalanya kerana perempuan itu lebih berpengalaman daripada dia, disebabkan sudah lama Kak Jiyah di Kluang.
“Kita jemput tok aji, mak,” Badin memberitahu emaknya supaya menjemput Haji Yusar terlebih dahulu. Tentu orang tua itu tahu siapa dukun yang perlu dijemput.
“Hah, betul juga,” sahut Kak Jiyah kerana penduduk-pendudk di situ seringkali menjemput tuan rumah itu sekiranya keluarga mereka diganggu sakit. Kadangkala dirasuk pelesit juga mereka akan jemput Haji Yusar.
Tetapi Haji Yusar bukanlah mahu sangat kalau dijemput mengubati orang. Lainlah jiran-jiran dalam keadaan terdesak sementara menunggu dukun datang., atau menanti ambulan menyerbu ke situ untuk dibawa ke hospital. Memang Haji Yusar tidak sanggup mengubati sesiapa pun.
Kalau dijemput pun dia sekadar membacakan doa sahaja. Selepas itu terserahlah segaalanya kepada ketentuan Allah belaka.
Sebaik sahaja emaknya menyuruh menjemputkan Haji Yusar, tidak tertangguh Badin melompat ke tanah. Dia berlari semula ke rumah Haji Yusar memberitahu kejadian yang berlaku ke atas anak kecil Mizah. Disebabkan tidak ada siapa lagi boleh diharapkan, terpaksalah Haji Yusar datang menjengah.
“Sakit perut agakya ni,” ujar Haji Yusar sebaik sahaja mengusap-usap perut anak kecil itu dengan apak tangan.
“Budak kalau terlampau menangis pun, memang kembung perutnya, tuan haji,” jelas Kak Jiyah semacam mengingatkan Haji Yusar. Tahu benar dia fasal anak kecil yang galak menangis akan menyembabkan kembung perut sampa bunyi rebana apabila ditepuk perlahan.
“Tak tahulah aku macam mana nak buat ni,” keluh Haji Yusar serba salah apabila didesak minta doakan sahaja anak kecil yang melangsing menangis tidak mahu dipujuk.
Setelah meraba-raba seluruh tubuh anak kecil itu, lantas Haji Yusar minta sediakan air sejuk segelas. Biarlah dia cuba doakan pada air sejuk supaya dimakbulkan Allah. Lagipun dia tahu asal syaitan daripada api yang menyala, sudah tentulah musuhnya air sejuk yang mampu memadamkan api yang bergejolak.
Kak Jiyah sendiri ambilkan air segelas di dapur, lantas dihulurkan kepada Haji Yusar. Sebaik sahaja dia memegang gelas berisi air sejuk itu, terus sahaja Haji Yusar membacakan doa:
Walaqad ja’alna fis sama-i burujau wazaiyannaha linnazirin, wahafiznaha min kulli syaitanir rajim, illa manistaraqos sam-‘a faatba’ahu syihabum mubin.
Setelah dibaca tujuh kali dia hembuskan perlahan ke dalam air sejuk di dalam gelas. Ketika ini tiba-tiba sahaja Haji Yusar terkejut apabila dilihatnya bayang-bayang isterinya tersengih-sengih didalam gelas.
“Huh kamu rupanya, balik!” perintah Haji Yusar keras bagaikan membentak isterinya Hajah Besah.
Serta merta anak kecil Mizah terdiam. Dia tidak lagi menangis sekalipun tersengguk-sengguk sedu tangisnya yang galak sebelum ini.
Haji Yusar menyuruh berikan anak kecil itu meneguk air sejuk berkenaan, disamping sapukan ke mukanya sama seperti mengambil wuduk. Setelah menyerahkan gelas tersebut kepada Kak Jiyah, cepat-cepat Haji Yusar keluar. Malu benar dia sekiranya Kak Jiyah menyedari apa yang dilihatnya tatkala bacakan doa.
Manalah tahu Kak Jiyah juga ternampak bayangan Haja Besah di dalam air gelas. Tentulah Kak Jiyah menuduhnya amalkan ilmu syaitan untuk menganggu jiran. Malu benar dia kalau dituduh jiran-jiran mengenai dirinya amalkan ilmu syaitan.
Dia sendiri tidak tahu kalaulah isterinya yang amalkan. Sejak berkahwin dengan Hajah Besah tidak pernah pula dia menyedari isternya ini amalkan ilmu syaitan. Kalau isterinya menyembunyikan dari pengetahuan dia, memang Haji Yusar tidak dapat mendesak apa-apa.
Ketika balik ke rumah, Haji Yusar melihat isterinya mengeliat-geliat mengerang kesakitan tidak menentu. Hajah Besah merungut-rungut kecil menyalahkan suaminya Haji Yusar kerana menjengah anak kecil Mizah.
“Awak lebih mementingkan orang, isteri sendiri sakit, awak tak peduli!” marah benar Hajah Besah kerana suaminya meninggalkan dia dalam keadaan terkejang sakit.
“Nampaknya awak ni amalkan ilmu syaitan,” latas sahaj Haji Yusar menuduh apabila kenangkan bayangan yang menjelma di dalam gelas ketika dakan anak kecil itu. Kalau tidak ada sebab musabab masakan isterinya mengerang – erang kesakitan setelah anak kecil itu sembuh serta merta.
“Ilmu syaitan apa pula ni ?” gerutu Hajah Besah tidakberani menatap muka suaminya.
“Aku tahu, tak payah awak nak berlindung!” jerkah Haji Yusar setelah menyedari gangguan anak kecil Mizah itu memang berpunca dari isterinya sendiri.
Sebab itu dia menyuruh Derih Bauk menemui Ulung Kubil apabila anak kecilnya menangis laghi pada tengah malam. Dia sendiri tidak mampu membantu kecuali boleh berdoa sahaja untuk menghindarkan gangguan syaitan. Tentu gangguan itu akan berulang lagi sekiranya tidak diubati terus.
Lainlah Ulung Kubil, apabila anak kecilnya menangis tengah malam sampai terbalik biji mata, lantas Ulung Kubil mengenggam tanah di tengah halaman. Dia menyerakkan tanah yang di genggam itu ke atas atap rumah sebelum masuk menjengah anak kecil yang galak menangis.
Tiba-tiba sahaja anak kecil itu berhentti menangis sebaik sahaja Ulung Kubil mendekatinya. Ketika Ulung Kubil meletakkan hujung telunjuk ke pusat anak kecil itu dia membacakan:
Bismillahhi wallahu ghaliun ‘ala amri.
Seratus kali dia bacakan doa itu, serentak dengan itu mereka mendengar jeritan lansing dari rumah Hajah Besah.
Sekaligus pula mereka mendengar Haji Yusar memarahi istetinya sampai terdengar dia azan tujuh kali, kemudian diikuti dengan membaca Surah at-Tariq. Disebabkan tidak tergamak mendengar jeritan di rumah Hajah Besah, sengaja Derih Bauk mengajak Ulung Kubil sama pergi menjengah.
Tidak patutlah mereka biarkan jiran menganggung penderitaan. Semasa dia memberi salam di tengah halaman, Haji Yusar segera membukakan pintu. Sarjan Mihat suami Kak Jiyah juga ikut sama setelah mendengar jerit Hajah Besah bertambah galak.
“Elok sangatlah Ulung Kubil datang ni,” tersenyum lebar Haji Yusar menyambut tetamunya, memang dia mahu menyembunyikan juga rahsia isterinya itu, tetapi terpaksa juga menerima tetamu yang cuba datang untuk membantu, kerana lambat laun diketahui orang juga sekiranya dia cuba menyembunyikan rahsia isterinya.
Apabila Ulung Kubil duduk di sisinya, tidak bertangguh Hajah Besah mengibas tangan mahu menyerang. Tetapi tenaganya yang lemah tidak menyinggahi Ulung Kubil. Dia terus merungut-rungut tidak menentu memaki hamun Ulung Kubil kerana datang menjengah.
Lama Ulung Kubil membacakan jampi serapah, tersipu-sipu Hajah Besah seolah-olah mengaku dia berkuasa di kawasan itu. Siapapun jangan tunjukkan berani mahu menjadi bomoh kalau mahu berhadapan dengannya.
“Kau jangan cuba tunjuk pandai, Kubil,” gerutu Hajah Besah dengan suara parau. “Dah lama aku jaga Besah ni, tanah ni aku yang punya,” katanya terlenggok-lenggok kepala laksana orang yan uzur.
“Aku bukan nak tunjuk pandai,” sahut Ulung Kubil tersengih-sengih macam merendah. “Tapi, kamu yang nak tunjuk pandai!” lantas dia menghunus badik usang yang sentiasa di pegangnya.
Badik itu dicacak oleh Ulung Kubil ke lantai dengan membaca:
Assalam mualaikum nenek petala langit, setinggi-tinggi kau sampai ke langit, aku minta kau datang tak boleh tidak, datang nak minta bantu anak cucu, kau tengokkan siapa yang ganggu Hajah Besah.
Lama Ulung Kubil terconggok tidak bergerak, tiba-tiba sahaja badik usang yang tercancang di lantai rebah bagaikan dicabut. Ketika ini angin kencang bertiup kuat hingga derunya menggegar. Terasa juga gerun Derih Bauk dengan suasana yang tidak pernah dirasanya demikian.
Dalam masa angin bertiup kencang itu, lampu didalam rumah Hajah Besah sekaligus padam bagaikan pelita dihembus kuat. Hairan juga mereka kerana lampu letrik boleh padam tidak semena-mena ditengah tiupan angin kencang itu.
Ketika ini Hajah Besah mengerang-erang menghempas badan, disambut dengan keadaan di sekeliling rumah seperti tapak kaki berjalan tidak menentu.
“Oh kamu bawa orang tinggi datang ye !” keluh Hajah Besah termengah-mengah bagaikan berlari simpang perinang dikejar musuh.
“Kau yang nak berlawan sangat, bukannya aku!” sahut Ulung Kubil membentak keras.
“Buat apa kita berlawan, bukankah lebih baik kita berkawan,” lembut sahaja suara Hajah Besah memujuk.
“Sekarang, aku nak berlawan!” jerkah Ulung Kubil memberi amaran tidak mennghiraukan rayuan Hajah Besah.
“Sebab apa pulak kita nak berlawan, kita bukan bermusuh,” tersengih-sengih Hajah Besah mengerling Ulung Kubil.
“Aku nak bermusuh dengan kamu,” sahut Ulung Kubil terus mencabar lawan.
Apabila Ulung Kubil mengukuhkan kedudukan duduk sambil mengisar dua tapak tangannya, sekaligus Hajah Besah mengeliat lantas memekik kuat. Dia mengaku dikuasai polong dari keturunan neneknya yang mempusakai tanah tempat tinggalnya.
Samada Hajah Besah rela atau pun tidak, polong peninggalan nenek moyangnya tetap bersamanya. Selagi dia mewarisi  tanah pusaka nenek moyangnya memang Hajah Besah tidak dapat mengelak. Asal sahaja dia menerima tanah pusaka itu samalah macam dia menerima polong peliharaan nenek moyangnya sejak turun temurun.
Seminggu selepas berubat dengan Ulung Kubil barulah Hajah Besah beransur pulih. Tidak bertangguh dia datang minta maaf pada Mizah mengenai kejadian yang menimpa anak kecilnya. Hajah Besah sendiri mengaku dia tidak tahu menahu mengenai polong yang merasuk dalam dirinya.
Setelah beransur pulih tenaganya, Hajah Besah nasihatkan supaya Mizah membawa anaknya berubat di kampung kalau di ganggu terus menerus. Sekali pun anak kecil itu tidak langsung menangis setelah Hajah Besah sembuh tetapi Mizah bawa juga anaknya berubat balik ke kampung di Taiping.
Tiga hari dia minta Dukun Meon ubatkan anak kecilnya tidak ada pula kejadian yang merunsingkan hatinya. Anak kecilnya riang bermain dengan anak-anak kakaknya semasa di kampung. Disebabkan anaknya tidak diganggu rasukan, Mizah juga tidak perlu lama di kampung.
Memang Dukun Meon juga sudah beri jaminan anak kecilnya itu tidak diganggu apa-apa rasukan. Sebab itu Mizah perlu balik ke Kluang. Memang tidak tergamak dia mahu meninggalkan suaminya lama hingga tidak terjaga makan minum dan pakaiannya.
Dua hari selepas balik ke Kluang, Mizah menerima surat dari kakaknya Enon memberitahu anak gadisnya Saerah berumur 10 tahun menjerit ketakutan tidak menentu. Apabila dijemput Dukun Meon, lantas sahaja Saerah menuduh polong peliharaan Mizah merasuknya.
“Astaghfirullahul Azim !” keluh Miza sebaik sahaja menerima surat kakanya. Manalah dia tahu mengenai polong sampai Saerah yang merasuk menuduh dia demikian.
“Ah, setan memang pandai kelirukan orang,” suaminya Derih Bauk menjelaskan. Sedikit sebanyak Derih Bauk memang sudah mempelajari fasal cara berdukun. Sebab itu dia tahu apa yang dituturkan oleh orang kena rasuk bukanlah boleh dipercayai sangat, kerana yang bertutur ketika itu memanglah syaitan.
“Kenapa dia tuduh pelihara polong!” gerutu Mizah kerana bimbang kakaknya akan percaya denag tuduhan Saerah berumur 10 tahun itu.
“Emmmm, bela polong bukan macam bela ayam itik,” Derih bauk mententeramkan isterinya. Memelihara ayam itik pun bukan mudah membiak, kadangkala sampai lima enam bulan baru boleh menjadi.
Masakan Enon mudah sangat percaya mengenai adiknya Mizah menyimpan polong. Tentu ada amalan yang diamalkan sebelum polong menjelma dalam hidupnya. Kadangkala sampai bertahun-tahun beramal barulah polong sebati dengan diri. Ketika inilah baru polong itu boleh digunakan mencari mangsa.
Tidak pernah pula Mizah mengamalkan ilmu syaitan. Takat menghafal jampi mentera sampai bila pun tidak akan sebati dengan amalan. Setidak-tidaknya Mizah perlu bertapa berhari-hari sampai tidak boleh mendengar suara manusia di mana-mana. Mizah juga perlu mengali kubur tatkala tengah malam sebagai ujian samaada mampu atau tidak memelihara polong.
Lagipun manalah Mizah ada harat memerlukan polong menjaga sepanjang waktu. Sesiapa sahaja memelihara polong bukannya untuk mencari mangsa, tetapi mengawal harta bendanya supaya tidak dimusnahkan orang. Apalagi kalau pencuri berkeliaran mahu merampas ternakan atau tanamannya.
Ketika ini lah siapa sahaja mencuri harta bendanya akan dirasuk polong sampai terkejang sakit dengan mata terbeliak macam lembu disembelih leher. Derih Bauk percaya isterinya tidak pernah amalkan ilmu syaitan sampai memelihara polong.
Disebabkan tidak mahu Mizah dituduh orang-orang kampung memelihara polong, Derih Bauk terpaksa juga mengajak Ulung Kubil ke Taiping. Biarlah dia berbelanja semata-mata membawa Ulung Kubil ke kampungnya untuk mengubati Saerah.
Memang enggan juga Ulung Kubil mahu ke Taiping, setelah Saerah di ubat Dukun Meon sekiranya dia datang ke Taiping. Tentulah dia dituduh menceroboh kawasan Dukun Meon kalau sengaja mahu menunjukkan kebolehan.
Tetapi Dukun Meon tidak membantah apa-apa semasa Ulung Kubil datang bersama Derih Bauk. Malah Enon juga tidak menaruh syak wasangka terhadap Mizah, sekali pun anak gadisnya berusia 10 tahun merepek menuduh polong peliharaan Mizah yang merasuknya.
Memang Saerah masih lemah tidak bermaya sewaktu Ulung Kubil naik ke rumah. Dia terkejang dengan mata terkebil-kebil. Mukanya pusat lesi disebabkan tidak menjamah nasi sejak seminggu.
Setelah meminta dibuatkan bertih 2 piring dan mayang pinang belum keluar seludang, Ulung Kubil membakar kemenyan terlebih dahulu. Perlahan-lahan dia membacakan jampi serapahnya.
Tebu jentang tebu jenting, mari condong melompat, melompat tiga penjuru, melompat engkau ke batu putih, kain putih baju kau putih, melompat engkau ke batu hitam, kain putih baju kau putih, melompat engkau ke batu merah, kain merah baju kau merah, aku menangkal seku ketegur dah ku tawar, seku mati terbunuh sudah ku tawar, seku hujan panas sudah ku tawar, hu allah.....
Kemudian dia mengangkat tempat kemenyan dan mengasapkan bahagian kepala Saerah. Ketika Saerah bingkas duduk meludah ke muka Ulung Kubil cepat-cepat ditolak oleh emaknya Enon. Tetapi Ulung Kubil ingatkan dia supaya tidak berkasar dengan gadi kecil itu.
Ulung Kubil juga meminta Dukun Meon ikut sama membantu semasa Saerah duduk melenggok-lenggok kepala seperti sedang beratib.
“Beratib nak buat apa ?” sengaja Dukun Meon mengejek sambil merenung tepat ke mika Saerah.
“Bodoh punya dukun, aku bukan beratib!” sahut Saerah tersengih-sengih mahu menyakiti hati Dukun Meon.
“Kalau bukan beratib kamu buat apa?” jerkah Ulung Kubil keras seolah-olah tidak mahu langsung bertolak ansur.
“Aku pun tahu jampi serapah,” tegas Saerah mula berubah suaranya menjadi garau mengerunkan.
“Kenapa kau nak berlindung di balik Mizah?” Ulung Kubil mengirai mayang pinang belum keluar seludang itu sampai terurai lepas.
“Awak jangan nak memandai-mandai Ukung Kubil, tempat ini Meon punya!” ujar Saerah ketawa memanjang seolah-olah mahu melaga-lagakan Ulung Kubil dengan Dukun Meon.
“Semua tempat dalam dunia ni, Allah Taala punya,” segera Dukun Meon membalas biar syaitan yang masuk itu tidak dapat memperdayakan dia.
Memang Saerah cuba juga bingkas bangun, tetapi tenaganya tidak mampu megancam. Sekali pun dia bertambah kuat, namun syaitan yang merasuknya tidak dapat menggunakan dirinya. Tenaga anak kecil sepertinya mudah sahaja ditewaskan oleh Ulung Kubil hanya dengan meletakkan jari telunjuk ke dahi sambil membacakan:
Bismillahhi wallahhu ghalibun ‘ala amri, bismillahhi aman billahhi waman yaumin billahhi lahaufu ‘alihi, bismillahhi inna naj naj’aluka fi nuhurihim wa na’uzubika min syururihim
Setelah dilangi tujuh kali di hembuskan ke muka Saerah, sekaligus sahaja muka gadis kecil itu berubah menjadi hitam laksana disapu arang. Tiba-tiba sahaja Saerah menangis lantas menekup mukanya mahu menyembunyikan diri.
Sampai santak tengah malam baru Ulung Kubil dapat berihat setelah Saerah semakin lemah hingga tertidur nyenyak. Dukun Meon juga keletihan disebabkan lama sangat berhadapan dengan keadaan yang menyelubungi Saerah. Memang dia mengaku bukan Mizah yang mengirimkan polong merasuknya, tetapi sengaja mengikut anak kecil Mizah mahu mencari tempat perlindungan.
Memang Dukun Meon tahu rasukan yang menganggu Saerah mahu mengelirukan mereka apabila sengaja menuduh Mizah menghantarnya. Dukun Meon dapat melihat bayangan perempuan tua berdiri di sisi Saerah cuba menghalau dia supaya jauhkan diri. Tetapi Dukun Meon tidak berundur selagi perempuan tua itu terus tercegat di situ.
Hinggalah Ulung Kubil dibawa datang Derih Bauk, dia juga melihat bayangan Dukun Meon bertolak-tolakan dengan perempuan tua itu menarik Saerah. Sebab itulah Ulung Kubil meminta bantuan Dukun Meon semasa mula mengubati gadis kecil itu.
Apakala mayang pinang dikibaskan ke muka Saerah, sekaligus terasa bayangan mayang itu memukul kepala perempuan tua itu laksana besi pencakar mencengkam. Setiap kali perempuan tua itu cuba melawan Dukun Meon sudah bersiap sedia mencemat belakangnya dengan cemeti hingga berbirat tidak bersisa.
“Tipu daya syaitan, mesti dilawan dengan tipu daya juga,” tutur Ulung Kubil perlahan sambil menepuk bahu Dukun Meon. Sekali pun Dukun Meon tidak dapat mengagak angkara siapa yang menganggu Saerah, tetapi Ulung Kubil tahu bayangan tersebut sama dengan jelmaan sewaktu dia mengubati anak kecil Derih Bauk.
Apabila Derih Bauk balik semula ke Kluang bersama Ulung Kubil, dia diberitahu mengenai kematian Hajah Besah. Ketika menghembuskan nafasnya Haji Yusar sendiri terkejut kerana melihat muka isterinya menjadi hitam seperti dilumur arang. Belakangnya berbirat merah laksana dicemat dengan cemati.
“Semua sudah ditentukan Allah,” keluh Haji Yusar tabah menerima takdir yang menimpa isterinya itu.
Tetapi Derih Bauk tidak tergamak memberitahu keadaan Saerah sewaktu diubati oleh Ulung Kubil dan Dukun Meon. Biarlah semuanya menjadi rahsia dirinya.
Disebabkan bimbang anak kecilnya akan dirasuk gangguan, tidak teragak-agak Derih Bauk mengekor kemana sahaja Ulung Subil dijemput orang. Dia sanggup balik jauh-jauh malam kalau mengikut Ulung Kubil sekalipun sampai Pontian atau pun Endau.
Kadangkala merungut juga Mizah dengan perubahan suaminya yang gilakan amalan kebatinan. Bukan takat mengikut Ulung Kubil sahaja, malah barang-barang keperluan harian di rumah orang tua itu dia akan hantar. Sampaikan beli ikan pun, seekor untuk dibawa balik ke rumah seekor lagi akan dihantar ke rumah Ulung Kubil.
“Macam itulah perangai arwah suami saya dulu, tuan haji,” jelas Mizah memberitahu kawan saya Haji Kawar apabila kenangkan Derih Bauk.
Kalau tidak disebabkan hujan sampai santak maghrib, memang saya bercadang untuk balik juga. Tetapi hujan yang turun mencurah menyebabkan saya mengambil keputusan untuk solat maghrib sahaja di rumah Haji Kawar. Lagipun sekali sekala datang ke rumah isteri mudanya itu, apalah salah berbual panjang.
Isteri saya pun ingin sangat mahu bertemu dengan isteri muda Haji Kawar. Semenjak dia berkahwin seorang lagi, tidak pernah lagi kami bertemu muka. Haji Kawar pula seolah-olah sengaja mahu mengelak untuk temukan kami dengan isteri mudanya. Mungkin dia tidak sampai hati mahu perkenalkan disebabkan hubungan isteri saya dengan isteri tuanya amat akrab.
“Dia bersungguh-sungguh menuntut," Miza semakin sebak menerangkan keadaan yang menyelubungi suaminya. “Masa bertugas di Sabah pun dia menuntut sampai masuk ke hulu-hulu kampung,” ujarnya sayu dengan sikap suaminya setelah anak kecilnya diganggu rasukan syaitan.
Memang Derih Bauk bertekad mahu menghadapi gangguan syaitan sendirian dengan tidak bergantung kepada orang lain. Marah benar dia apabila anak kecilnya yang tidak berdosa dirasuk polong sampai menangis langsing. Biarlah dia habiskan masa mengekor Ulung Kubil asal sahaja orang tua itu curahkan segala isi dada kepadanya.
Ulung Kubil menyuruh dia bertapa di tiga cabang anak sungai di tengah hutan pun, Derih Bauk sanggup lakukan. Biarlah dia duduk terconggok seorang diri sampai seminggu dengan hanya berbekalkan segenggam bertih sahaja. Dia hanya dibenarkan makan bertih tujuh butir sehari dengan meneguk air embun sekiranya hujan tidak turun dalam masa seminggu di situ.
Sebelum jatuh sakit terkejang sampai lumpuh seluruh badan Derih Bauk beritahu isterinya mengenai dia bertapa atas batu tengah cabang tiga anak air. Semasa dia bacakan amalan yang diturunkan oleh Ulung Kubil beberapa kali dilihatnya gerombolan komunis melintas di depannya, tetapi mereka semua seolah-olah tidak nampak dia terconggok di atas batu.
Tiga malam berturut-turut pula angin kencang turun tetapi hujan tidak turun setitik pun. Malam ketiga angin kencang bertiup, Derih Bauk nampak pokok leban enam pemeluk tumbangmenimpa ke arahnya. Dia tidak berganjak dari atas batu tengah cabang tiga anak air itu tatkala pokok berkenaan menimpanya. Memang dia terserungkup di bawah rimbunan daun pokok leban yang tumbang itu menyebabkan di sekelilingnya menjadi gelap gelita tidak kelihatan apa-apa lagi.
Ketika ini dia merasakan sebahagian kepalanya berdarah akibat ditusuk dahan pokok sebesar paha. Derih Bauk tetap tabahkan hati tidak hiraukan sama ada darah mengalir di kepalanya atau pun lukanya menyebabkan cedera parah.
Tetapi dia tetap ingatkan bertih dalam genggamannya tidak boleh dilepaskan. Habis sahaja selepas amalan jampinya 40,000 kali menjadi seperti zikir, dia akan memakan bertih tersebut tujuh butir. Derih bauk akan ulangi sehingga genap tujuh malam dia terconggok di atas batu tengah cabang tiga anak air itu.
Masuk malam ketujuh baru Derih Bauk terasa hujan turun mencurah. Dalam hujan turun mencurah-curah itulah dia mendengar ranting dan dahan kayu leban yang menyerungkupnya bagaikan dipatah orang. Apabila hujan menyimbah masuk ke tengah rimbunan menimpa tubuhnya Derih Bauk terasa bagaikan dia dimandikan dengan berlangir limau. Kemudian dia melihat rimbunan pokok leban yang menimpanya diheret jauh. Dia nampak bayangan Ulung Kubil mengheret pokok leban sebesar enam pemeluk itu.
Apabila memberi salam kepada Ulung Kubil, orang tua itu sekadar mengangguk sahaja. Kemudian dia menepuk tangan memberi isyarat, tiba-tiba sahaja menjelma seekor harimau belang sebesar bapak lembu dengan tergeleng-geleng kepala.
Tidak bertangguh Ulung Kubil perintakan harimau itu meniarap biar Derih Bauk melompat ke atas belakangnya. Setelah bertunggang di atas tengkuk harimau itu, sekelip mata sahaja binatang itu melompat ke udara hingga terasa sayup melayang ke awan.
Tiab-tiba sahaja harimau berkenaan tercegat di tengah halaman rumahnya seolah-olah menghantar Derih Bauk balik ke rumah. Apabila dia beritahu pengalamannya kepada Ulung Kubil, orang tua itu sekadar tersengih-sengih sahaja. Memang dia berbangga disebabkan Derih Bauk mampu melepasi ujian tersebut sepanjang dia amalkan amalan yang diturunkan kepadanya.
Bukan dengan Ulung Kubil sahaja dia berguru, di mana sahaja dia dihantar bertugas memang Derih Bauk sentiasa mencari guru. Asal sahaja dia mendapat tahu guru amalkan kebatinan, tidak tertangguh Derih Bauk jejak kaki ke rumahnya.
Sewaktu di Sarawak pun Derih Bauk sanggup mudik ke hulu sungai mencari Tuai di rumah panjang. Kalau disuruh masuk celah rahang buaya tengah menganga pun Derih Bauk akan lakukan. Dia tidak bimbang apa-apa duduk di tengah rahang buaya yang menghulurkan kepala ke tebing.
Biarlah buaya berkenaan membawanya merendap ke dasar lubuk apabila mulut dikatupkan. Kalau ujian demikian diperintahkan oleh gurunya, Derih Bauk sedia tempuhi. Sudah adat mahu mendapatkan ilmu kebatinan perlu melalui ujian demikian getir untuk menekan ketabahan sesaorang.
Apa lagi tatkala ditukarkan ke Sabah, Derih Bauk terpaksa membantu rakan-rakannya yang mengalami gangguan sampaikan kemaluannya ditukarkan ke dahi. Berminggu-minggu kawannya tidak berani keluar dari kem setelah kemaluan yang hilang tiba-tiba sahaja menjelma ke dahi bagaikan belalai.
“Hah, ini permainan orang tak mengenal Allah!” gerutu Derih Bauk apabila diberitahu malang yang menimpa kawannya. Tetapi dia memang tahu kawannya terlalu kerap mengusik gadis-gadis di kawasan hulu yang masih kuat dengan amalan ilmu kebatinan.
Setelah berhenti kerja pun Derih Bauk masih diuji orang. Anak gadisnya dilarikan orang hingga tidak menghubungi dia langsung. Marah benar Derih Bauk apabila lelaki cuba menguji kebolehan dia. Larikan anak gadisnya samalah macam mengajak dia berdepan di tengah gelanggang.
Tidak sampai tiga hari lelaki yang melarikan anak gadisnya datang melutut di depan Derih Bauk. Masakan dia berani menentang Derih Bauk kalau harimau sebesar bapak lembu terconggok di tepi katil. Bagaimana harimau berkenaan boleh melompat masuk ke bilik rumah flat di tengah bandar Kuala Lumpur.
Sebab itu lelaki berkenaan terpaksa juga menghantar anak gadis Derih Bauk balik ke rumahnya. Berkeras mahu melawan Derih Bauk bermakna sengaja menempah geruh. Kalau harimau belang sudah terconggok di tengah bilik mengawasi dirinya, ke mana lagi mahu bersembunyi sekiranya berkeras mahu tunjuk berani dengan Derih Bauk?.
“Memang dia beritahu saya, fasal dia sentiasa menjaga keselamatan saya,” Mizah terus menerangkan keadaan sebenar yang menimpa suaminya sebelum dibawa berubat ke Bidor.
“Kita cuba dulu doakan awak,” Haji Kawar memerhati jam di dinding, kerana bimbang saya semakin resah mahu balik ke rumah. Hujan di luar bukan lah musibah yang boleh menghalang, kerana saya boleh gunakan payung untuk berkejar ke kereta. “Ustaz, marilah sama membantu,” lantas sahaja Haji Kawar menggamit saya supaya tidak tergesa-gesa balik selepas habis isya.
“Kalau tak salah, ustaz ni pernah ke Taiping.” Agak lama baru Mizah dapat camkan saya. Ketika dia balik ke rumah anaknya di sebelah petang, sebelum datang semula selepas isya seperti dijanjikan oleh Haji Kawar, memang Mizah sudah ingatkan di mana dia pernah terserempak saya.
Saya mengangguk perlahan. Apabila dia sebut mengenai ayahnya arwah Haji Nori, barulah dapat saya ingat sudah beberapa kali ke sana. Tetapi saya berkawan dengan Haji Nori bukanlah di Taiping, kerana sebelum itu dia lama menetap di Kelantan.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®