ORANG TUA KELUAR DARI KEPULAN ASAP
Tiap tiap pagi dia dan isterinya Semah keluar ke bandar berniaga di pasar, dan maghrib mereka berdua balik ke rumah. Tidak ada apa yang hendak dirisaukan lagi oleh mereka berdua kerana anak-anak semuanya sudah besar, dan sudah pulang ke rumah kata orang-orang kampung. Maksudnya sudah pulang ke rumah ialah sudah berkahwin dan berkeluarga sendiri.
Bagaimana pun mereka berdua tidak mengharapkan bantuan dari anak-anak, sebab itu mereka lebih suka berniaga di pasar. Kebetulan kesibukan inilah Jubir dan isterinya jarang dapat bercampur gaul dengan masyarakat kampung. Kalau ada kenduri kendara dia selalunya tidak dapat ikut sama. Kecualilah kalau ada kematian, barulah mereka sanggup tinggalkan perniagaannya di pasar.
Ada juga orang-orang kampung menuduhnya mementingkan diri sendiri dan mahu mencari kekayaan saja, sehingga tidak bercampur gaul dengan masyarakat sekeliling. Tetapi Jubir dan isterinya tidak hiraukan sangat tentang tuduhan tersebut, namun dia bersedia menyumbangkan wang ringgit kalau ada mufakat untuk bergotong royong demi membangunkan kampungnya.
Seperti biasa selepas habis berniaga di pasar, mereka berdua pun terus balik ke rumah. Jubir memandu station-wagonnya mengikut jalan yang membelah ditengah-tengah kebun getah itu. Angin sepoi-sepoi bahasa itu memanglah terasa nyaman, tetapi kalau tidak betul-betul badan terasa seakan-akan mahu demam saja.
Petang itu mereka berdua balik lebih awal dari biasa. Sudah seminggu rumahnya diganggu orang apabila dia balik hampir masuk maghrib. Sampai saja di rumah mereka berdua terkejut semua pintu dan tungkap rumahnya terbuka. Pada mulanya Semah menyangka anaknya di Kuala Lumpur balik, kerana Eton yang di Kuala Lumpur itu selalu balik menjengok dia di kampung.
Sekiranya Eton balik tidak pula kedengaran suara anak-anak kecil memekik gembira bergurau senda. Sepatutnya sudah senja demikian, tentunya Eton memasang lampu.
Sebaliknya Eton kalau balik jarang tidak bersama suaminya. Mana kereta suami Eton kalaulah benar dia yang balik dan membuka pintu serta tingkap rumah.
Sudah seminggu Jubir dan isterinya menghadapi keadaan demikian. Anehnya tidak ada barang-barang yang kehilangan sekiranya pencuri yang masuk. Tidaklah ada satu barang yang diambil.
Hari pertama Semah tidak merasa apa-apa dengan keadaan pintu dan tingkap rumahnya itu terbuka. Tetapi malamnya selepas makan nasi, dia suami isteri merasa sakit perut hingga berlumba-lumba mengejar tandas. Kemudian pada hari kedua dia sudah faham bahawa beras dan makanan yang tersimpan didalam peti sejuk tidak boleh digunakan. Oleh itu terpaksalah dia membuang makanan yang tersimpan di dalam peti sejuk.
Hendak mengadu pada jiran-jiran terasa malu kerana selama ini dia tidak mengambil berat jiran-jiran. Oleh itu Jubir terpaksa mendiamkan dulu kejadian itu. Lagi pun rumahnya terpencil sedikit dari jiran-jiran.
Petang itu dia sampai di kampungnya Tanjung Karang kira-kira 5.30 petang. Sampai saja di halaman rumah hati Jubir berdebar-debar kerana keadaan seperti seminggu sudah berulang juga. Pintu dan semua tingkap – tingkap terbuka dengan mangga pintu sudah diganti dengan yang lebih besar. Mangga pintu terbuka dengan tidak dikopak langsung, seolah-olah dibuka dengan anak kunci saja lakunya.
Semah cepat-cepat naik ke rumah dan memeriksa barang-barang rumah. Memang tidak ada satu pun yang diusik. Almari pakaian juga tidak diusik kalaulah yang melakukan itu pencuri. Tetapi dia sudah tahu memang semua barang-barang makanan yang ada di dalam rumah tidak boleh dimakan lagi. Terpaksalah semuanya dibuang begitu saja.
“Macam ni tak boleh jadi bang,” keluh Semah menyimpan dendam terbuku di hati.
“Nak buat macam mana,” sahu Jubir keluar dari keretanya dengan langkah longlai naik ke rumah. “Nak repot polis bukannya ada kes. Tak ada barang yang hilang. TV, radio, mesin jahit, peti ais semuanya ada tak terusik,” dia tersandar di kerusi macam kebingungan.
“Carilah dukun mana-mana pun, kita berubat,” desak Semah.
Jubir mengangguk. Betul juga pendapat isterinya. Kalau perkara demikian memang menemui dukun sajalah cara mengatasinya. Dia percaya perbuatan itu memang dilakukan oleh sihir orang. Kepandaian ilmu sihir mesti dilawan dengan kepandaian dukunlah pula.
Selepas itu Jubir pun mendapatkan khidmat dukun dari beberapa tempat hingga sampai ke Kundur di Rembau. Setelah dukun tersebut menanamkan rumput sambau pada empat penjuru, keadaan rumah Jubir boleh dikatakan reda dalam masa 3 minggu saja. Gangguan itu datang lagi.
Semah memberitahu Eton di Kuala Lumpur mengenai kejadian menimpa rumah mereka di kampung. Kadir abang Eton di Gedangsa juga diberitahu. Talip di Melaka juga diberitahu mengenai kejadian yang berlaku di rumah mereka di kampung. Begitu juga dengan Ijah di Sabak Bernam. Sebelum itu memang Semah tidak mahu memberitahu anak-anak, tetapi setelah lebih sebulan kejadian berlarutan, maka terpaksalah diberitahu juga anak-anak.
Di samping itu dia dapat menduga, apabila kejadian itu berlaku, maka sudah pasti samaada dia atau suaminya kan jatuh sakit. Kadangkala sampai seminggu lebih terlantar, sehingga salah seorang sahaja yang pergi berniaga. Kadangkala langsung tidak pergi pergi berniaga, kerana bimbang pula kepada salah seorang yang ditinggalkan sedang sakit.
Sakitnya pun aneh juga. Siapa yang sakit akan mengalami sakit perut, muntah-muntah dan seluruh sendi-sendi terasa lemah. Apabila dibawa jumpa doktor di hospital doktor mendapati tidak ada penyakit. Kata doktor mungkin angin yang menyebabkan mereka termuntah-muntah itu. Doktor menasihatkan supaya sentiasa menjaga perut supaya tidak pernah kosong hingga dimasuki angin.
“Dah, bapak cari dukun?” tanya Eton yang balik bersama suaminya Bachik. Ketika ini Jubir memang mengidap sakit, tetapi sudah melarat sapai sesak nafas pula.
“Dukun dari Rembau dah ubatkan” jelas Semah masih kebingungan.
“Apa kata dukun tu, ada orang buat?” tanya Bachil pula.
“Dukun tu tak cakap.....,” sahut Jubir termengah-mengah menahan sesak dada. “Katanya tugas dukun mengubat yang sakit, perkara kalau dibuat orang atau tidak, itu bukan kerja dukun” ujarnya kelihatan lemah dan pucat.
“Memang semua dukun macam tu” Kadir pula menyampuk. Memang Kadir tahu bahawa dukun tidak akan memberitahu siapa yang melakukan kalau tahu pun, kerana menuduh itu melanggar petua dukun. “Lainlah kalau dukun mencari kesempatan, benda yang tak ada pun diada-adakannya” katanya mengeluh kecil bila mengenangkan kejadian yang diceritakan oleh emaknya itu.
Talip dan Ijah hanya terkelip-kelip mata saja. Mereka tidak tahu apa yang harus difikirkan. Walaupun Talip bekerja di Melaka, dia tidak tahu di mana ada dukun yang paling baik di Melaka. Sementara Ijah mengikut suaminya yang bekerja di Sabak Bernam pun tidak tahu di mana ada dukun yang boleh mengubat kejadian seperti ini.
Bagi mereka yang penting ialah ayahnya yang sakit mesti diubat. Perkara rumah diganggu tidak penting kepadanya. Orang tua itu yang perlu diubat, samada dibawa ke hospital atau pun berubat pada dukun.
“Aku dah pergi hospital” beritahu Jubir bila didesak oleh Talip supaya berubat ke hospital.
“Doktor kata aku ni tak sakit. Boleh jadi aku ni letih kerana terlalu banyak bekerja, sebab itu dia suruh aku berihat saja’ ujarnya menerangkan keputusan dokter.
“Sakit ayah ni adan kaitan dengan gangguan ke atas rumah ni” Bachik mengingatkan adik iparnya Talip. “Rumah ini perlu di ubat dulu, kalau tak ada gangguan pada rumah lagi, tentulah tak ada sakit” katanya kesal dengan kejadian yang menimpa keluarga isterinya itu.
“Agaknya ada orang sakit hati” Ijah pula memberitahu pendapatnya.
“Boleh jadi” cepat saja Semah memotong. “Dia orang tak suka tengok kita senang sikit. Orang Melayu memang macam tu, tak boleh tengok jiran-jiran senang, hasad dengkilah” rungutnya melepaskan geram yang terbuku di hati.
“Tak baik cakap macam tu” Kadir menegur emaknya.
Kadir memang tahu emak dan ayahnya tidak mencampuri hal ehwal masyarakat di kampung kerana asyik berniaga di bandar. Memanglah apa yang dibuat oleh emak dan ayahnya tidak menyalahi dari segi agama kerana mencari rezeki halal, tetapi tinggal dalam satu masyarakat mestilah juga ambil tahu hal-hal jiran.
Kebetulan Kadir di Gedangsa memang menyertai tabligh, jadi dia menganggap kejadian yang menimpa emak dan ayahnya adalah disebabkan qada’ Allah, supaya mereka berdua mengurangkan tumpuan mengejar harta dunia semata-mata. Kejadian itu seolah-olah memberi peringatan supaya kurangkan tumpuan tersebut. Misalnya dengan jatuh sakit, tentulah tidak dapat pergi bekerja. Begitu juga duit yang ada dalam simpanan akan digunakan untuk mengubat penyakit.
“Semua ini adalah ingatan dari Allah kalau seseorang itu tidak mahu beringat” jelas Kadir, kerana didapatinya selama emak dan ayahnya menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan, mereka kadangkala lupa menunaikan solat dan sebagainya.
Pandangan Kadir itu tidak dapat diterima oleh Jubir suami isteri. Malah adik beradik Kadir yang lain tidak dapat menerimanya.
Dia mengingatkan, kerana selama ini memang tidak berapa bersetuju dengan Kadir kerana pendapat-pendapatnya yang dianggap terlalu sempit.
Kadangkala Kadir terasa malas mahu balik ke kampung kerana dirinya seolah-olah tersisih dari keluarga. Dia bukalah melarang emak dan ayahnya berusaha mencari kekayaan dunia, tetapi janganlah mengejar kekayaan itu sampai lupa kepada bercampur gaul dengan masyarakat kampung serta jiran-jiran. Malah kadangkala tertinggal solat disebabkan tidak ada masa.
“Bergaul dengan jiran-jiran juga dikehendaki oleh Islam. Menziarah mereka itu fardhu kifayah” Kadir masih mengharapkan emak dan ayahnya tidak terpengaruh dengan galakan adik iparnya Bachik supaya berlumba-lumba mengejar peluang yang disediakan seluas-luasnya sekarang dalam bidang perniagan.
Tetapi pandangan Kadir tidak penting sangat pada Jubir, kerana selama Kadir juga tidak memberi apa-apa bantuan kepadanya. Apalah yang boleh diharapkan dari Kadir hanya seorang peneroka di tanah rancangan. Lagi pun dia menyuruh Kadir balik bukanlah mahu mendengar peringatannya, tetapi memikirkan apa perlu dibuat mengatasi kejadian yang menimpa dia suami isteri sekarang.
Ketika mereka berkumpul adik beradik ini terbau bau asap seperti sampah terbakar. Disebabkan masih lagi siang iaitu kira-kira jam 6.00 petang, maka dapatlah dilihat asap itu datangnya dari hujung pagar. Memang lubang sampah ada disitu, tetapi siapa pula yang membakar sampah.
Dalam masa sampah terbakar mengeluarkan asap pekat tiba-tiba saja meja makan di dapur terangkat setinggi kira-kira sekaki beralih tempatnya, sampai kedepan tangga dapur ke induk rumah. Eton cepat-cepat berkejar mahu mempastikan samaada angin bertiup kuat atau tidak, baru dia berkejar ke pintu dapur, peti ais pula terangkat kira-kira sekaki juga dan dialihlkan ke ruang tengah.
Terpekik Ijah yang mengikut kakaknya di belakang melihat kejadian tersebut. Belum pernah dia melihat kejadian aneh seperti ini, yang tiba-tiba sahaja berlaku ketika mereka adik beradik berkumpul. Bachik pula berkejar menahan peti ais itu menguji kuasa apakah yang melakukan perbuatan itu. Tetapi dia tidak merasa apa-apa kuasa pun selain dari peti ais itu terangakat sendiri saja.
Talip mengambil penyapu memukul di bahagian peti ais, kerana dia pernah mendengar petua supaya melakukan demikian. Sekalipun dipukul dengan penyapu tidak ada juga tanda-tanda diagakkan perbuatan siapakah itu. Selepas peti ais terangkat, kerusi meja di serambi pula berpusing dengan tidak bersebab.
“Macam mana ni bang?” Talip keheranan tidak tahu apa yang hendak dibuat. Cepat-cepat dia mengambil pil yang dibekalkan oleh doktor. Ketika dia meminum air bagi menelan pil didapati air itu merah macam bercampur dengan darah.
Ijah sekali lagi terkejut kerana didapati jenang pintu yang dipegangnya pun merah dengan darah. Berlari dia mendapatkan emaknya semula.
Eton juga tidak berani ke dapur. Meremang bulu romanya bila mahu melangkah ke dapur untuk membetulkan meja makan. Tingkap juga terbuka terkatup seperti ditiup angin pada hal angin tidaklah bertiup kencang. Talip dan Bachik cuba menutup tingkap itu supaya berhenti terbuka terkatup, tetapi dimana tempat yang dipegang terpalitlah darah merah yang masih cair seperti darah hidup.
Bertambah heranlah mereka dengan kejadian itu. Selama ini hanya mendengar keanehan tersebut dari emak ayahnya saja, tetapi sekarang mereka sendiri melihatnya. Sementara mereka semua kelam kabut, Kadir pula hanya tersandar juga tidak melakukan apa-apa. Dia duduk di hujung kaki ayahnya seperti tidak menghiraukan keadaan adik beradik yang kelam kabut itu
Selepas 15 minit kejadian itu terus juga berulang. Kadir bangun dari duduknya lantas mengambil wuduk, nasib baik pula apabila dia mengambil wuduk tidak ada kesan darah keluar dari kepala paip. Selepas itu dia pun terus azan, semua kejadian aneh yang mereka lihat tadi hilang sama sekali. Asap yang tebal dari lubang sampah juga hilang tidak ada kesan langsung yang sampah di situ dibakar.
“Tidak ada satu kuasa pun di dunia ini yang boleh melawan kuasa Allah,” Kadir memarahi keluarganya kerana selama ini mereka selalu saha menganggap pandangannya sebagai fanatik.
“Buat apa kita syak wasangka pada diri sendiri yang melupakan Allah,” ujarnya lagi.
“Tak ada siapa melupakan Allah,” sahut Semah memandang anaknya Kadir mengesat air mata.
“Kalau tak lupakan Allah, masakan syaitan datang menganggu “ jelas Kadir masih kecewa dengan sikap keluarganya selama ini yang lebih mementingkan harta dunia sehingga melupakan amal ibadat. Tetapi dia tidak berdaya menghalang mereka, kerana masing-masing ada kebebasan. Sekiranya keluarga dalam keadaan miskin tentu menyusahkan masyarakat juga. Bagaimanapun harapan Kadir bukanlah tidak mementingkan langsung harta dunia, kerana semua manusia dikehendaki mencari rezeki. Tetapi janganlah kerana mencari rezeki sampai melupakan suruhan Allah, sampai tidak campur gaul dengan masyarakat, sampai tidak hiraukan orang sekeliling.
Apabila anak-anak balik semula ke rumah masing-masing, Jubir dan isteringa kembali seperti biasa. Pagi lagi selepas subuh, mereka ke bandar berniaga di pasar. Jubir akan meraih ikan, ketam, kerang di Jeram. Memang teringat juga akan pesan Kadir supaya jangan tinggalkan solat zohor dan asar, tetapi dalam keadaan kotor dan berbau tidak jadilah dia solat. Sementara Semah juga tidak dapat mahu solat, kerana sukar mahu membawa telekung dan kemudahan berwuduk.
Hanya 3 minggu selepas kejadian aneh itu, sekali lagi Jubir terkejut apabila sampai ke rumah kira-kira jam 9.00 malam, keadaan rumahnya, seperti kejadian sebelum itu juga. Pintu dan tingkap-tingkap terbuka. Barang-barang perabut bersepah seperi diselongkar orang.
Besoknya dia ke Rembau menemui dukun yang menanam rumput sambau di empat ppenjuru rumah. Bagaimanapun dukun berkenaan enggan mengulangi kerjanya, kerana dia sendiri semasa balik dari mengubat Jubir telah dihalang oleh asap. Hampir lemas dia apabila diserbu oleh asap yang tidak tahu dari mana datangnya.
“Carilah orang lain pula Cik Jubir” ujar dukun itu lemah. “Kalau dah tak ada nanti, saya boleh cuba lagi” katanya memberi jaminan yang tidak boleh diharap sangat.
Setelah itu Talip membawa ayahnya berjumpa seorang lagi dukun di Kelebang dekat Melaka. Dukun itu enggan pula datang ke Tanjung Karang tetapi memberikan air yang sudah dijampi, disuruh siramkan ke sekeliling rumah. Dua minggu sahaja gangguan tidak ada, tetapi selepas itu berlaku lagi.
“Kerana terpaksa mencari dukun, ayah pun tak dapat berniaga, iya tak? “ Kadir menyindir bila diberitahu kepadanya. “Jadi apa salahnya ayah berniaga sampai pukul empat petang saja, lepas tu balik. Buat apa berniaga sampai pukul 9.00 atau 10.00 malam baru nak balik ke rumah” katanya macam memarahi kedua orang tuanya.
Kadir membawa ayahnya berjumpa dengan seorang kawannya di Gedangsa itu bernama Saleh yang bekerja menjadi kerani di Kuala Lumpur.
Saleh pernah jatuh dari jeram tatkala berkelah menyebabkan tulang rusuknya patah. Dia telah dimasukkan ke hospital, hampir sebulan terlantar. Tetapi setelah ditepuk-tepuk oleh ayah saya, dia sudah boleh berjalan sendiri walaupun masih tertenjot-tenjot. Apabila Kadir menceritakan masaalah yang dihadapi oleh ayahnya itu kepada Saleh, lantas Saleh mengajak Kadir menemui ayah saya itu.
Semasa saya balik ke kampung kerana Hari Raya Haji , ayah saya memberitahu mengenai Jubur menghadapi masalah itu.
“Tapi, Tanjung Karang itu jauh,” beritahu ayah saya.
Sebenarnya dia belum memutuskan samada mahu pergi atau tidak, kerana ayah saya tidak akan pergi kalau tidak bersama dua tiga orang lagi rakannya. Dia tidak akan melakukan berseorangan, tetapi mesti dibantu oleh rakan-rakannya.
Ketika saya ada di rumah ayah saya ini rakan-rakannya juga ada. Mereka berbual-bual dengan saya mengenai beberapa kejadian yang pernah ditempuhnya semasa mengikut ayah saya mengubati orang.
“Bukan kita yang mengubati orang” saya mengingatikan mereka. “Kita hanya berdoa, hanya dengan izin Allah saja orang yang kita dokan itu boleh sembuh,” ujar saya.
Abang Unus kawan ayah saya itu tersenyum, kerana dia tahu saya seorang yang rajin belajar ugama. Dia pernah berguru dan mempelajari Usuluddin dari seorang guru agama murid Tok Kenali , Kelantan.
“Itulah yang saya datang ke sini kalau dengar ustaz balik. Saya dah banyak dengar dari ayah ustaz, fasal ramai orang datang nak berubat dengan ustaz.” Abang Unus tersengih-sengih. Selalunya kalau saya balik ayah akan memberitahu kawan-kawannya terutama Abang Unus dan Mat Haidi yang selalu mengikut dia kalau dipanggil orang. Abang Unus dan Mat Haidi akan segera datang untuk berbual-bual dengan saya.
Dari Abang Unus inilah baru terbuka cerita dari Tanjung Karang Jubir yang meminta ayah saya datang ke rumahnya. Biasanya ayah saya tidak mahu bercerita kemana akan pergi, malah dengan emak saya pun dia tidak akan menceritakan kalau ada orang mengajaknya mengubati orang sakit.
“Eloklah ustaz ikut kami sekali” kata Mat Haidi pula. “ Malam esok Pak Cik Jubir tu datang jemput” dia memberitahu.
Saya tidaklah dapat memenuhi ajakan itu, kerana saya mahu balik ke rumah isteri saya di Perak. Kalau hari raya, saya terpaksa balik kedua-dua tempat sekali. Sekiranya hari pertama saya balik ke rumah emak saya di kampung, maka pada hari raya kedua terpaksalah saya ke kampung mertua saya di Perak.
“Lagi pun kami nak tahu cara mana Ustaz melakukan perubatan tidur itu” Abang Unus pula mendesak.
“His, tok guru kita lagi tahu” sahut saya tersengih-sengih mengerling ke arah ayah saya.
“Tok guru suruh tanya pada Ustaz” Mat Haidi cepat-cepat memotong.
Disebabkan Abang Unus hendak sangat cara tidur itu, saya pun menyuruh dia mengambil wuduk. Kemudian saya suruh dia berzikir seperti yang dilakukan selama ini.
“Kadangkala tak mahu menjadi, kalau orang yang hendak ditidur itu tidak cukup zikirnya? “ ujar daya kerana was was juga tidak dapat memenuhi kehendak Abang Unus. Lagi pun kalau kali pertama dilakukan belum tahu menjadinya, malah diamalkan seterusnya sampai beberapa hari barulah dapat dilakukan.
Bagaimana pun saya bertawakal saja dengan harapan kehendak Abang Unus ini. Bukanlah semua doa kita boleh makbul, kadangkala ada orang sakit bertambah penyakitnya bila didoakan. Semuanya bergantung kepada Allah, sedangkan kita tidak tahu tidur untsamada doa kita dimakbulkan atau tidak.
Alhamdulillah. Sekali cuba saja Abang Unus dapat ditidurkan. Saya bakar hujung jari kakinya untuk mempastikan samaada dia benar-benar dapat ditidurkan atau sengaja berpura-pura tidur untuk menjaga hati saya. Memang benar dia dapat ditidurkan kerana kakinya tidak bergerak pun apabila dibakar tadi.
Setelah saya yakin dia tidur, saya suruh dia membaca Al Fatihah tiga kali kemudian keluar dari badan. Kemudian menuju ke rumah Jubir di Tanjung Karang. Tetapi saya tidak lama membiarkan dia begitu, disebabkan itulah pertama kali saya cuba menidurkan dia.
Selepas bangun semula, saya bertanya apa yang dilihatnya semasa terpandang rumah Jubir. Katanya dia nampak satu kepulan asap di sudut pagar rumah Jubir. Dari kepulan asap itu dia ternampak seorang lelaki tua terapung-apung . Orang tua itu merenungnya dengan marah.
“Tuju situ ajelah bila ke rumah tu” saya mengesyurkan.
Malam esoknya, apabila Jubir menjemput ayah saya, Abang Unus dan Mat Haidi, saya sudah balik semula ke Kuala Lumpur. Hanya saya mendapat tahu kemudian memang Abang Unus menuju ke penjuru pintu pagar yang dilihat-nya sebelum itu. Dia merasa hairan kerana apa yang dilihatnya di masa ditidurkan, ternyata sama seperti yang dilihatnya ketika itu. Keadaan rumah itu juga tidak berubah langsung seperti dilihatnya sebelum itu.
Dia terus ke penjuru pagar yang terdapat lubang sampah. Apabila ayah saya dan Mat Haidi naik ke rumah, Abang Unus ke penjuru pagar itu. Ayah saya dan Mat Haidi sembahyang sunat dahulu, barulah memulakan doa. Manakala Abang Unus pula berdiri di penjuru pagar itu membacakan Ayat Kursi.
Ketika ini dia nampak kepulan asap tebal naik di situ cuba mengelilingi dia, tetapi setiap kali kepulan asap itu mahu menghampirinya, asap itu terputus-putus seperti ditiup angin kencang. Abang Unus terus membaca Ayat Kursi sehingga 113 kali. Dia tidak tahu apa yang dibuat oleh ayah saya dan Mat Haidi di rumah, kerana dia dapat melihat kepulan asap yang dilihatnya sebelum itu melalui tidur.
Abang Unus merasakan takjubnya kejadian itu, tetapi cepat teringatkan semula pesan saya bahawa tidak ada yang menakjubkan. Hanya manusia yang tidak dapat menjangkau ilmu Allah saja yang mengatakan heran atau taksubnya.
Setelah kepulan asap putus-putus seperti ditiup angin, akhirnya hilang. Barulah Abang Unus naik ke rumah. Kadir juga ada di rumah semasa ayah saya dan rakan-rakannya berdoa. Apa yang dicakapkan oleh Kadir kepada ayahnya, itu jugalah yang dicakapkan oleh ayah saya kepada Jubir.
Sejak itu ayah saya memberitahu tidak ada lagi gangguan di rumah Jubir
TAMAT