04 Julai, 2000

ORANG BESAR KENA SUNAT

SERBA salah juga Ulung Bahar kalau orang sudah datang memanggil di rumah. Kalau tidak pergi nanti dituduh orang mementingkan diri saja, kalau pergi pula kerja sendiri terbengkalai. Orang datang menjemput tidak kira siang atau malam. Walaupun diberi saguhati, tetapi tidak tergamaklah mengambil lebih. Takut juga dia akan tuduhan orang mengatakan dia bomoh cari wang.

Dia sendiri tidak mahu dipanggil bomoh. Ulung Bahar tahu dirinya bukanlah bomoh. Tetapi entah mengapa orang ramai menganggap dia seorang bomoh. Segalanya bermula ketika dia pergi ke rumah anaknya di Felda Air Kuning sepuluh tahun dulu. Jiran anaknya memberitahu anak gadisnya berumur 17 tahun digigit lipan, sudah tiga hari tidak baik. Sudah pun dibawa ke hospital, tetapi bisa lipan itu semakin bertambah pasang.

"Di mana digigitnya?" tanya Ulung Bahar.

"Paha..." beritahu jiran itu sugul.

Ulung Bahar sengaja menziarahi jiran itu setelah mendengar berita anak gadisnya digigit lipan. Adat berjiran kenalah ziarah menziarahi bila ada di antaranya mendapat susah.

"Lipannya dapat dibunuh?" tanya Ulung Bahar lagi.

"Tidak..." jiran itu menggeleng kepala. "Tak sempat saya nak bunuh, sebab cepat sangat dia menghilang masuk ke bawah tikar" ujarnya.

"Nampak lipannya?" Ulung Bahar ingin tahu.

"Nampak..Nampak..." jelas jiran tersebut. "Lipan bara, memang saya nampak lipan itu menyusup bawah tikar, kemudian hilang" katanya mengingatkan kembali peristiwa bagaimana anaknya digigit lipan bara.

Tiba-tiba saja anak gadisnya terjerit sebaik selesai makan malam. Dia menepis bahagian pahanya sampai lipan tersebut jatuh ke tikar. Cepat-cepat dia mahu memukulnya, tetapi cepat-cepat pula lipan berkenaan menyusup ke bawah tikar.

"Cuba bagi saya air sejuk" pinta Ulung Bahar.

Dalam keadaan begini dia merasa patut juga membantu. Dia bukanlah mahu menunjukkan pandai, tetapi tidak mungkin bisa lipan bertambah pasang setelah tiga hari. Lagipun sudah dibawa ke hospital. Jiran itu segera mengambilkan air sejuk. Hatinya gembira kerana tiba-tiba saja ada orang sanggup menolong anaknya digigit lipan. Tidak pula disangkanya Ulung Bahar boleh mengubati anaknya itu. Kumat-kamit mulut Ulung Bahar merenung air sejuk di dalam gelas di tangannya. Pada mulanya dia mahu menyuruh gadis itu minum saja air tersebut, tetapi kemudian Ulung Bahar tidak jadi memberikan air tersebut pada gadis berkenaan.

"His, permainan orang..." Ulang Bahar mencebik bibir.

"Permainan macam mana tu Ulung?" tanya jiran itu keheranan.

"Tak usahlah kita panjangkan" sahutnya memerhatikan gadis itu masih mengerang kesakitan. "Tak ada bisa lipan, cuma perasaan dia saja sakit..." ujar Ulung Bahar sambil mengetuk-ngetuk jari telunjuk pada bibir gelas.

"Permainan macam mana tu?" desak jiran itu lagi.

"Permainan orang muda..." kata Ulung bahar tersenyum.

Termenung jiran itu memikirkan maksud Ulung Bahar. Bila dia mengerling pada anaknya, gadis itu masih juga mengerang-ngerang kesakitan. Tidak mungkin anaknya berpura-pura sakit kerana dia sendiri melihat lipan bara tersebut jatuh dari paha anaknya. Lipan itu lari menyusup ke bawah tikar. Sekaligus dia memukulkan jarinya kuat sedikit ke bibir gelas. Tiba-tiba terapung satu lembaga lipan diperbuat dari upih pinang di dalam gelas tersebut. Macam dibuat-buat saja nampaknya, gadis anak jiran itu pulih semula. Dia tidak merasa sakit apa pun.

Bila ditanya sama ada dia digigit lipan atau tidak, dia sendiri tidak tahu.

"Lipan apa pula...?"soalnya keheranan. Cepat-cepat emaknya melihat bahagian paha yang digigit lipan itu. Tidak ada kesan langsung digigit lipan.

"Permainan orang..." ulangi Ulung Bahar.

Barulah jiran itu faham, rupanya ada orang yang sengaja mempermain-mainkan anaknya dengan memuja upih pinang tadi dengan digambarkan seperti lipan. Jadi, anaknya merasa seolah-olah digigit lipan, sebaliknya sakit bisa lipan itu hanya pada pandangan anaknya saja. Anaknya sendiri tidak menyedari apakah sebenarnya yang telah berlaku ke atas dirinya.

"Pulangkan sajalah Ulung..." jiran itu menggertap bibir. Marah sangat dia pada orang yang melakukan tipu daya demikian.

Ulung Bahar tersenyum. Dia tahu inilah sifat manusia mudah saja mahu membalas dendam apabila dianiaya. Sepatutnya  seseorang mukmin wajib mendoakan orang yang menganiaya orang itu supaya insaf dan bertaubat.

"Kita pulangkan saja Ulung" desak jiran itu.

"Apa faedah kita dapat?" Ulung Bahar marah bila didesak demikian. Tidak sepatutnya jiran itu memaksa dia melakukan sesuatu yang tidak disukainya.

"Biar dia jeran..." sahut jiran itu masih menyimpan dendam.

"Jangan berdendam" ujar Ulung Bahar mengingatkan. "Anak awak selamat cukuplah. Bersyukurlah pada Allah..." katanya macam menyindir.

Sejak itulah orang-orang di situ akan memanggil Ulung Bahar kalau mereka ditimpa sakit pening. Kadangkala mereka sanggup mengajak anaknya Dalip menjemput dia ke kampung. Tidak dapatlah Ulung Bahar mengelak lagi bila sudah ramai tahu mengenai kebolehannya. Orang-orang jauh dari Gedangsa di Selangor, Hutan Melintang di Perak, di Sabak Bernam, Pengkalan Kempas di Port Dickson akan datang mencari Ulung Bahar, setelah mendapat tahu dari mulut ke mulut yang bermula di Felda Air Kuning itu. Keballah dia dianggap seorang dukun di kalangan masyarakat.

Malah Ulung Bahar juga pernah dipanggil ke istana bagi mengubat kerabat diraja. Pendek kata nama Ulung Bahar sudah dikenali oleh ramai pembesar-pembesar dan pegawai tinggi kerajaan. Jadi, macam mana dia hendak mengelak apabila ada orang menjemputnya. Kalau sudah orang-orang besar memanggil tentulah serba salah mahu mengelak. Bila sudah pergi memenuhi jemputan orang-orang besar, tentu tidak sedap hati kalau mengelak dari menerima jemputan orang-orang kampung. Tentu mereka menuduh dia memilih pesakit kerana mengejar wang. Hanya orang-orang besar saja yang sanggup memberi wang banyak.

Tetapi bukanlah itu maksud Ulung Bahar. Dia terpaksa meninggalkan tanggungjawabnya mencari nafkah hidup, disebabkan selalu dipanggil mengubati orang. Walaupun dia tinggal bersama isterinya, disebabkan anak-anaknya semua sudah berumahtangga, tetapi tanggungjawab mencari nafkah hidup masih menjadi fardhu ain yang tidak boleh diwakilkan kepada sesiapa. Apakah pendapatannya tidak lumayan menjadi dukun? Perkara inilah yang sangat ditakutinya. Dia tidak mahu dituduh mencari nafkah hidup dengan berdukun. Walaupun tidak salah, tetapi tuduhan tersebut sangat menyeksa batinnya.

Inilah yang menyebabkan Ulung Bahar termenung panjang bila diminta datang ke Kuala Lumpur oleh seorang Orang Besar. Puas juga dia berfikir bagaimana caranya mahu mengelak, tetapi masih juga buntu. Malu juga dia mahu ke rumah Orang Besar itu, kerana apalah kurangnya ilmu bomoh-bomoh lain yang lebih terkenal. Ulung Bahar merasa dirinya terlalu kecil bila dibandingkan dengan bomoh-bomoh terkenal yang sering datang ke Kuala Lumpur. Tetapi anak saudaranya yang berkhidmat di bawah Orang Besar mendesak dia. Anak saudaranya itu sudah diberi kepercayaan oleh Orang Besar itu untuk mencari dukun yang boleh mengatasi masalah dia.

"Jangan nak mengelak pula Ulung" kata Meon mendesaknya. "Nanti malu saya kalau Ulung tak mau datang" ujarnya penuh harapan.

"Kau lagi malu, kalau Tuan tu tak sembuh" Ulung Bahar mencari alasan.

"Sembuh tak sembuh kuasa Allah..." balas Meon.

"Hah, mohon sajalah pada Allah..." cepat-cepat dia memintas cakap Meon.

"Nak meminta pada Allah pun ada aturannya" kata Meon menyindir. "Ulung tahu aturannya, jadi kenalah Ulung tunjukkan aturannya" dia menambah sambil menghulur rokok pada Ulung Bahar.

Sukar juga Ulung Bahar mahu memberi keputusan. Pergi ke rumah Orang Besar tidak sama dengan rumah orang kebanyakan. Orang kampung seperti dia banyak kesulitan mahu datang ke rumah Orang Besar. Maklumlah orang sudah tua, lat-lat setengah jam mahu ke bilik air saja. Tentulah dia kekok mahu ke bilik air saja bila berada di rumah Orang Besar. Begitu juga dengan makan minum. Pinggan mangkuk di rumah Orang Besar semuanya jenis mahal. Kalau tidak biasa memegangnya takut pula terlucut dari tangan dan terhempas pecah. Makan di rumah Orang Besar juga terpaksa pakai sudu dan garfu. Mencedok gulai tergigil-gigil dengan tangan kiri.

Ulung Bahar tidak biasa dengan suasana begitu. Dia lebih senang minum di koleh. Makan bertinggung lutut duduk di lantai. Ambil lauk cekup saja jari ke dalam piring gulai. Tentulah Meon akan malu kalau dia tidak tahu menyesuaikan diri dengan suasana di rumah Orang Besar.

"Bersiaplah Lung, kita ke Kuala Lumpur" kata Meon tidak sabar.

"Banyak kerja aku ni, Meon" sahut Ulung Bahar lemah.

"Ah, kerja-kerja tu Mak Lung boleh tengokkan" balas Meon mendesak lagi. "Urusan Ulung di Kuala Lumpur semuanya serahkan saja pada saya" tegasnya memberi jaminan.

Petang itu juga Ulung Bahar dibawa oleh Meon ke Kuala Lumpur menemui Orang Besar berkenaan. Terperanjat benar Ulung Bahar kerana terpaksa ditahan di pintu pagar sebelum dibenarkan masuk. Bagaimanapun setelah melihat Meon, mereka berdua pun dibenarkan masuk. Dia dibawa masuk menemui Orang Besar berkenaan di bilik khas. Cuma mereka berdua saja di situ. Orang Besar itu kelihatan sihat segar bugar. Tidak ada tanda-tanda ianya berpenyakit. Dia berbual juga seperti orang biasa tidak kelihatan pun akan dirinya menderita sakit.

Ulung Bahar tidaklah bertanyakan tentang penyakit Orang Besar tersebut. Dia tidak perlu bertanya apa-apa. Kalau dia sudah bertanya samalah macam terlalu mengetahui semua penyakit. Seolah-olah dia bersedia mengubat semua penyakit.

"Saya ni nampak saja sihat Tok Ulung..." Orang Besar itu bersuara sebaik saja semua orang keluar dari bilik khas. "Sebenarnya saya ni sakit. Itulah nak minta tengok-tengokkan pada Tok Ulung" katanya ramah.

"Cuba-cuba bolehlah Tuan" sahut Ulung Bahar perlahan. "Saya ni pun bukanlah pandai sangat. Maklumlah orang kampung" dia merendah diri.

"Orang bandar pun bukan pandai sangat" sahut Orang Besar tersengih-sengih. Dia masih belum menerangkan penyakitnya pada Ulung Bahar.

"Bodoh orang bandar tak sama dengan pandai orang kampung" Ulung Bahar pula tertawa bila mengenangkan dirinya tiba-tiba saja menjadi penting. Hinggakan Orang Besar terpaksa menjemputnya datang ke rumah yang tersergam bagaikan istana. "Bodoh orang bandar panjang ikhtiarnya, pandai orang kampung diri sendiri pun tak terkemaskan..." dia masih merendah bila membandingkan dirinya dengan Orang Besar itu.

"Panjang ikhtiar pun panjang ikhtiar nak menipu bangsa" Orang Besar itu macam meluahkan perasaan hatinya. Bagaikan terpancar kekusutan dalam fikirannya di sebalik kemewahan hidup yang menyelubungi dia selama ini. "Terlalu ramai orang nak menipu bangsa sendiri sekarang ni" jelas Orang Besar itu lagi. Terdiam Ulung Bahar mendengar kata-kata berupa rintihan yang terluah dari mulut Orang Besar tersebut. Dia bagaikan tenggelam oleh kekusutan fikiran yang menguasai dirinya. Inilah yang dapat dirasakan oleh Ulung Bahar sebagai kesan pertama apabila bertemu Orang Besar berkenaan.

Lama Orang Besar itu mendongak memerhati siling dengan keluhan memanjang selepas meluahkan perasaannya di depan Ulung Bahar. Kemudian perlahan-lahan dia bersuara. "Sebenarnya saya ni dah tak melawan lagi Tok Ulung. Dah puas saya berubat..."

Tersentak juga Ulung Bahar mendengar pengakuan terus terang Orang Besar tersebut. Tentulah hidupnya sebagai Orang Besar pun tidak bermakna lagi kalau menanggung beban seksa batin sepanjang hidup. Seseorang lelaki yang sudah hilang kelelakiannya samalah macam anak patung untuk menjadi hiasan di sudut rumah saja.

"Orang yang membuatnya saya tahu, tapi biarlah..." keluhnya menahan sebak di dada. Secara tidak langsung Orang Besar itu mengakui sudah berkahwin lain. Akibat dari perkahwinan itulah ada orang yang irihati menyebabkan tenaga kelelakiannya hilang. Ulung Bahar tidaklah banyak bertanyakan apa-apa mengenai masalah yang dihadapi oleh Orang Besar tersebut. Tujuannya bukan hendak mengetahui bagaimana puncanya, tetapi cuba mengubati sekiranya diizinkan Allah. Kalau tidak berhasil bukanlah tanggungjawab dia lagi.

"Saya hanya mencuba Tuan, kalau tak berjaya janganlah sesal pula" beritahu Ulung Bahar.

"Tidak, tidak..saya faham Tok Ulung" cepat-cepat dia memintas cakap Ulung Bahar yang terlalu merendahkan diri itu. "Tok Ulung cuma berusaha, yang menentukan tetap Allah jua" katanya.

"Alhamdulillah, Tuan kata macam tu..." sahut Ulung Bahar tersenyum.

Ulung Bahar meminta disediakan geluk air. Dan dia akan memberitahu ketika yang baik untuk memulakan usahanya, sama ada waktu Maghrib, atau Isyak atau tengah malam. Ini disebabkan dia mahu melihat cara mana permainan sebelah pihak. Segala yang dikehendaki oleh Ulung Bahar dipersetujui oleh Orang Besar. Malam itu dia tidak dibenarkan oleh Orang Besar mengikut Meon balik ke rumahnya di Gombak, tetapi disuruh menginap di rumah Orang Besar itu. Ulung Bahar disediakan bilik di situ untuk berehat, tempat tidur dan sembahyang. Selama di Kuala Lumpur dia dikehendaki menjadi tetamu Orang Besar tersebut.

Selepas menunaikan Isyak, Ulung Bahar memberitahu Orang Besar dia mahu memulakan usahanya mengubati masalah yang dihadapi Orang Besar. Beberapa orang kerabat terdekat Orang Besar ada sama setelah diberitahu mengenai Ulung Bahar akan mengubat itu. Memang kerabat terdekat Orang Besar sudah tahu masalah tersebut, malah mereka semua sudah berusaha menolongnya.

Fasal itulah Orang Besar menceritakan masalahnya kepada Meon. Ketika inilah Meon teringatkan Ulung Bahar di kampung. Lantas Meon menerangkan kepada Orang Besar akan kepandaian Ulung Bahar selama ini. Maka tidak bertangguh lagi Orang Besar menyuruh Meon memanggil Ulung Bahar. Segala perbelanjaan Meon membawa Ulung Bahar serta perjalanan Ulung Bahar selama berada di Kuala Lumpur adalah di bawah urusan Orang Besar.

Lebih kurang pukul 9.00 malam Ulung Bahar mula menarik geluk air ke depannya. Mulutnya kumat kamit serta matanya terpejam rapat. Sekali sekala dia membuka mata memerhati ke dalam geluk sambil menghembus perlahan-lahan. Ketika ini Ulung Bahar sudah menguatkan zikirnya di dalam hati. Seluruh bulu romanya terasa meremang. Dia melihat dalam makrifat tentang masalah yang dihadapi oleh Orang Besar. Sekali sekala orang-orang yang melihat Ulung Bahar nampak dia mengerutkan dahi sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Ulung Bahar melihat seorang lelaki berpakaian seperti sami Budha tersengih-sengih menunggu kedatangannya. Lelaki itu dipenuhi dengan tangkal azimat di seluruh badan. Lelaki itu seolah-olah mempersilakan dia hampir kepadanya. Tetapi Ulung Bahar tidak mahu datang hampir. Dia membaca Fatihah tiga kali lantas dihembus kepada lelaki berkenaan. Terpelanting lelaki itu bila dihembuskan dengan Fatihah. Mukanya merah padam menahan perasaan marah.

"Aku terima kau baik-baik, kau balas dengan jahat!" bentak lelaki itu cepat-cepat berdiri bercekak pinggang.

"Kau nak tunjuk pandai dengan aku, sekarang terima habuan kau pula" pekiknya mengambil debu tanah lalu dihembuskan ke arah Ulung Bahar. Terasa pada Ulung Bahar ribut kencang mahu menerbangkannya, tetapi dia menguatkan zikir di dalam hati menyebabkan ribut kencang tersebut tidak dapat menerbangkan dia. Setelah ribut kencang itu berhenti, Ulung Bahar tidak nampak lagi ke mana lelaki tadi bersembunyi.

"Kenapa kau lari?" Ulung Bahar mencabar.

"Aku tak lari...!" sahut lelaki tadi tertawa mengejek. "Nampaknya kau takut dengan aku" lelaki itu terus mempersenda-sendakan Ulung Bahar.

"Aku tak takut pada kau. Aku takut pada Allah" kata Ulung Bahar memerhati di sekeliling kawasan itu menjadi hutan rimba yang jauh dari manusia. Tetapi suara lelaki itu tertawa berdekah-dekah masih mengejek-ngejeknya. Ulung Bahar membacakan Surah Waddhuha dihembuskan sekelilingnya. Serentak dengan itu lelaki tadi tersungkur di depannya. Terkial-kial lelaki itu bangun akibat jatuh terhempas.

"Sekarang sembunyilah!" Ulung Bahar menyindir.

Kemudian dia mendengar lelaki itu merungut dalam bahasa yang tidak difahaminya. Bagaimanapun dia dapat mengagak lelaki tersebut menggunakan Bahasa Thai. Jelaslah kepadanya lelaki itu adalah Bomoh Siam.

"Berapa upah yang orang beri pada kau ni?" tanya Ulung Bahar.

"Aku bukan makan upah...! sahut lelaki itu marah.

"Ah, Bomoh Siam macam kau tak makan upah?" ejek Ulung Bahar mahu menyakiti hati lelaki tersebut.

"Aku menolong orang saja" jawabnya membentak kerana terlalu marah diperolok-olokkan. Dia sendiri hairan bagaimana Ulung Bahar boleh menembusi tempat persembunyiannya. "Aku menolong orang, tapi macam mana kau boleh sampai ke sini?" dia mendongak Ulung Bahar yang berdiri berpeluk tubuh di tempat dia terguling.

"Itu kuasa Allah..." beritahu Ulung Bahar tersenyum.

"Sudah banyak dukun-dukun Melayu mencari tempat aku tak jumpa, macam mana kau boleh jumpa?" pekik lelaki itu berdiri dengan lutut.

"Kuasa Allah...!" ulangi Ulung Bahar. "Kau tak takut kuasa Allah?" tesengih-sengih Ulung Bahar mengejeknya lagi. Lelaki itu menggeleng kepala. "Baiklah, kau akan tahu kuasa Allah" Ulung Bahar pun mula azan tiga kali. Sebaik saja azannya bergema lelaki itu terumbang ambing apabila seluruh tempatnya berdiri bergegar. Dia terhumban macam bertih direndang dalam kuali mencari tempat mahu berpijak.

"Ilmu apa kau pakai ni!" jeritnya meminta Ulung Bahar berhenti dari azan.

"Kau kata tak takut Allah" ejek Ulung Bahar.

"Aku takut, aku takut..." sahutnya terketar-ketar.

"Sekarang cakap! Siapa yang suruh kau?" Ulung Bahar mula keraskan suara.

"Orangnya baik..." ujar lelaki itu termengah-mengah. "Dia dianiaya oleh Orang Besar tu, kalau awak nak tau, Orang Besar tu jahat. Dah dapat manis sepah dibuang" jelasnya memepertahankan diri.

"Berapa dia upah kau?" soal Ulung Bahar.

"Aku tolong saja"

"Mana boleh! Bomoh Siam mesti terima upah!"

"Aku ambil sikit..."

"Berapa?"

"Satu ribu..."

"Bodoh punya Bomoh Siam! Kenapa tak minta lebih?"

"Tak boleh, kita nak tolong aje..."

"Selalu Bomoh Siam ambil upah sampai lima ribu!"

"Itu Bomoh Siam moden..."

Terkekeh-kekeh Ulung Bahar tertawa mendengar kata-kata lelaki berkenaan. Manakan tidak ketawa bila dia menyebut Bomoh Siam moden yang ambil upah mahal, sedangkan dia adalah Bomoh Siam yang bertugas menolong orang. Bagi Ulung Bahar memang selalu menghadapi keadaan demikian. Sebab itulah dia boleh berhujah dengan syaitan yang datang mengganggu. Syaitan juga mempunyai ilmu psikologi bila berhadapan dengan manusia. Oleh itu manusia yang terperdaya dengan ilmu psikologi syaitan akan cepat mengalah.

Sikap mengalah syaitan bukanlah bererti dia benar-benar mengalah. Sebaliknya mencari strategi untuk menyerang balas. Sebab itu Ulung Bahar sengaja menyoal macam-macam biar syaitan sendiri serba salah mahu menjawab.

"Kalau begitu cakap, apa yang kau buat pada Orang Besar?" tanya Ulung Bahar.

"Aku tak buat apa" jawabnya tersengih-sengih.

"Kalau tak cakap aku azan!" cepat-cepat Ulung Bahar mengugut.

"Eh, jangan..." rayunya mula berpusing-pusing mahu mencari helah.

"Jangan cari helah!" jerkah Ulung Bahar yang sudah tahu cara mana syaitan mahu bertindak.

Lelaki itu menjadi serba salah, sebab apa saja helah yang mahu dibuatnya sudah diketahui oleh Ulung Bahar. Dia menjadi hairan kerana selama ini dukun yang mengubat Orang Besar terperdaya dengan helah dia. Tetapi menghadapi Ulung Bahar dia menjadi kebingungan. Dia sudah meniupkan ribut kencang tetapi tidak berjaya menerbangkan Ulung Bahar kerana zikirnya yang mantap. Dia membawa Ulung Bahar merentas hutan, tetapi Ulung Bahar dapat mencari tempat persembunyiannya. Apa saja helah yang dibuatnya dapat dikesan oleh Ulung Bahar.

Sudah banyak dukun-dukun Melayu yang ditentangnya, akhirnya dia dapat memperdayakan. Kadangkala apabila ditiupkan ribut kencang mereka tidak dapat bertahan. Mereka cepat berlindung diri dan terus balik meninggalkannya. Kalau ada pun yang boleh bertahan dari ribut kencang, akan sesat meraba-raba bila dibawa merentas hutan rimba. Ternyata Ulung Bahar sangat berbeza dari dukun-dukun Melayu yang pernah cuba mengubat Orang Besar. Malah Bomoh Siam yang dipanggil mengubati Orang Besar juga tidak berdaya menentang dia.

Tertanya-tanya dia apakah ilmu yang digunakan oleh Ulung Bahar. Hanya yang didengarnya Ulung Bahar menyebut kuasa Allah. Tentulah ilmu Ulung Bahar ini bukan ilmu baru, tetapi sudah ujud sejak bertahun-tahun. Ilmu yang ada padanya tidak dapat menentang ilmu yang dimiliki oleh Ulung Bahar.

"Apa ilmu yang awak pakai?" tanya lelaki itu gementar.

"Ilmu Allah yang diturunkan kepada umat Islam" jelas Ulung Bahar.

"Bolehkah awak ajar aku?" dia mahu menguji.

"Jangan nak cari helah..." Ulung Bahar mengingatkan. "Cakap, apa awak sudah buat pada Orang Besar?" bentaknya keras.

"Tak buat apa pun..." sahutnya tersengih-sengih.

Tidak bertangguh lagi Ulung Bahar terus azan. Bumi tempat lelaki itu berpijak bergegar kuat. Dia terlambung-lambung macam bertih di dalam kuali tidak dapat berjejak. Terpekik-pekik dia meminta Ulung Bahar memberhentikan azan. Tetapi Ulung Bahar tidak peduli. Dia terus azan berulang kali.

"Aku cakap, aku cakap..." tercungap-cungap lelaki itu merayu pada Ulung Bahar supaya berhentikan azan.

"Sekarang cakap!" herdik Ulung Bahar.

"Aku dah lepaskan dalam Sungai Gombak" kata lelaki itu gementar.

"Apa yang kau lepaskan?" soal Ulung Bahar mengancam.

"Ikan haruan..." jelasnya terketar-ketar. "Ada penunggunya di situ..." ujar lelaki itu dalam ketakutan.

Setelah mendapat rahsia dari lelaki yang berpakaian seperti Sami Budha itu, Ulung Bahar menghembus lelaki itu dengan ayat Al-Ikhlas hingga melayang-layang seperti bunga lalang. Kemudian Ulung Bahar terus melayangkan dirinya di sepanjang Sungai Gombak. Puas dia mencari-cari di kawasan yang dituju tetapi tidak juga berjumpa. Ulung Bahar terus membaca Surah Waddhuha dengan penuh khusyuk. Ketika ini dia sampai jauh dari bangunan-bangunan tinggi di tengah bandar. Air Sungai Gombak yang keruh jelas pada penglihatan dia.

Dalam masa dia memerhatikan di sekitar kawasan Sungai Gombak itu, tiba-tiba dia nampak seorang perempuan cantik berdiri di tengah sungai memegang tangguk. Dia percaya perempuan ini bukannya bunian, tetapi penunggu sungai yang menjelmakan dirinya sebagai isteri muda Orang Besar. Memang Ulung Bahar tahu Orang Besar sudah berkahwin dengan seorang gadis cantik berasal dari Kelantan. Perkahwinan itu tidak kekal. Hanya selama lapan bulan saja. Gadis itu diceraikan setelah Orang Besar diberi tangkal pembenci oleh isteri tuanya, sebaik saja isteri tuanya mendapat tahu Orang Besar berkahwin lagi.

Tidak lama selepas penceraian itu Orang Besar bermimpi dia dikhatankan oleh seorang mudim yang dikenalinya. Esoknya apabila dia bangun dari tidur, dia merasa kemaluannya ngilu. Lama kelamaan tidak terasa lagi kalau dijentik pun. Orang Besar telah bertemu ramai dukun untuk mengubatnya. Sejak lapan tahun dia mengidap dan menderita keadaan demikian. Isteri tuanya terasa juga menyesal, tetapi lebih gembira kerana Orang Besar tidak akan berkahwin lagi. Bagaimanapun ada juga dukun menasihati dia supaya rujuk semula dengan bekas isteri muda yang pernah diceraikan.

Tetapi dia diberitahu jandanya itu sudah berkahwin lain. Orang Besar tidak mahu sangat ambil tahu mengenai diri jandanya itu. Soal yang penting dia harus mengatasi masalah yang dihadapinya.

"Buat apa awak bawa tangguk, kalau tak menangguk ikan?" tegur Ulung Bahar mendekati perempuan cantik yang berdiri di tengah sungai.

"Kita punya sukalah" sahut perempuan itu mengerling ke arah Ulung Bahar.

"Kalau tak mahu menangguk, pinjamkan aku. Biar aku yang menangguk" ujar Ulung Bahar. Bagaimanapun di tidak leka semasa berhadapan dengan perempuan cantik tesebut.

Masa ini terasa ribut bertiup kencang. Ulung Bahar terus bertahan di tengah ribut kencang. Kemudian dia azan sekuat hatinya menyebabkan ribut kencang terhenti tiba-tiba. Lelaki yang berpakaian seperti Sami Budha tadi tersungkur di tengah sungai. Bersama dengan perempuan cantik di sampingnya, lelaki berkenaan melemparkan bola api ke arah Ulung Bahar. Perempuan itu melontarkan serpihan besi tajam seperti paku menerjah ke tubuh Ulung Bahar. Tetapi semuanya tidak memberi kesan  kepada tubuh Ulung Bahar yang sentiasa berzikir. Akhirnya mereka berdua mengeluh panjang kerana melihat Ulung Bahar tetap berdiri di tebing sungai mengejek mereka. Ternyata serangan mereka berdua menjadi sia-sia.

"Tadi, awak dah kalah. Masih degil lagi mahu melawan!" cabar Ulung Bahar. Lelaki tersebut tidak menyahut. Dia serba salah mengerling perempuan cantik di sebelahnya. Perempuan itu melemparkan tali lantas membelit seluruh tubuh Ulung Bahar. Mereka berdua ketawa berdekah-dekah melihat tali tersebut melilit seluruh tubuh Ulung Bahar.

"Hasbiallahu Lailahaillallah alaihi watawakkal.." kumat kamit mulut Ulung Bahar membaca doa mengehembuskan ke seluruh tubuhnya. Tali yang melilit tubuhnya jadi cair seperti air. Sekali lagi lelaki dan perempuan cantik itu tercengang kerana Ulung Bahar tidak takut pun menghadapi serangan mereka.

"Hei, bomoh keparat...!" jerkah Ulung Bahar bercekak pimggang di atas tebing sungai. "Kau nak mengaku kalah atau nak merasa lagi serangan aku?" tanyanya memberi amaran.

Tidak bertangguh lagi lelaki itu terus menghilangkan diri. Dia tidak berani lagi bertahan apabila Ulung Bahar sudah memberi amaran. Hanya tinggal perempuan cantik itu kebingungan ditinggalkan lelaki tadi. Memandangkan perempuan cantik itu degil, Ulung Bahar membaca beberapa ayat lagi menyebabkan perempuan itu berputar seperti gasing beruri ligat. Laungnya bergema kerana berputar-putar di dalam air. Setelah putaran itu berhenti dia termengah-mengah menengadah Ulung Bahar. Kecantikannya juga luntur akibat diputar tadi.

"Bukan aku yang salah" dia merayu supaya dibebaskan.

"Jangan berdalih!" jerkah Ulung Bahar.

"Iya..." katanya gementar. "Botak tadi yang suruh. Dia suruh aku jagakan haruan yang dilepaskan di sungai ni" ujarnya bertambah gerun bila mengerling Ulung Bahar.

"Mengapa kau ikut cakap dia?" tanya Ulung Bahar mahu menduga.

"Kalau tak ikut dia bunuh aku..." jelasnya menangis teresak-esak.

"Kau takut pada dia?" ejek Ulung Bahar seterusnya. Dia mengangguk lemah.

"Kau tak takut Allah...! suara keras Ulung Bahar semakin menggerunkan dia. Dia mengangguk juga.

"Kalau kau takutkan Allah, jangan pedulikan botak tadi" perintah Ulung Bahar merentap rambut perempuan tersebut. "Sekarang serahkan pada aku haruan tu!" bentaknya.

Mahu tidak mahu terpaksalah perempuan tadi menangguk ikan haruan yang dilepaskan ke dalam sungai. Ulung Bahar terus menangkap ikan tersebut dari tangguk perempuan berkenaan melalui makrifat. Dan terus dibawanya semula ke rumah Orang Besar. Ketika ini mereka yang ada di rumah Orang Besar melihat Ulung Bahar mengetuk jari telunjuknya ke bibir geluk. Tiga kali dia mengetuk berdentum seekor haruan yang masih berlumpur lagi tubuhnya menjelma di dalam geluk.

"Alhamdulillah..." Ulung Bahar menarik nafas.

Orang Besar terkejut melihat ikan haruan di dalam geluk di depan Ulung Bahar. Geluk itu juga menjadi keruh disebabkan lumpur yang dibawa oleh haruan tadi. Kemudian dia membelah perut ikan itu. Di dalam perut ikan haruan berkenaan terdapat segulung benang kuning yang diikat pada paku setengah inci. Barang-barang yang dikeluarkan dari perut ikan itu diambil oleh Ulung Bahar dibungkus dengan sapu tangannya. Ikan haruan itu juga dibungkus dengan plastik, kerana menurut Ulung Bahar dia sendiri akan membuangnya ke laut.

Setelah semuanya selesai, Ulung Bahar tidak membuat apa-apa tangkal atau azimat untuk Orang Besar. Dia hanya membacakan doa lalu dihembuskan ke kepala Orang Besar. Kemudian dia menyuruh Orang Besar solat tengah malam dua rakaat. Tidak ada ubat-ubat lain yang diberikan oleh Ulung Bahar. Selepas dia mengubat malam itu, esoknya dia terus balik ke kampung. Orang Besar bertanya sama ada dia akan mengubatnya tiga kali ulang, tetapi Ulung Bahar menjawab, "Nak ubat apa lagi Tuan, bukannya Tuan sakit..." dia tersenyum mengerling Orang Besar.

Khabarnya Orang Besar berkahwin lagi tidak lama selepas itu. Selepas peristiwa ini isteri Orang Besar tidak lagi mencari tangkal pembenci. Dia sendiri tidak marah lagi kalau Orang Besar berkahwin lain.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®