MUKA SEBESAR TINGKAP MENJENGAH
Tetapi Kasman tidak peduli dengan kedudukan demikian. Dia mempunyai rakan-rakan baik serta ramah mesra di Labuan. Pernah juga dia menulis surat kepada saya mengenai keseronokannya berkhidmat di Sabah. Dari gambaran yang diberkannya teringin juga saya mahu ke Sabah, tetapi sehingga saat ini saya masih belum menjejakkan kaki lagi ke Sabah.
Kasman memberitahu bukanlah semua orang Sabah bersikap membenci orang Semenanjung. Sekiranya kita baik dan ramah mesra, mereka juga akan melayani kita dengan baik dan ramah mesra. Kasman berkhidmat di Sabah selama 3 tahun. Apabila dia balik semula ke Semenanjung persahabatannya dengan saya bertambah rapat.
Pada mulanya saya tidak tahu mengapa begitu rapat hubungannya dengan saya, tetapi kemudiannya isterinya Habibah menceritakan kepada saya mengenai pengalamannya di Labuan.
Itulah pada malam berkenaan tatkala Kasman menulis di meja, salakan anjing galak diluar. Memang sikapnya tidak mahu mengambil tahu apa-apa yang terjadi di luar.
Tidak lama selepas salakan anjing itu terdengar bunyi gelas jatuh di bahagian dapur. Terkejut juga Kasman kerana Habibah sudah nyenyak tidur. Masakan Habibah mengingau sambil berjalan ke dapur. Bagaimanapun Kasman meneruskan juga kerjanya menulis dan menyemak fail-fail yang dibawa balik dari pejabat.
Menjadi kebiasaan Kasman akan membawa kerja-kerja di pejabat ke rumah, supaya semuanya cepat beres. Sikap pegawai muda ini, memang di kagumi oleh pihak atasannya. Sebab itulah dia sengaja dihantar ke Sabah memandangkan khidmatnya yang cemerlang sebelum ini.
Bunyi gelas jatuh itu bersambut-sambut pula dengan daun tingkap ditiup angin. Salakan anjing juga kian memanjang di tengah malam sunyi demikian. Teringat juga dia kemungkinan isterinya terlupa menutup tingkap di dapur.
“Ah, pelupa sangat, sampai tingkap pun tak tutup” rungut Kasman lalu bangun berjalan ke dapur untuk menutup tingkap.
Sebaik saja dia sampai di dapur berdebar juga hatinya melihat tingkap yang terbuka tertutup dengan sendirinya. Insil tingkap juga ditutupkan seperti ditolak tangan manusia. Lama Kasman tertegak di pintu masuk ke dapur kerana seolah-olah apa yang dilihatnya berlaku dalam mimpi saja.
Cepat-cepat dia mengucap dua kalimah syahadat. Bunyi salakan anjing masih juga mengonggong di luar, tetapi bunyi gelas jatuh terhempas tidak kedengaran lagi. Sebenarnya semasa diperiksa tadi tidak kelihatan satu pun gelas yang jatuh terhempas.
Dia tidak jadi meneruskan kerjanya, sebaliknya terus masuk tidur. Apabila bangun dia tidak memberitahu apa-apa kepada Habibah mengenai kejadian yang berlaku di depan matanya itu.
Tetapi Habibah menceritakan yang dia bermimpi didatangi seorang pegawai berbangsa Inggeris yang menyuruhnya menjaga rumah itu baik-baik. Orang Inggeris merasa bangga kerana mereka menjaga rumah itu dan dia terhutang budi, kerana Habibah dan Kasman mengambil berat menjaga kebersihan rumah tersebut.
“Ah ... mimpi karut” ujar Kasman sambil menyembunyikan peristiwa yang dialaminya pada sebelah malamnya.
“Memang mimpi bukannya betul” Habibah macam menyindir. “Tapi saya saja nak cerita pada abang. Lagi pun apa nak takut pada mimpi” katanya dengan maksud bukanlah dia mempercayai sangat mimpinya itu.
Tersinggung juga hati Habibah kerana suaminya tidak mahu mendengar cerita mengenai mimpinya. Sepatutnya suaminya mestilah mendengarkan terlebih dahulu dan mesti mengambil berat apa yang berlaku terhadap dirinya. Tidak pernahlah suaminya tidak mendengar cerita mimpinya itu, kerana selalunya Kasman akan mengusiknya dengan berbagai-bagai apabila menceritakan tentang mimpi-mimpi yang dirasakannya aneh sedikit.
Di pejabat Kasman menceritakan kejadian di rumahnya kepada kawannya Alimudin anak tempatan di Labuan. Pada sangkaannya Alimudin akan mentertawakannya kerana mempercayai kisah-kisah tahyol demikian, sebaliknya Alimudin ikut sama muram dengan cerita yang dialami oleh Kasman.
“Lebih baik kau pindah cari rumah lain” Alimudin menasihatkan dia.
“Susahlah nak pindah-pindah” sahut Kasman.
Sedapat-dapatnya dia tidak mahu berpindah dari rumah tersebut. Bukan sahaja selesa tetapi mencari rumah lain belum tentu sebaik rumah itu.
“Kau orang baru, aku ingat tak guna kau tunggu rumah tu “ ujar Alimudin tetapi sengaja tidak memeberitahu kawannya itu mengenai rumah berkenaan.
“Aku fikir lebih baik kau pindah saja” katanya lagi menasihatkan.
Kasman terdiam. Dia dapat mengagak tentu ada rahsia di sebalik kata-kata Alimudin itu. Bagaimanapun Kasman tidak pernah gentar dengan perkara-perkara tahyol demikian. Sekali pun dia sudah melihat dengan mata kepalanya sendiri kejadian semalam, tetapi dia masih yakin apa yang dilihatnya itu adalah disebabkan dia terlalu mengantuk..
“Sudah lama aku tak dengar ceritanya..” keluh Alimudin bila mengenangkan cerita Kasman. Dahinya berkerut seolah-olah memikirkan sesuatu.
“Cerita apa?” tanya Kasman keheranan. Alimudin anak tempatan di Labuan tentulah dia mengetahui keadaan sebenarnya mengenai rumah tersebut. Tentulah Alimudin sengaja mahu merahsiakan sesuatu kerana bimbang dia akan ketakutan.
“Cakaplah apa yang kau tahu mengenai rumah itu” ujar Kasman mendesak kawannya.
“Oh, sudah lama penjaga rumah itu tidak menganggu” jelas Alimudin perlahan.
Dia memberitahu Kasman sebelum itu siapa pun tidak berani tinggal di rumah berkenaan,. Tetapi setelah keluarga seorang pegawai Inggeris tinggal di situ, dia tidak pernah diganggu oleh lembaga yang menakutkan. Pegawai itu sudah balik ke England. Jadi, selepas itu orang-orang yang menghuni rumah berkenaan tidak lagi mengalami kejadian-kejadian yang menakutkan.
Sebelum pegawai Inggeris itu mendiami rumah berkenaan, ada satu keluarga Cina yang menjadi pengawai tinggal di situ. Pada malamnya dia terdengar bunyi orang berjalan-jalan, tetapi mereka tidak menghiraukannya. Besok paginya dia mendapati katil tempat tidurnya sudah dialih sampai ke tengah halaman rumah.
Pengawal Cina itu tidak berani lagi tinggal di situ. Dia terus berpindah menyewa di rumah lain. Dia tidak mahu tinggal di rumah kerajaan lagi, disebabkan peristiwa tersebut. Satu lagi keluarga pegawai kulit putih yang mendiami selepas pegawai Cina itu, tidak percaya dengan kejadian berkenaan. Dia mengambil keputusan untuk tinggal di rumah berkenaan.
Dia telah mengalami peristiwa yang sama. Walaupun katilnya sudah dialihkan ke tengah halaman, tetapi dia masih mahu mencari punca kejadian tersebut. Setiap malam dia berjaga untuk menyaksikan sendiri siapa yang punya angkara. Dia juga telah memerintahkan orang gajinya sama-sama berkawal.
Pegawai Inggeris itu sentiasa memegang pistol semasa berkawal. Tetapi apabila tiba jam 12.00 malam dia merasa pistolnya dirampas orang. Sementara orang yang merampasnya tidak kelihatan. Kemudian muncung pistol dihalakan ke dadanya. Ketika ini dia menjerit meminta tolong. Arun orang gajinya segera bekejar di atas , dan didapatinya Tuan Bell tersandar di dinding dalam ketakutan.
“Mengapa Tuan? “ tanya Arun keheranan.
“Itu pistol, siapa pegang itu pistol...?” Tuan Bell terketar-ketar.
“Tuan yang pegang” beritahu Arun kerana dilihatnya Tuan Bell menghalakan pistolnya ke dadanya sendiri.
“Apa pasal tuan mahu tembak diri tuan sendiri?” cepat-cepat dia meminta pistol itu dari Tuan Bell.
Ketika ini isterinya Puan Bell juga sudah meluru keluar dari bilik. Dia bersama Arun terpaksa merampas pistol dari tangan Tuan Bell. Sejak itu Tuan Bell selalu meracau-racau mahu menembak dirinya. Terpaksalah Tuan Bell menyerahkan pistolnya kepada pihak polis, bagi mengelakkan dari kejadian yang tidak diingini .
Bagi mengatasinya Arun telah memujuk Puan Bell supaya memanggil seorang bomoh. Pada mulanya Puan Bell enggan juga memanggil bomoh, tetapi setelah pihak doktor mengatakan Tuan Bell mengidap penyakit demam panas atau sebagainya, terpaksalah dia menyetujui kemahuan Arun untuk memanggil bomoh.
Bomoh itu adalah seorang Melayu Bajau yang dikenali oleh Arun. Setelah diubat oleh bomoh itu barulah Tuan Bell sembuh dari sakitnya. Dia tidak meracau-racau lagi. Setelah dia pindah dari situ seorang lagi Pegawai Inggeris mendiami di rumah berkenaan, bagaimanapun Arun terus kekal menjadi orang gaji disitu. Pegawai-pegawai Inggeris memang gemar tinggal di kawasan rumah kerajaan di situ kerana kedudukannya berhampiran dengan laut. Mereka suka mendengar deruan ombak apabila malam semakin sunyi.
Apabila Mr. Harold bersama keluarganya mendiami rumah tersebut, Arun telah menceritakan kepadanya apa yang telah berlaku ke atas Tuan Bell. Mr Harold percaya dengan apa yang diceritakan oleh Arun, kerana sebelum itu dia pernah berkhidmat di Serawak. Mr Harold memang sudah banyak mendengar kisah-kisah yang serupa seperti diceritakan oleh Arun.
Oleh itu sebelum dia membawa keluarganya tinggal dia menyuruh Arun memanggil bomoh yang dikatakan itu. Bomoh itu dikenali dengan panggilan Pak Kari saja. Dia tidaklah banyak karenah apabila diminta oleh Mr Harold menghalau penunggu rumah itu yang mengganggu penghuni-penghuninya.
Sejak itu tidak ada lagi kejadian-kejadian mengemparkan berlaku. Selepas Mr Harold balik ke England sudah tiga keluarga tinggal di situ. Mereka juga heboh dengan gangguan-gangguan yang berlaku kepada penghuni-penghuninya sebelum itu. Hanya Kasman sahaja baru menerima gangguan itu semula.
“Kalau kau mau, saya boleh bawakan Pak Arun jumpa kau” Alimudn menawarkan jasa baiknya untuk menolong Kasman.
“Pak Arun tu boleh ubatkan juga?” tanya Kasman antara percaya dengan tidak.
“Bukan Pak Arun yang akan mengubatnya” jelas Alimudin tersengih-sengih. “Tetapi dia akan panggilkan Pak Kari atau Haji Kari. Pada Haji Kari itulah kita minta tolong” katanya lagi.
Besoknya betul-betul Alimudin membawa Pak Arun datang ke pejabat dan memperkenalkannya kepada Kasman. Orangtua itu sudah beruban rambutnya, tetapi sentiasa tersenyum bila bercakap.
Alimudin memberitahu dia mengenai kejadian yang berlaku di rumah Kasman, iaitu rumah pegawai kerajaan yang pernah dia menjadi orang gajinya.
“Pak Haji Kari tu dah meninggal dunia” beritahu Pak Arun perlahan. “Tetapi kalau encik memerlukan saya boleh panggilkan Haji Subi. Dia pun orang Melayu Bajau juga. Insya Allah....” ujarnya.
“Sebenarnya apa yang ada di rumah tu Pak Arun ?” Kasman tidak puas hati kalau tidak mengetahui kejadian sebenarnya. Dia tidak mahu tergopoh-gopoh memanggil bomoh, kalau tidak tahu punca kejadian itu. Lama juga Pak Arun tersengih-sengih sebelum menyahut pertanyaan Kasman.
“Ah, cerita lama dah ni...” ujarnya macam mengingatkan sesuatu.
Pak Arun pun hanya mendengar cerita dari mulut ke mulut juga mengenai lkejadian sebenar di rumah itu. Di situlah tinggal seorang pegawai Inggeris yang mula-mula menghuninya sebaik saja rumah itu siap didirikan. Dia telah berkahwin dengan seorang wanita Filipina. Pegawai itu Tuan Steven menemui wanita Filipina dalam satu kelab malam di Singapura.
Tuan Steven sangat baik hati dengan orang-orang gajinya dan terlalu sayang pada isterinya Puan Steven wanita berasal dari Filipina itu. Isteri Tuan Steven itu pula sangat sombong. Kadangkala ada saja yang tidak memuaskan hatinya dengan pekerja-pekerja di rumahnya. Tetapi disebabkan tukang masak, tkang kebun dan driver semuanya mengasihi Tuan Steven, jadi mereka tidaklah berhasrat meninggalkan pekerjaan mereka kalau disebabkan oleh wanita Filipina itu.
Satu hari Musid tukangkebun merasa malu kerana dimarahi leh Pua Steven ketika menghantarnya ke pasar. Wanita Filipina itu terlalu bongkak seehingga menghina keturunannya sebagai Melayu Bajau yang hanya layak menjadi pemandu sahaja. Musid terlalu sakit hati . Sebab itu dia mahu membalas dendam atas kekasaran isteri tuan Steven. Dia tidak memperdulikan lagi mengenai kebaikan hati Tuan Steven selama ini.
Kerana selama Tuan Steven tidak berkahwin pun mereka semua sudah berkhidmat dengan pegawai Inggeris itu. Hanya setelah kedatangan wanita Filipina itu saja suasana berubah. Wanita Filipina itu seolah-olah memandang mereka yang bekerja di situ sebagai haiwan yang tidak ada harga diri.
Disebabkan terlalu marah inilah Musid telah mencari seorang bomoh yang pandai untuk melemahkan hati isteri Steven supaya jatuh asyik kepadanya. Bomoh yang di cari oleh Musid memang terkenal di kampungnya, kerana bomoh ini pernah bertindak semasa anaknya dinodai oleh seorang pegawai Inggeris yang berkhidmat di Sabah. Pegawai Inggeris yang sombong tidak mahu mengahwini anak bomoh berkenaan yang telah dinodainya sehingga dia memberhentikan janda itu dari bekerja menjadi tukang masak di rumahnya. Dia hanya memberi wang sebagai ganti rugi sahaja.
Bomoh ini telah mengunakan jampi mentera sehingga kemaluan orang Inggeris tu berpindah ke dahi. Terkejutlah orang Inggeris itu apabila mendapati kemaluannya tergantung di dahi. Dia merasa malu untuk menemui sesiapa saja kerana keadaan yang dihidapinya. Setelah disiasat dia mendapati bomoh itu telah melakukannya. Mahu tidak mahu terpaksalah orang Inggeris itu mengalah dan bersedia mengahwini anak bomoh yang berbangsa Kadazan itu. Perempuan itu pula janda kerana suaminya mati diserang babi hutan ketika berburu.
Kepada bomoh berbangsa Kadazan itulah Musid meminta bantuan. Sesuai dengan upahnya memang bomoh itu sanggup melakukan kemahuan Musid. Dia meminta Musid mendapatkan gambar wanita itu, rambutnya, kukunya dan bekas air mandinya. Semua yang diminta oleh bomoh mudah didapati oleh Musid, kerana memang dia di tugaskan membuat kerja-kerja itu semua.
Selepas mandi, isteri tuan Steven akan menyuruh Musid mengemaskan besen mandi. Kemudian dia akan membersihkan kuku dan berdandan. Dia akan menyuruh Musid mengemaskan semuanya apabila dia selesai membersihkan kuku dan berdandan rambut. Oleh itu semua yang dikehendaki oleh bomoh berkenaan mudah diadakannya. Manakala gambar perempuan itu juga mudah dicurinya dari album kerana dia bebas keluar masuk ke bilik perempuan itu berdandan.
Setelah semua syarat dan barang-barang yang dikehendaki dapat disiapkan oleh Musid, dia pun menyerahkan kepada bomoh tersebut.
“Kau beri aku tempoh tujuh hari, kalau tak menjadi kau ambil duit kamu” kata bomoh itu semasa dia menerima wang $150.00 dari Musid.
Musid mengangguk. Hatinya puas kerana dapat membalas dendam kepada perempuan Filipina itu. Dia mahu biarlah perempuan itu pula mengikuti saja kemahuannya.
Kira-kira seminggu selepas itu, benarlah seperti apa yang dicakap oleh bomoh yangmenjanjikan untuk membantunya itu. Isteri Tua Steven tiba-tiba saja berubah. Dia sentiasa menghampiri Musid semasa dia menyiram pokok bunga atau berkemas. Tetapi Musid sengaja tidak mahu melayaninya.
Hingga satu hari dia tidak segan-segan untuk memeluk dan mencium Musid. Dia melutut di kaki Musid mengajak lelaki itu berkahwin dengannya. Dia sanggup meminta cerai dari Tuan Steven. Pada mulanya Musid masih ragu-ragu untuk melakukan perbuatan yang tidak baik, apabila teringatkan budi baik Tuan Steven selama ini.
Sebaliknya apabila mengenangkan sakit hatinya kepada wanita berkenaan dia tidakmemperdulikan apa pun lagi. Musid terus melayani perasaan dendamnya. Setiap hari dia akan menghabiskan masa di bilik tidur dengan wanita itu semasa Tuan Steven pergi bekerja.
Lama kelamaan wanita Filipina itu tidak tertahan lagi akan asyiknya kepada Musid, lantas dia meminta Tuan Steven menceraikan dia. Tentulah Tuan Steven terkejut dengan perminaan yang di luar dugaan itu. Apalagi dia memang terlalu kasih akan isterinya itu. Apa saja kemahuan perempuan itu dia sanggup memenuhinya. Kalau isterinya mahu berihat di Hawai atau ke Australia dia sanggup untuk membawanya kesana.
Namun isterinya tidak mahu. Dia tetap dengan pendirian untuk bercerai. Berterus terang dia menyatakan hatinya terlalu cintakan Musid. Mendengarkan Musid tukang kebunnya yang setia itu dicintai oleh isterinya , Tuan Steven bertambah hilang akal dan kebingungan. Dia tidak sabar lagi lantas mengambil pistol. Dia tidak memperdulikan apa lagi dia terus menembak isterinya. Dalam kelam kabut dia lantas menembak kerengkungnya.
“Kedua-duanya mati dalam pergaduhan itu juga” ujar Pak Arun, “Jadi yang selalu menjelma di situ ialah Tuan Steven,, itulah cerita orang-orang di sini” katanya semacam seram sejuk bila mengenangkan peristiwa berkenaan.
“Pernah Pak Arun jumpa jelmaan Tuan Steven ni ?” tanya Kasman ingin mengetahui lebih lanjut.
“Tak pernah” beritahu Pak Arun mengelengkan kepala. “Tetapi terdengar orang berjalan, bunyi gelas jatuh seperti bergaduh, katil berjalan, tingkap terbuka sendiri, memang pernah juga saya alami” jelas Pak Arun selanjutnya.
Cerita Pak Arun dengan mimpi isterinya Habibah, terasa ada persamaan pada Kasman. Lagi pun apa yang didengarnya sama juga seperti apa yang didengar oleh Pak Arun.
Setelah mendengar penjelasan Pa Arun barulah Kasman bersetuju untuk menjemput Haji Subi.
Apabila balik ke rumah memberitahu kepada Habibah apa yang didengarnya dari Pak Arun. Sebaik saja mendengar cerita itu Habibah cepat-cepat mengajak Kasman pindah. Walaupun Kasman memberitahu Pak Arun sudah berjanji akan membawa Haji Subi ke situ, namun Habibah masih tidak mahu tinggal di situ lagi. Malah Alimudin juga menyabarkan Habibah, kerana masalah itu akan dapat diatasi juga.
Setelah puas dipujuk Habibah sanggup bersabar sehingga Haji Subi mencuba mengubati dan membersihkan rumah berkenaan dari gangguan syaitan.
Pada malam sebelum Haji Subi datang itu, Kasman masih juga membuat kerja sampai jauh malam seperti kebiasaannya. Salakan anjing terdengar juga memanjang jauh di luar. Sekali sekala disambut oleh bunyi deburan ombak dari tepi pantai. Sehingga jam 12.00 tengah malam dia kedengaran lagi bunyi orang berjalan seperti dua tiga malam sebelum itu.
Tidak lama kemudian bunyi orang berjalan itu bertukar seperti bunyi gelas jatuh. Kasman tidak menghiraukan lagi bunyi itu. Dia sudah tahu keadaan sebenarnya. Bagi mengatasi kebimbangannya tiba-tiba saja dia teringat unuk membaca Al-Fatihah dan Al-Ikhlas. Dia membacanya berulang kali dengan penuh harapan akan terhindar dari gangguan syaitan.
Hanya beberapa minit kemudian dia terdengar Habibah memekik kuat dari bilik tidur. Kasman segera meluru ke bilik tidur. Dia melihat Habibah dalam ketakutan di atas katil. Sebaik saja dia masuk ke bilik, Habibah kantas memeluknya irat-irat.
“Ada apa Bibah?” tanya Kasman cemas.
Habibah tidak menyahut. Dia tersedu-sedu menyembamkan mukanya ke dada suaminya.Ternyata tubuhnya, dadanya sejuk aibat menahan perasaan takut.
“Ada apa?” desak Kasman. Dia tahu tentu isterinya terdengar bunyi yang didengarnya tadi. Bunyi itu tentulah mengerunkan terutama bila pada waktu tengah malam.
Tetapi mengapa Habibah menjadi takut, sedangkan bunyi itu didengarnya dari arah dapur. Dapur terletak jauh dari bilik tidur, manakala ruang tamu tempat dia menyiapkan kerja lebih dekat dengan dapur. Sudah tentu lah bunyi itu kedengaran lebih jelas kepada dia dari Habibah.
“Mengapa Bibah terpekik?” Kasman cuba memujuk isterinya.
“Itu....tu, tengoklah tu” Habibah menudingkan telunjuknya dengan tidak memandang pun arah yang ditunjuknya.
“Apa dia ?” desak Kasman.
“Itu dekat tingkap” kata Habibah terketar-ketar.
Kasman berpaling ke tingkap, kerana tingkap itu memang sudah dikuncinya sejak senja tadi lagi. Tetapi dia menjadi terkejut apabila melihat tingkap itu terbuka. Di tingkap itu penuh dengan muka seorang Inggeris yang tersenyum ke arahnya. Muka sebesar tingkap itu memang menggerunkan, tetapi pada air mukanya dapat diagakkan oleh Kasman sebagai meminta maaf.
Mujurlah Kasman tidak cepat panik. Perlahan-lahan dia membaca Surah Al-Ikhlas itu berulang kali. Semakin lama semakin kuat dibacanya Surah Al-Ikhlas itu hingga bergema sebuah bilik. Ketika inilah dia mendengar jeritan serentak dengan bunyi satu benda jatuh ke tanah dari tingkap itu. Setelah agak reda sedikit, Kasman pun cepat – cepat menutup tingkap berkenaan.
Kejadian pada malam itu diceritakannya pada Haji Subi. “Dia orang baik, bukan nak menganggu, tetapi kita yang takut” ujar Haji Subi. Tetapi setelah Haji Subi menyiramkan air bacaan Surah Yassin di sekeliling rumah, tidak ada lagi kedengaran gangguan tersebut. Hinggalah Kasman dan Habibah balik semula ke Semenanjung tiga tahun kemudian, dia tidak mengalami apa-apa gangguan lagi. Malah ketika disanalah dia melahirkan anak yang sulung Wahida, tidak pula ada apa-apa yang tidak baik berlaku kepada bayinya.
“Dulu dia anggap benda-benda macam ni tahyol aje, Ustaz” kata habibah memberitahu saya. “Maklumlah....” ujarnya macam mengejek tetapi tidak meneruskan kata-katanya.
Kasman tersengih-sengih saja mendengar kata-kata isterinya . Bagaimanapun kenangan di Sabah itu tetap tidak luput dari ingatannya. Di situlah pertama kali dia benar-benar tercabar oleh sikap keras hatinya tidak mahu mempercayai perkara-perkara yang dianggap nya tahyol itu. Tetapi apabila kejadian itu benar-benar berlaku di depan matanya dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak mengatakannya samada tahyol atau tidak.
Beberapa tahun kebelakangan inilah hubungan mereka sekeluarga baik dengan saya. Baik dalam ertikata terlalu rapat, kerana sebelumnya hanya kenal-kenal begitu saja. Itu pun kerana Habibah itu pernah bersekolah yang sama dengan isteri saya. Semasa di sekolah mereka hanya berkawan begitu saja, tidaklah begitu rapat. Apabila balik dari Sabah, Kasman bertugas semula di Kuala Lumpur .
Anaknya Wahida yang berumur 15 tahun entah mengapa kena bengkak pada leher. Hendak dikatakan beguk tidak pula. Hampir tiga tahun dia mengidap bengkak leher, dan pihak hospital mengambil keputusan untuk membedahnya. Bagaimanapun pembedahan belum dapat dijalankan kerana pihak hospital mengatakan masa nya belum sesuai lagi. Lapuran x-ray juga tidak dapat membantu cara mana harus dlakukan.
Kebetulan say abertemu mereka di satu majlis kahwin di kampung. Saya bertanya apa yang dihidapi oleh Wahida. Habibah pun menceritakan mengenai penyakit yang sudah dihidapi oleh anaknya hampir 3 tahun itu.
“Penyakit datang ari Allah, mohonlah kepada Allah menyembuhnya” ujar saya mengingatkannya.
Pada mulanya Kasman menyangka saya hanya bergurau. Tetpai Habibah cepat meminta saya menengokkan penyakit anaknya itu.
“Cubalah tengok-tengukkan Ustaz. Dah bawa ke hospital dan jumpa bomoh, tetapi macam itulah juga nampaknya” kata Habibah. “Manalah tahu kalau rasi dengan Ustaz,” dia menambah sambil mengerling kepada isteri saya.
“Iyalah penyakit ni, buka fasal kecil besar bomohnya. Penyakit ni ikut rasi” sahut isteri saya pula.
Saya suruh Kasman sembahyang tahjud dalam masa seminggu. Kemudian hembuskan ke tapak tangan dan bacakan Surah Al- Ikhkas, Surah Al- Falak dan Surah An-Nas dan lantas disapukan ke bahagian leher yang bengkak itu. “Cubalah buatkan tiga kali macam tu’ saya mengingatkan dia.
“Insya Allah,” Kasman bersungguh-sungguh memberi jaminan akan mencuba melakukannya. Seminggu kemudian Kasman bersama keluarga datang ke rumah saya. Ketika itu saya tidak ada di rumah , kerana mengikut seorang kawan ke Terengganu. Habibah menyuruh isteri saya mengamat-amati anaknya Wahida. Isteri saya turut gembira kerana bengkak leher yang dihidapi oleh Wahida selama hampir tiga tahun sudah sembuh.
“Kalau tidak minggu depan di operate” beritahu Kasman kegembiraan.
“Alhamdulillah, inilah kuasa Allah yang tak terfikirkan oleh manusia akan kudrat iradatnya,” kata isteri saya tumpang gembira.
Sejak itulah kami sering kunjung mengunjung rumah. Kadangkala kalau balik ke kampung di Perak, akan sama sama membawakan buah tangan dari kampung untuk disampaikan. Tetapi saya memang suka mencari ramai kawan, rasa tidak akan rugi kalau mempunyai ramai kawan.
TAMAT