07 Julai, 2000

MAYAT BERTUKAR MENJADI KHINZIR

Memang setiap kali berjamu ancak dibatu bersimpuh berkenaan,ucu sidin tahu kakaknya ulung siah akan terketar-ketar badan. Lama terketar-ketar ulung siah akan berasa seram sejuk seolah-olah diganggu demam kura. Sekaligus pula perutnya akan senak memulas-mulas hingga tekak loya bagaikan mahu terjeluih muntah.
Apabila ulung siah mula beratip, lantas pawang lamid menyeru dengan jampi serapah. Ketika ini dia melihat banyangan moyang labang bersila rapat disisi ulung siah seolah-olah ikut sama beratip. Tiga hari berturut-turut moyang labang beratip bersama ulung siah, jelmaan nya akan menghilang laksana asap dipuput angin.
Setelah moyang labang menghilan nescaya ulung siah tidak lagi beratip melenggok-lenggok kan badan. Siapa pun tidak boleh harapkan dia menjampi serapah lagi kalau menghidap penyakit bertahun-tahun. Memang pawang lamid tidak dapat melihat dengan jelas bayangan moyang labang berpakaian serba hijau terconggok di sisi ulung siah.
Tetapi ucu sidin tidak beritahu ayahnya mengenai ulung siah menjerit-jerit marah tatkala pawang lamid berjamu ancak. Ulung siah merapik hingga menghentak-hentak kaki ke lantai apabila ayahnya berjamu ancak tidak mengikut tempoh yang ditetapkan. Manalah berjamu ancak ikut kemahuan sendiri dengan tidak mematuhi amalan yang diamalkan.
“ Ingat aku ni lapar sangat”, gerutu ulung siah mengertap bibir seolah-olah kecewa keputusan pawang lamid berjamu ancak. “ Kalau tak tahi berpawang, jangan nak berpawang”, dia mencebik bibir melepaskan rasa marah yang mendongkol.
Memang ucu sidin berasa hairan dengan perubahan pada diri kakaknya yang cepat-cepat membentak. Dia tidak terketar-ketar badan menahan seram sejuk tidak menentu. Apabila ayahnya balik dari berjamu ancak dibatu bertimpuh, barulah ulung siah beratip tersangkut-sangkut.
Sebaik sahaja pawang lamid menyuruh ambilkan selendang hijau, ucu sidin tidak membantah apa-apa. Hinggalah seminggu ulung siah beratip, ucu sidin tidak memahammi apa-apa mengenai kejadian yang menimpa kakaknya.
Dalam masa ulung siah beratip berterusan, usin pakau juga semakin liar menjalar hingga kakinya terkotek-kotek bagaikan ekor ular mahu membelit kukuh. Sebab itu pawang lamid di cabar, sekalipun dia masih boleh bertahan kalau diganggu geruh puaka.
Masakan puaka dimana-mana mampu tewaskan dirinya tatkala terserempak. Asal sahaja dia hentakkan kaki ke bumi, nescaya puaka yang berkeras mahu melawan akan tenggelam terjelus bagaikan terpijak selut. Bila-bila pawang lamid sanggup berdepan sekiranya mahu mencari geruh dirinya.
Tetapi perkara anak dan cucunya berhadapan dengan geruh, memang dia tidak boleh bertahan. Apa lagi kalau puaka berkenaan sudah menyerap kukuh laksana garam sudah dibancuh ke dalam air. Bukan mudah mahu saringkan garam terasing daripada air yang larut bersamanya.
“ Bapa mentua saya serahkan pada tok aji membantu kak siah ni”, beritahu malim tekih apabila diperkenalkan tok aji kepada pawang lamid.
“ Memang saya harapkan pada abang aji”, sahut pawang lamid merendahkan diri disebabkan kecewa dengan kejadian yang menimpa anaknya.
“ Insya allaa, saya sekadar berikhtiar”, tutur tok aji apabila mengenangkan malik tekuh bersusah payah dari jauh semata-mata harapkan dirinya.
Beberapa kali malim tekih datang menjengahnya apabila lama menetap bersama wak sarmin di endau. Setiap kali wak sarmin mengunjung tok aji memang malim tekih ikut sama menjengah. Setelah berpindah ke kampung pawang lamid itulah jarang dia menemui tok aji. Malah ke endau pun lama dia tidak menjengah muka mengunjungi bapa angkatnya wak samin.
Kalau tidak disebabkan bapa mentuanya harapkan dia membantu, malim tekih tidak terniat langsung mahu mengunjungi tok aji. Sekiranya mahu memberi tahu bapa angkatnya wak sarmin di endau, ianya lebih jauh kalau dibandingkan dengan menemui tok aji sendiri. Lagi pun belum tentu wak sarmin mahu menjengah datang apabila dia mengunjungi ayah angkatnya itu.
Serba salah juga malim tekih setelah bapa mertuanya mendesak dia menyuruh jemput wak sarmin. Tahu sangat pawang lamid mengenai wak sarmin akan menjelma menjadi harimau apabila keadaan kian mendesak. Tentu jelmaan puaka yang merasuk ulung siah akan bercempera lari menyelamatkan diri apabila wak sarmin menjelma menjadi harimau.
Tetapi bukan mudah wak sarmin mahu melakukan kalau tidak terdesak sangat. Dia tidak mahu seisapa menuduh nya sengaja menunjuk-nunjuk kepandaian kalau jelmakan diri menjadi harimau. Sampai bila pun wak sarmin tetap akan kenang kejadian yang menyebabkan dirinya berpisah dengan isterinya lisun.
Kalau tidak terdesak memang dia tidak akan menjelmakan dirinya menjadi harimau tatkala lisun kepingin mahu melihat harimau liar di tengah belukar. Sebab itu dia menyuruh isterinya bersembunyi saja diatas para rumah sekiranya berhasrat melihat harimau hidup di depan mata. Apabila dia menjelma menjadi harimau tersentak lisun hingga terkejang pengsan tidak sedarkan diri.
Sebaik sahaja dipulihkan lisun mengambil keputusan tidak mahu lagi balik kepada wak sarmin. Dia melihat sendiri wak sarmin bertukar menjadi harimau di tengah rumah. Terigau-igau lisun mengenai dirinya bersuamikan harimau yang terconggok dihadapannya. Sebab itu kerat sepuluh pun dia tidak akan balik semula ke rumah wak sarmin.
Memang malim tekih tahu mengenai kejadian yang menimpa ayah angkatnya hingga terpaksa berpindah ke endau membawa perasaannya yang terluka. Kemana pun dia membawa diri wak sarmin tidak pernah putus hubungan dengan tok aji. Dia akan kunjungi juga tok aji setelah sama-sama merantau sejak tinggalkan kampung halaman masing-masing di bukit tinggi.
“ Ini malim tekih, anak angkat saya, bang aji”, ujar wak sarmin tatkala memperkenalkan anak angkatnya kepada tok aji sewaktu berkunjung di madrasah.
“ Awak dari mana?”, tutur tok aji masih pekat loghat kampung halamannya di tanah minang.
“ Ambo dari maninjau, tok aji”, beritahu malim tekih seolah-olah terbayang pokok kelapa yang menghijau di pinggir danau terbentang luas.
“ Tapi dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung”, lantas tok aji ingatkand dia apabila sama-sama jejak kaki di semenanjung.
Malim tekih menggangguk perlahan. Dia juga tahu mengenai peribahasa yang dipegang kukuh apabila meninggalkan kampung halaman seperti diingatkan oleh nenek mamaknya. Kalau berdagang buatlah resmi ayam betina, jangan ayam jantan, kokok berderai-derai ekor bergelumang tahi.
Sengaja malim tekih tidak membantah apa-apa tatkala seisi kampung berjamu ancak mematuhi keputusan bapa mentuanya pawang lamid. Perkara berjamu ancak bukanlah menghairankan sangat pada malim tekih apabila menjejak kaki ke kampung berkenaan. Semenjak dia meninggalkan maninjau mengaji pondok di padang panjang, terus pindah dilubuk sakaping, dia sudah mengalami berjamu ancak penduduk-penduduk kampung.
Memang lama dia duduk di lubuk sakaping sebelum berpindah ke semenanjung hingga bertemu wak sarmin di endau. Ketika dia di lubuk sakaping dia ikut sama berkebun membantu keluarga angkatnuya pak jalin. Tahu sangat dia mengenai pak sabata akan berjamu ancak asal sahaja musim turun ke sawah kerana bimbang diganggu siluman.
Seisi kampung akan ditimpa malang sekiranya siluman menjelma ke tengah sawah hingga anak-anak padi dilunyah habis. Siapa lagi boleh diharap mengusir siluman kalau bukan pak sabata. Lainlah selepas berjamu ancak nescaya siluman akan menjelma membantu mereka menajak di tengah sawah.
Mereka tertegun menjengah ditengah sawah apabila sejenjang tanah siap dibajak sepanjang malam. Apa salahnya mereka berjamu ancak sekiranya siluman menjelama membantu mereka menajak sawah. Sudah lama pak sabata satu-satunya yang mahir mengawal siluman apabila seisi kampung bersetuju berjamu ancak setiap kali musim turun ke sawah semula.
“ Kita mesti ikut sama berjamu ancak”, jelas pak jalin ingatkan malim tekih supaya tidak membantah kemahuan penduduk-penduduk kampung itu. Mereka mesti sediakan seekor kerbau siap disembelih ditepi rumpun aur tatkala malam diserkup kegelapan.
Malim tekih sekadar mengeluh perlahan dengan keputusan bapa angkatnya semasa menetap di lubuk sakaping. Masakan dia boleh membantah kalau takat datang berdagang dikampung halaman orang. Biarlah masing-masing membuat keputusan demikian, malim tekih tidak akan berusara apa-apa.
Mereka akan berkongsi menyediakan seekor kerbau yang tidak pernah turun membajak ke tengah sawah seperti ditetapkan pak sabata. Siluman tidak akan menerima berjamu ancak sekiranya disediakan kerbau pembajak sawah. Setelah disembelih oleh pak sabata, dia sendiri akan melapah sampai lapan bahagian.
Setelah dilapah oleh pak sabata, orang-orang kampung akan memanggang mentah untuk diusung ke tepi belukar rumpun aur. Daging kerbau dilapah lapan yang sudah dipanggang mentah diletakkan diatas daun pisang. Pak sabata kemudiannya memasang lilin disekeliling ancak daging kerbau itu, terus membakar setanggi biar asapnya melabung menusuk ke tengah belukar rumpun aur.
Selepas pak sabata menyeru siluman menjelma, mereka semua berundur jauh memerhati dari belakang sawah. Ketika ini seisi kampung nampak bayang jelmaan siluman bagaikan lelaki hodoh berpakaian compang-camping. Berpuluh-puluh lelaki hodoh keluar dari rumpun aur menyerbu ke tempat ancak kerbau disediakan.
Berebut-rebut siluman berkenaan meratah panggang kerbau disalai mentah itu. Ketika ini pak sabata sekadar duduk sahaja ditanah dengan beratip perlahan. Habis saja daging kerbau dilapah lapan, sekaligus siluman bertukar menjadi beberapa ekor babi. Mereka meluru ke tengah sawah menyondol-nyondol tidak berhenti menyebabkan sawah mereka seolah-olah dibajak habis.
“ Siapa tak ikut sama berjamu ancak, sawah mereka akan musnah”, beritahu pak jalin mengenai keputusan penduduk-penduduk kampung bersetuju berjamu ancak seperti ditetapkan oleh pak sabata. Bimbang juga dia sekiranya tanah sawahnya mengalami kejadian yang menimpa fakeh sibin semata-mata disebabkan tidak ikut sama berjamu ancak.
Habis sejenjang tanah sawah fakeh sibin berlubang menjadi lubuk hingga sebesar kawah kesan dilunggah babi. Tidak dapat dia menanam anak benih disebabkan tanah sawah sudah berlubang-lubang hingga menjadi lubuk takat leher air tergenang. Sebak benar fakeh sibin menahan keharuan yang menusuk dada akibat tanah sawahnya tidak boleh lagi digunakan menanam anak benih padi.
Tidak terniat langsung fakeh sibin mahu membantah ketetapan pak sabata kalau takat berjamu ancak. Apa sangat berkongsi membeli seekor kerbau beramai-ramai seisi kampung kalau diabanding kerugian yang dialami akibat tanah sawah dilunggah babi. Bila-bila fakeh sibin sanggup bayar wang berkongsi membeli seekor kerbau sekiranya diminta oleh pak sabata.
Tetapi siapa pun tidak beritahu mengenai pak sabata mahu berjamu ancak, setelah orang-orang kampung menuduh fakeh sibin melarang mereka berjamu ancak. Perkara turun ke sawah tidak sama dengan gangguan siluman yang menentukan seekor kerbau mesti dipanggang mentah. Fakeh sibin sekadar mengingatkan penduduk-penduduk kampung supaya tidak bergantung kepada siluman sahaja membajak sawah.
Sebab itu mereka memberitahu pak sabata mengenai fakeh sibin melarang mereka supaya tidak berjamu ancak. Memang pak sabata tidak memaksa sesiapa pun menjamu ancak apabila musim turun ke sawah. Dia hanya amalkan amalan yang diturunkan sejaka nenek mamak setiap kali mahu mulakan bersawah pada setiap tahun.
“ Takkan disebabkan tak berjamu ancak sawah akan musnah”, sengaja malim tekih ungkit juga mengenai kejadian yang menimpa fateh sibin itu.
“ Itulah yang berlaku pada fakeh sibin”, tegas pak jalin mengeluh pendek apabila kenangkan sejenjang tanah sawah fakeh sibin musnah berlubang-lubang disondol babi beratus-ratus ekor.
“ Kalau babi kita pasang ranjau aje”, ujar malim tekih bertekad mahu mempertahankan tanah sawah bapa angkatnya kalau diganggu babi yang keluar dari celah rumpun buluh aur.
“ Bukan mudah nak pasang ranjau tu, malim”, sahut pak jalin tidak mahu menentang amalan turun temurun yang ditetapkan oleh pak sabata.
“ Biar saya yang pasang ranjau”, tutur malim tekih tidak mahu mengalah sekiranya siluman menganggu di tengah kampung.
Disebabkan pak jalin tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa, dia memujuk malim tekih menerima sahaja keputusan orang kampung berjamu ancak apabila musim turun ke sawah. Meraka tetap usung daging kerbau dilapah lapan dengan dipanggang mentah ke perdu rumpun buluh aur di pinggir hutan.
Sebaik sahaja pak sabata memasang lilin tujuh batang berkeliling, dia terus membakar kemenyan dengan menyeru : Bukat kalbu datang baku, datang daripada nenek mamak, aku pun datang dari nenek mamak, tempat permulaan kita, tempat kediaman kita di dalam kalimat, kita beraksi dengan kalimat, berkat hu. . .
Setelah menyeru lantas dia memberi isyarat supaya berundur jauh ke seberang sawah. Belum pun mereka jejak di seberang sawah masing-masing sudah melihat lelaki-lelaki hodoh keluar dari rumpun buluh aur menyerbu daging kerbau dipanggang mentah. Berebut-rebut mereka mengghunggis daging kerbau dipanggang mentah itu sehingga habis tidak tersisa.
Tidak lama selepas itu lelaki hodoh berkenaan bertukar menjadi babi beratus-ratus ekor terus menyungkur tanah sawah. Orang-orang kampung melihat babi beratus-ratus ekor itu menyondol tanah sawah laksana kerbau membajak sawah. Tentu tiada siapa pun membantah disebabkan mereka tidak perlu lagi membajak sepanjang hari di bawah terik matahari memancar.
Dalam masa beratus-ratus ekor babi menyondol tanah, tiba-tiba sahaja mereka bercempera melarikan diri. Tidak ketahuan babi-babi berkenaan merempuh kesana kemari seolah-olah diburu pemburu-pemburu disegenap penjuru. Tetapi mereka yang tercegat diseberang sawah tidak melihat sesiapa pun pemburu menghambat babi-babi berkenaan.
“ Apahalnya ni pak sabata?”, musid telong hairan dengan keadaan beratus-ratus ekor babi itu bercempera lari.
“ Tentu ada sesiapa yang melanggar pantang larang”, gerutu pak sabata kecewa dengan kejadian yang berlaku diluar dugaannya.
“ Macam mana kalau babi-babi tu menyerbu ke sini?”, bimbang juga musid telong sekiranya beratus-ratus babi yang bertempiaran meluru masuk ke tengah kampung. Tentu babi-babi berkenaan akan menyondol siapa saja yang tidak sempat bersembunyi dalam keadaan kelam kabut demikian.
“ Kalau begitu kita terpaksa bersembunyi”, beritahu semua jiran-jiran yang berkumpul diseberang sawah.
“ Ayuh, cepat semua kita bersembunyi”, seru musid telong menggesa mereka semua segera balik ke tengah kampung.
Tidak bertangguh mereka semua bersembunyi naik ke atas rumah masing-masing setelah beratus-ratus ekor babi itu bercempera seolah-olah dihambat pemburu. Mereka tidak peduli lagi sama ada pak sabata bertahan atau tidak disitu. Tetapi masakan pak sabata mahu bertahan dalam saat beratus-ratus ekor babi sudah menyerbu tidak ketahuan.
Satu-satunya yang tahu mengenai kejadian beratus-ratus ekor siluman itu bercempera melarikan diri hanya fakeh sidin yang sama-sama solat maghrib bersama malim tekih. Tatkala mereka berdua tengah solat maghrib pak sabata bersama penduduk kampung mengusung daging kerbau dilapah lapan ke rumpun buluh aur.
Setelah solat maghrib terus mereka berdua solat sunat dua rakaat. Fakeh sibin membaca yassin sewaktu malim tekih berzikir di anjung surau. Biarlah mereka berdua sahaja terconggok ditengah surau dalam masa penduduk-penduduk kampung mengikut pak sabata berjamu ancak.
Ketika malim tekih membayangkan rajau buluh dipasang di seluruh lumpur sawah apabila badannya terasa bagaikan dirayap semut tatkala berzikir kian bergema jauh disanubari. Terasa tubunya bergoncang kuat akibat getar zikir yang mengombak-ombak seluruh urat nadi menyebabkan dia melihat siluman menjelma laksana lelaki hodoh disaluti lumpur selut keluar dari buluh rumpun aur.
Bangga sangat siluman berkenaan dijamu daging kerbau panggang dilapah lapan. Sampai bila pun seisi kampung akan mematuhi kemahuan mereka kalau mahu sawah padi dijaga baik-baik. Sejak turun temurun mereka mesti dijamu penduduk-penduduk kampung supaya membantu membajak tanah masing-masing. Sepanjang malam siluman berkenaan akan menjelma menjadi babi beratus-ratus ekor menyondol tanah sawah bagaikan kerbau membajak.
Apabila jelmaan babi siluman itu tersondol ranjau berceracak ditengah sawah segera lelaki hodoh melompat ke tengah kumpulan babi-babi berkenaan. Marah benar lelaki hodoh itu diganggu ranjau-ranjau bercerancang seolah-olah mahu menguji kesaktian dirinya.
“ Siapa kamu yang mencabar aku”, gerutu lelaki hodoh itu sebaik sahaja ternampak malim tekih di awang-awangan terapaung laksana bunga lalang dipuput angin.
Malim tekih tidak menyahut apa-apa, tetapi terus azan tujuh kali hingga ranjau tercancang berterbangan ke udara. Babi yang menyondol tanah sawah diterjah ranjau yang berterbangan asal sahaja bertahan disitu. Dalam keadaan lelaki hodoh terpinga-pinga, malim tekih terus membacakan : Qotiluhum yu' azzibuhu mullahu bi-aidikum yukhzihim wayansorkum 'alaihim wa-yasyfi soduro qaumim mukminin.
Lantas malim tekih memangkas tangan diudara bagaikan menghayun mata pedang hingga kilaunya memancar menggerunkan. Sekali gus pula lelaki hodoh itu diserbu jelmaan babi siluman beratus-ratus yang bercempara tidak ketahuan. Memang mereka berdua terconggok diatas surau tidak berganjak apa-apa, terdengar jeritan pekik di baruh kampung apabila babi-babi beratus ekor dari tengah sawah bercempara kesana kemari.
Sebaik saja masuk isya malim tekih mengajak fateh sibin mara kehadapan menjadi imam solat. Memang fakeh sibin tidak mengelak disebabkan dia sendiri menjadi imam disurau berkenaan. Apabila seisi kampung mengusung daging kerbau dipanggang mentah berjamu ancak, dia tidak berupaya menghalang mereka. Biarlah dia tercegat seorang diri sahaja solat ditengah surau, fakeh sibin tidak peduli apa-apa.
Tetapi semenjak malim tekih menetap dikampung halamannya di lubuk sakaping, dia berbangga disebabkan anak muda berkenaan tetap temankan dia disurau dalam masa seisi kampung berjamu ancak. Sewaktu mereka berdua bersiap-siap mahu balik ke rumah setelah memadamkan api pelita di tengah surau, terkejut fakeh sibin apabila musid telong termengah-mengah memanggilnya.
Tersengguk-sengguk musid telong memberitahu mengenai pak sabata cedera parah diserbu beratus-ratus ekor babi yang meluru dari tengah sawah. Sewaktu fakeh sibin bersama malim tekih menjengah ke rumahnya, jiran-jiran memberitahu mengenai pak sabata sudah meninggal dunia.
Disebabkan pak sabata tidak dapat diselamatkan segera fakeh sibin bujurkan mayat di tengah rumah. Dia sendiri menutup mayat dengan kain batik panjang. Sepanjang malam pula malim tekih bacakan yassin bergilir-gilir dengan fakeh sibin disebabkan orang-orang kampung masih berjaga-jaga kerana bimbang babi-babi siluman menyerbu naik ke rumah.
Sebaik sahaja masuk subuh, fakeh sibin menyuruh mereka bersiap-siao untuk kebumikan mayat selepas solat. Ketika ini beberapa orang jiran termasuk musid telong ikut sama solat subuh di surau bersama fakeh sibin dan malim tekih. Kejadian yang menimpa pak sabata tetap menjadi ingatan mereka setelah beratus-ratus ekor babi siluman itu menjadikan lelaki itu sasaran.
Selepas sarapan pagi fakeh sibin meminta musid telong sendiri mengetuai orang-orang kampung menggali kubur. Manakala dia sendiri bersama malim tekih akan menguruskan mandi mayat, berkapan hingga sembahyang jenazah. Tatkala mahu mandikan mayat terkejut benar malim tekih apabila melihat seekor babi tergolek dibawah kain tutupan mayat.
“ Malim ni tahu apa nak buat”, lantas tok aji mengerling pada pawang lamid setelah duduk disisi ulung siah. “ Di lubuk sakaping dulu dia tengok mayat pak sabata bertukar menjadi babi”, tutur tok aji menyebabkan malim tekih terpinga-pinga. Tidak pernah dia memberitahu sesiapa pun mengenai kejadian yang menimpa pak sabata sekalipun pada wak sarmin.
“ Siapa yang beritahu tok aji?”, segera malim tekih meminta kepastian, tetapi tok aji tidak menyahut apa-apa.
Mengeluh pendek malim tekih apabila tok aji jelaskan demikian, lantas dia berpaling memandang ke arah saya.


TAMAT
Copyright © dunia rasasayang ®