LELAKI TUA MENUNTUT JANJI
Tetapi orang-orang kita lebih mengikut Tahun Masehi. Disebabkan kita terikut-ikut Tahun Masehi sebagai tahun antarabangsa. Pada hal edaran bulan tidak langsung mengikut Tahun Masehi. Mungkin juga pengaruh penjajah yang menanam semangat kita sentiasa menghormati Tahun Masehi. Malah ramai dari orang-orang kita tidak peduli langsung mengenai kiraan Tahun Hijrah ini.
Ini juga yang terjadi kepada Manap Sepet. Dia memang tidak pernah tahu mengenai kiraan tahun Hijrah ini. Malah dia sendiri menganggap perkara-perkara yang bersangkutan dengan mimpi sebagai karut dan tidak munasabah saja.
Sebelum itu Manap diiberitahu oleh isterinya Sirah mengenai mimpinya bahawa selepas 15 haribulan Safar seorang lelaki tua menunggunya di simpang kampung. Dia akan menunggu Manap Sepet jam 12 tengah malam. Selepas 15 haribulan Safar itu tidak pula diterangkan bila. Cuma orang tua dalam mimpi itu mengingatkan selepas 15 haribulan Safar saja.
Sebab itu lah Manap Sepet tidak hiraukan sangat mengenai mimpi isterinya itu. Sekali pun Sirah menegahnya jangan lagi keluar pada waktu malam, namun Manap Sepet menganggap sebagai karut saja kepercayaan isterinya. Sirah memang mendapat mimpi mengatakan orang tua berkenaan mahu bertemu dengan Manap Sepet.
Sudah menjadi kebiasaan Manap Sepet, dia akan ke pekan dengan menaiki basikal sejauh empat batu dari kampung. Pekan itu pun hanya kedai papan sederet yang terdapat sebuah kedai kopi. Di belakang kedai kopi tempat orang bermain mahjong. Manap Sepet sekali sekala main mahjong juga di belakang kedai itu. Kalau dia tidak ada duit dia akan menebeng saja memerhati orang lain bermain. Di kedai kopi itu Manap Sepet duduk menghabiskan masanya sampai jam 11 malam baru balik.
“Sengaja kau nak jadikan aku jantan ikut telunjuk, duduk saja di rumah, fasal itu kau cakap mimpi ini “ bentak Manap Sepet memarahi isterinya ketika turun dari rumah petang tadi.
“Awak ni salah anggap” rungut Sirah tersinggung dengan tuduhan suaminya. “Saya kata lain, awak maksudkan lain pula” dia memasamkan muka.
“Mimpi itu karut semuanya ” Manap Sepet mencapai basikal di bawah rumah. ‘aku ak takut apa pun, tunggulah siapa yang nak tunggu” gerutunya mendongkol kerana dilarang oleh isterinya dari keluar ke pekan.
“Dalam seminggu dua ni aje jangan keluar malam, apa salahnya?” Sirah masih berharap supaya suaminya tidak keluar.
“Sudahlah karut,” bentak Manap Sepet. Dia terus menyeret basikalnya keluar ke tengah halaman.
“Jangan jadikan saya jantan ikut telunjuk pulak” dia mengibas-ngibaskan punggung dengan belakang tangan sebelum melompat naik menunggang basikalnya.
Sirah tidak berupaya menghalang suaminya dari meneruskan kemahuannya keluar juga ke pekan. Dia tau suaminya ke pekan yang terdapat kedai papan sederet itu saja. Manap Sepet tidak akan pergi ke Gemas, kerana malam tidak ada bas lagi. Lagi pun buat apa Manap Sepet ke Gemas kecuali kalau mahu menonton wayang. Sedangkan Manap Sepet bukannya orang yang suka menonton wayang.
Dia tahu suaminya akan mencangkung di belakang kedai kopi Ah Keong bermain mahjong. Itu pun kalau dia berduit. Kalau tidak berduit dia akan memerhati saja orang bermain. Memang asyik Manap Sepet memerhati orang bermain mahjong sampai lupa mahu balik ke rumah. Habis semua kawan-kawan datang dari kampung balik, dia tidak juga balik.
Fasal itulah Manap Sepet berseorang saja melalui jalan tanah merah di sekeliling pokok-pokok getah merimbun. Bagi Manao Sepet balik jauh-jauh malam tidaklah menjadi hal kepadanya. Kadangkala menumpang motosikal Ah Fook seorang peraih getah buku, dia pergi juga ke Gemas kerana Ah Fook memang kaki empat nombor. Mereka ke sana kerana Ah Fook percaya to’ pekong boleh memberikan nombor ekor.
Bukan setakat ke Gemas atau Segamat saja, Ah Fook mencari to’ pekong untuk mendapatkan nombor bagi menikam empat ekor. Malah kadangkal ke Seremban dekat Bukit Tangga dia pergi mendapatkan to’ pekong dengan harapan boleh menang nombor. Manakala Manap Sepet pun sama saja mengikut kemahuan Ah Fook, di samping dia juga berharap boleh mendapat pertolonga to’ pekong memberi nombor ekor.
Memang Sirah marah bila mendapat tahu suaminya mengikut Ah Fook mencari to’ pekong kerana mahu dapatkan nombor ekor, tetapi apalah yang boleh dilakukan. Sudahlah Manap Sepet tidak sembahyang, tidak puasa, ditambah lagi dengan main judi baik mahjong mahu pun nombor ekor. Hal-hal rumah tangga langsung tidak dipedulikannya.
Terpulang pada Sirah untuk bekerja di estet bagi menampungbelanja di rumah. Kadangkala Manap Sepet pula minta duit darinya untuk minum kopi di kedai Ah Keong.
Bila balik malam Ah Fook tidak akan menghantar Manap Sepet balik ke rumah, memadai sampai di kedai Ah Fook saja kerana Manap Sepet tinggalkan basikalnya di situ. Kemudian Manap Sepet akan balik bersaorangan saja melalyui jalan tanah merah melalui kebun-kebun getah di kiri kanan itu sejauh 4 batu balik ke rumahnya. Kadang-kadang sampai jam 3.00 pagi baru dia tiba di rumahnya kalau mengikut Ah Fook berjalan hingga ke Segamat.
Inilah kisah Manap Sepet yang diceritakan oleh adiknya Lasim kepada saya. Pada malam itu dia tetap keluar juga sekali pun dilarang oleh Sirah. Sampai di kedai kopi Ah Keong dia berlangut saja seorang diri sambil memesan teh. Asal duduk saja di kedai itu, memang dia tetap memesan teh.
Di belakang kedai orang bermain mahjong kedengaran juga pada Manap Sepet. Tidak orang Melayu yang bermain mahjong, kecuali Manap Sepet sajalah orang Melayu di situ yang gemar bermain mahjong. Ah Fook juga tidak datang ke situ, mungkin lelaki Cina tidak tahu ke mana-mana. Ada juga dia berjanji hendak ke To’ Pekong di Bukit Tangga dekat Seremban untuk menurun bagi mendapatkan nombor ekor, tetapi dia belum memberi kata putus mengenainya.
Kira-kira pukul 11.00 malam Manap Sepet pun baliklah ke rumahnya. Dia mengayuh basikal mengikut lorong tanah merah itu. Bagi Manap tidak ada apa yang hendak ditakutkan. Sudah bertahun-tahun dia menempuh jalan tersebut sejak masih belum kahwin dengan Sirah lagi. Tidak ada pula dia bertemu apa-apa tengah jalan.
Macam-macam juga dia mendengar cerita bila sampai berhampiran Bukit Kuau di simpang jalan. Jamos pernah melihat lembaga pakaian serba putih melintas di situ, tetapi kakinya tidak jejak ke tanah. Pak Sohod pernah ternampak bola api memanjang terbng kemudian jatuh ke jirat Cina di bukit berkenaan. Lasim adiknya juga memberitahu pernah tercium bau wangi semasa melintas di situ.
Tetapi cerita-cerita berkenaan sedikit pun tidak menakutkan Manap Sepet. Dia tetap juga keluar malam-malam hari ke pekan. Kemudian jauh malam baru balik. Sirah juga tidak kuasa lagi mahu berleter kalau Manap Sepet balik lambat. Kalau dileterkan pun Manap Sepet tidak memperdulikan langsung. Apalah gunanya dia berleter kerana tidak memberi bekas seolah-olah mencurahkan air ke daun keladi saja.
Hanya Sirah berdoa agar Manap Sepet sedar akan kesilapannya selama ini. Sikap berjudi, tidak melakukan solat, malas bekerja, semuanya merugikan belaka. Mujurlah Sirah seorang yang sabar, dan tetap tabah menghadapi perangai suaminya yang menyakitkan hati itu.
Tibanya saha di kaki Bukit Kuau terasa juga gementar hati Manap Sepet. Entah mengapa malam itu dia merasa gementar melintas di situ. Tetapi dia cekalkan hati. Kalau ada sesiap muncul di depannya dia tidak akan gentar untuk menerkamnya. Biarlah lemabaga berpakaian serba putih tidak berkaki pernah ditemui oleh amos itu menakutkan dia, atau bola api yangmemanjang terbang ternampak oleh Pak Sohod itu, Manap Sepet tetap akan tongkatkan basikalnya. Dia tidak akan lari seperti tikus terlihat kucing.
Sekali sekala Manap Sepet mengerling juga ke arah jirat Cina di lereng bukit. Tidak ada apa yang ternampak selain dari gelap gelita. Bulan tidak lagi muncul apabila sudah 20 haribulan. Biasanya sudah dinihari barulah bulan mengambang. Kata orang kalau bulan mengambang dinihari biasanya harimau suka berkeliaran. Bila mengenangkan harimau terasa juga gementar di hati Manap Sepet.
Kalau sekadar hantu atau lembaga-lembaga yang pernah dilihat oleh Jamos. Pak Sohod atau Lasim memang dia tidak pernah takut. Tetapi harimau binatang ganas. Harimau tidak sama dengan hantu atau lembaga- lembaga yang diceritakan yang boeh direka-reka ceritanya. Siapa bertembung dengan harimau tidak akan dapat lagi membawa cerita balik ke rumah, melainkan menjadi mangsalah sudahnya.
Sebaik terlangsung saja dari jirat Cina, di selekoh yang gelap leh rimbunan pokok-pokok getah, tiba-tiba saja lampu basikalnya padam. Mula-mulanya Manap Sepet tidak hiraukan juga, kerana dia masih ada lampu picit di saku belakang seluarnya. Tetapi apabila dikayuh juga basikalnya, tiba-tiba rantainya jatuh.
“Celaka,” rungut Manap Sepet melompat turun. Cepat-cepat dia menongkatkan basikalnya. Dia menyuluh lampu picit kepada rantai basikal, tetapi lampu picitnya juga tidak bernyala.
Bertambah geramlah hati Manap Sepet. Dia meraba-raba rantai basikalnya di dalam gelap itu, tetapi dirasanya rantai basikalnya tidak jatuh. Elok teregang pada tempatnya. Tetapi mengapa tidak boleh dikayuh? Ketika ini dia teringatkan akan pesan Sirah mengatakan dia akan ditunggu oleh seorang tua di situ sepertti dalam mimpinya.
“ Kalau betul nak jumpa, keluarlah!” rungut Manap Sepet mengertap bibir. Dia memang cepat panas baran. Pantang saja dicabar cepatlah dia melenting. Dia tidak peduli samaada manusia atau hantu jembalang yang berani mencabarnya. Memang Manap Sepet sanggup menentangnya.
Lama di tercegat di tengah jalan memerhatikan sekeliling kalaulah benar ada orang tua yang mahu menemui seperti dalam mimpi Sirah. Tetapi di sekelilingnya gelap gelita disebabkan rimbunan pokok-pokok getah menyerkup.
Tidak jadi dia membetulkan rantai basikalnya, kerana rantai basikalnya itu tidak jatuh. Lampu basikalnya juga tidak ada salahnya, tetapi mengapa tidak menyala?.
“Keluarlah !” katanya perlahan mengenggam penumbuk sambil memerhatikan sekeliling. Ternyata tidak ada orang tua yangmahu menemuinya seperti dalam mimpi Sirah itu.
Kemudian Manap Sepet pun menolak basikalnya. Dia tidak dapat menunggang kerana rantai basikalnya tidak boleh dikayuh. Biarlah dia berjalan kaki sahaja untuk balik ke rumah.
Hanya beberapa langkah sahaja dia menolak basikalnya, tayar basikalnya terlanggar batu. Hampir dia terjatuh kerana tiba-tiba saja ada batu tergolek di tengah jalan. Bukan main marah hati Manap Sepet seolah-olah dia sedang dipermainkan. Sambil mengertap bibir Manap Sepet sekali lagi merenung basikalnya seolah-olah mahu mencabar musuh yang mempermainkan dirinya.
Tetapi orang tua yang dikatakan oleh Sirah dalam mimpnya itu tidak juga muncul. Manap Sepet tidak takut berhadapan dengan orang tua itu kalau benar-benar dia menjelma di situ. Lama dia menunggu sambil menendang batu tergolek di tengah jalan itu dengan harapan lelaki tua itu muncul, tetapi tidak ada pun bayangnya menunjukkan diri.
“Hah, tau kau takut dengan aku ye” kata Manap Sepet masih mendongkol.
Dalam masa ini bulan mula menyinar di langit. Ahulah Manap Sepet memang sudah dinihari, kerana penghujung bulan memang begitu, Dia masih tidak bergerak dari situ kerana basikalnya masih tidak boleh digunakan. Dia juga tidak akan lari semata-mata takut lelaki tua yang mahu menemuinya. Sirah memang tidak benarkan dia keluar kerana takutkan lelaki tua berkenaan, tetapi dia tidak rasa gentar apa-apa.
Setelah bulan mulai menyinar terang barulah Manap Sepet terdengar bunyi orang berdehem. Dia berpaling ke belakang mengamati bunyi orang berdehem itu. Dari arah belakang dia nampak satu lembaga lelaki berjalan bongkok dengan bertongkat mara mendapatkannya. Apabila hampir dia nampak lelaki itu berpakaian serba hitam, tetapi mukanya terlindung sedikit oleh rambutnya yang memanjang serta janggut dan bauknya yang tebal ramus.
“Kau hendak apa?” jerkah Manap Sepet sebaik saja lelaki tua itu duduk pada batu yang tergolek di tengah jalan.
Lelaki tua itu tidak menyahut. Dia menunduk saja dengan tidak menghiraukan Manap Sepet.tanya Manap Sepet keras.
“Kau nak jumpa aku?”
“Awak jangan sombong sangat” kata lelaki tua itu perlahan. Suaranya juga garau tetapi jelas dapat didengar oleh Manap Sepet.
“Tak boleh cakap perlahan sedikit suara awak,” ujar lelaki itu memarahinya.
“Kenapa kau ganggu jalan aku?” herdik Manap Sepet menunjukkan marahnya dipermainkan oleh lelaki berkenaan.
“Ini jalan aku. Memang masa macam ini aku berihat-rihat di sini,” beritahu lelaki tua itu mengingatkan Manap Sepet.
“Aku dah beri amaran jangan ganggu jalan aku ini kalau masa macam ni,” sahut lelaki keras macam mengancam.
“Jalan ni memang jalan aku. Mengapa kau nak berihat pula pada jalan orang” katanya tidak gentar pun berhadapan dengan lelaki tua berkenaan.
“Nampaknya awak keras kepala ye!” lelaki itu semakin marah dengan sikap Manap Sepet.
“Bukan aku tunjuk keras kepala, tetapi awak yang tunjuk keras kepala” jawab Manap Sepet masih berdegil.
“Awak jangan nak berlagak di tempat orang,” lelaki tua itu memberi amaran.
Bertambah marah Manap Sepet dengan amaran itu. Dia tidak dapat menahan sabar lagi. Lantas diterkamnya orang tua sambil sambil tangannya meragut janggut lelaki berkenaan.
“Betul-betul jantan awak” kata lelaki tua itu tersengih sengih.
“Tapi awak takkan dapat menghalang aku mengambil isteri awak” beritahunya sambil menepis tangan Manap Sepet.
Belum sempat Manap Sepet mahu menampar muka lelaki tua itu kerana berani mempersenda-sendakan isterinya, kabus tebal muncul di depannya berputar-putar seperti d tiup angin kencang. Lelaki tua itu hilang dalam putaran kabus tebal tadi. Dan dia mendengar ketawa memanjang lelaki itu semacam mengejeknya.
Ketika ini Manap Sepet mendengar suara tangisan Sirah bergema di sekeliling rimbunan pokok-pokok getah. Dia memerhatikan tidak kelihatan pun Sirah dimana-mana. Tetapi tangisan itu semakin jelas memanggilnya meminta tolong. Sirah meminta jangan lepaskan dirinya pada lelaki berkenaan.
Manap Sepet pun mencapai basikalnya. Sebaik saja dia mahu menunggang basikalnya semuanya jadi goyah. Semakin marah dia kerana basikal itu tidak boleh digunakan langsung. Dia punmencampakkan basikalnya ke tepi, lantas berjalan kaki saja balik. Sepanjang perjalanannya itu dia tetap mendengar tangisan Sirah tidak rela dilepaskan kepada lelaki tua yang ditemuinya tadi.
Apabila sampai di rumahnya didapatinya Sirah tidak mengalami apa-apa yang luar biasa. Jadi, Manap Sepet pun sengaja menyembunyikan apa yang berlaku kepadanya di jalan tadi. Malu dia mahu menerangkan pada Sirah kejadian itu, kerana dia sudah menempelak Sirah mengatakan mimpi isterrinya karut saja.
Bagaimanapun dia merasa gembira kerana tidak ada apa-apa yang buruk berlaku. Mungkin kerana keberanian serta tabahnya dia menghadapi kejadian itulah puncanya dia tidak dapat dikalakan. Mereka yang lemah semangat saja dapat dikalahkan oleh kejadian-kejadian seperti ini. Sebaliknya mereka yang berani serta kuat semangat tidak akan dapat ditewaskan oleh kuasa-kuasa demikian.
“Mana basikal awak?” tanya Sirah kerana didapatinya tidak menunggang basikal.
“Aku tinggalkan di kedai Ah Keong” sahutnya berbohong.
“Awak tak jumpa apa-apa?” soal Sirah bimbang dengan mimpinya yang menakutkan itu.
“Ah karut semuanya” beritahu Manap Sepet masih berbohong kepada isterinya.
“Mimpi mana ada yang betul, tak ada apa-apa pun yang aku jumpa “ katanya macam mengejek.
TErasa lega hati Sirah kerana suaminya selamat. Tetapi dia tetap berharap suaminya jangan keluar malam-malam lagi. Mana tahu pada malam itu lelaki tua yang ditemuinya tidak menunggu, bagaimana pada malam-malam yang lain. Lelaki ini memberitahu ingin bertemu dengan Manap Sepet selepas 15 haribulan Safar, bermakna sehingga akhir bulan lelaki berkenaan tetap menunggu suaminya.
“Dalam seminggu dua ni, janganlah awak keluar malam-malam lagi” nasihat Sirah memperlihatkan kasih sayangnya.
“Tengoklah dulu” jawap Manap Sepet terkuap-kuap menahan mengantuk dan letih.
Bagaimanapun hatinya tetap teringatkan peristiwa yang dilaluinya tadi. Namun dia tetap berbohong dengan Sirah. Dia tidak akan memberitahu SirMungkin Sirah akan mengungkit-ngungkit kalau diceritakan perkara yang sebenarnya.
Sejak mula lagi dia tidak percaya dengan apa yang dicakapkan oleh Sirah. Dia mengatakan semuanya karut. Tetapi dengan kejadian yang dialaminya pada malam itu, ternyata mimpi Sirah itu memberi alamat yang benar. Kalau dia mengakui akan kebenaran mimpi Sirah, tentu dia akan disindir oleh isterinya yang memeperolok-olokan mimpinya selama ini.
Oleh itu Manap Sepet sengaja menyembunyikan peristiwa itu dari isterinya. Dia yakin kekuatan semangatnya akan menghalang gangguan berkenaan. Ancaman lelaki itu untuk mengambil isterinya tidak akan berhasil, selagi dia tetap berada di samping isterinya. Dia mengambil keputusan akan mengikut nasihat isterinya supaya tidak keluar malam-malam dalam masa seminggu dua itu. Mana tahu lelaki tua itu akan datang menganggu Sirah semasa dia tidak ada di rumah.
“Awak dengarlah cakap saya ni” pujuk Sirah lagi.
“Dalam seminggu dua ni jangan lah awak keluar malam-malam, lagi pun bukan ada faedahnya,” ujar Sirah terus berharap.
“Tidur ajelah....” sahut Manap Sepet dengan tujuan untuk menyembunyikan kebimbangannya pula.
Pagi-pagi besoknya Sirah sudah bangun untuk bekerja di estate, sedangkan Manap Sepet masih tidur kerana keletihan. Apabila dia bangun dari tidur didapatinya Sirah sudah pun pergi bekerja. Manakala anak-anaknya sudah ke sekolah. Dia terus ke tempat bertemu lelaki tua semalam untuk melihat keadaan basikalnya.
Didapati basikalnya ada terlimpar di tepi jalan. Bila diperiksanya basikalnya masih elok, tidak pun jatuh rantainya. Lampunya juga masih baik. Barulah senang hati Manap Sepet, kerana semuanya dalam keadaan selamat. Bagaimanapun dia bimbang juga dengan Sirah. Boleh jadi apa yang didakwa oleh lelaki tua itu mahu mengambil Sirah akan berlaku juga.
Oleh itu petangnya apabila Sirah balik dari bekerja di estate, dia menyuruh isterinya berhenti saja. Manap Sepet berjanji dia sendiri akan bekerja menoreh getah. Dia juga akan sama-sama membantu Sirah ke sawah. Perubahan Manap Sepet ini mengembirakan hati Sirah. Manap Sepet pula sejak peristiwa itu jarang keluar malam-malam.
Kalau Ah Fook mahu mengajaknya ke Segamat atau ke Gemas Ah Fook sendiri datang menjemputnya dan kemudian menghantarnya balik. Sebab itu jarang pula Ah Fook datang mengambil Manap Sepet.
Tidak lama kemudian sekali lagi Sirah memberitahu mimpinya kepada suaminya mengenai lelaki tua yang ditemui dulu. Sirah meminta Manap Sepet mencari mana- mana bomoh supaya boleh diubatkannya. Tetapi Manap Sepet tetap mengatakan mimpi Sirah itu sebagi karut.
“Orang tua itu marah kerana saya tak bekerja lagi di estate.” Beritahu Sirah bercampur bimbang. Sudah lama dia tidak dapat melihat saya di tempat kera” katanya mendesak Manap Sepet supaya mencarikan bomoh.
“Ah, akal kau nak kerja di estate, macam-macamlah cerita yang kau buat” Manap Sepet memarahi isterinya.
Tersinggung juga hati Sirah kerana suaminya beranggapan lain pula. Tidak terniat di hatinya untuk pergi bekerja di estate lagi setelah suaminya berubah mahu membantu kerja di rumah. Tetapi mimpi menakutkan itu berulang-ulang setiap malam.
Disebabkan Manap Sepet tidak mengendahkan dia menyuruh memanggil bomoh, maka Sirah pun memberi tahu kepada adik iparnya Lasim. Mendengar cerita kakak iparnya ini, Lasim pula tertawa geli hati. Mengapa kakak iparnya terlalu percaya dengan cerita-cerita tahyol demikian.
“Ah mimpi ni ulam tidur aje Kak” kata Lasim.
Disebabkan Lasim yang selalunya mahu diajak berbincang mengenai masalahnya sudah tidak percaya lagi dengan kata-katanya, Sirah pun terpaksalah membisu saja. Namun mimpi yang menakutkan itu berulang juga.
“Hati aku dah tertawan pada kau” orang tua berpakaian serba hitam itu menjelma dalam mimpi Sirah.
“Aku sudah minta izin dari suami mu untuk mengambil kau” katanya ramah mesra.
“Aku tak kenal kau” sahut Sirah marah.
“Dulu aku selalu memerhatikan kau bekerja di estate, aku kesian tengok kau dibuat oleh Manap Sepet. Sebab itu aku nak mengambil kau Sirah” ujar lelaki tua itu memujuknya.
“Tak mau, aku sayangkan suami aku” balas Sirah mencemuhnya
“Tapi dia tak sayangkan kau !” beritahu lelaki itu lemah lembut. “Dia dah bertemu dengan aku, tetapi dia sembunyikan dari pengetahuan kau” katanya lagi.
“Kau bohong !” herdik Sirah memasamkan mukanya.
“Tidak, aku tidak bohong Sirah. Aku kesian tengok kau kerja teruk. Suami kau makan titik peluh kau” ujarnya memujuk Sirah.
Mimpi itu juga berulang. Sirah menjadi bimbang dengan pujukan-pujukan dari orang tua yang menjelma dalam mimpinya itu.
Tetapi apabila diberitahu kepada Manap Sepet, suaminya tidak mahu percaya. Apabila ditanya mengenai pertemuannya dengan orang tua berkenaan , Manap Sepet juga menafikan. Dia tidak pernah terserempak lelaki tua itu apabila balik jauh-jauh malam.
Lasim pula menasihatkan kakak iparnya supaya tetapkan iman, kerana mimpi hanya permainan tidur. Tidak ada mimpi yang benar-benar berlaku. Hanya orang yang percaya kepada perkara-perkara yang karut saja takutkan mimpi. Etapi Sirah sudah tidak tertahan dengan ancaman pujik rayu orang tua itu melalui mimpinya. Dia terus mendesak Lasim supaya mencari dukun.
Mahu tidak mahu terpaksalah Lasim menurut kemahuan kakak iparnya walaupn dimarahi oleh abangnya. Dia Cuma mahu memenuh permintaan kakak iparnya dan bukanlah terlalu percaya dengan mimpi yang dikatakan itu. Lasim mencari seorang dukun dari Gemenchih, tetapi dukun itu tidak dapat datang kerana jauh sangat. Bagaimapun dukun itu memberikan kemenyan disuruh bakar pada setiap malam apabila mahu tidur.
Bila kemenyan yang diberi itu dibakar, orang tua itu tetap juga datang dalam mimpi Sirah. Orang tua itu bersedih hati kerana Sirah sangup mencari dukun, sedangkan dia sebenarnya kesihan melihat Sirah dan mahu menolongnya. Tetapi Sirah tetap berkeras kerana tidak mahu ditolong oleh lelaki berkenaan.
Walaupun dibakar kemenyan yang diberikan oleh dukun Gemenchih itu, namun lelaki tua dalam mimpi Sirah tetap menjelma juga. Hingga Sirah sendiri tidak kuasa lagi mahu memberitahu Lasim atau Manap Sepet. Dia berserah saja dengan keadaan, kalau apa mahu terjadi, jadilah.
Tidk lama kemudian selepas makan tengah hari , kelihatan cuaca redup mahu hujan. Angin juga bertiup kencang. Manap Sepet cepat-cepat menyuruh Sirah mengambil kain baju yang tersidai di ampaian. Disebabkan dua orang anaknya masih makan, maka Sirah pun turn untuk mengambil kain baju yang dibasuhnya pagi tadi di ampaian.
Ketika dia turun mengambil kain baju ini angin bertiup semakn kencang. Sirah bergegas mengutip kain baju yang hampir berterbangan. Belum habis dia mengutip kain baju, Manap Sepet terdengar Sirah memanggilnya minta tolong. Cepat-cepat Manap Sepet berlari kepintu, dilihatnya Sirah terbaring dibawah ampaian. Dia meluru mendapatkan Sirah.
Apabila Sirah naik ke atas rumah dia sudah tidak sedarkan diri. Angin kencang yang bertiup pun berhenti, dan hujan turun mencurah-curah. Sirah kelihatan muntah lumut. Manap Sepet segera menyuruh anaknya memanggil Lasim dan Pak Siraj yang boleh juga sedikit-sedikit membuat jampi.
Semasa mereka sampai, Sirah sudah tidak bernyawa lagi.
Selepas kematian Sirah inilah baru Manap Sepet menceritakan mengenai kejadian yang dialaminya dan ancaman orang tua berkenaan. Lasim pun mengakui tentang kebimbangan kakak iparnya terhadap mimpinya selama ini. Inilah yang diceritakan oleh Lasim kepada saya kemudiannya.
TAMAT